Pemandangan di Pusat Islam Canberra, ACT, Australia pada tahun 2009
Assalamualaikum kepada semua sahabat-rakan pembaca,
Didoakan kita semua sentiasa dilapangkan hati untuk sentiasa berada dalam kebaikan.
Rasanya agak lama juga blog saya ini tidak dimuatkan dengan entri baru yang lebih bersifat perkongsian pengalaman peribadi. Mungkin juga lama tidak diperbaharui kandungan blog ini. Bagi mereka yang sentiasa membuka laman ini dan menjangkakan ada sesuatu yang baru, maaf saya pohonkan. Kadang-kadang, saya sendiri pun membukanya dengan harapan membaca catatan-catatan pada masa lalu dengan dimudahkan oleh aplikasi "LinkWithin". Tak mengapa, kita baca benda yang dah kita baca pada masa sebelum ini pun tak rugi kan? Dijadikan sebagai muroja'ah (ulang kaji). Lagi kerap kita mengulang bacaan ilmiah, insya-Allah lagi kuat ingatan dan kefahaman terhadap perkara tersebut. Prinsip ulangan yang banyak inilah juga yang digunakan oleh para penghafaz Al-Quran.
Ramadhan yang Semakin Menghampiri Penghujungnya
Masa memang pantas berlalu. Terasa hati kecil kita ingin menangis teresak-esak dan meraung-raung sekuat-kuatnya kerana bulan teragung ini semakin meninggalkan kita. Perasaan sebegini datang bertandang kerana adanya kekesalan bagi setiap ruang peluang kebaikan yang tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Namun yang demikian, insya-Allah dengan adanya beberapa hari yang masih berbaki ini, sama-sama kita teruskan ibadah dengan sebanyak-banyak yang boleh. Jadikan segala kesilapan, kecuaian dan ketidaksempurnaan kita pada bulan Ramadhan tahun ini sebagai pengajaran yang amat berguna untuk dibaiki pada tahun-tahun yang akan datang.
Syawal di benua Australia
Insya-Allah, bagi kami di sini 1 Syawal berkemungkinan besar akan jatuh pada hari Jumaat ini. Imam Masjid Bandar Adelaide ada menyebut bahawa jika tidak ada mana-mana pengumuman dari Perth, Indonesia atau Malaysia yang menyatakan terlihatnya anak bulan (yang menyebabkan puasa selama 29 hari), maka 1 Syawal kali ini jatuh setelah genapnya 30 hari berpuasa. Jika jatuh pada hari Jumaat pula menurut beliau, menjadi sunnah Baginda Nabi kita tercinta Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam bahawa jika mana-mana umat Islam yang sudah menghadiri solat sunat 'Aid (Hari Raya) dan mendengar khutbahnya, maka umat Islam tersebut sudah tidak berkewajipan lagi untuk menghadiri solat fardhu Jumaat pada waktu tengahari /petang tersebut. Mereka boleh memilih untuk solat fardhu zuhur sahaja. Namun begitu, imam bagi masjid tersebut beliau masih berkewajipan untuk memimpin solat Jumaat dan menyampaikan khutbah.
Tahun lepas, alhamdulillah 1 Syawal kami memang berhampiran dengan cuti pertengahan semester ( selama 2 minggu). ^_^ Lama juga beraya, sampai ada rakan-rakan yang balik ke Malaysia (banyak juga tu!). Namun pada tahun ini, 1 Syawal berada seminggu lebih awal daripada cuti tersebut. Apa kesannya? ^_^ Ada rakan-rakan yang 'terpilih', mereka terpaksa meraikan 1 Syawal di dewan kuliah, kelas, amali di makmal dan lain-lain. Alhamdulillah, satu pengalaman menarik. Rasanya, sahabat-rakan yang belajar di Malaysia hampir kesemuanya menikmati cuti pada 1 Syawal.
Segerakan Kewajipan dan Kebaikan
Benarlah segala apa yang dituturkan oleh Baginda Nabi kita shollallahu 'alaihi wa sallam. Pernah ada disebut Baginda berkenaan dua ni'mat: ni'mat kesihatan dan ni'mat masa lapang. Kedua-dua ni'mat ini sangat kerap diabaikan oleh manusia. Didikan Nabi kita juga sentiasa mengajar bahawa umatnya perlu sentiasa menghargai masa yang ada. Sungguh tidak beruntung mereka yang membiarkan masa berlalu dengan sia-sia. Didikan Baginda juga sentiasa menyeru umatnya untuk menyegerakan segala kewajipan dan kebajikan. Mengapa? Sebab kita tidak tahu lagi akan tibanya masa akan datang (sama ada kita masih hidup, ataupun sama ada kita masih lagi ada kelapangan, tidak ditimpa kesibukan dan kesulitan yang lain).
Apa yang dah terjadi? Saja berkongsi pengalaman dan hikmah. Mudah-mudahan ada kebaikan dan pengajaran. Macam kami di sini, apabila hampir pada bahagian penghujung Ramadhanlah ada banyak kerja universiti seperti 'assignment', kuiz, 'presentation' dan yang lain-lain. Betullah apa yang pernah disebut oleh seorang ustaz dalam memberikan nasihat kepada golongan pelajar: mereka perlulah berusaha menyiapkan segala tugasan tersebut secepat mungkin untuk memberikan ruang masa yang cukup untuk beribadah. Bagi yang bekerja pula, cuba simpankan cuti untuk digunakan pada bahagian akhir Ramadhan (untuk beriktikaf di masjid dan juga ibadah yang lain).
Masa memang berharga, bahkan tidak ternilai lagi. Sibukkan diri kita dengan kebaikan, insya-Allah akan hadir kepuasan jiwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.