Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya.Surah Al-Baqarah, 2: 207
Jasa dan pengorbanan para sahabat Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam ridhwanullah ‘alaihim dalam usaha memperluas dan memperkuat risalah Islam sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Ketinggian keperibadian, kekentalan iman dan kesungguhan dalam jihad mereka yang dibentuk oleh Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam sendiri sentiasa wajar untuk dijadikan pengajaran dan pedoman berguna kepada generasi Islam pada segenap zaman.
Dalam kitab suci Al-Quran, pengorbanan mereka diabadikan oleh Allah subhanahu wa ta’ala.
Sebagai contoh, ayat yang dikemukakan di atas merupakan ayat yang diturunkan selepas berlakunya peristiwa pengorbanan salah seorang sahabat Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bernama Shuhaib rodhiyallahu ‘anhu.
Perkara ini tercatat dalam satu hadits sahih yang mulia dan diriwayatkan oleh Hakim. Dalam hadits tersebut, Ikrimah rodhiyallahu ‘anhu berkata:
“Suatu hari, Shuhaib rodhiyallahu ‘anhu berhijrah ke Madinah mengikuti Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam. Dalam perjalanan, Shuhaib rodhiyallahu ‘anhu dikejar orang-orang kafir Quraisy. Beliau turun dari tunggangannya, bersiap dengan anak panah di tangan dan berkata,
‘Wahai musyrik Quraisy, demi Allah, kalian tentu mengetahui jika aku seorang pemanah ulung. Kalian tidak akan mampu menyerangku. Sekarang kalian pilih salah satu: kalian semua mati terbunuh atau kalian mendapat seluruh hartaku di Makkah dengan syarat kalian tidak mengganggu hijrahku ke Madinah.’
Orang-orang kafir Quraisy memilih harta Shuhaib rodhiyallahu ‘anhu dan membiarkannya berhijrah ke Madinah. Setibanya di Madinah, Shuhaib rodhiyallahu ‘anhu menceritakan peristiwa yang menimpanya kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam. Mendengar peristiwa tersebut, Rasul shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Engkau telah beruntung, wahai Abu Yahya.' Lalu, turunlah ayat ini.”
Begitulah salah satu contoh pengorbanan para sahabat Baginda Nabi kita shollallahu ‘alaihi wa sallam.
Selain itu, kita juga sedia maklum dengan pengorbanan sahabat paling rapat dengan Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam, ya’ni Saidina Abu Bakar rodhiyallahu ‘anhu yang menyumbangkan keseluruhan hartanya pada jalan Allah demi kepentingan agama Islam yang tercinta dan mulia ini.
Atas dasar kekuatan iman yang tiada tandingannya dengan iman umat Islam pada akhir zaman ini, ketika ditanya kepada beliau tentang apakah yang akan ditinggalkan kepada isteri dan anak-anaknya setelah diserahkan keseluruhan hartanya untuk perjuangan Islam, beliau menyatakan bahawa Allah dan Rasul-Nya menjadi apa yang ditinggalkannya kepada mereka.
Aspek pengorbanan dalam bentuk sekalipun menjadi satu kewajipan yang tidak dapat dielakkan bagi sesiapa sahaja yang mencintai perjuangan Islam dan menginginkan kehidupan akhirat yang kekal.
Dari kaca mata orang-orang yang beriman, segala pengorbanan mereka itulah yang menjadi aset tidak ternilai mereka untuk dibawa dan ditunaikan segala pembalasan pahala dan kebaikan di akhirat sana nanti.
Mudah-mudahan kita semua akan sentiasa diberi petunjuk, keikhlasan, kekuatan hati dan kelapangan jiwa untuk sentiasa berkorban dengan apa jua tahap kemampuan demi kebaikan agama Islam ini dan melayakkan diri untuk mendapat keredhaan Sang Pencipta Yang Maha Agung dan Maha Penyantun. Pada masa yang sama, marilah kita bersama-sama sentiasa mengambil pengajaran dan hikmah daripada peristiwa sejarah yang berlaku pada zaman Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat Baginda ridhwanullah ‘alaihim ajma’in kerana mereka adalah sebaik-baik generasi yang dididik oleh Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam sendiri.
Kajian dan bacaan lanjut:
Dr Ahmad Hatta, MA, Tafsir Qur’an Per Kata, Dilengkapi Dengan Asbabun Nuzul dan Terjemah, Maghfirah Pustaka, Indonesia, 2009, muka surat 32.
Susunan al-faqir ila Robbih,
‘Abdullah Munib ilaiHi
(Asbabun Nuzul ayat 207 Surah Al-Baqarah)
mohon di share ikhwan..teruskan menitipkn ilmu yg brmnfaat ni...
BalasPadamsilakan ^_^
BalasPadam