Ulama Benteng

Ulama Benteng

Rabu, 9 Disember 2020

Kesan Falsafah Pendidikan Kebangsaan kepada Guru

 Kesan FPK kepada Guru


Guru sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting terhadap pembangunan negara. Guru adalah nadi pendidikan anak bangsa. Sehubungan dengan itu, FPK sememangnya memberi impak kepada para guru sebagai barisan hadapan dalam menyampaikan dan menerapkan penghayatan FPK kepada para pelajar secara khususnya, dan kepada rakyat Malaysia secara umumnya. Menyokong kepentingan peranan guru Mohd Salleh (1992) menyatakan bahawa:  


Dalam bidang pendidikan, guru merupakan suatu anggota atau kakitangan yang paling penting untuk membangunkan sebuah masyarakat. Peranan dan sumbangannya amat diperlukan baik di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat menengah. 


Sehubungan dengan itu, proses persiapan melahirkan guru berwibawa itu sendiri menjadi agenda mustahak unutk merealisasikan kejayaan FPK. Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan menjadi teras yang dinyatakan dalam FPK. 
Dalam konteks program pendidikan guru, apabila kepercayaan kepada Tuhan dijadikan teras dan falsafah mutlak, maka guru yang dihasilkan kelak sudah tentu akan mempunyai ciri – ciri yang dikehendaki. Guru juga seharusnya sedar akan tanggungjawab seorang manusia di muka bumi ini. Dua peranan manusia adalah hamba kepada Pencipta dan khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi ini (Rohana, 2010). Di samping itu, pada fitrahnya manusia telah mengakui kewujudan Tuhan Yang Esa dan telah ada beberapa potensi dalam tersendiri. Sebagaimana dicatatkan oleh Hasan (1986), potensi dalaman tersebut adalah manusia menjadi baik sejak asal kejadian lagi, manusia mempunyai roh yang bergabung dengan tubuh badan yang membentuk jasad khalifah. Manusia bebas dalam membuat pilihan, dan manusia memiliki akal yang membantu mereka untuk berfikir dalam membuat pilihan. Ketika guru sedar tentang beberapa peranan yang perlu dimainkan dan potensi dalaman yang pastinya telah ada dalam diri mereka, tidak ragu lagi bahawa guru akan melaksanakan amanah dengan penuh kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan (Ismail et al., 2011a).

 

 Dengan berteraskan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan yang dipasak melalui FPK, guru yang dihasilkan adalah dengan integrasi antara kedua-dua ilmu wahyu dan ilmu akal, sekaligus memiliki pengetahuan duniawi dan ukhrawi. Oleh sebab yang ilmu yang diajarkan adalah berteraskan ketuhanan, para guru yang akan dibentuk adalah bersikap rendah diri dan tidak angkuh dengan ilmu yang ada (Tajul Ariffin, 1993a). Kesannya, guru yang dibentuk itu akan keluar berusaha demi menyebarkan dan berkongsi ilmu yang telah ditimba kepada para pelajar dengan toleransi dan hati ikhlas. Pada masa yang sama, impaknya diperoleh para pelajar dengan tahap pencapaian ditingkatkan dan potensi mereka diperkembang (Ismail et al., 2011b). 

Lanjutan daripada kepercayaan kepada Tuhan yang seterusnya dipadukan dengan penguasaan ilmu pengetahuan dan sikap penuh kesederhanaan, pemurniaan dalam nilai guru berlaku. Tajul Ariffin (1993b) menyebut bahawa penghayatan bersungguh-sungguh terhadap nilai murni akan membolehkan seseorang individu itu mampu mencapai kesejahteraan diri dan berusaha untuk memberikan sumbangan bermakna dalam mewujudkan keharmonian masyarakat dan negara. Ketara di sini adalah guru yang telah padat dengan ilmu dalam diri mereka, akan mengajarkannya pula kepada para pelajar dengan nilai-nilai murni yang dapat dimanfaatkan. Warnoh dan Norasmah (2003) menyatakan guru cemerlang hanya diperoleh ketika guru itu memiliki nilai positif kepada profesion dan melaksanakan tanggungjawab kerjaya dengan sepenuh komitmen, lalu mampu membentuk tanggapan bahawa tugas adalah ibadah.

 

Natijahnya, melalui kemantapan paduan antara ketiga-tiga perkara iaitu kepercayaan guru kepada Tuhan, guru yang memiliki ilmu dan kemahiran yang bersepadu dan guru yang mempunyai nilai yang baik dan terpuji : pasti guru tersebut mampu menghadapi segenap cabaran dan rintangan (Rajah 1).



Rajah 1 : Antara kesan FPK yang membentuk kemampuan guru menghadapi segenap cabaran


Selain itu, kesan kefahaman FPK kepada guru juga dapat dinilai daripada beberapa aspek berikut: kepuasan bekerja, hasil pembelajaran pelajar, dan sikap (Rajah 2) (Muhammad Nurfahmi et al., 2011).

Kepuasan bekerja 

Pekerjaan yang sesuai berperanan penting supaya seseorang individu itu mengecapi kepuasan sesuatu kerja yang dilaksanakan. Dinham dan Scott (2000) menekankan bahawa kepuasan kerja adalah satu perasaan yang diperoleh daripada sesuatu tugas sebagai menepati nilai kerja yang berselarasan dengan keperluan individu. Ketika pekerjaan dilakukan adalah bertepatan dengan kehendak dan keperluan diri, tahap kesulitan sesuatu kerja tidak menjadi masalah dalam kepuasan bekerja. Locke (1976) berpandangan kepuasan kerja adalah satu keseronokan atau emosi positif secara serta-merta kesan penghormatan atau pengalaman kerja seseorang. Apabila tugas kerja dilaksanakan dengan penuh minat mendalam yang datang dari hati, akan terhasil kepuasan. Dengan kepuasan itu pula kesannya memberikan kualiti kerja. Sedemikian juga konteksnya dalam sistem pendidikan, apabila guru melaksanakan kerjayanya dengan penuh komitmen dan berpegang kepada FPK sebagai asas panduan maka kepuasan akan dicapai. Amanah yang digalas dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Seterusnya kesan adalah pada para pelajar yang akan diasuh dan dididik supaya seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.  

Hasil pembelajaran pelajar 

Hasil pembelajaran pelajar dalam bentuk keputusan peperiksaan menjadi satu bentuk keluaran dan petanda kepada kualiti kerja guru. Apabila tinggi peratusan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan, itu menzahirkan hasil usaha kerja guru. Kualiti kerja guru terkesan dengan jumlah pencapaian pelajar. Dicatatkan oleh Sidek dan Mohd Ali (1998) tentang kajian McClelland (1961) yang mendapati bahawa pencapaian akademik yang cemerlang kerapkali dihubungkan dengan individu yang memiliki motivasi pencapaian yang tinggi. Di sini, jelas kepentingan peranan guru untuk meningkatkan motivasi para pelajar. Guru yang mendasari FPK untuk melahirkan pelajar yang dengan intelek tinggi pastinya berusaha dengan segenap ikhtiar dan cara untuk meningkatkan motivasi pelajar. Impaknya adalah keberhasilan dan pencapaian cemerlang pelajar.  

Sikap

Sikap adalah elemen utama dalam membentuk bangsa berkualiti bagi sesebuah negara, dan tidak semata-mata kejayaan bangsa dinilai pada keputusan akademik. Dengan teras FPK, hasil daripada usaha mengembangkan potensi individu adalah melahirkan rakyat Malaysia berilmu, bertanggung jawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri dan menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Untuk merealisasikan tujuan ini, sikap adalah mustahak.  Tanpa sikap yang betul, banyak cita-cita murni dan kejayaan tidak dapat dicapai dengan berkesan. Dengan ketiadaan sikap yang mulia dan sewajarnya, seseorang itu telah gagal pada peringkat dirinya sendiri dan tidak memiliki kesejahteraan diri. Apabila dirinya sendiri telah gagal, bagaimana mungkin masyarkat dan negara dapat dipimpin. Kesannya, tidak tercapai tujuan besar FPK bagi melahirkan rakyat yang menyumbang kepada kemakmuran negara. Justeru, tidak wajar ada kompromi terhadap peranan sikap yang mulia sebagai salah satu petanda utama kesan kefahaman FPK kepada guru untuk mendidik para pelajar tentang sikap.


Rajah 2 : Kesan kefahaman FPK kepada guru

 

Rujukan: 

Dinham, S., Scott, S.. 2000. Enhancing teachers professionalism: The need to engage with the Third Domain. ACEA International Conference. September 9-12. Hobart.

Hasan Langgulung. 1986. Manusia dan Pendidikan: Suatu Analisa Psikologi dan Pendidikan. Jakarta: Pustaka Al Husna

Ismail Sabri Norihan, Rohana Hamzah. Amirmudin Udin. 2011a. Kemantapan Penerapan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Teras Kemenjadian Guru Pendidikan Teknik dan Vokasional. Journal of Edupres.  9 : 357-363.

Ismail Sabri Norihan, Rohana Hamzah. Amirmudin Udin. 2011b. Kemantapan Penerapan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Teras Kemenjadian Guru Pendidikan Teknik dan Vokasional. Journal of Edupres.  9 : 357-363.

Locke, E. A. .1976. The Nature and Causes of Job Satisfaction: Handbook of Industrial and Organizational Psychology. Chicago: M.Dunnett dan Rand McNally.

Mohd Salleh Lebar.1992. Perubahan dan Kemajuan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.

Muhammad Nurfahmi Mohamed et al.. 2011. Kemantapan Penghayatan Guru Terhadap Falsafah Pendidikan Kebangsaan Asas Membangunkan Guru Cemerlang. Jurnal of Edupres. 1: 271-278

Rohana Hamzah. 2010. Mengenali Manusia: Asas Pembangunan Pendidikan Berkualiti. Skudai: Penerbit UTM.

Sidek Mohd Noah, Mohd Ali Jaamat. 1998. Keberkesanan Modul Perkembangan Kerjaya Bersepadu Terhadap Peningkatan Motivasi Pencapaian Pelajar Sekolah Menengah di Negeri Sembilan. PertanikaJ. Soc. Sci. & Hum. 6 (1). Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Tajul Ariffin Noordin. 1993. Perspektif Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Warnoh Katiman, Norasmah Haji Othman. 2003. Program Pendidikan Guru Teknik dan Vokasional yang Cemerlang. Bangi: Fakulti Pendidikan UKM.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...