Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Selasa, 23 Mac 2010

Bilakah Harta Kita Perlu Dibelanjakan Untuk Kebaikan?



Bersedeqah tidak mengurangkan harta kita. Bahkan apa yang disedeqahkan menjadi harta milik kita (pahalanya akan diperoleh dan akan dibawa apabila menghadap Allah kelak). Usah risau kecil atau besar nilai sedeqah itu pada pandangan manusia, kerana pada sisi Allah ada nilaian yang jauh lebih istimewa.



Assalaa mu'alaikum w.b.t.,


Bilakah Harta Kita Perlu Dibelanjakan Untuk Kebaikan?

Harta yang kita miliki adalah kurniaan, pinjaman dan juga ujian kepada kita. Kita dianjurkan untuk membelanjakan harta tersebut pada jalan kebaikan. Sungguh beruntung bagi kita selaku umat Nabi Muhammad s.a.w. yang beriman, seandainya kita membelanjakan harta tersebut untuk jalan Allah semasa berada di dunia ini, sebelum tibanya hari kiamat. Sebelum tibanya hari kiamat di sini juga dapat kita fahami sebagai sebelum nyawa kita diambil oleh malaikat Izrail.


Ada ayat al-Quran berkenaan perintah untuk membelanjakan harta semasa kita masih berada dalam kehidupan di dunia ini.

Firman Allah s.w.t. yang berbunyi:


Terjemahannya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Infaqkanlah sebahagian rezeki yang telah Kami berikan kepada kamu sebelum datang hari ketika tidak ada lagi jual beli, tidak ada lagi persahabatan, dan tidak ada lagi syafaat. Orang-orang kafir itulah orang yang zalim."

Surah Al-Baqarah ayat 254



Suruhan dan perintah ALLAH kepada kita dalam Al-Quran pasti mempunyai pelbagai kemuliaan dan ketinggian kedudukannya.


Pelbagai Keistimewaan Dijanjikan kepada Orang Dermawan


Syurga ialah Tempat bagi Para Dermawan


Daripada Anas bin Malik r.a. memberitakan Nabi s.a.w. bersabda:


Ertinya:

"Syurga itu ialah negeri bagi para dermawan."

Hadits Riwayat Ibnu 'Adi dan Al-Qudha'i: Marfu'




Sedeqah Tidak Mengurangkan Harta



Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:



Terjemahannya:

"Tiadalah akan berkurangan harta dengan sebab bersedeqah."

Hadits Riwayat Ahmad dan Muslim


Jika kita berfikir dengan akal pemikiran manusia yang cetek dan terbatas, mungkin janji Allah ini dilihat sebagai pencanggahan dengan norma kebiasaan alam ini.

Hukum manusia mungkin menyatakan sifir harta yang dibelanja dan diberikan kepada orang lain akan berkurangan.

Di sinilah datangnya peranan 'iman dan 'aqidah. Keyakinan yang utuh akan perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar di dunia ini pastinya mengatasi kebiasaan akal manusia yang terhad kepada alam dunia.

'Ulama ada menyatakan juga bahawa harta yang dibelanjakan pada jalan ALLAH dan secara halal sebenarnya adalah harta milik kita. Harta yang belum dibelanjakan dengan cara mulia tersebut sebenarnya bukan milik kita, tetapi milik Allah. Harta tersebut menjadi ujian kepada kita.

Bagaimanakah dikatakan harta yang diinfaqkan dengan halal pada jalan ALLAH menjadi harta milik kita? 'Ulama menyebut, harta yang terguna dengan cara tersebut dikurniakan pahala. Pahala tersebut pula akan dibawa untuk pertemuan dengan ALLAH kelak nanti.

Dalam Al-Quran ditegaskan perkaitan antara iman dan 'amal dalam banyak ayat. Iman semata-mata masih belum cukup kepada kita jika tiada 'amal yang menjadi manifestasi, pembuktian iman seseorang itu.

Maka, kita cuba untuk mengamalkannya. Kita meyakini perkhabaran daripada Allah ini, disampaikan melalui lidah Rasul-Nya dengan keimanan yang sejati. Kita cuba buktikan dengan 'amal. Insya Allah, akan tiba satu peringkat terasa kemanisan iman, kepuasan perasaan ruhaniyah hasil daripada gandingan utuh antara iman dan amal.

Seorang murabbi dengan ikhlas dan sangat bermotivasi memberikan nasihat kepada anak muridnya untuk sentiasa mengamalkan sedeqah, walaupun jumlah sedeqah itu kecil. Sesuaikan jumlah sedeqah dengan kemampuan ekonomi kita. Munasabah bagi seorang yang miskin bersedeqah sebanyak 10 sen, sebagai contoh. Namun 10 sen ini tidak munasabah bagi orang yang kaya hartanya.

Lebih dekat lagi untuk konteks pelajar, cuba tanamkan kesungguhan untuk sentiasa beristiqamah dengan amalan bersedeqah. Andai ada sahaja peluang bersedeqah, cuba ambil tawaran istimewa tersebut. Jangan rasa kecil diri, walau sumbangan kita amat kecil jumlahnya, kerana penilaian itu sebenarnya dibuat oleh ALLAH s.w.t yang Maha Adil.

'Ada disebutkan: Sedeqah satu dirham boleh menyaingi sedeqah 1000 dirham, ya'ni sedeqah satu dirham itu dilakukan oleh orang yang miskin tetapi ikhlas, dia melakukan sedeqah itu dengan terbaik pada kemampuannya. Sedeqah 1000 dirham itu pula dilakukan oleh orang yang sememangnya mempunyai kelebihan dalam harta bendanya.


Insya Allah, semoga kita memahami ilmu ini dan mengamalkannya dengan ikhlas dan berterusan hingga akhir hayat.


Ada disebutkan: Belajar ilmu itu urusan kita, memberi faham itu urusan ALLAH.





Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...