Gambar hiasan.
Andai dapat kita kembali kepada masa lalu, apa yang akan kita lakukan?
Andaikan, kita diberi peluang oleh Allah untuk berada pada minggu lalu, tahun lalu, sepuluh tahun lalu, dan masa-masa sebelumnya.
Mungkin ada yang akan memanfaatkan sepenuhnya peluang tersebut, untuk membaiki segala kesilapan dan kelemahannya.
Dia akan cuba semampu mungkin, untuk memadamkan segala titik hitam pada masa tersebut.
Memadamkan segala titik hitam yang mencatatkan hubungannya dengan Tuhan Pemilik Seluruh Alam ini.
Apa yang kita cuba renungkan di sini bukanlah membawa maksud cuba memikirkan "kalau" setelah berlakunya sesuatu perkara. "Kalau" sedemikian adalah tidak dianjurkan dalam Islam, kerana lebih membawa kepada perasaan tidak bersyukur akan ketentuan dan pelaksanaan (qada dan qadar) oleh Allah kepada kita. Dalam 'ilmu tazkiyatun-nufus ataupun juga dikenali sebagai 'ilmu tasauf, keadaan sedemikian sudah jatuh dalam keadaan tidak beradab dengan Tuhan.
Jauh dalam hati kita, apa yang kita dambakan ialah satu bentuk muhasabah akan masa yang telah berlalu.
Kita mahu menghadirkan perasaan insaf dan kesal akan keburukan yang telah berlalu dan berazam dengan setinggi-tinggi keazaman untuk tidak lagi melakukannya.
Kualiti orang beriman yang digambarkan para 'ulama adalah tidak melakukan kesilapan berulang kali.
"Masa yang telah berlalu tidak akan kembali lagi, bahkan akan terus bertambah jauh, dan jauh, serta seterusnya."
-
"Masa yang telah berlalu tidak akan kembali lagi, bahkan akan terus bertambah jauh, dan jauh, serta seterusnya."
-
Ya ALLAH,
Hamba mengadu kepada-Mu,
Hamba akui saratnya dosa pada diri hamba ini.
Hamba akui, banyak lagi senarai hutang dosa yang masih belum hamba selesaikan lagi.
Hamba amat kesali segala kelemahan, kesilapan, dan dosa kesalahan hamba pada masa silam.
Hamba berasa amat malu kepada-Mu ya Allah,
Betapa hamba tidak amanah menjaga segala pinjaman ni'mat-Mu ya Robb,
Hamba terus berhajat, berharap dan berdoa kepada-Mu ya Allah,
Agar terus ditambah peluang untuk hidup di atas muka bumi ini dengan hidayah-Mu,
Membersihkan diri hamba, menyelesaikan segala hutang dosa yang masih berada dalam senarai panjang,
Hamba juga terlalu mengharapkan pimpinan dan kekuatan daripada-Mu ya Allah,
Kerana hamba mengakui ketiadaupayaan dan ketidaktahuan hamba ini,
Hamba amat menginginkan saat hamba diziarahi malaikat maut nanti,
Dalam keadaan yang tenang setelah hamba telah bersungguh-sungguh menyempurnakan tugasan hamba, membersihkan diri hamba dengan sebersih-bersihnya untuk bertemu dengan-Mu ya Allah, Kekasih-Mu Muhammad Al-Mustofa, para sahabat Kekasih-Mu, dan seluruh hamba-Mu yang soleh belaka,
Terima kasih ya Allah, kerana Kau mendidik hamba menyedari akan hebat dan tiada tandingan-Nya nilai setiap detik hayat di atas muka bumi ini.
Dengan izin-Mu Tuhan, hamba akan berikhtiar sepenuh daya yang ada, menyempurnakan amanah hamba sebagai hamba kepada-Mu.
-
Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki pernah mengingatkan bagaimana bersedianya Junjungan Tercinta kita, Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam yang menyatakan kepada malaikat Izrail yang datang untuk mengambil nyawa Baginda, hampir begini:
"Ambillah nyawaku kerana tiada satu ayat Allah pun yang aku sembunyikan."
Sabda tersebut menggambarkan betapa bersedianya Baginda untuk berpisah dari 'alam dunia yang sementara ini, dan Baginda telah melaksanakan tugasnya dengan amat cemerlang sekali.
Hargailah hari-hari yang akan tiba selepas ini, kerana apa yang pasti, tempoh keberadaan kita di dunia ini semakin menjadi singkat.
Semak, apakah dosa kita yang masih belum diselesaikan proses memohon keampunannya.
Selesaikannya.
Insya Allah, akan kita tenang menghadapi saat Pertemuan Agung.
Anda ada komen? Saya amat mengalukannya. Kita amat mencintai budaya muzakarah/perbincangan 'ilmu. Moga makin mantap taqwa kita akan Allah dengan menghidupkan 'ilmu.
Rasa berdosa seakan-akan gunung bakal menghempap diri. Semoga rasa itu terus kekal di dalam hati. Mohon doanya~ ツ
BalasPadamBenar ya akhi. Lebih baik diri berasa sentiasa bersalut dosa, daripada perasaan kibr menguasai hati. Bila berasa bersalut dosa, akan sentiasa hidup ruh khauf dan roja' itu. =)
BalasPadamJazakallah khairal jazak Akhi Thaqif
Ajib..sungguh luar biasa..
BalasPadam