Ulama Benteng

Ulama Benteng

Ahad, 27 Jun 2010

Menggunakan Kesempatan Ketika Masih Ada


Suasana dalam Masjid Bandar Adelaide, juga selalu dirujuk sebagai City Mosque.
Masjid ini antara masjid tertua di Australia. Di South Australia sendiri, City Mosque yang sejak awal pembinaannya dulu dikenali sebagai Afghan Chapel, menjadi National Heritage. Saiz masjid ini tidaklah begitu besar. Mungkin sebesar kebanyakan surau di kawasan perumahan di Malaysia.



Saya masih ingat lagi, pada suatu hari saya bersama seorang sahabat seperjuangan dari Malaysia berjalan kaki bersama-sama menuju ke Masjid Bandar Adelaide.

Jarak tempat penginapan saya tidaklah begitu jauh daripada masjid tersebut. Anggarannya dalam 750 meter. Jika berjalan kaki, ambil masa hampir 10 minit.

"Kau tahu tak, City Mosque ni kalau tidak akan jadi muzium. Sebab tak ramai orang guna untuk solat." kata beliau. Terkejut juga saya dibuatnya, apabila masjid dijadikan muzium. Rakan saya tersebut memang giat dalam pergerakan jama'ah tabligh. Pengetahuannya tentang perkembangan Islam di Australia luas dan tidak dinafikan.

Kata-kata beliau memang meninggalkan kesan kepada saya hingga hari ini. Menjadi asbab untuk saya lebih banyak berfikir, menghargai peluang untuk beribadah sebagai umat Islam.

"Kalaulah Masjid City sudah dijadikan muzium, maksudnya memang lagi jauhlah perjalanan aku ke masjid yang ada dan terdekat. Mungkin kena ambil bas." hati kecil bercakap.

City Mosque pun tak ada organisasi pegawai masjid yang cekap dan memang kemas.

Pernah disebut apa sebab fenomena tersebut berlaku:

"I am not paid to do that job."

Ringkas, dan banyak lagi rasanya yang dapat dihuraikan.

Peluang untuk melaungkan azan pun terbuka amat luas, kecuali semasa solat Jumaat.

"First come first serve."


"Oh, inikah maksudnya munajat orang-orang soleh yang berbunyi: Tuhanku, aku zalimi diriku." hati kecil berbisik. Seolah-olah baru memahami dengan lebih mengakar ungkaian kata tersebut.

Saya menasihati diri saya. Alangkah penyayangnya Allah, banyak sungguh peluang untuk melaksanakan kebaikan yang tersedia. Kadang-kadang kerana dosa yang menebal, hati terhijab daripada melihat peluang untuk melakukan ketaatan yang sentiasa ada dan terbuka.

Saya memang zalim jika terus membutakan hati daripada merebut segala peluang kebajikan ini. Imam Al-Ghazali rodhiyallahu 'anhu pernah menyebut dalam menggambarkan berharganya setiap hela nafas hayat kita yang dikurniakan Allah, hampir begini:

"Setiap nafas hayat yang diberikan Allah, digunakan untuk kebaikan adalah lebih berharga daripada dunia dan seisinya."

'Ulama menasihati kita, rezeki yang dikurniakan Allah kepada kita bukan sekadar banyaknya wang dan harta yang kita ada. Rezeki tersebut juga merangkumi kesihatan yang baik, kelapangan masa untuk beribadah, rakan dan teman yang soleh, kerajinan dan motivasi untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dan yang lain-lain.

Belitan iblis akan senantiasa menipu kita, untuk menangguhkan segala bentuk kebaikan. Kononnya usia masih lanjut. Kelak nanti, bila dah berusia, masih ada masa untuk beramal. Apa salahnya masa muda ini terguna untuk menikmati keindahan dunia.

Saya membuat congakan, hitungan kasar.

"Azan kalau dilaungkan, memang sangat istimewa. Nabi ada sebut, kalau manusia tahu kelebihannya, pasti manusia sanggup mencabut undi bagi mendapat giliran melakukannya. Di sini, peluang untuk melaungkan azan ketika masuk waktu di masjid amat terbuka luas. Cuma kena cop tempat awal-awal."

"Paling kurang pun, pergi ke masjid dari tempat penginapan, ada dalam 400 langkah kaki. Kalau dikecilkan lagi, mungkin ada dalam 600 lebih. Hadits Nabi menyebut, setiap satu langkah menuju ke masjid untuk menunaikan solat berjama'ah, setelah disempurnakan wudhu' di rumah, akan menghapuskan dosa, memberikan pahala kebaikan, dan menaikkan darjat di syurga."

Apa yang lebih menginsafkan saya ialah, realiti di Australia ini, bilangan masjidnya adalah amat terhad. Tidak sebanyak yang ada di Malaysia. Jarak dari satu masjid ke masjid yang lain pun adalah jauh. Rupa-rupanya memang rezeki yang besar daripada Allah, disediakan kemudahan untuk saya sentiasa menghadiri masjid, dengan asbab ketentuan-Nya meletakkan saya untuk tinggal di kawasan yang berhampiran.

Teringat ketika zaman remaja di MCKK dahulu, ketika solat subuh, ustaz yang mengimamkan solat jama'ah selalu membacakan ayat di bawah. Rupanya, bertahun-tahun juga masa diambil untuk makna dan penghayatannya lebih mengakar dalam hati ini. Terima kasih ya Allah. Sungguh, peluang mentaati-Mu itu lebih berharga daripada dunia dan seisinya.


"Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula Aku menjadi dari orang-orang yang soleh ".

Surah Al-Munafiqun, 63: 10


Pengajaran untuk kita fikirkan dan selami:

Sejauh manakah hati kita celik dalam melihat segala peluang kebajikan yang sentiasa dilapangkan Allah kepada kita?

Setinggi manakah kesungguhan kita untuk menghargai peluang tersebut?

Pastikah hayat kita di dunia ini akan berlangsungan pada hari esok, minggu depan, bulan depan, tahun depan, 10 tahun depan?

Bukankah kita sudah sentiasa dimaklumkan dengan kematian manusia yang berlaku pada usia muda mereka?

Moga bermanfaat, dan dikurniakan Allah kekuatan ruhaniyah dalam menganjakkan diri, menewaskan nafsu, melazimkan diri dengan memanfaatkan kesemua peluang kebaikan yang tersedia.

Al-Faqir ilaLlah,

Mohd Ikhwan bin Ahmad Zhaki
The Village, Adelaide, Australia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...