Ulama Benteng

Ulama Benteng

Jumaat, 4 Jun 2010

Sejarah Perkembangan Tasawwuf

*Artikel ini diambil daripada laman Yayasan Sofa Kuala Lumpur.


Utusan Malaysia, 18 Mei 2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

MINGGU lepas kita telah meninjau takrif dan makna istilah-istilah utama dalam cabang ilmu tasauf. Ia memberi gambaran betapa tasauf adalah satu disiplin ilmu yang tersendiri, tersusun dan ilmiah sifatnya.

Di kalangan ulama terdapat perselisihan mengenai bila ilmu ini bermula. Ada yang berpandangan ia telah wujud sebelum Nabi SAW dibangkitkan. (Abu Nasr al Siraj, al-Luma' h.42, Ibnu al-Jawzi, Talbis al-Iblis, h.173)


Pengajian tasauf bertujuan lebih mendekatkan kita kepada Allah. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------

Ibnu Khaldun dan beberapa ulama lain pula berpendapat bahawa tasauf mula tumbuh pada kurun ke-2 Hijrah ketika manusia mula menumpukan perhatian kepada dunia.

Maka golongan sufi berusaha mengajak mereka ke arah zuhud dan beribadat. (Muqaddimah, h. 517)

Dapat diperhatikan bahawa perbincangan tentang tasauf banyak dinaqalkan daripada tokoh-tokohnya yang awal seperti al-Hasan al-Basri r.a (w. 110 H) dan Sufyan al-Thauri r.a (w. 161 H).

Pada permulaannya, tasauf berkisar tentang sifat zuhud kepada dunia, mengosongkan diri untuk beribadat, bermujahadah melawan hawa nafsu dan mentaati perintah Allah sehingga menatijahkan akhlak yang mulia.

Tasauf di zaman nabi SAW

Jika inilah inti dan pokok ajaran tasauf maka pada hakikatnya, tasauf sudahpun wujud dan terjelma pada zaman nabi SAW lagi iaitu melalui acuan akhlak dan kehidupan Rasulullah SAW.

Amat jelas perjalanan awal baginda SAW menuju kepada Allah adalah berasaskan acuan tasauf iaitu tafakur, 'uzlah (khalwat), riadah (latihan) dan mujahadah. Elemen ini dicernakan melalui perkataan dan perbuatan baginda SAW, sehingga roh baginda SAW berjaya melalui proses penjernihan dan penyucian sebagai persiapan untuk menerima wahyu.

Kita maklum bahawa nabi SAW pernah beruzlah mengasingkan diri di Gua Hira' sebelum diturunkan wahyu. Sesudah diangkat sebagai rasul, baginda SAW menjalani kehidupan yang sarat dengan keimanan, ilmu, ibadah, zuhud, warak dan mujahadah.

Para sahabat pula berjalan di atas risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dengan tekun dan penuh dedikasi. Mereka tidak menghafaz satu ayat daripada ayat-ayat al-Quran, melainkan selepas beramal dan melaksanakannya. Mereka hidup dalam keadaan zuhud dan warak semasa hayat dan selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Selain kehidupan amali nabi SAW dan para sahabat kita juga boleh menemukan bukti hadirnya tasauf dalam ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang bercitra tasauf. Sekalipun istilah tasauf belum lagi dipopularkan pada zaman tersebut.

Era pengasasan dan perkembangan

Kemudiannya, tumpuan terhadap agama mula berkurangan bermula pada akhir kurun pertama Hijrah (zaman sahabat) dan ia berterusan tahun demi tahun hingga para salafussoleh bimbang akan berlaku musibah.

Untuk menyelesaikan permasalahan tersebut, para ulamalah yang menjadi wakil untuk berusaha menjaga dan memelihara agama. Maka sekumpulan mereka bangun untuk menjaga kedudukan Islam dan menulis permasalahan hukum-hakam agama dan kaedah-kaedahnya (fiqh).

Bagi kumpulan ulama yang lain, bangun untuk menjaga kedudukan iman, menulis usul agama dan kaedah-kaedahnya (tauhid) sebagaimana yang terdapat di sisi salafussoleh mereka. Sementara kumpulan ulama yang lain, bangun menjaga kedudukan ihsan dan menulis amalan-amalannya dan keadaannya (tasauf).

Kumpulan yang pertama (fiqh) ialah imam-imam yang empat (Imam Hanafi, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad) dan pengikut-pengikut mereka. Kumpulan yang kedua (tauhid) ialah Imam Abu Hasan al-Asy'ari r.a, sheikh-sheikh dan sahabat-sahabatnya dan golongan yang ketiga (tasauf) ialah Imam al-Junaid r.a, sheikh-sheikh dan sahabat-sahabatnya.

Berdasarkan pemerhatian ini, para imam ini bukanlah pengasas ilmu-ilmu dalam erti kata sebenar. Imam al-Junaid r.a (w. 297H) bukanlah pengasas tasauf dan tarekat kerana tasauf merupakan sebahagian daripada warisan Rasulullah SAW yang bersumberkan wahyu daripada Allah SWT.

Tasauf sering dinisbahkan kepadanya, kerana beliaulah tokoh yang mengambil inisiatif awal memperkatakan kaedah tasauf dan usulnya serta menyeru manusia beramal dengannya.

Ada juga yang mempersoalkan kenapa ilmu tasauf tidak tersebar pada kurun yang pertama Islam dan ia tidak muncul melainkan selepas zaman sahabat dan tabien?

Pada kurun yang pertama, mereka tidak berhajat kepada ilmu tasauf kerana penduduk pada zaman tersebut terdiri daripada orang yang warak, bertakwa dan kuat bermujahadah.

Oleh yang demikian, ketika itu belum timbul keperluan diadakan pengajaran tentang sesuatu ilmu secara terperinci. Keadaan mereka samalah dengan orang Arab tulen; mereka mengetahui Bahasa Arab melalui warisan daripada satu generasi ke satu generasi sehingga mereka boleh menggubah bait syair yang indah dan tinggi mutu bahasanya berdasarkan fitrah mereka tanpa ada pengetahuan sedikitpun mengenai kaedah-kaedah Bahasa Arab, i'rab dan sebagainya. Mereka tidak perlu mempelajari ilmu nahu dan balaghah.

Namun, setelah meluasnya pelbagai lahjah dan berlakunya kelemahan untuk mengungkapkan bahasa, pembelajaran Bahasa Arab dan kaedah-kaedahnya menjadi penting untuk memberi kefahaman kepada orang asing.

Ketika itu, ilmu ini menjadi penting dalam masyarakat sebagaimana ilmu-ilmu lain yang tumbuh dan disusun mengikut urutan masa dan waktu yang munasabah.

Sahabat dan tabien, sekali pun tidak dinamakan dengan mutasawwifin, mereka adalah ahli sufi sebenar yang menerapkan nilai-nilai kesufian di dalam kehidupan mereka.

Apakah yang dikehendaki oleh tasauf selain menjuruskan kehidupan semata-mata kerana Allah dan bukannya kerana diri sendiri, sambil menghiasi diri dengan sifat zuhud dan bermulazamah (diiringi) dengan ibadah, serta menghadapkan jiwa dan roh sepenuhnya kepada Allah setiap masa.

Sifat-sifat kesempurnaan inilah yang diamalkan oleh para sahabat dan tabien sehingga melayakkan rohani mereka meningkat kepada darjat yang lebih tinggi.

Mereka tidak sekadar mengikrarkan keimanan dan melaksanakan kefarduan Islam, tetapi menyertakan pengakuan dengan zauq dan wujdan (menyelami amal dengan merasai nikmat kelazatan beramal).

Malah, mereka juga menambah amalan-amalan sehingga basirah (mata hati) mereka disuluh cahaya, dan hati-hati mereka terpancar hikmah dan limpahan cahaya ketuhanan.

Keadaan mereka diikuti pula oleh golongan tabien dan tabi' tabien. Juga penting diperhatikan, tokoh-tokoh ulama yang menyusun ilmu tasauf ini seperti al-Hasan al-Basri (w.110H), Sariy al-Saqati (w.253H), Abu Yazid al-Bustami (w.261H), Sahl al-Tustari (w.283H) dan al-Junaid (w.297H), masih tergolong daripada generasi tiga kurun terawal Islam yang mendapat pengiktirafan nabi SAW sebagai kurun-kurun terbaik Islam.

Kesimpulannya, kandungan dan konsep ilmu tasauf telah wujud pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat. Cuma istilah-istilah ini belum lagi digunakan dalam amalan mereka.

Pada zaman tersebut, tasauf merupakan sifat umum yang terdapat pada hampir seluruh sahabat r.a tanpa terkecuali.

Kekuatan cahaya nubuwwah dan hidayah kerasulan yang ada pada masa itu, menyebabkan mereka tidak memerlukan kepada satu bentuk yang khusus, berkenaan cara-cara menjalani perjalanan menuju kepada Allah.

Namun konsep tasauf telah pun ada dan dihayati oleh nabi SAW dan para sahabat baginda kerana perjalanan dan konsep tasauf dan tarekat itu sendiri adalah sebahagian daripada Islam.






Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.

Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...