KETIKA WAHYU TELAH TERHENTI, TETAPI AIR MATA MASIH MENGALIR
Selepas kewafatan Rasulullah ﷺ, Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq رضي الله عنه dan Sayyidina Umar رضي الله عنه teringat kepada seorang wanita yang sangat dekat dengan kehidupan Rasulullah ﷺ, iaitu Saidatina Ummu Aiman رضي الله عنها.
Mereka pun pergi menziarahinya, sebagaimana Rasulullah ﷺ dahulu sering menziarahinya.
Apabila mereka sampai, Ummu Aiman رضي الله عنها menyambut mereka. Namun, tidak lama selepas itu, air matanya mula mengalir. Beliau menangis.
Sayyidina Abu Bakar رضي الله عنه dan Sayyidina Umar رضي الله عنه cuba menenangkan hatinya.
“Apakah yang membuatkanmu menangis wahai ibu? Bukankah apa yang ada di sisi Allah itu jauh lebih baik bagi Rasulullah ﷺ?”
Saidatina Ummu Aiman رضي الله عنها menjawab dengan suara yang sarat dengan kesedihan:
“Bukan kerana aku tidak tahu bahawa apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik bagi Rasulullah ﷺ. Aku tahu itu. Aku menangis kerana wahyu dari langit telah terputus.”
Kata-kata itu akhirnya membuatkan Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar turut menangis.
Mereka menangis bersama.
Bukan kerana mereka meragui ketentuan Allah. Bukan kerana mereka tidak redha dengan pemergian Rasulullah ﷺ. Tetapi kerana mereka sedar betapa besar sebuah nikmat yang telah pergi daripada dunia.
Selama Rasulullah ﷺ masih hidup, apabila ada sesuatu yang berlaku, wahyu turun dari langit. Ada jawapan daripada Allah سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى. Ada petunjuk. Ada penjelasan. Ada teguran. Ada khabar gembira.
Langit masih “berbicara” kepada bumi.
Tetapi setelah Rasulullah ﷺ wafat, pintu wahyu telah tertutup untuk selama-lamanya.
Itulah yang membuatkan Ummu Aiman رضي الله عنها menangis…………
Malam ini !!!!
Itulah hadis yang meruntun hati kami yang mendengar bacaan hadis oleh Sidi Syeikh ‘Isham asSobu’ie حفظه الله. Hadis yang menyedarkan kita tentang sebuah hakikat.
Dalam Majlis Bacaan Syamail malam ini, kami mendengar getar halus nada suara yang sebak menahan tangis dari Syeikh ‘Isham حفظه الله dan akhirnya kami mendengar getar yang sama ketika Sidi Syeikh Muhammad Abul Huda al-Ya’qoubi حفظه الله memberikan ta’liq.
Semoga Allah تعالى menambahkan rasa cinta yang sesungguh-sungguhnya ke dalam hati kita akan Baginda Nabi ﷺ. Mencintainya, mengasihi ajarannya, beramal dengannya dan berniat untuk mati atas jalan perjuangannya ﷺ.
Hayatilah :
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه قَالَ: «قَالَ أَبُو بَكْرٍ رضي الله عنه بَعْدَ وَفَاةِ رَسُولِ اللهِ ﷺ لِعُمَرَ رضي الله عنه: انْطَلِقْ بِنَا إِلَى أُمِّ أَيْمَنَ نَزُورُهَا كَمَا كَانَ رَسُولُ اللهِ ﷺ يَزُورُهَا، فَلَمَّا انْتَهَيَا إِلَيْهَا بَكَتْ، فَقَالَا لَهَا: مَا يُبْكِيكِ؟ مَا عِنْدَ اللهِ خَيْرٌ لِرَسُولِهِ ﷺ، فَقَالَتْ: مَا أَبْكِي أَنْ لَا أَكُونَ أَعْلَمُ أَنَّ مَا عِنْدَ اللهِ خَيْرٌ لِرَسُولِهِ ﷺ، وَلَكِنْ أَبْكِي أَنَّ الْوَحْيَ قَدِ انْقَطَعَ مِنَ السَّمَاءِ، فَهَيَّجَتْهُمَا عَلَى الْبُكَاءِ، فَجَعَلَا يَبْكِيَانِ مَعَهَا». [أَخْرَجَهُ مُسْلِمٌ]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.