Ulama Benteng

Ulama Benteng

Isnin, 26 April 2010

Bingkisan Tazkiatun Nafs

Gambar kenangan saya semasa berada di bandar besar Sydney, Australia pada tahun 2009. Kepuasan perasaan dan ketenangan tidak semestinya berada pada kesibukan manusia, tersergamnya bangunan-bangunan indah, besar dan pencakar langit. Gambar ini diambil rakan saya, Saudara Hafizuddin secara "candid".




Assalaa mu'alaikum w.b.t.,


Saya memuatkan semula catatan blog ini (pada tahun 2008). Mudah-mudahan beroleh rahmat dan pimpinan Allah kepada kita semua.


Ilmu dan hikmah itu kepunyaan ALLAH s.w.t., pasti kita meminjamnya daripada Si Pemilik Yang Maha Memberi. Buat seluruh sahabat seperjuangan ana, ana panjangkan ilmu yang telah diajarkan para 'ulama dalam penulisan ini secara ringkas. Ana doakan, hikmah-hikmah ini bakal menjadi manfaat untuk kita sebagai insan-insan yang ingin menyahut seruan da'wah ilahiyah. Dan di sini, ingin ana nyatakan bahawa dalam persahabatan kita, perlu ada ketelusan. Jika punyai masalah dan kesukaran, ayuh kita kongsi bersama. Teori sebuah bangunan yang kita semua saling mengukuhkan antara satu sama lain perlu dipraktikkan!

Buat teman seperjuangan, Nabi s.a.w. tercinta ada menyatakan bahawa;

Bergaul dan Uzlah

Daripada Ibnu Umar r.a., beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda dan terjemahannya berbunyi;

"Seseorang mukmin yang bergaul dengan manusia dan sabar dengan gangguan mereka itu lebih besar pahalanya daripada seseorang mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak sabar atas gangguan mereka."

Hadits riwayat: Imam al-Bukhari, Ahmad dan at-Tirmidzi.


Insya ALLAH, Dia sungguh-sungguh Maha Penyayang. Mustahil Dia akan biarkan hamba Dia yang amat Dia kasihi tanpa 'ismah dan nusrah. Berjalan kita menuju kepada Dia, berlari Dia kepada kita.

Inilah realiti ummah kita, penyakit yang menimpa masyarakat Islam akhir zaman. Yakinlah janji ALLAH, bahawa kitalah insan yang terpilih untuk meneruskan misi risalah nubuwwah (meneruskan perjuangan para mursalin dan anbiyak.)

Tuntasnya di sini, pastikan kita berpegang dengan geraham gigi kepada ajaran Islam. Ingat pesan Hujjatul Islam; tiga cabang ilmu yang fardhu; 1. 'Aqidah 2. Fiqh/Syariah 3. Tasawuf.

Kukuhkan kekuatan dengan suhbah bersama orang-orang soleh. ALLAH tempatkan kita di tempat sekarang kerana Dia tahu kita mampu menghadapinya. Ujian, ibtila yang dihadirkan adalah satu proses bagi meningkatkan maqam iman dan taqwa kita.

Insya ALLAH, inilah hakikatnya. Kita selama ini hanya lunak dengan ilmu dan teori, kini tiba saat bagi melaksanakannya. Du'at perlu keluar dan mendekati masyarakat. Bukannya hanya menyendiri, berada dalam kepompong solehnya sahaja.

Insya ALLAH, Dia sentiasa bersama kita setiap saat dan ketika. Semoga tetap dalam istiqamah.

Maha Hebat Kasih Sayang ALLAH s.w.t., seorang hamba yang telah 'arif billah akan menangis tersebak-sebak dalam sujudnya di hadapan ALLAH s.w.t. Yang Maha Agung. Akan sungguh-sungguh terasa dirinya terlalu kerdil dan hina berhadapan dengan ALLAH Yang Maha Mulia.

Sifat ALLAH, Ar-Rahman, Maha Memberi kepada hamba-Nya. Memang tak mampu kita nak hitung bilangan nikmat tersebut.

'Ulama tasawuf ada mengungkapkan;

"Adakah kita wujud di dunia ini?Kita tidak wujud, yang wujud hanya ALLAH s.w.t."

Agak mendalam dan perlu diteliti dengan mendalam ungkapan hikmah ini. Ya, pasti jika kita menelitinya dengan bashirah (pandangan mata hati) dan bukannya dengan bashar (pandangan mata kasar), kita akan mengukuhkan keyakinan bahawa ALLAH telah menyediakan segala-galanya buat kita. Sejak dilahirkan hingga kini, tak pernah Dia tidak berikan kepada rezeki untuk dijamah. Dengan anggota badan yang dikurniakan, cukup sempurna setiapnya membolehkan kita bergerak dan bertindak.

Benarlah ungkapan, "Man 'arofa nafsah, faqod 'arofa robbah" -Sesiapa yang telah mengenali dirinya, Dia telah mengenali Tuhannya.

Bicara tentang syukur, ahli sufi menyatakan, berdustalah sesiapa yang menyatakan Dia telah bersyukur kepada kesemua nikmat Allah. Sesiapa yang mengatakan dia tidak cukup dan tidak mampu mensyukuri segala ni'mat ALLAH, maka itu adalah kesyukuran yang lebih sempurna. Juga sangat penting bagi kita untuk meyakini bahawa kesyukuran itu perlu ditarjimkan (diterjemahkan) dalam segala bentuk tindakan kita, bi qalbi (dengan hati), bi lisan (dengan lisan) dan bi jawarih (dengan anggota badan). Segala-gala tindakan kita sewajarnya adalah bentuk tanda kita mensyukuri segala ni'mat ALLAH s.w.t.

Bingkisan hikmah daripada Imam Ghazali r.t. :

"Antara puncak kekufuran seseorang hamba adalah apabila dia melakukan ma'siat dan penderhakaan kepada ALLAH menggunakan ni'mat ALLAH."

ALLAH dan Rasul-Nya lebih mengetahui.

Semoga selamat perjalanan kita.





Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...