Ulama Benteng

Ulama Benteng

Ahad, 11 April 2010

Cebisan Rindu; Pertemuan Hakiki

*Disiar semula artikel tahun lalu.



Hakikat Pertemuan Agung

- Untuk kita menilai sejauh manakah pandangan ALLAH s.w.t. terhadap kita, lihatlah sejauh manakah ingatan kita terhadap-Nya dan bagaimanakah kita meletakkan-Nya dalam hati.

-Tiada keraguan dan perkara yang dapat menafikan akan pertemuan agung seorang hamba dengan Sang Penciptanya Yang Maha Agung. Masa akan tetap terus berlalu, menandakan semakin dekatnya titik pertemuan tersebut. Di dalam syurga kelak, seluruh penghuninya bakal melihat zat ALLAH s.w.t. Yang Maha Agung. Tatkala dipanggil kepada pertemuan tersebut, hati orang mukmin terasa bagai nak tercabut, betapa besarnya perasaan gemuruh dengan pertemuan agung kelak.

-Jika di dunia, kita terasa begitu berdebar bagi menghadapi insan yang amat kita cintai, kasihi dan dia sentiasa bersedia di sisi kita, apatah lagi pertemuan yang begitu agung dengan pencipta yang sememangnya bersedia di sisi kita, menyayangi kita dan menyediakan segala-galanya buat kita? Renung sebentar, bagaimanakah persiapan kita bagi penghadapan diri kita kepada ALLAH s.w.t. kelak? Sudah baik dan istimewakah semuanya? Maka setelah direnungkan, maka wajarlah bermula usaha kita mencukupkan, mencantikkan, memolekkan dan mempelbagaikan bekalan persembahan tersebut. Jangan juga dilupakan, seorang hamba yang bakal bertemu Tuannya, yang memberikan segala-galanya kepada dia, akan terasa begitu hina dan menyesal serta bersalah andaikata digunakan segala kemudahan itu pada bentuk kemurkaan Tuannya.

-Masih lagi kita dalam lena? Masih lagi kita dalam tipuan dunia? Orang-orang yang menjadi hamba ALLAH s.w.t. yang sejati dan hakiki tiada mempunyai keseronokan, keselesaan, kerehatan semasa di dunia. Segalanya itu ada di akhirat kelak. Kehidupan yang tiada penghujung. Orang bertanya, "Sampai bilakah kekalnya akhirat itu?" Dijawab, "Sampai bila-bilalah." Ditanya lagi,"Sampai bila-bila tu, sampai bila?". Kemudian dijawabnya lagi, "Sampai bila-bilalah." Nampaknya pada tahap kedua pertanyaan ini, sudah mampu untuk menyedarkan kita, bahawa memang tidak tercapai akal bagaimanakah kehidupan yang tiada penghujung tersebut? Mari kita jadikan titik fikiran ini sebagai salah satu pemangkin semangat untuk memanfaatkan setiap gerak geri dan diam kita semata-mata sebagai penghambaan kepada ALLAH s.w.t.

Pertemuan itu pasti terjadi, detiknya semakin kita dekati!

Insan yang ingin beroleh keselamatan dalam perjalanan ruhaniyah ini,
Ibnu Ahmad Zhaki,
Sekolah Sri KDU,
Pagi Jumaat 6 Syaaban 1429
8 Ogos 2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...