Ulama Benteng

Ulama Benteng

Jumaat, 9 April 2010

Penyucian dan Penjernihan Hati

*Disiar semula artikel ini, yang sudah dipaparkan pada tahun 2009

Gambar kenangan bersama Ustaz Haji Yusri bin Muhammad semasa ziarah ke rumah beliau pada tahun 2007.


Petang tadi, saya bersama dengan Fakhrul bertandang ke Kuliyyah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak dengan hajat untuk menziarahi seorang 'alim dan tokoh pemimpin Islam. 'Alim yang dimaksudkan ialah Ustaz Haji Yusri bin Muhammad. Pertemuan yang diadakan di biliknya dan juga kafeteria mahallah yang berlangsung dalam jangka masa lingkungan jam 6 petang hingga azan maghrib telah banyak memberi nafas segar dalam usaha mengislahkan diri sendiri. Memang hajat peribadi saya untuk menziarahi beliau sebelum keberangkatan ke bumi Adelaide pada Isnin depan. Budaya ziarah dan mengambil tausiyah daripada para 'ulama dan solihin adalah sesuatu yang wajar dilaksanakan.

Ustaz Yusri bin Muhammad ini antara individu yang sangat menjaga aspek kerohanian dan ilmu tasawuf. Beliau mempunyai hubungi yang baik dengan Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam dan Syeikh Fuad daripada Yayasan Sofa dan kedua-dua 'ulama ini ialah ahli dalam bidang tasawuf. Nada percakapan beliau pasti akan menyebabkan kita yang halus perasaan dapat mengesani bahawa insan seperti beliau adalah bersifat tawadhu' dan tidak terasa sebarang unsur kibr yang muncul dalam tutur katanya.

Antara nasihat beliau ialah daripada segi penjagaan perkara fardhu 'ain, pemilihan 'ulama yang diyakini dan sebaik-baiknya 'ulama yang mempunyai pertalian (sanad) dengan 'ulama yang mu'tabar sebelumnya, serta 'ulama yang mendapat didikan secara tradisional. Beliau menyatakan bahawa gerakan 'ulama sebegini makin berkembang dan antara contohnya ialah Habib Umar yang banyak menjelajah ke merata-rata negara di dunia. 'Ulama centric ataupun kepusatan kepada 'ulama dalam proses pengisian tarbiyyah dan islah perlu diberikan perhatian. Sentuhan 'ulama tradisional yang mempunyai sanad yang diyakini mempunyai kesan sentuhan dan keberkatan.

Pendapat secara peribadi, perkenalan saya dengan Ustaz Yusri banyak memberikan keinsafan kepada diri kepada aspek penyucian dan penjernihan hati. Beliau ada berkongsi kepada kami bagaimana kesungguhan Imam Hujjatul Islam Al-Ghazali yang menekuni persoalan hati (tasawuf) sedangkan kedudukan beliau yang pada tahap profesor dalam bidang syari'ah. Bagi Imam Al-Ghazali, beliau terasa kekurangan jika tiada kekukuhan dalam aspek tasawuf.

Diri memang insaf apabila selalu menziarahi dan mendengar nasihat secara talaqi daripada para 'ulama. Memang benar, keadaan hati kita yang bersih ataupun tidak akan terjelma pada riak muka atau wajah kita dan seterusnya dalam tindak-tanduk kita. Tengok sahaja golongan solihin, akan terserlah kejernihan air muka mereka, manis dengan senyuman. Nada percakapan yang sedikit pun tidak menyebabkan perasaan kita tergugat. Mereka punyai perasaan yang halus dan sangat menjaga tutur kata, gerak geri dan akhlak mereka. Insya ALLAH, mereka yang telah "selesai" dalam urusan penyucian dan penjernihan hati akan beroleh ketenangan yang luar biasa dalam urusan mereka dengan manusia lain.

Kami bersalaman dan berpelukan buat kali terahir sebelum keberangkatan saya ke Adelaide, di perkarangan masjid UIAM Gombak. Terus terang daripada saya, kita memang memerlukan pergaulan, persahabatan yang soleh (suhbah solehah) dalam usaha untuk beristiqamah menjaga hati. Juga daripada Ustaz Yusri, jika dalam masa tiga hari kita tidak bertemu atau melihat 'ulama, pasti usaha kita untuk menjaga hati akan terganggu.

Syaikh Ibnu 'Atoillah dalam kitab al-Hikamnya yang masyhur dalam dunia tasawuf ada mengungkapkan hikmah berikut:

Sebaik-baik Sahabat

" Dan sekiranya engkau berkawan dengan seorang bodoh yang tidak menurutkan hawa nafsunya, lebih baik daripada berkawan dengan seorang 'alim yang selalu menurut hawa nafsunya. Maka ilmu apakah yang dapat digelarkan bagi seorang 'alim yang selalu menurut hawa nafsunya itu, sebaliknya kebodohan apakah yang dapat disebutkan bagi seorang yang sudah dapat mengekang hawa nafsunya."




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...