Sistem kehakiman yang diguna pakai oleh manusia pastinya tidak mampu menandingi ketelitian kehakiman Allah subhanahu wa ta'ala yang Maha Hebat. Rakaman bukti tercatat dan tersimpan rapi, tiada satu tercicir pun walau sebesar zarrah. Andai kata semasa menjalani proses kehakiman manusia di dunia, mulut masih lagi berpeluang mengucapkan pembohongan, namun semasa berhadapan dengan Allah subhanahu wa ta'ala kelak, mulut sudah tidak berpeluang lagi menuturkan sebarang penipuan. Mulut pada ketika tersebut ditutup, tangan pula yang diberi keizinan untuk berucap, dan kaki menjadi saksi segala perbuatan yang dilakukan.
Assalaa mu'alaikum w.b.t.,
Tidak salah kiranya jika kita memperuntukkan sedikit masa kita untuk memikirkan sesuatu yang pasti berlaku, sesuatu yang amat mustahak bagi kita.
Jika kita berupaya menjadikan diri kita sentiasa mengingati kehidupan yang kekal, lantas menghitung diri serta mempertingkat persiapan menujunya, maka puji dan puja kita lafazkan kepada Allah subhanahu wa ta'ala kerana telah memilih kita, menjadikan kita sebagai manusia yang bijak pada penilaian-Nya.
Dalam satu hadits Baginda Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam, yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmidzi rohimahullahu ta'ala, dan hadits tersebut dinilainya sebagai hasan shohih, ada disebutkan (terjemahannya):
Daripada Abu Barzah Nadhlah bin ‘Ubaid al-Aslami rodhiyallahu ‘anhu berkata:
Bersabda Rasulullah shollallhu ‘alaihi wa sallam:
“Belum berganjak lagi kedua-dua kaki seorang hamba (di hadapan Allah subhanahu wa ta’ala pada hari qiamat), sehingga terlebih dahulu ia akan ditanya tentang umurnya, untuk apa dihabiskannya dan akan ditanya tentang ilmunya, untuk apa ia melakukannya dan akan ditanya tentang hartanya, daripada mana ia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya dan akan ditanya tentang tubuh badannya, untuk apa dibinasakannya (digunakannya).”
Manusia mungkin selalu alpa akan hakikat kewujudannya sebagai hamba Allah tabaroka wa ta'ala, yang diberikan amanah dan pinjaman ni'mat semasa berada di dunia. Kesemua amanah dan pinjaman ni'mat tersebut pasti akan disoal kembali tentang penggunaannya semasa pertemuan dengan Allah subhanahu wa ta'ala kelak nanti.
Ada empat persoalan yang wajib dijawab oleh setiap hamba, dan kesemua soalan tersebut adalah berkaitan dengan:
1. Umur
2. Ilmu
3. Harta
4. Tubuh Badan
Benarlah apa yang disebutkan oleh Saidina 'Umar Al-Khottob rodhiyallahu 'anhu yang bunyinya hampir begini:
"Hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung (semasa Pengadilan Allah subhanahu wa ta'ala)."
Pada masa yang sama, dalam kita mengamati dan menginsafi hakikat ini, pastinya akan hadir dorongan ataupun motivasi yang luar biasa pada kita untuk melakukan setiap perkara dengan terbaik. Kita akan melaksanakannnya dengan penuh nilai ihsan, sesuai "quality standard" yang telah digariskan Allah subhanahu wa ta'ala. Hal ini sedemikian kerana kita sememangnya meyakini kesemua perkara tersebut pasti akan ditanya tentang penggunaannya semasa berhadapan dengan pengadilan di mahsyar nanti.
Dengan meyakini hakikat persoalan ataupun pertanyaan tentang keempat-empat perkara tersebut, masih mampukah kita untuk membiarkan diri melakukan perkara-perkara yang buruk?
Pastinya tidak.
Insya Allah, kita akan melakukan perkara yang baik-baik belaka. Yakini juga bahawa segala perkara yang baik pada pandangan Allah pastinya adalah yang terbaik pada pandangan kita, yang akan membuahkan perasaan sakinah / ketenangan dalam jiwa kita serta sentiasa dicucuri rahmat dan kasih sayang Allah subhanahu wa ta'ala.
Mudah-mudahan Allah subhanahu wa ta’ala menjadikan kita para hamba-Nya yang sentiasa melakukan ketaatan, ya’ni menggunakan segala pinjaman ni’mat-Nya dengan sebaik-baik mungkin. Insya Allah kita akan dapat menghadapi pertanyaan tersebut dengan baik. Juga, sentiasa kita bertaubat kepada Allah subhanahu wa ta’ala atas segala dosa dan keterlanjuran kita, kerana Dia Maha Mengampunkan segala dosa melainkan syirik.
Susunan Al-Faqir ila Robbihi,
Mohd Ikhwan bin Ahmad Zhaki
Adelaide, Australia.
Doa kita bersama:
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.
Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.