Pohonlah keampunan daripada Allah Tuhan kita Yang Maha Luas Keampunan-Nya. Kita tidak terjamin terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan. Sebaik-baik orang yang melakukan dosa dan kesilapan ialah orang yang segera membetulkan keadaan tersebut dan terus menerus memohon keampunan-Nya.
Sumber gambar.
Firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran yang berbunyi:
Terjemahan:
"Berlumba-lumbalah kamu untuk mendapatkan ampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya. Itulah kurniaan Allah, yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurniaan yang besar."
(Surah Al-Hadid, 57 : 21)
Merujuk kepada satu hadits yang dicatatkan oleh Syaikhul Islam Al-Imam An-Nawawi rohimahullahu Ta'ala dalam kitab beliau yang berjudul Riyadhus Sholihin, dikhabarkan kepada kita perkara berikut (terjemahannya):
Dalam laporan lain yang direkodkan oleh Muslim, Rasulullah s.a.w. menyebut:
"Sesiapa yang mengaku percaya, tidak ada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad ialah utusan Allah, Allah tidak benarkan dia kekal di dalam neraka."
Abu Zar melaporkan: Nabi Muhammad shollalLahu a'laihi wasallam berkata: Allah berfirman:
"Sesiapa yang melakukan perkara-perkara baik, dia mendapat pahala 10 kali ganda atau lebih. Sesiapa yang melakukan perkara-perkara jahat itu dibalas dengan satu hukuman atau diampunkan. Sesiapa yang datang dekat kepada-Ku sejengkal, Aku datang dekat kepadanya sehasta. Sesiapa datang dekat kepada-Ku sehasta, Aku datang dekat kepadanya sedepa. Sesiapa yang datang berjalan kepada-Ku, Aku datang berlari-lari kepadanya. Sesiapa yang datang berjumpa dengan-Ku membawa kesalahan sepenuh isi bumi tetapi tidak mensyirikkan-Ku, Aku berjumpa dengannya dengan membawa keampunan sebanyak itu juga."
Dicatatkan oleh penulis blog ini, yang sentiasa mengharapkan keampunan dan rahmat kasih sayang Allah, untuk ditujukan kepada dirinya sendiri dan para pembaca serta umat Islam yang dikasihi sekalian:
Benarlah sebagaimana yang dikatakan oleh orang soleh kepada kita: "Allah tidak mahu memasukkan kita ke dalam neraka, tetapi kita sendiri yang mahu memasukkan diri kita ke dalam neraka."
Bagaimana yang dikatakan Allah tidak mahu memasukkan kita ke dalam neraka?
Kita merujuk kepada dalil-dalil yang dinyatakan di atas.
- Allah menyeru kita untuk berlumba-lumba untuk mencari keampunan-Nya. Bukankah ini menggambarkan keagungan dan kebesaran sifat Maha Pengampun Allah? Tuhan yang menciptakan kita sendiri yang begitu pengasih-Nya mengkhabarkan perkara agung ini kepada kita.
- Dinyatakan juga oleh Allah sendiri bahawa Dia menyediakan syurga-Nya kepada para hamba-Nya yang beriman.
- Allah mengingatkan kepada kita, supaya kita sentiasa bertambah yakin bahawa Dia mempunyai kurniaan yang besar. Kurniaan yang tiada tandingannya. Tidak sama sekali dengan apa yang tergambar oleh fikiran kita, tidak pernah ternampak oleh mata kita. Tidak terdengar oleh telinga kita. Kekayaan kurniaan Allah pula sama sekali tidak akan berkurangan.
- Andai seseorang hamba beriman kepada Allah, Dia tidak membiarkan dia kekal di dalam neraka. Hamba yang dimasukkan ke neraka itu mungkin kerana ada dosa yang disengajakan, yang dia sendiri tidak selesai memohon ampunan Allah semasa di dunia.
- Allah memberikan balasan bagi kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas sepuluh kali ganda (secara minimumnya) dan boleh jadi lebih besar lagi gandaan balasan kebaikan tersebut kerana sifat Allah itu Maha Pemurah, Maha Kaya, Maha Memberi.
- Andai kita melakukan dosa, kita hanya diberi satu balasan keburukan, ataupun Allah akan mengampunkannya.
- Sebesar mana sekalipun usaha yang kita lakukan, untuk mendapatkan keampunan, kasih sayang, rahmat Allah serta mentaati-Nya (menghampirkan jiwa kita kepada Allah), maka lagi besar apa yang dilakukan oleh Allah kepada kita berbanding apa yang kita lakukan keapda-Nya. (Allah menghampiri kita, dalam erti kata Dia mengampuni dosa kita, memberi rahmat dan ketenangan.)
- Jika benar kita sama sekali tidak mensyirikkannya, sebesar mana sekalipun dosa yang kita bawa untuk pertemuan dengan-Nya, maka sebesar itu juga Allah bawa pengampunan untuk itu dosa tersebut. (diberikan perbandingan sepenuh isi bumi, menggambarkan betapa banyaknya dosa tersebut)
- Inilah yang hampir kepada apa yang disebutkan oleh Imam Syafi'ie rohimahullahi Ta'ala, hampir begini: "Sebesar-besar dosaku ya Allah, besar lagi keampunan-Mu padaku."
Mudah-mudahan, Allah menjadikan kita para hamba-Nya yang sentiasa ikhlas dan berusaha membersihkan diri daripada dosa.
Doa kita bersama:
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.
Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.
Amin...
BalasPadamJazakallahu kheir syeikh
BalasPadam