Sumber gambar.
Sukar nak dinafikan, nama Petronas memang masyhur. Terkenal sebagai sebuah GLC yang berprestij pada peringkat antarabangsa. Kualiti untuk menyertainya juga pun setinggi imej yang dimilikinya.
1. Saya panjatkan rasa syukur kepada Allah subhanahu wa ta'ala atas segala kurniaan-Nya kepada saya, biarpun saya yakini saya tidak mampu mensyukuri segala ni'mat-Nya kerana terlalu banyaknya jumlah ni'mat tersebut.
2. Hari yang berlalu semakin bertambah. Hati kecil saya mengadu; umur kian bertambah. Kualiti diri sebagai hamba dan khalifah pun perlu makin perkasa!
3. 28 April 201o lalu genap usia 21 tahun masihi saya. Jazakumullah khairol jazak kepada semua yang sudi memberikan ucapan dan doa. Terutamanya dalam wasilah Facebook. Banyak. Rasanya susah nak balas kesemuanya secara peribadi.
4. Kunjungan pegawai Petronas ke Adelaide pada April lepas memang membawa kesan yang mendalam bagi saya secara khususnya. Terasa bagai dibangunkan daripada buaian mimpi.
5. Tegas dinyatakan, polisi Petronas yang kini lebih hebat persaingannya bagi pengambilan staf. Kini, para pelajar dalam pinjaman boleh ubah Petronas tidak boleh lagi bersedap-sedap sebagaimana pelajar pinjaman boleh ubah Petronas pada masa sebelum ini. Penempatan kerja untuk mereka tidak terjamin.
6. Para pelajar yang berada dalam pinjaman boleh ubah Petronas perlu menghadiri "Structured Interview" (SI) untuk melayakkan mereka diberi "recommendation" kerja dalam Petronas.
7. Untuk menghadiri SI, pelajar perlu ada kualiti akademik. Markah purata untuk pelajar teknikal seperti kejuruteraan perlu pada minimumnya 70, manakala bagi pelajar bukan teknikal 75. Jika rendah daripada itu, mereka tidak cukup kelayakan untuk hadiri SI. Kemungkinan lebih besar untuk mereka tidak dapat kerja dalam Petronas andai sudah tidak layak hadir SI.
8. Jika tidak dapat kerja dalam Petronas, pelajar perlu bayar kembali wang yang telah mereka guna daripada Petronas sepanjang pengajian. Sebab itu istilahnya "pinjaman boleh ubah" dan bukan "biasiswa" atau "tajaan".
9. SI pula ada tahap dan jenis penilaiannya. Ya, mestilah untuk "recruit" orang sebagai pekerja, akan dipilih mereka yang ada kualiti. "Performance" syarikat perlu pada tahap yang selayaknya.
10. Untuk mengukuhkan keadaan, saya menyatakan pada diri saya sendiri: " Markah purata untuk setiap semester perlu berada pada lingkungan 80% hingga 90%." Saya makin terasa kehinaan dan kekurangan andai kekuatan dan kecemerlangan akademik diabaikan, diremehkan.
11. Pasti, kita pohon agar Allah s.w.t. menyelamatkan usaha ini. Ditujukan niat untuk keredhaan-Nya. Dalam hadits disebut, Allah suka akan hamba-Nya yang bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kerja.
12. Kualiti diri perlu sentiasa diperkasakan. Bacaan perlu sentiasa dibanyakkan dan diluaskan. Untuk bolehkan kita jadi "knowledgeable". Tahu dan sentiasa "updated" dengan perkembangan serta isu terkini.
13. Saya kini berada pada semester 1 tahun 2 universiti. Ini bermaksud, saya ada hanya 3 semester lagi untuk tamat pengajian (pada November 2011) tahun depan. Sudah tidak lama. Justeru, saya berkewajipan untuk sentiasa berusaha mempertingkatkan kecemerlangan akademik, mudah-mudahan dengann jiwa yang disandarkan memperoleh redha-Nya, sasaran 80%-90% tercapai.
14. Saya berdoa kepada Allah agar saya dan rakan-rakan akan hadir pada SI tahun depan. Lulus temuduga dan diberi "recommendation" kerja.
15. Besar wawasan dan doa agar ditempatkan dalam Petronas Carigali, KLCC. Sesuai dengan mujahadah mewakili umat Islam dalam pengkhususan ilmu geologi, geofizik dan geosains alam sekitar. Mula bekerja awal 2012.
Sumber gambar.
16. Apa di sebaliknya, kedudukan KLCC yang "central" yang insya Allah mengizinkan saya lebih hampir kepada lebih banyak para 'ulama solihin bagi tujuan pengajian 'ilmu kefahaman agama.
17. Ya, sahabat-sahabat sekalian: dunia ini adalah persinggahan yang amat sementara. Menjadi ladang tanaman akhirat. Menjadi medan ujian kepada kita. Kita dianjurkan untuk melaksanakan yang terbaik. Andai esok kiamat sekalipun, tanamlah benih tanaman pada hari ini. Moga Allah menjadikan kita sentiasa benar dan ikhlas.
18. Ya, kita juga kena patuhi sunnatullah / hukum alam. Harga yang perlu dibayar untuk sesuatu perkara juga sesuai dengan kedudukan/kualitinya. Mana mungkin kita nak naik kapal terbang kelas "business" namun bayar pada harga rendah, seperti kelas ekonomi. Naik kapal terbang kelas "business" lebih diberi keutamaan. Tempat duduk lebih selesa. Tidur pun lebih nyenyal. Satu analogi mudah. Samalah juga dengan hakikat perjalanan menuju akhirat ini. Jangan terlalu berharap kedudukan syurga tertinggi tanpa kita sendiri berusaha untuk melayakkan diri kita ke sana. Sering diulang ayat suci daripada al-Quran,hampir begini kefahamannya: "Adakah kamu sangka kamu akan masuk ke dalam syurga sedangkan kamu tidak diuji seperti orang-orang sebelum kamu/ sedangkan kamu belum diketahui beriman dan sabar?
19. Buat semua pembaca dan sahabat budiman, doakan saya dan sahabat-sahabat lain agar dimudahkan urusan serta diberik kejayaan.
20. Ya, kita mahu segala detik hayat kita di dunia ini dalam keadaan zikrullah (ingat akan Allah), lantas menjadikan seluruhnya sebagai 'ibadah kepada Allah. Kita rasa terlalu ralat dan rugi andai kita gagal bersedia dengan sepenuh kesediaan sebelum berangkat ke alam akhirat yang kekal. Mesej daripada kitab Allah: "Kehidupan dunia ini ialah satu kesenangan yang memperdaya."
21. Ya, kita akan bermujahadah dengan sepenuh usaha dan kemampuan sebagai hamba-Nya. Insya Allah, kita akan cemerlang, menghampiri kesempurnaan, menghampiri markah penuh.
Insya Allah, moga Allah pimpin kita, jadikan kita shiddiq (benar) dan ikhlas. Amiin
Doa kita bersama:
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.
Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.