Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Khamis, 11 Februari 2010

Belum Tiba Masanya

Rahsia dan aturan ALLAH itu jauh lebih indah, rapi dan terbaik untuk hamba yang dikasihi-Nya. Sebagai hamba, tugas kita adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya dengan sebaik-baik pengabdian dan yakinlah bahawa Dia akan mencukupkan segala-galanya untuk kita.



Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

"Cemas! Bagaimana ni? Orang semua sudah ada pada kenduri ini. Aku sahaja pengantin lelakinya? Tidak wujud pengantin perempuannya? Ya Allah, apa yang aku kena buat?"

Tiba-tiba Muhammad terjaga daripada tidurnya. Alhamdulillah. Rupa-rupanya perasaan panik tersebutnya itu hanyalah di alam mimpi, bukan suatu realiti. Tapi, dalam mimpi sekalipun cemasnya memang terasa sampai di luar mimpi. Apa tidaknya? Hadirin dan hadirat sudah pun hadir ke majlis kenduri perkahwinan, tetapi apa yang amat peliknya Muhammad sahaja sebagai pengantin lelaki, entah pasangannya memang tidak wujud.

"Tolonglah mak, macam nak teruskan kenduri kahwin yang kita rancang ni. Memang takda pengantin perempuannya." Mak seolah-olah tidak menghiraukan perkara ni. Kenduri kahwin akan tetap diteruskan. Muhammad menjadi lebih cemas dan begitu pelik. Apalah yang patut dibuatnya? SMS dihantar kepada ustazahnya dalam keadaan segera menyatakan hajat mohon bantuan mencari calon isteri beserta ciri-ciri yang diimpikan.

Sekali lagi, Muhammad terjaga daripada tidur. Rupa-rupanya ini ialah mimpi kedua yang sangat hampir persamaan situasi panik itu. Walaupun sudah bangun, Muhammad masih lagi merasai perasaan cemas dan risau yang dialaminya dalam mimpi tersebut.

Muhammad terfikir, "Dua kali aku mimpi benda yang mesejnya sama. Mungkin ada yang nak disampaikan oleh Allah s.w.t. Mungkin juga ini adalah mainan syaitan dalam tidur."

Mimpi orang beriman, dikukuhkan dengan akhlaknya yang memenuhi adab sebelum tidur seperti berwuduk dan membaca doa setidak-tidaknya insya Allah menghampiri salah satu pecahan kenabian (maksudnya mimpi tersebut ada membawa mesej).

"Takpalah, cuba saja tanya kepada ustaz ustazah. Mungkin ada takwilan bagi mimpi tu." kata Muhammad dalam hatinya.

Pantas Muhammad menaip SMS dan menghantar persoalan tersebut kepada ustaz dan ustazahnya. Berdebar juga perasaan Muhammad untuk tahu apa takwilan yang mungkin dapat diberikan ustaz dan ustazah.

Telefon bimbit berbunyi dengan nada menunjukkan masuknya satu SMS baru. Muhammad segera melihat skrin telefon itu. "Ya, Ustaz yang balas SMS tadi!"

Ustaz menjawab bahawa tandanya ialah masanya belum tiba, walaupun sudah ada keinginan untuk berkahwin. SMS ustaz itu diakhiri dengan "emoticon" senyum.

"Memang terbaiklah ustaz ini. Jiwanya dekat dengan pelajar dan sangat sudi mendengar apa yang disampaikan merea. Tak hairanlah banyak pelajar suka kepada dia." Monolog dalaman Muhammad.

Ustazah pula menjawab SMS tidak lama selepas itu, tapi ustazah menyebut yang dia kurang arif dalam hal ini dan meminta Muhammad untuk bertanya kepada orang-orang alim yang lain.

Baiklah. Muhammad cuba bermuhasabah dengan dirinya sendiri. Ya, memang benar ada lintasan dalam hatinya yang memikirkan perkara ini. Muhammad masih berada dalam awal usia 20-an. Perkara ini adalah perkara biasa dan menjadi fitrah bagi manusia. Cuma kebijaksanaan itu yang sangat mustahak dalam mengurus dan memenuhi fitrah ini, supaya sepadan dengan kehendak ALLAH.

"Tak salah bagi aku untuk bersangka dengan sangkaan terbaik terhadap segala apa yang ditakdirkan ALLAH." Muhammad cuba menasihati diri sendiri.

Paling tidaknya, ini ialah satu peringatan yang amat bermakna buat diri Muhammad bahawa dirinya masih lagi belum bersedia secukupnya untuk mengambil amanah mendirikan rumah tangga Muslim. Besar kasih sayang ALLAH s.w.t. mengingatkan Muhammad bahawa usahanya perlu lebih giat untuk menjadikan pertemuannya dengan seorang hamba Allah kelak adalah pertemuan yang bersedia dan sekufu.

Muhammad selalu juga bermain di fikirannya untuk mencapai hajat kepada seorang Al-Muqriah yang beradab, faham akan agama Islam, berpakaian sopan dan memelihara kehormatan serta maruahnya, beramal dengan 'ilmu yang ada, berakhlak dengan akhlak hamidah, mampu untuk menjadi serasi dengan minat Muhammad, bersedia menjadi sayap kiri beliau dalam melayari bahtera kehidupan, serta sentiasa mensucikan diri daripada dosa dan bermujahadah untuk mengislahkan diri.

Nampak macam terlalu ideal. Tapi apa salahnya bagi Muhammad mengimpikan sesuatu yang baik. Sememangnya kita selaku hamba Allah perlu menjadi optimis kepada ALLAH. Dia Tuhan Yang Maha Kaya, Maha Memberi dan kekayaan-Nya sama sekali tidak berkurangan dengan pemberian-Nya kepada kita. Nabi Muhammad s.a.w. pun mengajarkan kepada umat Baginda, andai berdoa memohon sesuatu kepada ALLAH, mohonlah yang terbaik dan tertinggi. Inilah hasil tarbiyyah Baginda kepada kita selaku umatnya untuk sentiasa berjiwa besar dan yakin kepada pemberian ALLAH.

Muhammad inginkan perjalanan hidup ini menjadi lebih kemas dan lebih hampir kepada ketuhanan dengan adanya sayap kiri yang sedemikian rupa. Apa yang lebih jauh, Muhammad sangat berhajat untuk membentuk anak-anak yang soleh-solehah, yang dididik daripada awal lagi dengan Al-Quran serta beramal dengannya kelak. Muhammad juga amat mengharapkan anak-anaknya kelak menjadi Al-Muqri dan Al-Muqriah yang berjasa kepada umat Islam dengan berteraskan penyebaran 'ilmu yang bermanfaat. Allahu Allah, bukankah ini suatu pelaburan saham akhirat yang pasti akan berterusan sampai pahala tersebut?

Niat pada permulaan awal dan usaha adalah sangat penting. Hati menjadi tempat suluhan ALLAH s.w.t. Penerimaan atau penolakan 'amalan bermula pada keadaan hati. Andaikata kita benar-benar ikhlas mempunyai niat yang sangat murni, maka insya ALLAH dengan keluasan rahmat ALLAH cita-cita tersebut akan dibantu dan diperkenankan oleh ALLAH s.w.t.

'Ala kulli hal, Muhammad perlu menginsafi dirinya dengan sebenar-benarnya. Masa masih berbaki bertahun-tahun sebelum dia memasuki fasa umur yang lebih matang dan bersedia untuk mula mengemudi bahtera rumah tangga. Banyak sangat perkara yang perlu dipersiapkan. Hati wajib untuk lebih disucikan, supaya tidak terperangkap dan terbelit dengan perangkap syaitan yang akan mengheretnya ke neraka. (Na'uzubillah min zaa lik)

Hajat Muhammad kepada seorang Al-Muqriah yang entah dia masih belum siapa insan tersebut, sepatutnya menjadi tamparan hebat kepada beliau untuk berusaha semampu mungkin dengan seikhlas yang mampu menjadi Al-Muqri yang beramal dengannya, moga-moga dimakbulkan ALLAH menghidupkan kehidupan berteraskan Kitab Agung yang diutuskan kepada Insan Agung, Sayyiduna Habibuna Muhammad ibni Abdillah s.a.w. Masa akan terus berlalu, maka tindakan itu yang perlu disegerakan. Belitan iblis dan syaitan sentiasa menanti hamba-hamba Allah yang sedang berjalan menuju-Nya.



*Semoga kisah Muhammad ini dapat memberikan 'ibrah kepada kita dalam mempertingkat kualiti kehambaan kepada ALLAH s.w.t. Bukankah segala apa yang ada dan berlaku di bumi ini dapat kita manfaatkan sebagai zikrullah untuk jiwa ini kembali kepada Pemiliknya?


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu.

2 ulasan:

  1. Mungkin ada sahabat-kenalan yang boleh mencari apa yang ingin disampaikan penulis. Sama-sama kita mengelakkan diri daripada jatuh pada lubang yang sama.

    BalasPadam

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...