Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Sabtu, 27 Februari 2010

Mencari Kekayaan Lewat Dakwah


Oleh: Al-Fadhil Al-Ustaz Ahmad Awang


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Apakah maksud pendakwah sebenarnya?

Pendakwah berasal daripada perkataan Arab, da-'iyah atau da'i yang bermaksud orang yang mengajak ke jalan Allah iaitu Islam.

Cara mengajak itu pelbagai bentuk, menjadi guru agama, muazzin, mursyid atau pembimbing dalam amalan tarikat, atau mubaligh dikira pendakwah.

Apakah ciri-ciri seorang pendakwah?

Antara ciri terpenting bagi seorang pendakwah ialah tabligh atau menyampaikan, sama ada dalam bentuk penerangan, penjelasan, menjawab soalan dan sebagainya.

Orang selalu melihat pendakwah itu bercakap. Itu tidak dapat dielakkan kerana untuk mengajar orang lain, memang kita perlu bercakap. Seperti kerja nabi menyampaikan seruan wahyu yang diberikan Allah.

Ia sesuai pula dengan perintah Allah s.w.t. dalam Al-Quran dengan ungkapan "qul..." yang bermaksud, "katakan....". Penyampaian utamanya ialah lisan, tetapi kini bukan lisan sahaja yang penting kerana ada media-media lain seperti tulisan dan alat-alat elektronik.

Walaupun media-media untuk berdakwah kian banyak, yang menyampaikannya ialah pendakwah. Kerana itu dalam bentuk apa juga ilmu agama itu disampaikan, pihak yang menyampaikannya atau pendakwah tetap penting diambil dikira, terutama jika timbul persoalan-persoalan yang memerlukan penjelasan. Kerana itu pendakwah pada hakikatnya juga adalah pembimbing, guru atau lebih luas lagi adalah pakar rujuk dalam apa jua hal ehwal kehidupan berpandukan Islam.


Tentu ada kualiti lain yang perlu bagi membentuk imej seorang pendakwah.

Pokok dakwah ialah amar makruf nahi mungkar, ini adalah tanggungjawab besar. Oleh itu imej pendakwah tidak cukup jika hanya menekankan soal-soal sembahyang, puasa, naik haji, ibadah dan zikir sahaja. Jika dia tidak pernah menyentuh soal-soal mencegah kemungkaran, maka dia tidak layak lagi digelar pendakwah.

Pendakwah ialah orang yang menyampaikan ilmu. Maka perkara utama dalam imej pendakwah ialah alim atau ulama. Mereka tidak semestinya mempunyai sijil bagi membuktikan mereka berilmu kerana ada pendakwah yang alim dalam berpuluh-puluh kitab tanpa diiktiraf dengan sijil, malah ilmu mereka mendapat kepercayaan masyarakat.

Pendakwah juga membawa ilmunya ke tengah masyarakat untuk memberi peringatan agar mengikut jalan Islam serta tidak melanggar perintah Allah. Ini sesuai dengan ayat 122 Surah at-Taubah yang bermaksud:

"....hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)."

Selain itu, pendakwah mempertahankan ilmu agama, sesuai dengan kerja dakwah menyatakan kebenaran. Jika Nabi ditugaskan untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai mengenai hukum-hakam serta ayat-ayat Allah, maka ulama yang sekaligus pendakwah yang menjalankan kerja Nabi mesti memikul tanggung jawab tersebut.

Mereka mesti tegas dalam menyatakan kebenaran. Malah kewujudan mereka yang mendalami dan menyatakan hukum-hakam dalam sesebuah masyarakat adalah fardhu kifayah.

Bagaimanapun, dakwah perlu dijalankan di semua peringkat, maka sekaligus, dakwah juga adalah fardhu 'ain. Contohnya, seorang bapa wajib berdakwah kepada ahli keluarganya, atau seorang Muslim kepada seorang Muslim yang lain.

Bolehkah kerja-kerja dakwah dikira satu profesion seperti bidang-bidang lain?

Jika dikatakan tugas dakwah sebagai profesion, takut orang salah faham, dan menyatakan ia kerja makan gaji. Sebenarnya kerja-kerja dakwah adalah tanggung jawab yang dipikul, sama ada dilantik untuk sesuatu jawatan atau tidak.

Jika pun seorang pendakwah dibayar gaji oleh mana-mana pihak, dia juga harus memenuhi tugasnya dengan berdakwah secara sukarela. Kerja pendakwah tidak terikat dari jam lapan sehingga empat suku. Mereka bergerak untuk menggerakkan masyarakat agar sentiasa berada di dalam landasan Islam.

Lagipun asalnya dalam Islam, tiada satu pekerjaan pun menjadi profesion. Tetapi keadaan memerlukan diwujudkan bidang-bidang profesion, ia diharuskan sebagai satu jalan.

Contohnya jawatan khalifah. Saidina Abu Bakar dinasihatkan oleh para sahabat lain agar tidak berniaga lagi kerana khuatir kerja-kerja khalifah terbengkalai atau tidak dihormati sebagai khalifah.

Saidina Abu Bakar diminta menumpukan masanya untuk kerja-kerja khalifah yang merupakan tahap tertinggi dakwah, dan dia diberi gaji. Khalifah Abu Bakar tidak meminta bayaran tinggi cuma sekadar yang memadai dengan keperluan keluarganya dan keadaan hidupnya sebelum ini.

Apabila Saidina Umar menjadi khalifah pula, dia tidak mendapat bayaran setinggi Saidina Abu Bakar, malah jika terlebih akan dipersoalkannya. Sikap ini sesuai dengan cara hidupnya yang selama ini tidak bermewah-mewah.

Apa yang ingin dijelaskan ialah apabila disebut professional, dia akan mendapat ganjaran keduniaan apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Itu tidak salah seperti juga dengan jawatan guru agama.

Dahulu apabila guru agama membuka sekolah, orang-orang kampung tahu sekiranya dia masih berbendang untuk menyara hidup, sukar baginya untuk memajukan sekolah. Jadi dia boleh diberi sumbangan zakat agar dapat member tumpuan kepada sekolah.

Tetapi apabila zaman berubah, perlu ada jawatan dan dilantik guru berkelayakan. Ini tidak menjadi halangan. Cuma yang menjadi persoalan ialah janganlah mereka menjalankan kerja tersebut hanya kerana gajinya. Ertinya apabila dia menilai tugasnya hanya berasaskan gaji, ini yang dicela oleh Islam. Bermakna dia menjadikan tugas dakwah yang menjadi amal ibadah dunia akhirat menjadi dunia sahaja.



Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu. Matikanlah kami dalam menyebut kalimah tauhid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...