Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Rabu, 17 Februari 2010

'Ulama Silam Menjaga Kesucian Jasmani dan Rohani

Berkata Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki yang maksudnya hampir begini: "'Memang mudah untuk ulama mencapai tahap 'ulama dalam bidang fiqh, tetapi tidak mudah di sisi tasawuf. Antara syarat yang perlu ada untuk menjadi 'ulama di sisi tasawuf ialah perasaan takut kepada Allah s.w.t., beramal dengan 'ilmu yang ada, serta 'ilmu tersebut berada di hatinya dengan baik sebelum disampaikan kepada orang lain."



Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


'ULAMA SILAM MENJAGA KESUCIAN JASMANI DAN ROHANI

Pencari ilmu dulu berbeza dengan sekarang. Dulu, agar ilmunya berkat, para pencari ilmu sentiasa menjaga kesucian jasmani mahupun rohaninya.

Para 'ulama sentiasa berusaha agar fizikal dan mental tetap berada dalam keadaan paling baik, ketika berinteraksi dengan 'ilmu, apalagi dengan nas-nas suci.

Imam Malik sentiasa mandi, memakai pakaian lengkap serta wangian, ketika menyampaikan hadits Rasulullah s.a.w. . Begitu juga Imam Bukhari beliau pernah mengatakan, "Aku tidak pernah menulis dalam kitabku (Sahih Bukhari) sebuah hadis pun, kecuali aku mandi dan melakukan solat dua rakaat terlebih dahulu." sebagaimana dinukilkan Imam Laknawi dalam Dhafar al-Amani.

Imam Abu Hanifah melaksanakan solat dan beristighfar, jika kesulitan dalam memecahkan sesebuah masalah.

Waqi bin Jarah, salah seorang guru Imam Syafi'e terkenal memiliki hafalan yang kuat. Tidak pernah kelihatan dia membawa kitab, kerana kitab-kitab itu isinya telah dihafalnya. Ketika ditanya, bagaimana dia boleh memiliki hafalan yang begitu kuat? Dia menjawab, "Dengan menghindari maksiat."

Al-Faqir pernah bertanya kepada Tuan Guru Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizahullah mengenai cara untuk memiliki ingatan yang kuat, maka Tuan Guru ada menyebut mengenai pertanyaan yang ditanyakan oleh Imam Syafi'ie rahimahullah ta'ala mengenai lemahnya ingatan. Maka memang jelas, cara untuk memiliki ingatan yang kuat adalah dengan menjauhi ma'siat, kerana 'ilmu itu adalah nur, dan nur pula tidak dipancarkan kepada hati yang diduduki ma'siat.

Moga-moga kita diberi izin oleh Allah s.w.t. untuk sedaya upaya menjauhi segala perkara yang haram dan sia-sia.


*Tulisan ini ada merujuk Majalah I, keluaran Jun 2009

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...