Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Selasa, 9 Februari 2010

Hargai Setiap Peluang Bertemu 'Ulama Solihin

Ya Allah, izinkan kami mencintai para 'ulama solihin, belajar dengan mereka segala 'ilmu yang bermanfaat dan kekuatan mengamalkannya serta ditempatkan bersama mereka di akhirat nanti.


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Alhamdulillah, syukur atas kurniaan-Nya kepada saya dalam bentuk kekuatan dan kesempatan untuk menyambung usaha penulisan dan perkongsian di blog peribadi ini. Saya percaya bahawa jika benar-benar Allah dijadikan tujuan dalam merebut segala peluang 'ibadah, pasti Allah akan mengizinkan manfaat dan pahala yang berterusan. Tambahan pula, usaha yang kita laksanakan adalah usaha yang melibatkan 'ilmu pengetahuan yang insya Allah adalah bermanfaat. Demikianlah apa yang saya cuba sampaikan berkaitan usaha kita dalam penulisan blog. Allahu Allah, kami pohonkan pemeliharaan-Mu dalam mempertahankan kesucian niat, agar tidak terpesong yang akhirnya menjadikan 'amalan-'amalan kami sebagai habuk, yang tidak bernilai dan lebih menakutkan lagi menjadi penyebab kita diheret ke dalam neraka. (Na'uzubillah min zalik)

Tempoh percutian saya di Malaysia kian menghampiri penghujungnya. Insya Allah pada 26 Februari ini saya akan berangkat pulang ke bumi Australia bagi menyambung perjuangan fardhu kifayah umat Islam dalam bidang geologi. 'Ala kulli hal, saya tetap rasa bersyukur dan gembira atas segala peluang yang telah diizinkan Allah s.w.t. Dalam hati, saya berkata bahawa pada cuti 3 bulan akan datang, perancangan masa saya perlu dipadatkan lagi, lebih-lebih lagi dalam usaha memburu 'ulama dan bertalaqqi dengan mereka.

Hati saya menjadi sangat terkesan dan terasa akan keperluan kita untuk menghargai setiap peluang untuk bertemu para 'ulama solihin kerana kekurangan para 'ulama solihin di tempat saya belajar (Adelaide, Australia). Jika ada pun, bilangannya amat sedikit dan terhad. Contohnya ialah Syeikh Haisam hafizahullah yang saya yakin beliau kini telah pun pulang ke bumi Syria bagi menyambung pengajian beliau. Keberadaan Syeikh Haisam di Adelaide adalah sepanjang cuti beliau dan bukan secara tetap. 'Ulama yang lain ada juga berkunjung, tetapi tidak berada secara tetap. Mudah kata, kehadiran mereka adalah terhad dan sememangnya menjadikan peluang ini amat berharga.

Oleh hal yang demikian, pada penulisan ini saya berhajat untuk menyampaikan mesej ini kepada diri saya sendiri dan para sahabat-sahabiah pembaca sekalian untuk sama-sama kita mempertingkat penghargaan terhadap setiap peluang untuk bertemu para 'ulama solihin. Mengapa demikian? Allahu Allah. Para 'ulama yang solihin adalah pewaris para Nabi. Mereka mewarisi 'ilmu yang ditinggalkan para Nabi, khususnya Nabi Muhammad s.a.w. Insya Allah, rahmat dan keampunan sentiasa bersama mereka. Setidak-tidaknya, kita meletakkan harapan agar dengan kecintaan yang ditunjukkan kepada para 'ulama dapat memberikan keberkatan kepada kita dan bimbingan untuk melepaskan diri daripada bencana dan bahaya kejahilan.

Saya juga berasa terpanggil untuk mengajak diri kita semua untuk kembali menyedari keutamaan belajar dengan para 'ulama secara terus dan berjumpa (bertalaqqi) kerana ada keistimewaannya yang tersendiri. Saya cadangkan tiga perkara:

1) Mendapat ijazah/sanad 'ilmu yang disampaikan mereka.
2) Mendapat 'ilmu secara terus daripada lidah mereka, dan insya Allah kefahaman dan keyakinan yang lebih kuat akan terbina dalam diri. Juga akan diperoleh keberkatan, insya Allah.
3) Mendapat tempat dalam doa yang mereka lafazkan sepanjang majlis. Allahu Allah, andai kita tahu betapa tingginya kedudukan doa 'ulama yang solihin serta mudahnya untuk dimakbulkan Allah, maka pasti kita akan berebut-rebut untuk berada dalam doa mereka.

KH Muhammad Syukeri bin Unus Al-Banjari dalam kitab disusun beliau yang berjudul 40 Hadits Kelebihan 'Ilmu dan 'Ulama, yang diterjemah dan dihuraikan oleh Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki, dituliskan hadits yang terjemahannya seperti berikut:

Tuntutlah Ilmu Sebelum Ia Diangkat

Daripada Abu Umamah radhiyallahu 'anhu berkata:
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Tuntutlah ilmu sebelum ia dicabut. Dan maksud ilmu itu dicabut ialah diangkat daripada permukaan bumi." Lalu Nabi mengisyaratkan dengan mengembarkan jari tengahnya dan telunjuknya sambil bersabda: "Orang yang alim dan orang yang belajar ilmu agama itu bersama-sama dalam mendapat pahala. Dan orang yang lain daripada mereka berdua sudah tidak mendapat apa-apa kebaikannya."

Hadits Riwayat Ibnu Majah

Keterangan (oleh Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam hafizahullah)

Hadits ini menunjukkan kepada kita akan ketinggian martabat ulama dan penuntut ilmu agama. Seakan-akan Nabi tidak memberi penilaian kepada yang lain daripada mereka berdua. Kalau seorang peniaga misalnya tidak mengerti ilmu agama, maka sudah tentu ia tidak dapat menguruskan perniagaannya dengan cara yang telah diaturkan oleh agama. Mungkin ia akan memakan harta yang haram dan ia tidak sedar dengan perbuatannya itu. Begitu pula kalau seorang pegawai yang tidak mahu mengaji dan tidak mengetahui hukum-hakam agama, mungkin sahaja dia akan banyak mengerjakan larangan-larangan agama sedangkan dia tidak sedar. Silakan mahu jadi peniaga, pengusaha, pegawai dan sebagainya, tetapi ilmu agama jangan ditinggalkan. Batas-batas agama mesti dijaga. Kewajipan agama jangan ditinggalkan. Apabila petani, peniaga, pengusaha dan pegawai jauh daripada agama, dan tidak mahu mengaji maka akan wujudlah peniaga yang menipu, pengusaha yang tidak kenal halal atau haram, pegawai yang korupsi dan sebagainya.

Oleh itu, kembalilah kita kepada agama, baik mengajar atau belajar, dan teruskan usaha kita di bidang masing-masing. Agama tidak melarang petani daripada bertani. Agama tidak peniaga daripada berniaga. Begitu pula agama tidak melarang pengusaha daripada usahanya. Dan tidak pernah melarang seseorang daripada menduduki apa-apa jawatan dalam kerajaan. Tetapi hukum agama mesti dijaga, sedangkan hukum-hakam agama itu tidak akan dapat diketahui kecuali apabila ada kegiatan belajar dan mengajar. Maka hadirlah ke majlis ta'lim, duduklah bersila di hadapan tuan guru. Buka hati selebar-lebarnya untuk menerima nasihat agama. Buangkan sifat sombong dan angkuh. Ingatlah bahawa segala keadaan dapat bertukar bila-bila sahaja. Dan malakul maut dapat mencabut nyawa kita bila-bila masa sahaja. Belajarlah dan teruslah belajar, dari buaian sampai ke liang lahad.

Semoga Allah taala mengampuni dosa-dosa kita, dan menunjukki kita jalan hamba-hamba-Nya yang sholeh. Amien.

[Tamat keterangan Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam]

Daripada hadits tersebut, maka jelaslah galakan kepada usaha menuntut 'ilmu serta keutamaan kepada kedua-dua 'ulama dan para penuntutnya. Insya ALLAH sudah dijanjikan kebaikan bagi kedua-dua mereka. Juga disebutkan 'ulama bahawa cara ALLAH mencabut 'ilmu bukanlah dengan cara terhapusnya buku atau cara yang lain, tetapi dengan dimatikan para 'ulama solihin. Oleh sebab yang demikian, jelaslah kepada kita akan kepentingan, kemuliaan dan kedudukan para 'ulama dalam menjaga dan mengajarkan 'ilmu kepada umat Islam. Kita sepatutnya juga lebih menghargai penyertaan dalam kuliah pengajian yang membolehkan kita mendapat kefahaman yang terus daripada para 'ulama, kerana jika 'ilmu itu sekadar diperoleh dengan pembacaan, boleh jadi akan ada keciciran dalam memahaminya.

Insya Allah, sentiasalah kita memohon bantuan dan keberkatan ALLAH s.w.t. . Moga usaha kita menuntut 'ilmu bermanfaat menjadi pelaburan akhirat yang pasti menguntungkan. Juga dipohon agar ALLAH s.w.t. menetapkan kita dalam niat yang sentiasa suci ikhlas dan tidak menyeleweng kerana seksaan kepada mereka yang mensyirikkan ALLAH dalam niat adalah amat dahsyat. Na'uzubillahi min zaa lik.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...