Ulama Benteng

Ulama Benteng

Sabtu, 31 Ogos 2013

Panduan Quran dalam Pengurusan Kewangan

Salah satu panduan Al-Quran kepada kita dalam mengurus kewangan:

- Jangan terlalu boros, jangan terlalu kedekut. Pilihlah pertengahan. (Mafhum ayat)

Panduan Mengekang Nafsu

Sedikit panduan dalam mengekang nafsu

- Rancangan TV Al-Hijrah petang tadi dalam bab tasowwuf bersama Dr. Zulkifli Al-Bakri membincangkan hikmah Imam Ibnu Atoillah Sakandary rohimahuAllah berkenaan nafsu yang boleh mengambil ruang pada waktu kesenangan, kekayaan. Sedangkan pada waktu kesusahan, kesedihan, kemiskinan, nafsu tidak punyai ruang.

- Nafsu ammarah sememangnya begitu kuat suruhan/keinginan/godaan. Lepas yang satu, yang lain pula, dan berterusan.

- Oleh sebab godaan nafsu yang sangat kuat, maka berlaku kesungkuran, terbabas.

- Oleh sebab yang demikian juga, agama mengajar kita mujahadah nafs (kesungguhan melawan nafsu yang tidak baik).

- Ada dua panduan ringkas yang diberikan dalam mengekang nafsu:

1) Mengambil pilihan gantian yang disediakan oleh Allah. Seperti contoh: menjauhi zina, mengambil pernikahan sebagai jalan yang halal dan betul. Menjauhi riba, mengambil jalan perniagaan sebagai kaedah halal yang disediakan agama.

2) Sedar dan tahu akibat buruk daripada mengikuti hawa nafsu. Tiada sesiapa pun yang untung dengan mengikuti hawa nafsu. Menuruti nafsu akan berakhir dengan kerugian dan penyesalan.

Semoga Allah mengurniakan kekuatan dan keikhlasan mujahada kepada kita, agar sentiasa terus melawan nafsu jahat dan godaan syaitan, agar kita terus selamat berada pada jalan pengabdian diri kepada Allah. Semoga Allah perkenankan permohonan kita ini, dengan barokah dan kemuliaan Kekasih-Nya sollaAllahu alaihi wa sallam.

Pentingnya Ulangan Hafazan Quran

Hafazan Quran - pentingnya ulangan yang berterusan sepanjang hayat.

'Maintenance' memang sangat mustahak, demi menjaga ikatan 'unta' yang sangat mudah terlepas lari jika tidak dijaga dan diikat kuat.

In syaa Allah, luangkanlah sebahagian masa kita secara harian, untuk mengulang hafazan Quran yang telah dilakukan. Semoga terus segar-masyi ayat-ayat Al-Quran dalam hati dan lidah.

Ada sesetengah petua menyatakan, kadar ulangan harian bagi mereka yang telah khatam hafazan 30 juzuk Al-Quran adalah mengulang 3 juzuk sehari.

Mudah-mudahan kita dibantu oleh Allah.

Suasana Tempat Kerja Muslim

## Seronok dan berkongsi gembira+syukur dengan suasana solat berjamaah di tempat kerja ##

- Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ditempatkan di tempat kerja yang majoritinya adalah umat Islam. 

- Apa yang menarik yang saya semakin perhatikan dan rasai adalah kemeriahan apabila tiba waktu solat fardhu Zuhur dan Asar.

- Bergeraklah sebahagian staff daripada ruang pejabat dan tingkat masing-masingmenuju ke tempat yang sama, yakni musolla untuk menara/bangunan tersebut.

- 'Meriah' dirasai. 'Berpusu-pusu' orang ke sana. Kerap sesak laluan menuju musolla, panjang baris untuk mengambil wuduk, padat lif menuju musolla. Lebih daripada dua saf untuk jama'ah yang pertama.

- Kadang-kadang ketika bergerak menuju ke musolla, siap berajak-ajak untuk sama-sama berteman menuju ke tempat mulia dan tujuan mulia itu. Kerja ditinggalkan sebentar untuk menyahut seruan yang lebih utama. Waktu solat menjadi particular untuk diawasi.

- Demikian adalah apa yang saya pelajari daripada rakan-rakan saya yang solihin di tempat kerja. Rasa insaf. Lebih 'memukul' keinsafan melihat pengurus, pengurus kanan, technical professional yang lebih tinggi jawatan sendiri begitu menjaga waktu dan solat berjama'ah.

- Demikian suasana tempat dan jenis sahabat-kenalan yang kita gauli banyak beri kesan dan pengaruh kepada agama, ibadah dan akhlak kita.

- Solat adalah tiang agama, dan punyai falsafah yang luas dan begitu mendasar. Jika baik solat, maka baiklah kualiti kerja dan hidup yang lain. (Astaghfirullah, penulis sendiri masih banyak kelalain dan kurang kualiti. Moga Allah ampuni dan bantu untuk islah).

- Solat berjama'ah berikan gandaan 27 kali berbanding solat sendirian.

- Bersegera untuk solat, dan solat berjamaah pada saf bertama adalah ibadah yang sangat besar ganjarannya, dan jika diketahui manusia maka mereka akan sanggup mencabut undi dapatkan giliran laksanakannya.

Panduan Tentang Keutamaan Dalam Hidup

- Sedikit panduan daripada ulama yang arif tentang keutamaan hidup -

# Seandainya kita tahu usia kita yang masih berbaki hanya 7 hari, maka apakah kira-kiranya jenis ilmu yang akan kita betul-betul tumpu untuk belajar+faham+amal?

# Apakah amalan yang akan kita buat dalam masa 7 hari tersebut?

# Adakah akan kita pergunakan 7 hari yang suntuk itu belajar ilmu bahasa asing yang tidak begitu mustahak? Adakah kita masih sibuk untuk melancong ke negara 4 musim dan menghabiskan masa dengan bergambar di sana-sini?

# Maka begitu pasti, masa 7 hari itu akan dilaksanakan dengan pecutan terakhir dengan ibadah yang utama dan besar gandaannya bagi menyiapkan apa-apa bekalan yang boleh dibawa menuju alam kekal bertemu Allah.

# Oh diri si penulis ini sendiri terutamanya, mengapakah masih lalai dengan setiap pertambahan hari dengan rasa seolah-olah masih akan lama lagi hidup, padahal secara pasti dan hakikatnya setiap hari yang bertambah tidak akan lagi datang kembali, maka semakin bertambah sehari kurangnya pinjaman hari yang berbaki untuk persiapan akhirat, semakin sehari bertambah hampir dengan kematian.

Ya Allah, kami memohon pimpinan dan kekuatan daripada-Mu agar sentiasa kami diingatkan, sentiasa dibantu untuk membaiki kualiti ibadah.

**** Moga diri tidak disibukkan dan ditipu oleh dunia yang nilainya tidak lebih daripada sayap nyamuk.

Tenang dan rasional dalam menbuat keputusan hidup yang besar

~Tenang dan rasional dalam menbuat keputusan hidup yang besar~

- Itulah antara pengajaran hidup yang saya pelajari hari ini. Secara khusus melibatkan ikhtiar dan pilihan dalam laluan kerjaya yang akan memberi kesan dalam jangka masa sehingga 20-30 tahun akan datang. Secara umumnya boleh diamalkan dalam segenap aspek hidup.

- Dalam membuat apa-apa keputusan besar, perlu kita utamakan pertimbanganyang rasional dan tenang, berdasarkan pengumpulan fakta, maklumat dan buah pandangan orang lain, lebih-lebih lagi daripada mereka yang berkeahlian/arif/berpengalaman.

- Keputusan besar jangan dibuat dalam keadaan beremosi dan terburu-buru, tanpa ada risikan/carian maklumat yang cukup.

- Jika masa yang sedikit panjang diperlukan untuk buat penilaian dan keputusan, maka laksanakanlah. 

- Maka lebih-lebih lagilah jika keputusan itu melibatkan perhitungan syurga atau neraka, yang melibatkan keadaan akhirat sebagai impak dan destinasinya. Maka keputusan itu hendaklah benar-benar menjadikan iman dan taqwa sebagai dasar panduan.

Banyak Kemudahan Belajar Faham Agama

Kalau nak beri alasan jauh kena naik unta pergi tempat pengajian, memang dah tak dak.

Sekarang dah boleh belajar melalui radio, siaran langsung diajar guru, masuk ke corong suara radio/komputer, di dalam rumah/tempat sendiri. 

Ya Allah, masihkah diri mahu memberi alasan untuk tidak belajar?

Dua Telaga Kaustar Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam

Dikhabarkan kepada kita oleh 'ulama bahawa telaga kautsar yang dianugerahkan kepada Baginda Nabi kita sollaAllahu alaihi wa sallam nanti ada dua.

Satu di mahsyar, dan satu lagi di dalam syurga.

Mudah-mudahan kita dimasukkan oleh Allah ke dalam golongan yang diizinkan untuk minum daripada air telaga tersebut.

Kerana kita khuatir dan mohon perlindungan Allah daripada termasuk dalam kalangan mereka yang dihalang daripada minum air telaga tersebut, yakni mereka yang ingkar terhadap perintah Allah dan ajaran Baginda Nabi sollaAllahu alaihi wa sallam, bahkan Baginda sendiri murka apabila mengetahui perbuatan mereka.

Awasi Kesan Buruk TV dan Internet

Dalam persiapan untuk memimpin keluarga sendiri kelak, mendapat inspirasi daripada perkongsian syaikh mengenai perkampungan umat Islam yang menjaga biah solehah, secara lebih khusus di perkampungan Derang, Kedah. Tambahan, ada bapa saudara yang tinggal di sana dan pernah saya bertandang ke sana beberapa kali.

Pernah perkampungan tersebut terkenal dengan kampung tanpa televisyen. Saya yakin, ada percaturan dan pertimbangan ulama untuk tidak membenarkan adanya 'tingkap' masuknya perkara yang tidak elok.

Tanpa menafikan ada kebaikan yang dalam siaran TV, tetapi nisbahnya kepada keburukan adalah begitu kecil. Manfaat lebih kecil daripada mudarat.

Jika dilihat dalam konteks hari ini, 'tingkap' keburukan yang lebih luas dan pantas menyebarkan anasir tidak baik (jika tidak dikawal dan ditapis) adalah kemajuan internet.

Buat ibu bapa, jika anak-anak dibiarkan dalam masa yang begitu banyak bersama TV - internet tanpa pengawalan, kita berasa risau akan terbentuknya pemikiran dan sikap mereka yang tidak selari dengan aqidah dan akhlak Islam.

Antara kunci perkongsian ini: kesungguhan dan kerapian pencegahan punca pencemaran minda, tersebarnya kemaksiatan dalam zaman yang banyak fitnah.

Semoga menjadi renungan, panduan demi tindakan kita bersama.

Ahad, 25 Ogos 2013

'Ironi' dalam Amalan Soleh

'Ironi' dalam amalan soleh - dengan mengambil pengajaran daripada Jubbul Hazan

Usaha terbaik agar mendasar dalam diri kita kerendahan hati, tahu dan sedar bahawa diri hanya insan kerdil peminjam nikmat Allah, tak punya apa-apa secara hakikatnya.

Agar tidak kita semakin 'terhijab' apabila bertambah amal? Bukankah itu satu bentuk ironi?

Diharapkan apabila bertambah ilmu dan amal, adalah semakin melihat kebesaran Allah, semakin tidak nampak diri sendiri.

Namun khuatir dan rasa pelik seandainya ilmu dan amal bertambah, apa yang semakin dilihat adalah kehebatan diri sendiri, tidak lagi dilihat keluasan rahmat dan pemberian Allah.

Ruang-ruang 'tergelincir' yang mungkin dapat diamati untuk dihindari:

Wujud rasa bangga diri, wujud rasa semakin memandang kehebatan diri sendiri, semakin terhijab apabila:

- Semakin bertambah ilmu
- Semakin bertambah amalan
- Semakin hebat butiran CV-resume
- Semakin hebat tahap sijil akademik dan insitusi pengajian tinggi yang memberikannya
- Semakin rasa diri lebih 'suci' daripada dosa, semakin rasa diri lebih 'syar'ie', semakin rasa diri lebih 'sufi', semakin rasa diri lebih 'haraki', semakin rasa diri lebih 'jaga ikhtilat', semakin rasa diri lebih 'intelektual', semakin rasa diri lebih 'wara',
- Semakin banyak bergaul, berhubung, bergambar dengan orang-orang besar
- Semakin banyak menukilkan kitab-kitab besar
- Semakin banyak peminat
- Semakin bertambah angka gaji
- Semakin bertambah jenama dan model kereta mewah
- .... dan seterusnya serta seumpamanya.

'Ironi' dalam amalan soleh: secara zohir kita sangka amalan itu sepatutnya membawa syurga, tetapi kerana rosak batinnya amalan itu membawa kepada neraka.

Disebutkan dalam kitab Sairus Salikin oleh Al-Marhum Syaikh Abdus Somad Al-Falimbani pada bab menyatakan uzlah, membawa hadis Baginda Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam, hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi rohimahuAllah dalam kitab Zuhud, terjemahannya:

"Minta peliharakan oleh kamu dengan Allah ta'ala daripada 'Jubbul Hazan'. Maka sembah sahabat: Apa ia ya Rasulallah? Maka sabdanya: Iaitu lembah di dalam neraka jahannam yang berlindung daripadanya jahannam setiap hari seratus kali. Lalu ada yang bertanya: Ya Rasulallah! Siapa yang masuk ke dalamnya? Maka sabdanya: Ia disediakan bagi qari-qari yang riya' dengan amal mereka itu."

Antara pengajaran besar lagi adalah: marilah berusaha melakukan amal ibadah kebaikan dengan begitu berhati-hati menjauhi kegelinciran batin.

Menjaga hubungan dan perasaan sesama manusia

- Secara jujurnya, hampir setahun lebih saya bekerja dalam syarikat minyak dan gas negara yang majoritinya (boleh dikatakan lebih 70%) adalah staff Melayu dan/atau Muslim (yakni merujuk expatriates Muslim dari negara umat Islam lain seperti Indonesia, Mesir, Turki dll), banyak kesedaran dan ilmu berkenaan 'soft skills', sikap, interpersonal skills yang saya alami dan pelajari. Sedikit sebanyak telah mempengaruhi perubahan sikap dan cara berfikir sekarang.

- Ditambah pula pengalaman di luar kerja yang saya alami untuk dijadikan perbandingan.

- Boleh dinyatakan secara umum dan ringkas: bahawa akhlak dan sikap yang elok, hubungan yang sopan dan santun sesama manusia dengan menjaga perasaan mereka adalah sesuatu yang diakui oleh seluruh manusia baik mereka itu adalah orang Islam mahupun bukan Islam. (Maka lebih-lebih lagilah orang Islam yang beriman, sememangnya agama ini amat menekankan akhlak yang mulia)

- Sebarang bentuk komunikasi, contohnya melalui e-mel bagi urusan perniagaan sekalipun jika hendak dilakukan akan dibuat draft dahulu agar maknanya jelas dan tidak membawa emotional 'attack' kepada penerima. Sebarang penggunaan jenis pilihan perkataan ada maksud dan kesannya tersendiri. Pengunaan 'bold', huruf besar/caps lock (membawa maksud nada menjerit), "!", warna font merah dan seumpamanya membawa kesan kepada penerima.

- Kita sebagai manusia dan insan lain pun sebagai manusia masing-masing ada perasaan. Oleh sebab yang demikian, marilah kita berfikir sebelum bertindak, agar tindakan kita tidak melukakan perasaan dan menjadikan hubungan terjejas. Kita sendiri boleh membayangkan dan menjangkakan kesan daripada tindakan kita kepada insan lain jika memikirkan seandainya kita adalah penerima tersebut.

- Islam mengutamakan dan melebihkan ganjaran kepada insan yang berakhlak mulia, menjaga hubungan sesama manusia, yang banyak memberikan manfaat kepada manusia, yang mudah didekati oleh manusia lain, yang menghiburkan manusia lain.

- Saya sendiri sentiasa berazam dan berusaha membaiki akhlak, dan memohon doa agar Allah membantu untuk memperoleh kualiti akhlak yang lebih baik.

- Terima kasih kepada sesiapa saja yang telah menunjukkan dua ekstrem tasyadud (terlalu berkeras) dan tasahul (terlalu bermudah); yang menunjukkan akhlak yang indah dan yang menunjukkan akhlak buruk. Maka lebih saya faham dan belajar untuk dijadikan ikutan dan sempadan.

- Bukankah sifat keindahan ajaran yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam itu berada pada pertengahan di antara dua ekstrem? Mari memilih pertengahan.

- Marilah kita menggunakan akal, rasional, sedar dalam realiti, memandang penting terhadap hubungan yang santun sesama manusia. Islam memberi ruang dan keutamaan kepada akal untuk berfungsi dengan dipandu syariat dan wahyu.

- Dosa seorang hamba kepada Allah, in syaa Allah jika dia bertaubat dan Allah berkehendak untuk mengampunkannya maka akan selesai dosa itu. Namun, jika dosa seorang hamba kepada manusia lain maka dia perlu selesaikan dosa itu dengan manusia tersebut juga. Oleh sebab itu, si syahid yang tidak menjelaskan hutang dengan manusia lain juga akan tersangkut/terjejas dalam perjalanan menuju syurga.
 

Sabtu, 24 Ogos 2013

Doa Pendekat Jodoh



Doa Pendekat Jodoh

- diambil daripada buku tulisan Dr. Haron Din, Darussyifa.

- atas permintaan salah seorang sahabat sebaya dengan saya.

- di samping doa, berikhtiarlah dan proaktif mencari saluran yang ada, dalam bertaaruf dan mencari kesesuaian calon jodoh, dengan niat ibadah.

- semoga bermanfaat.

- sila muat turun gambar ini, zoom in (atau klik kanan) untuk lihat paparan lebih jelas untuk tengok huruf dan baris yang tepat.

Khamis, 22 Ogos 2013

Kerja dengan nilai pahala menuju akhirat



Kerja dengan nilai pahala menuju akhirat

In syaa Allah, walau apa pun pekerjaan kita yang halal menurut neraca syariat, PASTI ada peluang merebut dan menjadikannya nilai pahala menuju akhirat. Sebagaimana yang pernah kita bincangkan sebelum ini, dan juga sedikit lanjutan:

- Golongan mukmin profesional yang bekerja dengan bersungguh-sungguh dan berkualiti adalah dicintai oleh Allah

- Ada antara dosa si hamba itu yang keguguran - diampunkan oleh sebab kesusahan yang dihadapi dalam bekerja

- Si bapa yang keluar mencari rezeki halal untuk menyara keluarganya, maka itu adalah salah satu jihad

- Mulianya pada pandangan agama para hamba yang makan daripada hasil tangannya (usahanya sendiri)

- Pedagang yang jujur dan amanah akan dikumpulkan bersama para Nabi, orang-orang siddiq, syuhada' (mafhum hadis atau sebagaimana yang disabdakan - (( ﺍﻟﺘﺎﺠﺭ ﺍﻟﺼﺩﻭﻕ ﺍﻷﻤﻴﻥ ﻤﻊ ﺍﻟﻨﺒﻴﻴﻥ ﻭﺍﻟﺼﺩﻴﻘﻴﻥ ﻭﺍﻟﺸﻬﺩﺍﺀ ))
[ ﺭﻭﺍﻩ ﺍﻟﺘﺭﻤﺫﻱ ﻋﻥ ﺃﺒﻲ ﺴﻌﻴﺩ ﺍﻟﺨﺩﺭﻱ]

- Bahkan sepanjang mana-mana senggang yang ada boleh digunakan untuk berukhuwwah, mempamerkan akhlak mulia, mengisi dan membasahkan lidah dengan zikruLlah, solawat.

- Alhamdulillah, in syaa Allah, mudah-mudahan kita beroleh kekuatan dan keikhlasan untuk terus menjadikan setiap saat hidup di dunia ini bernilai akhirat.

- Foto di bawah, dalam kepilan ini adalah diambil daripada Majalah Solusi, diberikan panduan bagaimana kerja yang dilakukan boleh memberikan pahala.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...