Ulama Benteng

Ulama Benteng

Rabu, 31 Mac 2010

Kelebihan Sangka Baik


Bersangkabaiklah kepada orang lain selagi mana tidak ada keburukan yang jelas dilakukan, insya Allah akan dihindari pelbagai masalah. Dalam sangkaan buruk kemungkinan terdapat dosa dan perkara keji.



Syeikh Abi Said al-Kharraz r.a berkata:

Aku masuk ke dalam Masjidil Haram dan aku melihat seorang faqir sedang meminta sesuatu. Aku pun berkata dalam hatiku "Perbuatan seperti ini menyusahkan manusia."

Tiba-tiba dia memandang ke arahku dan membaca ayat:

"Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada yang berada di dalam dirimu maka hendaklah kamu berwaspada terhadap-Nya."
(235: Al-Baqarah)

Lalu aku pun beristigfar dalam hatiku. Maka dia memanggilku dan membaca ayat:

"Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya dan memaafkan kesalahan-kesalahan"
(25: as-Syura)

Kemudian dia hilang begitu sahaja daripada pandangan.


Ulasan: Firman Allah yang berbunyi "Hai orang-orang beriman hendaklah kamu jauhi kebanyakan sangkaan buruk kerana kebanyakannya adalah memberi dosa..."
(12: Al-Hujarat)






Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

Selasa, 30 Mac 2010

Nasihat Imam Ghazali : Pati Ilmu Tasawuf


Kasih sayang dan rahmat Allah kepada para hamba-Nya ibarat lautan tak bertepian. Pintu taubat sentiasa terbuka selagi mana hayat dikandung badan, serta kiamat belum terjadi.




Al-Imam Al-Ghazali mencatatkan dalam kitab Ayyuhal Walad (Wahai Anakku) tentang pati ilmu tasawuf, seperti berikut:

Wahai anakku yang tercinta,

Ketahuilah bahawa 'ilmu tasawuf itu mempunyai dua unsur:

Pertama: Istiqamah (tetap pendirian).

Kedua: Baik kelakuan dengan makhluk.

Maka sesiapa yang tetap pendiriannya dan baik akhlaknya dengan manusia serta ia bergaul dengan lemah lembut, maka orang itu ialah seorang sufi.

Istiqamah bermakna bahawa ia mengorbankan segala kehendak nafsunya untuk mendapatkan keindahan peribadinya.

Manakala baik kelakuan dengan manusia pula ialah bahawa engkau tidak memaksa manusia memperturutkan kehendakmu, bahkan sebaliknya engkau paksakan dirimu untuk melayani kehendak mereka selama tidak ada di sana perkara yang menyalahi syara'.




Terjemahan kitab Ayyuhal Walad oleh Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizahullah.

Isnin, 29 Mac 2010

Nasihat Imam Ghazali : Empat Sifat Kesempurnaan Bagi Orang Yang Salik

Salik (Menjalani Jalan Akhirat)

*Gambar sekadar hiasan



Al-Imam Al-Ghazali mencatatkan dalam kitab Ayyuhal Walad (Wahai Anakku) empat sifat kesempurnaan bagi orang yang salik, seperti berikut:

Wahai anakku yang tercinta,

Wajib atas orang yang salik (menjalani jalan akhirat) bahawa ia menyempurnakan empat macam sifat.

Pertama: I'tiqad yang benar bahawa tidak ada bid'ah dalamnya (maksudnya mengikuti 'aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah)

Kedua: Bertaubat dengan taubat nasuha sehingga ia tidak akan kembali mengerjakan dosa yang pernah dilakukannya.

Ketiga: Meminta halal daripada semua musuh (dan makhluk) sehingga engkau tidak akan dituntut pada hari kiamat nanti.

Keempat: Mempelajari 'ilmu syari'ah untuk dapat menunaikan segala perintah Allah Ta'ala dan juga mempelajari 'ilmu akhirat yang dapat menjamin keselamatanmu di akhirat nanti.


Terjemahan kitab Ayyuhal Walad oleh Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizahullah.


Ahad, 28 Mac 2010

Ibtila' Perjuangan, Periksa Tahap Kesungguhan Kita


"Tiada jalan pintas buat perjuangan ini. -Apa pun situasi yang dihadapi, itulah realiti yang terpaksa diterima. Mengelak diri daripada mehnah dan ibtila' ialah satu tindakan negatif yang mengeluarkan kita dari paksi perjuangan ini.

Mencari jalan pintas untuk menggapai kemenangan ( tanpa melalui halangan dan rintangan) bukan sahaja gagal tetapi salah menurut disiplin perjuangan Islam."

-dipetik daripada kitab Fiqh Al-Haraki, Jihad Fi Sabilillah, oleh Ustaz Nasrudin Hj. Hassan At-Tantawi.

Boleh sahaja kita qiaskan perkara ini dalam setiap aspek kehidupan, lebih-lebih lagi kepada para pelajar yang digalaskan amanah kepada mereka untuk menguasai ilmu fardhu kifayah umat Islam ( namun hukum ini telah jatuh fardhu 'ain kepada mereka setelah bidang ilmu tersebut dipilih).

Dunia tasawuf Islam mengajarkan bahawa sunnatullah ialah kesusahan sebelum kesenangan, ataupun kesenangan selepas kesusahan. Kesenangan selepas kesusahan ialah kesenangan yang sangat manis rasanya, serta sangat tinggi kualitinya.

Ujian ALLAH Adalah Untuk Mengetahui Kebenaran Keadaan dan Kesabaran.

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ

"Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu."

Surah Muhammad, 47: 31

Sabtu, 27 Mac 2010

Terima Kasih Buatmu Yang Sudi Menjadi Sahabatku


Pernahkah kita terfikir mengapa insan-insan yang sangat hampir kepada Rasulullah s.a.w. dan sentiasa berakhlak mulia terhadap baginda diberi gelaran sahabat? Kenapa bukan gelaran kenalan, rakan atau kawan yang digunakan? Pasti taraf "sahabat" itu adalah sangat tinggi dalam ajaran Nabi Muhammad s.a.w.. Begitu juga kita selaku umat Baginda, sering kali kita dengan penuh rasa semangat menyebut-nyebut slogan "ukhuwwah fillah", "ana akhukum fillah", "ana uhibbuk fillah", "ukhuwwah fillah abadan abada" dan lain-lain lagi. Ya, masing-masing memerlukan ni'mat persaudaraan yang didasari 'aqidah yang satu ini. Persaudaraan ini ialah persaudaraan yang sangat tinggi kemanisannya, lebih kuat lagi ikatannya daripada ikatan kekeluargaan. Kita juga sering mendakwa diri kita sebagai sahabat insan yang lain, dan tidak kurang juga kita mendakwa insan lain ialah sahabat kita.




Gambar: Senyuman dari hati yang suci mententeramkan jiwa mu'min yang lain.


Sejauh manakah kita memenuhi kriteria-kriteria sebagai seorang sahabat? Ini adalah antara persoalan yang amat perlu kita amati. Cuba kita lakukan muhasabah, periksa di manakah kecacatan yang kita ada. Syukur kepada ALLAH jika kita ditemukan dengan kecacatan tersebut, dan jangan berlengah lagi, lakukan perubahan! Itulah antara ciri yang sangat mahal bagi mu'min kelas pertama yang sangat berjiwa besar. Mereka bersedia mengakui kelemahan diri dan bersungguh-sungguh untuk membaiki kelemahan tersebut.


"Terima kasih buat mereka yang sudi menjadi sahabatku!" Sahabat; mereka yang benar-benar memenuhi kriteria-kriteria sebagai seorang sahabat. Alhamdulillah, jiwa hamba ini terasa segar dengan kemurnian jiwa yang engkau tunjukkan! Sahabat yang soleh sebagaimana yang diacu oleh acuan Muhammad s.a.w. pasti akan menyerlahkan ketinggian budi pekerti. Akan terpancar akhlak-akhlak mahmudah yang akan mententeramkan hati sahabat mereka.


Bersabarlah dalam usaha pencarian sahabat yang sejati. Jangan mudah terasa dengan rintangan-rintangan yang ada dalam usaha pencarian sahabat ini. Kadang-kadang, kita sahaja di satu pihak yang beria-ia ingin menjalinkan ukhuwwah Islamiyyah dan menyuburkannya. Namun sungguh tidak menyenangkan hati, usaha ini tidak mendapat sambutan daripada pihak tersebut, seperti mana yang kita harapkan.


- Berjabat tangan, tetapi muka memandang ke tempat yang lain.
- Bertemu dengan air muka yang tidak menyenangkan.
-Perbualan satu balas satu.
-Pertanyaan khabar yang tidak berbalas.
-Berada dalam satu majlis, tetapi tidak bersapa antara satu sama lain.
-Tidak menghargai pelawaan atau jemputan, bahkan lebih puas untuk mengutamakan kehendak nafsu sendiri.






Inilah antara norma kecacatan dan penyakit ukhuwwah Islamiyyah. Kelukaan ini jika tidak dirawat, mampu merobek jiwa dan menyebabkan kehausan rohani yang sentiasa ingin bersuhbah menuju ALLAH s.w.t. Secara realitinya, masih terdapat banyak lagi ciri kecacatan dalam ukhuwwah Islamiyyah.

Insya ALLAH, mari bersama-sama kita melakukan penilaian terhadap tahap penghayatan ukhuwwah Islamiyyah kita. Kita baiki kekurangan yang ada, kita perkasakan pelaksanaannya.


Dalam kitab Bimbingan Mu'min tulisan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali r.t., Saidina Ali k.w. berkata:

" Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sampingmu.
Ia sanggup membahayakan dirinya demi kemaslahatan dirimu.
Seorang yang setiap masa bekerja untuk keperluanmu.
Sanggup mengorbankan segala-gala untuk kepentingan dirimu."





Dalam kitab yang sama juga, Imam Ghazali r.t. memuatkan; Abu Sulaiman Ad-Daaraani r.t. berkata pula:

" Jangan sesekali engkau bersahabat melainkan dengan salah seorang daripada dua yang berikut:
1. Orang yang engkau merasakan senang dengannya dalam menguruskan hal ehwal keduniaanmu.
2. Orang yang engkau dapat menambah faedah dan manfa'at dalam hal ehwal keakhiratanmu."


Dalam kitab Al-Hikam, Ibnu 'Athoillah mencatatkan:


" Jangan berkawankan seorang yang tidak membangkitkan semangat taat kepada ALLAH, amal kelakuannya dan tidak memimpin engkau ke jalan ALLAH kata-katanya."


Lemah lembut dalam ukhuwwah Islamiyyah.

Sedih dan terkilan dengan penjelmaan golongan yang agak keterlaluan dalam ketegasan mereka. Kononnya menjaga syar'iat hingga terkesan di jiwa masyarakat, mereka ini sudah hilang kelembutan dalam ukhuwwah Islamiyyah, dalam pergaulan dengan orang-orang beriman. Sudah tentu hati kita tidak akan tenteram andaikata pendokong-pendokong perjuangan Islam menjadi pelampau dan sudah lagi tidak memiliki kelembutan perilaku dalam pergaulan yang soleh.

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya."
Surah Ali Imran, 3: 159

Jumaat, 26 Mac 2010

Azam dan Doa untuk Mati dalam Keadaan Islam





Kematian kita sebenarnya adalah permulaan bagi kehidupan yang sebenar. Berusahalah semampu mungkin dan jangan jemu berdoa kepada ALLAH agar diri kita, ibu bapa kita, ahli keluarga, sahabat-sahabat dan umat Islam lain dimatikan dalam keadaan Islam dan husnul khatimah. Semoga malaikat yang mengambil nyawa kita dapat menjalankan amanah tersebut dengan sopan santun dan datang dalam keadaan berseri-seri.






Assalaa mu'alaikum w.b.t.,


Berkata Imam Habib Abdullah Haddad dalam kitabnya "Nasihat Agama dan Wasiat Imam" :


Manusia tidak berkuasa mematikan dirinya dalam agama Islam, tetapi Allah meluangkan baginya jalan kepada itu.


Beliau ada menyertakan firman ALLAH berkaitan permohonan untuk mati dalam keadaan Islam dan ditempatkan bersama orang-orang soleh:




“Engkaulah (ALLAH) Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan kumpulkanlah aku bersama orang-orang soleh."

Surah Yusuf ayat 101






Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

Khamis, 25 Mac 2010

Amani





Assalaa mu'alaikum w.b.t.,


Sekadar berkongsi sebuah lagu nasyid. Moga ada kebaikan daripada mesej yang ingin disampaikan.




Amani

Album : Hikayat Cinta
Munsyid : Amar
http://liriknasyid.com


Tangisan sanubari telah terhenti
Kala suram suria memancar sinarnya
Pertemuan seindah bayangan firdausi
Menjadi zikir kasih yang suci

Lukisan dua jiwa menjadi satu
Terkenang detik bertemunya kau dan aku
Santun berhikmah mengingatkan diri
Hidup dan mati hanya untuk Ilahi


Mengenggam janji cinta ini
Bertemu kasih tanpa jasad
Bicara tanpa suara
Hanya tulisan bahasa indah

Mengeratkan antara kita
Hinggalah ke akhirnya

Kau ku sanjung kerna pengorbanan
Bagai puteri di kayangan
Tika ku lesu hadapi hidup
Kau hembuskan nafas semangat
Penawar hati

Lagu: AMAR
Lirik: AMAR




Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

Rabu, 24 Mac 2010

Tangisan Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a.

Para Sahabat ridhwanullah 'alaihim adalah sebaik-baik generasi yang dididik sendiri oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w.


Assalaa mu'alaikum w.b.t.,


Abu Bakar as-Siddiq, sahabat yang terhampir dengan Rasulullah s.a.w. ialah orang yang paling suka mencucurkan air mata ketika membaca Al-Quran. Dikisahkan oleh Al-Bukhari dalam sebuah riwayat, pada saat Baginda s.a.w. gering, Baginda memerintahkan para sahabat untuk bersolat bersama Abu Bakar As-Siddiq r.a.


Namun begitu, Aisyah r.a. menyarankan,

"Sesungguhnya Abu Bakar, kalau dipilih sebagai imam solat, orang-orang tidak akan mendengar suaranya disebabkan tangisannya."

Dalam keterangan lain, Imam al-Baihaqi meriwayatkan, sahabat Rasulullah yang bergelar As-Siddiq ini memiliki sebuah masjid di halaman rumah beliau di Makkah. Di tempat tersebutlah mendirikan solat dan membaca al-Quran.

Pada suatu ketika, seorang wanita musyrikin ta'jub dengan bacaan beliau. Ia lalu mendengar dan melihar sahabat Nabi ini. Terlihatlah Abu Bakar r.a. yang sudah tidak mampu lagi menahan air matanya saat melantunkan ayat-ayat Allah s.w.t. itu.





Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

Selasa, 23 Mac 2010

Bilakah Harta Kita Perlu Dibelanjakan Untuk Kebaikan?



Bersedeqah tidak mengurangkan harta kita. Bahkan apa yang disedeqahkan menjadi harta milik kita (pahalanya akan diperoleh dan akan dibawa apabila menghadap Allah kelak). Usah risau kecil atau besar nilai sedeqah itu pada pandangan manusia, kerana pada sisi Allah ada nilaian yang jauh lebih istimewa.



Assalaa mu'alaikum w.b.t.,


Bilakah Harta Kita Perlu Dibelanjakan Untuk Kebaikan?

Harta yang kita miliki adalah kurniaan, pinjaman dan juga ujian kepada kita. Kita dianjurkan untuk membelanjakan harta tersebut pada jalan kebaikan. Sungguh beruntung bagi kita selaku umat Nabi Muhammad s.a.w. yang beriman, seandainya kita membelanjakan harta tersebut untuk jalan Allah semasa berada di dunia ini, sebelum tibanya hari kiamat. Sebelum tibanya hari kiamat di sini juga dapat kita fahami sebagai sebelum nyawa kita diambil oleh malaikat Izrail.


Ada ayat al-Quran berkenaan perintah untuk membelanjakan harta semasa kita masih berada dalam kehidupan di dunia ini.

Firman Allah s.w.t. yang berbunyi:


Terjemahannya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Infaqkanlah sebahagian rezeki yang telah Kami berikan kepada kamu sebelum datang hari ketika tidak ada lagi jual beli, tidak ada lagi persahabatan, dan tidak ada lagi syafaat. Orang-orang kafir itulah orang yang zalim."

Surah Al-Baqarah ayat 254



Suruhan dan perintah ALLAH kepada kita dalam Al-Quran pasti mempunyai pelbagai kemuliaan dan ketinggian kedudukannya.


Pelbagai Keistimewaan Dijanjikan kepada Orang Dermawan


Syurga ialah Tempat bagi Para Dermawan


Daripada Anas bin Malik r.a. memberitakan Nabi s.a.w. bersabda:


Ertinya:

"Syurga itu ialah negeri bagi para dermawan."

Hadits Riwayat Ibnu 'Adi dan Al-Qudha'i: Marfu'




Sedeqah Tidak Mengurangkan Harta



Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:



Terjemahannya:

"Tiadalah akan berkurangan harta dengan sebab bersedeqah."

Hadits Riwayat Ahmad dan Muslim


Jika kita berfikir dengan akal pemikiran manusia yang cetek dan terbatas, mungkin janji Allah ini dilihat sebagai pencanggahan dengan norma kebiasaan alam ini.

Hukum manusia mungkin menyatakan sifir harta yang dibelanja dan diberikan kepada orang lain akan berkurangan.

Di sinilah datangnya peranan 'iman dan 'aqidah. Keyakinan yang utuh akan perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar di dunia ini pastinya mengatasi kebiasaan akal manusia yang terhad kepada alam dunia.

'Ulama ada menyatakan juga bahawa harta yang dibelanjakan pada jalan ALLAH dan secara halal sebenarnya adalah harta milik kita. Harta yang belum dibelanjakan dengan cara mulia tersebut sebenarnya bukan milik kita, tetapi milik Allah. Harta tersebut menjadi ujian kepada kita.

Bagaimanakah dikatakan harta yang diinfaqkan dengan halal pada jalan ALLAH menjadi harta milik kita? 'Ulama menyebut, harta yang terguna dengan cara tersebut dikurniakan pahala. Pahala tersebut pula akan dibawa untuk pertemuan dengan ALLAH kelak nanti.

Dalam Al-Quran ditegaskan perkaitan antara iman dan 'amal dalam banyak ayat. Iman semata-mata masih belum cukup kepada kita jika tiada 'amal yang menjadi manifestasi, pembuktian iman seseorang itu.

Maka, kita cuba untuk mengamalkannya. Kita meyakini perkhabaran daripada Allah ini, disampaikan melalui lidah Rasul-Nya dengan keimanan yang sejati. Kita cuba buktikan dengan 'amal. Insya Allah, akan tiba satu peringkat terasa kemanisan iman, kepuasan perasaan ruhaniyah hasil daripada gandingan utuh antara iman dan amal.

Seorang murabbi dengan ikhlas dan sangat bermotivasi memberikan nasihat kepada anak muridnya untuk sentiasa mengamalkan sedeqah, walaupun jumlah sedeqah itu kecil. Sesuaikan jumlah sedeqah dengan kemampuan ekonomi kita. Munasabah bagi seorang yang miskin bersedeqah sebanyak 10 sen, sebagai contoh. Namun 10 sen ini tidak munasabah bagi orang yang kaya hartanya.

Lebih dekat lagi untuk konteks pelajar, cuba tanamkan kesungguhan untuk sentiasa beristiqamah dengan amalan bersedeqah. Andai ada sahaja peluang bersedeqah, cuba ambil tawaran istimewa tersebut. Jangan rasa kecil diri, walau sumbangan kita amat kecil jumlahnya, kerana penilaian itu sebenarnya dibuat oleh ALLAH s.w.t yang Maha Adil.

'Ada disebutkan: Sedeqah satu dirham boleh menyaingi sedeqah 1000 dirham, ya'ni sedeqah satu dirham itu dilakukan oleh orang yang miskin tetapi ikhlas, dia melakukan sedeqah itu dengan terbaik pada kemampuannya. Sedeqah 1000 dirham itu pula dilakukan oleh orang yang sememangnya mempunyai kelebihan dalam harta bendanya.


Insya Allah, semoga kita memahami ilmu ini dan mengamalkannya dengan ikhlas dan berterusan hingga akhir hayat.


Ada disebutkan: Belajar ilmu itu urusan kita, memberi faham itu urusan ALLAH.





Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

Isnin, 22 Mac 2010

Orang yang Dikasihi Allah




Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh 'ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.



Assalaa mu'alaikum w.b.t.,


Kita bersyukur. Bersyukur kepada Allah. Setiap hari dikurniakan kepada kita dengan segala keperluan.


Mustahil bagi Allah, untuk membiarkan hamba-Nya yang beriman tanpa ada perhatian yang sewajarnya.


Benarlah, Allah itu bersifat الرؤوف (Ar-Ro uf) Yang Melimpahkan Rahmat / Amat Belas Kasihan terhadap makhluk-Nya.


Apa yang dapat difahami daripada nasihat Imam Al-Ghazali rhohimahullah ta'ala:

Apabila bangun tidur, jika boleh pada setiap hari, tanya kepada diri: "Kenapa ALLAH hidupkan aku pada hari ini?"

Jawapan yang dicadangkan Imam Al-Ghazali: Kerana dosaku banyak. ALLAH izinkan aku untuk bertaubat.


Ya, sungguh menusuk ke dalam hati nasihat Imam Ghazali kepada kita. Hati tersentuh, mengenangkan pintu taubat dan kasih sayang ALLAH yang sentiasa terbuka kepada kita selaku hamba-Nya.

Cuma kita sendiri, sedar atau tidak. Kadang-kadang terlupa, kadang-kadang ingat semula.

Insya ALLAH, selepas ini kita berusaha untuk lebih menghargai segala kesempatan yang disediakan-Nya.

Mesti rebut. Peluang ini disediakan oleh Raja kepada segala raja. Raja yang milik-Nya segala apa yang ada di bumi dan di langit. Pastinya peluang ini adalah terbaik dibandingkan peluang yang ditawarkan makhluk yang lain.

Pada pertemuan kali ini, dimuatkan satu hadits yang membicarakan orang yang dikasihi ALLAH. Mudah-mudahan kita diberikan kefahaman tentangnya dan dimasukkan dalam golongan ini.




Ertinya:

Daripada Anas bin Malik r.a. , Nabi s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya Allah mempunyai 'ahli' daripada kalangan manusia. Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah! Siapakah mereka itu? Baginda bersabda: "Merekalah ahli al-Quran iaitu 'ahli' Allah dan golongan pilihan-Nya."

(Riwayat Ibnu Majah)


Keterangan hadits daripada Syarah Sunan Ibnu Majah:

"Ahli al-Quran" ialah golongan yang menghafal al-Quran, banyak membaca al-Quran dan beramal dengannya.

"Ahli ALLAH" ialah para wali ALLAH dan golongan yang mendapat pilihan yang istimewa daripada ALLAH.



Salah satu petunjuk bagi seseorang itu dikasihi ALLAH adalah dengan usahanya untuk mendampingi Al-Quran serta beramal dengannya.

Apa kata kita cuba mulakan usaha ini, dengan kuantiti yang kecil, sesuai dengan kemampuan kita? Lama-kelamaan bertambah dengan kesuaian yang ada.

Moga ALLAH mudahkan segala urusan kita, serta dijadikan amalan itu pula amalan yang diterima dan terlaksana dengan rasa keenakan serta berterusan.





Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

Ahad, 21 Mac 2010

Petua Mudah Mengingat

Assalaa mu'alaikum w.b.t.,


Petua Mudah Mengingat

Elakkan daripada memakan makanan dan bahan-bahan yang boleh melemahkan daya pemikiran dan daya ingatan (memori) anda:

  • Jangan suka makan kepala ikan. Pepatah Cina ada menyatakan; "Ikan mula busuk dari kepalanya." Jika mahu menjamah juga sedikit, hendaklah membaca doa.
  • Jangan makan makanan dan minum air yang telah dimasuki serangga seperti semut, lalat atau lipas.
  • Jangan makan organ dalaman ikan, ayam, burung, lembu, kambing dan lain-lain seperti hati, jantung, limpa, paru, perut, otak dan sebagainya. Jika teringin juga hendak makan, bacalah doa.
  • Elakkan minum ketika sedang makan. Minumlah 1 jam sebelum atau selepas makan. Jika minum ketika makan, makanan tidak dapat dihadamkan dengan sempurna kerana enzim penghadam makanan telah dicairkan oleh air yang diminum. Makanan perlu dihadamkan dengan sempurna untuk mendapat zat yang optimum yang diperlukan oleh badan.
  • Makanan apabila lapar dan berhentilah sebelum kenyang. Jangan makan apabila tidak lapar dan jangan makan sehingga terlalu kenyang.
  • Makan awal pada sebelah malam, misalnya sebelum Maghrib. Waktu belajar memerlukan 2 jam selepas makan bagi membolehkan tumpuan diberikan sepenuhnya.


-Petua Pelajar Cemerlang, Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah dan Hj. Muhammad Zakaria.





Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

Sabtu, 20 Mac 2010

Keutamaan Solat Sunat Sebelum Solat Subuh

Jika benar-benar kita dapat melihat tertunainya janji ALLAH kepada mereka yang menunaikan solat sunat sebelum solat subuh, pasti kita tidak akan melepaskan peluang ini. Bagi sesiapa yang sudah konsisten melaksanakannya, dan jika ada keadaan yang tidak mengizinkannya menunaikan solat sunat ini (contohnya apabila sudah tiba di masjid, imam sudah pun memulakan solat subuh berjamaah), maka dia dapat melaksanakan solat sunat ini selepas solat fardhu subuh berjamaah tersebut.


Terjemahan hadits:

Daripada Aishah r.ha., Nabi s.a.w. bersabda:

"Dua rakaat sebelum solat Subuh adalah lebih baik daripada dunia dan segala apa yang ada padanya."

Hadits Riwayat Muslim


Jumaat, 19 Mac 2010

Kelebihan Doa di antara Azan dan Iqamat


Jangka masa antara selepas azan dan sebelum iqamat perlu direbut dengan sebaik-baiknya untuk berdoa, kerana dijanjikan akan termakbul, insya ALLAH.



Kelebihan Doa di antara Azan dan Iqamat


Daripada Anas bin Malik, Nabi s.a.w. bersabda, terjemahannya:

"Doa tidak ditolak di antara waktu azan dan iqamat."

Hadits Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi


Khamis, 18 Mac 2010

Pernahkah Kita Sebak Menangis Mengingati ALLAH?


Doa menghubungkan seseorang hamba kepada ALLAH. Banyakkanlah berdoa, kerana semakin bertambah permintaan yang dilafazkan kepada ALLAH, insya ALLAH kasih sayang-Nya turut bertambah. Pada masa berdoa, menangislah dengan sepuas-puasnya kerana tangisan itu sedang dilakukan di hadapan ALLAH s.w.t.



Assalaa mu'alaikum w.b.t.,


Pernahkah Kita Sebak Menangis Mengingati ALLAH?

Kita semua dibekalkan fitrah berperasaan. Ada kalanya gembira bertakhta di hati, ada masa yang lain pula sedih bertandang.

Menangis pula sering dihubungkan dengan perasaan sedih, takut, dan bimbang. Tidak kurang juga yang menangis kerana kegembiraan.

Kita sebagaimana manusia biasa pun semestinya pernah menangis. Ini suatu kebiasaan.

Apakah sebabnya kita menangis? Ada banyak sebabnya.

Satu soalan yang kita tujukan kepada diri sendiri, pernahkah kita sebak menangis mengingati ALLAH?

Kita dipujuk untuk sentiasa melatih diri untuk membiasakan tangisan mengingati ALLAH. Tangisan sebegini adalah tidak sia-sia. Diri dipupuk untuk mengagungkan-Nya.


Rasulullah s.a.w. sendiri menangis mengangungkan ALLAH s.w.t.

Rasulullah s.a.w. sendiri kerap menangis mengagungkan ALLAH, mengenangkan bencana dan azab ALLAH yang akan ditimpa kerana kemungkaran umat Baginda s.a.w.

Begitu juga sebaik-baik generasi yang dididik oleh Baginda s.a.w. sendiri, tangisan menjadi kebiasaan bagi mereka dalam hal-hal yang menghubungkan diri kepada ALLAH.


Susah Nak Menangis, Hati Masih Ada Tak Kena

Andai rasa susah untuk menangis, mesti ada yang tak kena dalam hati kita. Ada yang masih kotor dan belum dibersihkan.

Tangisan Istimewa, Datang daripada Hati Bersih yang Benar-benar Mengagungkan ALLAH s.w.t.

Tangisan yang istimewa ialah tangisan seorang hamba yang benar-benar datang dari dalam hatinya, kemudian berderai-derai air mata mengalir. Basah kelopak mata, hidung dan pipi. Tangisan ini tidak dapat lagi dikawal apabila sudah dikuasai perasaan khasyatullah (takut akan ALLAH), benar-benar berharap ALLAH sudi memandang kepadanya, mendengar dan menjawab pengaduan yang dibuat. Tangisan sebegini tidak dapat ditahan lagi apabila hati sudah benar-benar tertumpu bagi ingatan kepada ALLAH.

Dosa Terlalu Banyak, Masih Tidak Selesai, Tidak Terhitung, Bak Gunung yang akan Menghempap Diri

Ingatan kepada ALLAH itu benar-benar membawa dirinya jauh mengakui kelemahan diri. Mengakui dosa-dosa yang dilakukan pada masa silam dan akan datang. Dosa-dosa itu pula tidak terhitung, besar bak gunung yang akan menghempapnya.

Diri kemudiannya terasa seolah-olah sekejap sahaja lagi akan dibawa kepada penyeksaan. Penyeksaan baik di kubur atau di neraka, sebagai balasan kepada segala dosa dan perbuatan yang telah dilakukan.

Air mata pun bertambah deras. Mengingatkan masa-masa lepas yang dibiarkan berlalu dengan sia-sia. Sesal, sungguh kesal. Kesal kerana setiap nafas yang telah diberikan ALLAH itu sungguh berharga. Lebih bernilai daripada daripada dunia dan seisinya.

Selamat atau Tidak Selepas Alam Dunia?

Teresak-esak menangis. Mengenangkan nasib diri setelah berangkat meninggalkan alam dunia ini. Sangat kuat hati menjerit, bertanya: "Adakah aku akan selamat atau tidak?"

Pengadilan ALLAH, Sudah Tidak Mampu Lagi Menafikan Bukti yang Tersimpan Rapi

Hati terus kuat menangis, air mata terus mengalir. Teringat khabar yang telah dibawa Nabi Muhammad s.a.w. . Suasana kebangkitan dan pengadilan di mahsyar nanti penuh dengan ketakutan dan kegusaran. Semuanya akan diadili oleh Qodhi Rabbul Jalil. Amat teliti. Tiada satu apa pun akan terlepas. Semuanya ada balasan setimpal.

Takut, sungguh takut. Adakah amalan yang dibawa diterima oleh Allah? Atau amalan tersebut menyebabkan diri terhumban ke dalam neraka.

Memang banyak. Lebih banyak ingatan sebegini, maka lebih panjang tangisan itu.

Kemuncaknya, Benar-benar Mahu ALLAH Mengampunkan dan Menyelamatkan Diri

Antara kemuncak dalam tangisan itu, hati memang menjerit-jerit meminta ALLAH mendegar permohonan dan memperkenankannya. Diminta supaya diselamatkan diri, ahli keluarga serta umat Islam lain daripada segala bahaya dan seksaan di akhirat. Kerana ALLAH s.w.t. sahaja yang berkuasa dan layak melaksanakannya.

Sabda Baginda s.a.w. , terjemahannya:


Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

Tidak akan masuk neraka seseorang yang menangis kerana takut kepada ALLAH, sehingga air susu itu kembali ke susu, dan tidaklah berkumpul debu di jalan ALLAH dan asap Jahannam.

Hadits Riwayat At-Tirmidzi dan ia berkata, hadits hasan shahih
.
*Hadits dipetik daripada kitab Tujuan Hidup Para Sufi, Syeikh Muhammad Al-Ghazali.


Itulah ketinggian tangisan kerana takutkan ALLAH s.w.t. !




Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

Rabu, 17 Mac 2010

Merendah Diri dan Penulisan Imam Al-Ghazali Mengenainya

Sikap merendah diri atau tawadhu' ialah akhlaq yang mempesonakan dan memikat hati insan lain yang memandangnya. Secara fitrahnya, kita berasa tidak selesa dengan sikap meninggi diri dan takabbur, maka sebaliknya berasa selesa dengan sikap merendah diri.



Assalaa mu'alaikum w.b.t.,


Sikap merendah diri atau tawadhu' adalah salah satu daripada akhlaq mahmudah (terpuji). Sikap ini ialah lawan kepada sikap meninggi diri atau takabbur. Orang yang beriman, berilmu dan beramal sememangnya akan menghiasi diri mereka dengan akhlaq yang amat indah sekali ini. Jika kita memerhatikan keperibadian para 'ulama yang soleh dan ikhlas, kita akan berpeluang untuk memerhatikan sikap tawadhu' ini.

Antara contoh paling dekat dengan kita pada zaman ini ialah Al-Habib Ali Al-Jifri, seorang 'alim dan faqih yang merupakan ahlul bait (keturunan mulia Baginda Muhammad s.a.w. ). Kita dapat perhatikan permata akhlaq ini dalam rakaman video dokumentari yang dibuat mengenai beliau. Al-Habib Ali Al-Jifri apabila beliau menziarahi masyarakat Islam di merata-rata tempat akan sentiasa dikerumuni mereka. Pastinya mereka akan bersalaman, memeluknya dan ada yang mencium tangannya. Apa yang membuatkan hati tersentuh apabila terpandang tindak-tanduknya yang turut mencium tangan sesiapa yang mencium tangannya, termasuklah kanak-kanak kecil.

Bukankah apa yang kita tahu dan faham, kita dianjurkan untuk mencium tangan orang yang lebih mulia?

Bagi manusia biasa, bukankah apabila tangan mereka dicium ketika bersalaman akan datang setidak-tidaknya perasaan gembira dan senang hati kerana mereka dimuliakan? Atau sedikit perasaan kurang baik yang hadir dalam lintasan hati, seolah-olah mereka terasa lebih mulia daripada orang yang mencium tangan mereka?

Maka kita boleh katakan bahawa tindak tanduk Al-Habib Ali Al-Jifri itu adalah salah satu manifestasi kepada sikap tawadhu' beliau yang sangat hebat, yang turut memuliakan insan lain. Kita juga dapat menyatakan bahawa beliau tidak ada perasaan kibr (besar diri) dan lebih mulia daripada insan lain.


Mari bersama-sama kita hayati nasihat Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali rhohimahullahi Ta'ala berkaitan sikap merendah diri (dalam bab Uzlah dan Pergaulan), dipetik daripada kitab "Bimbingan Mukminin Pada Mencari Redha Ilahi" yang merupakan mukhtasar (ringkasan ) bagi kitab besar beliau Ihya 'Ulumiddin seperti yang dicatatkan berikut:


Tawadhu' atau merendah diri itu ialah darjat paling utama sekali bagi manusia. Ini tidak akan berlaku, selagi dia menyendiri, atau duduk berjauhan daripada orang ramai. Mungkin seseorang itu lebih suka ber'uzlah atau memencilkan diri kerana beberapa sebab, misalnya:

  1. Kerana sudah terlalu tua umurnya.
  2. Kerana khuatir dirinya tidak diberikan penghormatan dalam satu-satu keramaian, atau tidak dikedepankan.
  3. Kerana dia merasakan dirinya akan lebih dihormati, apabila dia menjauhkan diri daripada bercampur gaul dengan orang ramai.
  4. Kerana dia menganggap bahawa memencilkan diri itu akan lebih meyakinkan orang ramai dalam kerja-kerja ibadatnya atau kezuhudannya atau sebagainya.

Tanda orang-orang ini ialah mereka lebih suka diziarahi oleh orang ramai, tetapi mereka sendiri tidak suka menziarahi orang lain. Mereka berasa senang sekali, apabila orang-orang umum datang untuk mendekatkan diri kepada mereka, apatah lagi kalau yang datang pula orang-orang yang berpangkat, maka hatinya akan terus melonjak-lonjak kegembiraan. Orang-orang seumpama ini, adalah sangat aneh sikapnya.

Kalaulah kerana terlalu sibuk menguruskan diri sendiri untuk menyebabkan mereka tidak suka bercampur gaul, dan terus memencilkan diri dari orang ramai, tentulah mereka tidak ingin pula orang ramai datang menziarahi mereka. Yang sebenarnya sebab pemencilan diri dan uzlah mereka itu, adalah kerana hendak menguruskan kedatangan orang ramai, kerana hati mereka terpikat oleh pandangan orang ramai terhadapnya dengan penuh penghormatan dan sanjungan.

Ketahuilah, bahawa uzlah dan pemencilan diri kerana sebab-sebab serupa ini, ialah suatu kejahilan dan kebodohan dan boleh ditinjau dari beberapa segi seperti berikut:

1. Bersifat tawadhu' dalam percampurgaulan dengan orang ramai, tidak sama sekali mengurangkan kedudukan atau darjat orang yang berasa sombong dan congkak, disebabkan banyak ilmunya atau mendalam agamanya.

2. Orang yang suka menonjol-nonjolkan diri untuk mendapatkan keredhaan orang ramai, dan memancing kepercayaan mereka kepadanya, oleh orang yang ditipu oleh kemegahan diri sendiri. Sebab kalaulah dia telah mengenal Allah dengan sebenar pengenalan dan ma'rifah, tentulah ia akan maklum, bahawa semua makhluk tidak akan dapat memberi apa-apa manfaat kepadanya dalam sesuatu perkara selain daripada ALLAH. Dan bahawa semua bahaya dan manfaat itu, adalah dalam kekuasaan ALLAH dan taqdir-Nya, malah untuk memperoleh keredhaan manusia sepenuhnya, ialah satu perkara yang sukar untuk dicapai. Oleh sebab yang demikian, maka keredhaan ALLAH itu adalah lebih utama dituntut.

Kerana hal ini jugalah, maka Imam Syafi'ie telah berkata kepada Yunus bin 'Abdul A'la:

Demi ALLAH! Apa-apa yang katakan kepada kamu ini, adalah sebagai nasihat semata-mata. Ingatlah, tiada jalan untuk mencapai keselamatan daripada mana-mana manusia pun.

Oleh sebab yang demikian itu, maka hendaklah engkau teliti baik-baik, apa yang boleh mendatangkan kemaslahatan bagimu hendaklah engkau lakukan.

Kalau begitu, barangsiapa yang sengaja memencilkan dirinya di dalam rumah, dengan tujuan agar orang ramai dapat memandangnya dengan pandangan penuh kepercayaan dan i'tiqad, adalah dalam bahaya yang besar di dunia, kemudian azab di akhirat pula akan menunggunya, dan azab itu lebih besar kiranya mereka mengetahui.

Kesimpulannya:

Tidaklah dipandang baik menguzlahkan diri atau duduk berpencilan seorang diri menghabiskan masa, kecuali kalau kerana tujuan mempelajari ilmu pengetahuan, sekira-kira jika ia bergaul dengan orang ramai nescaya semua masanya akan hilang, dan banyak pula bahaya lain yang akan timbul.





Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

Selasa, 16 Mac 2010

Musibah Kemalasan





Tidak ada musibah yang lebih besar selain kemalasan dan hilangnya semangat dari hati seseorang untuk berbuat baik. Maka ketahuilah, bahwa dia sedang tertimpa musibah yang paling besar yang tiada lagi musibah yang lebih besar dari itu.

~ Al Habib Abdullah bin Alwi Al-Haddad



Isnin, 15 Mac 2010

Resipi Sambal Ikan Bilis


Gambar sekadar hiasan. Memasak pun 'ibadah jika ikhlas. Oh, indahnya hidup ini!


Assalaa mu'alaikum w.b.t.,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


Menjadi pelajar di perantauan, mahu tidak mahu kemahiran memasak perlu dipelajari dan dikuasai. Banyak faktor dorongan:

  1. Kurangnya kedai makanan yang halal dan murah.
  2. Ingin menjimatkan kewangan.
  3. Menjaga kesucian makanan, terjamin dimasak sendiri, insya Allah usaha semampu mungkin menjaga keberkatan.

Mesra.net memang terkenal dalam kalangan para pelajar di perantauan. Sifu memasak atas talian lah katakan, ^_^

Saya sekadar menyalin resipi ini daripada laman tersebut. Moga berkat dan mahir memasak, insya Allah.

Bahan-bahan:

Ikan bilis secukupnya.
1 biji bawang besar.
Cili(cili api+cili kering)
Bawang putih&merah.
Minyak.
Garam.
Gula biasa & gula perang.
Asam jawa.

Cara-cara:

Panaskan minyak untuk mengoreng ikan bilis dan bawang kemudian asingkan. Jangan buang minyak tadi gunakan untuk memasak sambal. Cili dimesin bersama bawang putih dan merah. Panaskan minyak dan masukkan cili yang telah dimesin tadi. Biar selama 5 minit diatas api. Masukkan air asam jawa gula dan garam. Biarkan sehingga betul-betul garing. Perlahankan api dan masukkan ikan bilis dan bawang yang telah digoreng tadi.

Selamat mencuba! ^_^


Ya ALLAH, jadikanlah kami dan umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

Ahad, 14 Mac 2010

Baiki Keadaan Diri Untuk Mendapat Pertolongan ALLAH



"Wahai, kaum muslimin! Lawan dan musuhmu berani menyerang dan menjajah kamu hanyalah kerana Allah meninggalkan kamu. Janganlah kamu mengira bahawa musuhmu telah meraih kemenangan atas kamu tetapi sesungguhnya Allah Yang Maha Pelindung dan Maha Penolong telah berpaling dari kamu. Demi Allah, musuh-musuhmu bukannya kuat, tetapi umat Islam yang lemah."
(As-Syahid Hasan al-Banna)

Sabtu, 13 Mac 2010

Kedudukan Ayahanda, Bonda Nabi SAW


Assalaa mu'alaikum w.b.t.,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Artikel ini disalin daripada Blog Yayasan Sofa Kuala Lumpur yang mendapat pimpinan Tuan Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki.



ALHAMDULILLAH, sekali lagi kita diberi peluang melalui hari-hari bulan Rabiulawal yang sarat dengan kenangan dan ingatan terhadap Nabi dan kekasih kita Saiduna Muhammad SAW.

Memperingati dan meraikan kelahiran baginda SAW adalah suatu tanda dan bukti kecintaan kita terhadap baginda yang menjadi salah satu pokok ajaran dalam agama kita. Malangnya, tetap ada di sana, suara-suara yang mempertikaikan keperluan dan keutamaan menyambut Mawlid Nabi SAW.

Insya-Allah, di kesempatan yang akan datang ruangan ini akan membincangkan secara khusus berkenaan isu ini yang sepatutnya sudah tidak perlu ditimbulkan lagi.

Ruangan ini terpanggil untuk menjelaskan suatu persoalan yang jika tidak ditangani dengan baik boleh menyebabkan kita terlibat dengan perbuatan yang menyakiti Nabi SAW lantas bercanggah dengan dakwaan cinta-kasih kita terhadap baginda SAW.

Persoalan yang dimaksudkan adalah dakwaan bahawa ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah di kalangan mereka yang musyrik serta ditempatkan ke neraka.

Kami terpanggil untuk menyentuh soal ini apabila mendapati dakwaan sebegini boleh menimbulkan kekeliruan.

Masyarakat Arab jahiliah

Zaman Jahiliah yang meliputi era kegelapan masyarakat Tanah Arab adalah suatu zaman yang dipenuhi dengan unsur syirik dan kepercayaan animisme yang tebal.

Manusia pada zaman tersebut melakukan amal ibadat berdasarkan kepercayaan nenek moyang mereka yang telah menyeleweng sekian lama.

Diriwayatkan bahawa pegangan asal masyarakat Arab pada peringkat awalnya ialah ajaran Nabi Ibrahim a.s. Lama-kelamaan ajaran ini ditinggalkan dan dipercayai bahawa bermulanya era penyembahan berhala ketika di bawa masuk ke Tanah Arab oleh Amru ibnu Luhay yang terkesan dengan cara penyembahan berhala masyarakat asing.

Berkata al-Hafiz Ibnu Kathir di dalam al Bidayah wa al Nihayah: "Adapun hal keadaan masyarakat Arab itu, mereka tetap sentiasa berada di atas agama Nabi Ibrahim AS sehinggalah 'Amru ibnu 'Amir al Khuza'i memerintah Mekah selepas merampas kuasa menjaga kaabah daripada datuk Nabi SAW. Maka 'Amru ibnu 'Amir telah mengasaskan penyembahan berhala dan amalan-amalan kaum jahiliah yang sesat."

Kesesatan ini tersebar meluas sehinggalah ia dihapuskan oleh Allah melalui perutusan Rasulullah SAW.

Ahli fatrah

Setelah sekian lama amalan penyembahan berhala berterusan dan jarak perutusan seorang nabi dengan nabi yang lain terlalu jauh, maka masyarakat penyembah berhala ini mendapat keuzuran daripada sebarang petaklifan.

Mereka inilah yang digelar sebagai ahli fatrah iaitu manusia yang hidup di suatu zaman yang tiada di sana perutusan sebarang rasul.

Golongan ini walaupun melakukan penyembahan berhala, akan tetap terselamat daripada seksaan neraka menurut jumhur Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan firman Allah SWT: Dan Tidaklah kami mengazab sesuatu kaum melainkan setelah kami utuskan buat mereka seorang Rasul yang menyampaikan seruan Islam. (al Isra': 15)

Agama dan kepercayaan

Dalam keadaan masyarakat yang begitu tebal kepercayaan mereka terhadap amalan penyembahan berhala, terdapat juga agama dan kepercayaan lain yang diamalkan di zaman jahiliah di antaranya; agama kaum Yahudi dan Nasrani yang telah terseleweng daripada acuan asalnya.

Demikian juga tidak sunyi pada zaman tersebut daripada sekelompok manusia yang masih berpegang teguh dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s yang masyhur dikenali sebagai agama hanif.

Ajaran ini tidaklah tersebar luar sehingga menjadi amalan yang tersebar di seluruh Tanah Arab, akan tetapi ia tetap dipegang dan diamalkan oleh kebanyakan anak cucu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sentiasalah ada dari kalangan zuriat Nabi Ibrahim AS, satu golongan manusia yang tetap di atas fitrah (beriman) menyembah Allah.

Ada banyak fakta sejarah yang diriwayatkan yang mendokong beberapa hadis nabi SAW bahawa ramai di kalangan datuk moyang baginda SAW yang berpegang dengan agama hanif tanpa mencampuradukkan ia dengan amalan penyembahan berhala.

Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Adalah Adnan, Ma'ad, Rabi'ah, Mudhar, Khuzaimah dan Asad berada di atas agama Ibrahim AS, janganlah sesekali kamu menyebut perihal mereka melainkan dengan ucapan yang baik.

Daripada perbahasan di atas secara ringkasnya kita mendapati bahawa kebanyakan mereka yang meninggal dunia sebelum perutusan Rasulullah SAW adalah terselamat daripada seksaan neraka, sama ada mereka dari kalangan penyembah berhala mahupun yang berpegang dengan ajaran Nabi Ibrahim.

Oleh yang demikian, tidak bolehlah kita melaung-laungkan suara bahawa nenda, ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah dari kalangan penghuni neraka. Kerana ia secara jelas bersalahan dengan i'tikad Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menyentuh tentang perbahasan akidah ayahanda dan bonda Rasulullah SAW, pendapat yang tepat dan terpilih adalah mereka ini dari kalangan yang mengamalkan ajaran Nabi Ibrahim a.sdaripada anak cucu Adnan. Ini juga kerana tidak terdapat nas yang thabit yang menunjukkan bahawa mereka adalah penyembah berhala.

Bahkan fakta-fakta sejarah yang dikutip daripada kitab-kitab sirah banyak merakamkan bukti yang jelas bahawa mereka adalah golongan yang beriman.

Dalam dalil yang umum pula, keimanan mereka dinyatakan melalui firman Allah SWT: Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua (Nabi Ibrahim dan Ismail), orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami, umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu. (al-Baqarah: 128)

Dikeluarkan oleh Ibnu Jarir al-Tobari di dalam tafsirnya, daripada Mujahid mengenai pentafsiran ayat 35 surah Ibrahim yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri ini (Mekah) negeri yang aman dan jauhkanlah aku dan anak-anak cucuku daripada menyembah berhala.

Ibnu Jarir berkata: "Allah telah memperkenankan doa Nabi Ibrahim untuk anak-cucunya, maka tiada seorang pun dari kalangan zuriatnya yang menyembah berhala".

Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim di dalam tafsirnya, Sufyan ibn 'Uyainah r.a ditanya: Adakah terdapat salah seorang daripada zuriat Nabi Ismail a.s yang menyembah berhala?

Beliau menjawab: Tidakkah kamu mendengar firman Allah SWT (bermaksud): Dan jauhkanlah aku (Nabi Ibrahim) dan anak-anak cucuku daripada menyembah berhala. (Ibrahim: 35)

Allah SWT berfirman (maksudnya): Yang melihat pergerakan dirimu di antara orang-orang yang sujud. (al Syu'ara': 219)

Mengenai penafsiran ayat ini, Ibnu Abbas RA berkata: "Dan dari seorang Nabi kepada seorang Nabi yang lain, kemudian kepada seorang Nabi sehinggalah dilahirkan Baginda SAW sebagai seorang nabi".

Ibnu Abbas r.a mentasirkan firman Allah SWT ini sebagai perpindahan benih daripada sulbi seorang nabi ke sulbi nabi seterusnya yang tergolong dari kalangan para sajidiin (mereka yang sujud dan beriman kepada Allah).

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah aku dilahirkan daripada perzinaan kaum Jahiliah walau sedikitpun dan tidaklah aku dilahirkan melainkan daripada hasil pernikahan seumpama Islam".

Diriwayatkan dalam Dalail al Nubuwwah daripada Ummu Sama'ah binti Abi Ruhm, daripada ibunya berkata: Aku telah menyaksikan Aminah bonda Rasulullah SAW ketika gering dan Muhammad ketika itu berusia lima tahun duduk di sisi kepalanya. Maka Aminah memandang wajahnya seraya berkata: "Semoga Allah memberkatimu dari kecil, wahai anak daripada ayahandanya (Abdullah) yang ditakdirkan mati, tetapi telah terselamat dengan pertolongan Allah Raja Yang Memberikan Nikmat, dia telah ditebus pada keesokan paginya ketika hendak disembelih, dengan seratus ekor unta yang mahal. Sekiranya benar apa yang telah aku saksikan ketika tidur, engkau akan diutuskan kepada sekalian makhluk; dari sisi Tuhan Yang Mempunyai Keagungan dan Kemuliaan; Engkau akan diutuskan di Tanah Halal dan Haram; diutuskan juga dengan kebenaran dan Islam, agama datukmu Ibrahim yang mulia, maka Allah telah menghalangmu daripada mendekati berhala supaya kamu tidak menyembahnya bersama kaum jahiliah".

Mengambil kira pelbagai hujah berkenaan isu ini, jelaslah bahawa ruang untuk mengelakkan tanggapan buruk terhadap nasib kesudahan ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah terbuka luas bagi kita.

Marilah kita mengambil sikap yang lebih selamat yang sebenarnya menjadi sikap ulama-ulama terbilang dulu dan kini termasuklah, Al-Imam al-Hafiz Jalaluddin al Suyuti r.a yang dilaporkan berkata: "Aku berfatwa sesungguhnya yang layak (dii'tikadkan), bahawa bonda Rasulullah SAW beriman dan mentauhidkan Allah serta kesudahannya adalah sepertimana mereka yang menganut agama hanif pada zaman jahiliah iaitu agama Nabi Ibrahim al-Khalil yang tidak melakukan amalan menyembah berhala".

Kita juga mendapati Mufti Mesir, Sheikh Dr. Ali Juma'ah dalam koleksi fatwanya (Al-Bayan Lima Yushghilu al-Azhan, ms.170) mengajak kita untuk memahami nas-nas yang bercanggah dengan kesimpulan ini dengan takwilan yang lebih selari dengan nas-nas yang lebih kukuh dan lebih sesuai dengan ketinggian darjat Nabi SAW.

Semoga kita sentiasa digolongkan di kalangan mereka yang memelihara kemuliaan dan menunaikan hak Baginda SAW dengan sebaik-baiknya.



Ya ALLAH, jadikanlah kami dan umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

Jumaat, 12 Mac 2010

Kemuliaan Berdampingan dengan Al-Quran

Al-Quran Al-Karim ialah kitab suci yang menjadi mu'jizat terbesar bagi Nabi Muhammad s.a.w. dan terpelihara sehingga hari ini dan hari akhirat kelak. Apabila kita membaca ayat al-Quran, hendaklah kita menghadirkan perasaan mengagungkan Allah kerana ayat yang dibaca itu ialah kalam Allah, Tuhan sekelian alam Yang Maha Agung.



Assalaa mu'alaikum w.b.t.,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


Selamat bertemu kembali. Puji kita hadapkan kepada Pemberi segala nikmat. Mudah-mudahan kita menjadi hamba bersyukur.

Kali ini, kita mengajak diri kita untuk merenung dan berbincang mengenai Kitab Agung yang ditinggalkan oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w. kepada kita selaku umatnya.

Kita bertanya kepada diri kita, sejauh manakah kita mengambil manfaat sepenuhnya daripada kitab suci yang terjamin daripada sebarang penyelewengan ini?

Adakah kita benar-benar menghargai pemberian yang tiada ternilai ini?

Adakah teks ataupun mushaf Al-Quran yang kita miliki hanya tersimpan rapi di rak buku dan hanya mula dibuka apabila bulan Ramadhan bertandang?

Mungkinkah juga teks atau mushaf Al-Quran itu sudah diselaputi debu di atasnya, lantaran jarangnya kita menyentuh dan membaca mushaf Al-Quran?

Agak banyak soalan di atas. Tak mengapa. Soalan-soalan itu dapat dijadikan titik tolak untuk kita menilai keadaan diri dan seterusnya membaiki apa bentuk kekurangan yang ada. Kita umat Nabi Muhammad s.a.w. dididik untuk sentiasa berusaha membaiki keadaan diri dan tidak berputus asa dengan rahmat Allah.

Sumber Kebajikan dan Pahala yang Sangat Besar

Ya, itulah Al-Quran. Setiap huruf yang dibaca mendapat 10 pahala. Setiap kebajikan pula digandakan antara 10 hingga 700. 'Ulama ada menyebut, jika Allah ingin menggandakan pahala kebaikan lebih daripada 700 pun tidak menjadi masalah bagi-Nya. Hal ini demikian kerana sifat Maha Pemurah Allah dan kekayaan-Nya yang tidak sama sekali akan berkurangan.

Kesibukan Berdampingan dengan Al-Quran

Dalam sebuah pengajian, Tuan Guru Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizahullah ada menyatakan bahawa ada hadits Nabi Muhammad s.a.w. yang menyebut bahawa Allah akan memberikan sesuatu yang lebih baik kepada orang yang sibuk membaca kitab-Nya daripada orang yang sekadar berdoa kepadanya.

Berikut ialah petikan daripada kitab Fadhilat Al-Quran, tulisan Shaikhul Hadits Maulana Muhammad Zakariya Rahmatullah 'alaih, hadits kedua. Semoga mendapat manfaat, dan kekuatan untuk mengamalkan 'ilmu ini.

Terjemahan:

Abu Sa'id r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Allah s.w.t. berfirman: "Jikalau sesiapa mendapati tidak ada masa untuk mengingati-Ku dan berdoa kepada-Ku kerana sibuk dengan Al-Quran maka Aku akan mengurniakan kepadanya perkara yang terbaik yang Aku kurniakan kepada orang yang berdoa kepada-Ku. Ketinggian perkataan Allah s.w.t. atas segala perkataan adalah seumpama ketinggian Allah s.w.t. atas segala makhluk (ciptaan-Nya)."

Hadits Riwayat Tirmizi, Darimi dan Baihaqi.
Keterangan:

Maksud hadits di atas ialah seseorang yang sentiasa sibuk menghafal, mempelajari atau memahami Al-Quran sehingga tidak ada masa untuk berdoa maka Allah s.w.t. akan mengurniakan kepadanya sesuatu yang lebih baik daripada yang diberikan kepada orang lain yang berdoa kepada-Nya. Suatu perkara yang lumrah di dunia ini adalah apabila ada seseorang yang sedang membahagi-bahagikan kuih-muih dan salah seorang yang layak menerima kuih itu sibuk melakukan urusan bagi pihak si pembahagi itu sendiri sehingga menyebabkan dia tidak dapat hadir untuk mendapatkan bahagiannya maka sudah tentu bahagian untuknya akan disimpan terlebih dahulu.

Berkenaan keadaan yang sama seperti hadits di atas, dalam hadits yang lain dinyatakan bahawa Allah s.w.t. akan mengurniakan kepada orang yang sibuk dengan Al-Quran pahala yang lebih afdal daripada pahala yang diberikan keapda hamba-hamba-Nya yang bersyukur.

Tamat petikan daripada kitan Fadhilat Amal.


Maka jelaslah bagi kita ketinggian kedudukan amalan membaca Al-Quran dan berdampingan dengannya.

Inilah janji dan jaminan Allah yang tiada keraguan padanya.

Apa kata kita cuba mula melakukannya? Tak perlu banyak. Mula dengan sedikit. Dengan hati tidak berasa tekanan dan malas. Kemudian cuba kekalkannya supaya konsisten.

Bukankah amalan yang sedikit tetapi berterusan itu lebih dicintai Allah s.w.t. daripada amalan yang banyak tetapi tidak berterusan. ( Ada maksud hadits seperti ini, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab sahihnya.)

Cuba kita ambil masa dalam 5 minit selepas setiap solat fardhu 'Isyak untuk membaca Al-Quran, mungkin beberapa baris sahaja.

Insya Allah, lama-kelamaan nafsu jahat dan malas kita akan dapat dikekang dan kita akan dapat membiasakan diri dengan 'amalan soleh.

Selamat ber'amal. Moga redha Allah menjadi buruan dan habuan kita.



Ya ALLAH, jadikanlah kami dan umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...