Ulama Benteng

Ulama Benteng

Selasa, 2 Mac 2010

Teruskan Usaha Merebut Kasih Sayang Allah


Cinta Allah kepada hamba-Nya mengatasi cinta seorang ibu kepada anak yang baru dilahirkannya. Andai diri sudah dapat mengenal diri sendiri, maka dia akan mengenal Allah. Mulalah diri terasa sudah lemas berada dalam lautan rahmat dan kasih sayang Allah.




Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


Selamat Tiba di Adelaide.

Pada hari Ahad 28 Februari 2010, alhamdulillah al-Faqir selamat tiba di bumi Adelaide setelah hampir 3 bulan meninggalkannya kerana bercuti di tanah air. Sebelum tiba di sini, saya berhenti lebih kurang sehari di bumi Perth. Laluan yang saya ambil adalah K. Lumpur-Singapura-Perth-Adelaide. Laluan ini lebih menjimatkan jika dibandingkan dengan penerbangan terus KL-Adelaide menaiki MAS. Bermusafir dalam keadaan berseorang diri memang ada cabarannya yang tersendiri. Namun, puji dipanjatkan kepada Allah s.w.t. yang sebenarnya sentiasa menjadi Teman setia dan terhampir kepada para hamba-Nya. Cuma mungkin kita masih kurang menyedari dan meyakininya.

Singgah di Perth

Saya transit di Perth mulai Jumaat malam Sabtu hingga pagi Ahad. Syukur kepada Allah adanya sahabat seperjuangan yang sudi menjemput saya dari lapangan terbang dan menumpangkan rumahnya. Inilah keperluan dan kehebatan yang ada pada ukhuwwah Islamiyyah, dengan izin Allah sahabat-sahabat kita akan dapat membantu kita. Lebih-lebih lagi jika ada sahabat-sahabat di banyak tempat, memudahkan kita untuk bermusafir.


Kuasa Allah, Pertemuan Tak Dirancang

Sememangnya saya ada merancang untuk bertemu dan menziarahi sahabat-sahabat yang dikenali sedia kala. Dengan izin dan kehendak-Nya, dipertemukan juga saya dengan beberapa insan baru, dan khususnya lebih segar dan bersemangat lagi dengan Akhi Nazirul. Wajahnya yang seiras dengan mantan Presiden BRU MCKK tahun 2002 serta merupakan sahabat kepada sahabat saya Akhi Zulhusmi menyebabkan pertemuan dan perkenalan kami menjadi lebih ramah dan mesra. Allahu Allah, saya berasa beruntung sangat dipertemukan dengan insan seperti beliau. Seperti mana yang kita selalu doakan, agar dipertemukan dengan orang-orang soleh dimakbulkan Allah. Memang, insan-insan yang bersih hatinya akan terpancar kebersihan tersebut melalui raut wajah yang sentiasa manis, serta percakapan yang menenangkan hati mendengar dan menghiburkan. Insya Allah dan alhamdulillah, ukhuwwah baru ini dijalinkan.


Memulakan Tahun Kedua Pengajian

Ya Allah, dipohonkan bantuan, kekuatan dan pemeliharaan-Mu kerana hamba sentiasa kerdil dan sentiasa lemah serta berhajat kepada-Mu.

Memang ada peperangan emosi. Asyik teringat dan terkenangkan mak ayah di rumah, dan adik-beradik. Buat mak ayah, anakanda tahu dengan jauhnya kedudukan fizikal kita, anakanda tak mampu nak beri jasa dan khidmat yang terbaik. Insya Allah, anakanda akan sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kita semua. Ya, kita semua semakin hampir untuk berangkat ke perkampungan akhirat. Moga-moga Allah melanjutkan usia kita untuk memperhebat persiapan ke sana. Pimpinan dan keampunan Allah sentiasa dipohon.


Saya tidak mahu lagi jatuh ke dalam lubang yang sama! Lubang yang sangat menjijikkan, yang sangat memalukan, yang akan menyebabkan penyesalan tiada henti di padang mahsyar nanti. Lubang tersebut ada macam-macam bentuk, selagi mana namanya tempat kita duduk ini dunia serta sikap syaitan yang tidak akan berputus asa untuk menghasut dan merosakkan iman dan amal kita. 'Alim-ulama ada menyebut, ada syaitan yang dia bertahan untuk berusaha merosakkan amal seseorang walau memakan masa berpuluh-puluh tahun.

Memang takut perasaan ini apabila berada dalam keadaan ghuraba' di negara bukan Islam ini. Diri lebih terdedah kepada pelbagai bentuk serangan dan ancaman yang akan merosakkan iman dan amal. Juga, dalam keadaan bersendirian, lebih kuat serangan syaitan untuk mengheret diri untuk bersama-sama dengan mereka di dalam neraka kelak. Na'uzubillahi min zalik.


Moga tahun ini, Allah memberikan kekuatan kepada saya dan sahabat-sahabat lain untuk lebih meningkatkan ketaqwaan, lebih tegas dan garang berhadapan dengan nafsu jahat. Allahu Allah, jauh dalam hati ini, hamba amat mengharapkan setiap detik yang hamba akan lalui selepas ini lebih sarat dengan ketaqwaan kepada-Mu, tidak terbuang dengan sia-sia serta lebih rapat lagi pintu kelalaian dan kemaksiatan ditutup.

Mungkin sampai di sini catatan peribadi saya muatkan di sini. Moga-moga kita dapat mengambil 'ibrah daripadanya.

Berikut, saya berhajat untuk memuatkan dua buah hadits qudsi untuk tatapan dan penghayatan kita bersama.


Seruan Allah kepada Hamba-Nya

Berbakti kepada Allah

"Hai Muhammad, Telah Aku perintahkan kepada umatmu, supaya melakukan solat lima kali sehari semalam, dan Aku janjikan masuk syurga sesiapa sahaja yang tidak melalaikannya. Terhadap orang-orang yang melalaikannya janji-Ku itu batal."

Riwayat Ibnu Majah, daripada Abu Hurairah


Kadang-kadang Aku bermaksud akan menyeksa hamba-hamba-Ku, tetapi sewaktu Aku melihat orang-orang yang berduyun-duyun mengunjungi masjid, orang-orang yang mendengarkan ayat-ayat-Ku, anak-anak Muslim yang seronok belajar agama, redha tenteramlah kembali amarah-Ku.

(Al-Ja'bar)


Besar dan hebat kan kasih sayang Allah kepada kita? Semoga kita tidak mensia-siakannya.



Hadits yang dimuatkan di atas merujuk kepada buku Taman Syurga Idaman, Himpunan Hadith-hadith Qudsi susunan Ustaz Rosli Hj. Ibrahim, terbitan Jasmin Enterprise.



Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu. Matikanlah kami dalam menyebut kalimah tauhid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...