Ulama Benteng

Ulama Benteng

Khamis, 18 Mac 2010

Pernahkah Kita Sebak Menangis Mengingati ALLAH?


Doa menghubungkan seseorang hamba kepada ALLAH. Banyakkanlah berdoa, kerana semakin bertambah permintaan yang dilafazkan kepada ALLAH, insya ALLAH kasih sayang-Nya turut bertambah. Pada masa berdoa, menangislah dengan sepuas-puasnya kerana tangisan itu sedang dilakukan di hadapan ALLAH s.w.t.



Assalaa mu'alaikum w.b.t.,


Pernahkah Kita Sebak Menangis Mengingati ALLAH?

Kita semua dibekalkan fitrah berperasaan. Ada kalanya gembira bertakhta di hati, ada masa yang lain pula sedih bertandang.

Menangis pula sering dihubungkan dengan perasaan sedih, takut, dan bimbang. Tidak kurang juga yang menangis kerana kegembiraan.

Kita sebagaimana manusia biasa pun semestinya pernah menangis. Ini suatu kebiasaan.

Apakah sebabnya kita menangis? Ada banyak sebabnya.

Satu soalan yang kita tujukan kepada diri sendiri, pernahkah kita sebak menangis mengingati ALLAH?

Kita dipujuk untuk sentiasa melatih diri untuk membiasakan tangisan mengingati ALLAH. Tangisan sebegini adalah tidak sia-sia. Diri dipupuk untuk mengagungkan-Nya.


Rasulullah s.a.w. sendiri menangis mengangungkan ALLAH s.w.t.

Rasulullah s.a.w. sendiri kerap menangis mengagungkan ALLAH, mengenangkan bencana dan azab ALLAH yang akan ditimpa kerana kemungkaran umat Baginda s.a.w.

Begitu juga sebaik-baik generasi yang dididik oleh Baginda s.a.w. sendiri, tangisan menjadi kebiasaan bagi mereka dalam hal-hal yang menghubungkan diri kepada ALLAH.


Susah Nak Menangis, Hati Masih Ada Tak Kena

Andai rasa susah untuk menangis, mesti ada yang tak kena dalam hati kita. Ada yang masih kotor dan belum dibersihkan.

Tangisan Istimewa, Datang daripada Hati Bersih yang Benar-benar Mengagungkan ALLAH s.w.t.

Tangisan yang istimewa ialah tangisan seorang hamba yang benar-benar datang dari dalam hatinya, kemudian berderai-derai air mata mengalir. Basah kelopak mata, hidung dan pipi. Tangisan ini tidak dapat lagi dikawal apabila sudah dikuasai perasaan khasyatullah (takut akan ALLAH), benar-benar berharap ALLAH sudi memandang kepadanya, mendengar dan menjawab pengaduan yang dibuat. Tangisan sebegini tidak dapat ditahan lagi apabila hati sudah benar-benar tertumpu bagi ingatan kepada ALLAH.

Dosa Terlalu Banyak, Masih Tidak Selesai, Tidak Terhitung, Bak Gunung yang akan Menghempap Diri

Ingatan kepada ALLAH itu benar-benar membawa dirinya jauh mengakui kelemahan diri. Mengakui dosa-dosa yang dilakukan pada masa silam dan akan datang. Dosa-dosa itu pula tidak terhitung, besar bak gunung yang akan menghempapnya.

Diri kemudiannya terasa seolah-olah sekejap sahaja lagi akan dibawa kepada penyeksaan. Penyeksaan baik di kubur atau di neraka, sebagai balasan kepada segala dosa dan perbuatan yang telah dilakukan.

Air mata pun bertambah deras. Mengingatkan masa-masa lepas yang dibiarkan berlalu dengan sia-sia. Sesal, sungguh kesal. Kesal kerana setiap nafas yang telah diberikan ALLAH itu sungguh berharga. Lebih bernilai daripada daripada dunia dan seisinya.

Selamat atau Tidak Selepas Alam Dunia?

Teresak-esak menangis. Mengenangkan nasib diri setelah berangkat meninggalkan alam dunia ini. Sangat kuat hati menjerit, bertanya: "Adakah aku akan selamat atau tidak?"

Pengadilan ALLAH, Sudah Tidak Mampu Lagi Menafikan Bukti yang Tersimpan Rapi

Hati terus kuat menangis, air mata terus mengalir. Teringat khabar yang telah dibawa Nabi Muhammad s.a.w. . Suasana kebangkitan dan pengadilan di mahsyar nanti penuh dengan ketakutan dan kegusaran. Semuanya akan diadili oleh Qodhi Rabbul Jalil. Amat teliti. Tiada satu apa pun akan terlepas. Semuanya ada balasan setimpal.

Takut, sungguh takut. Adakah amalan yang dibawa diterima oleh Allah? Atau amalan tersebut menyebabkan diri terhumban ke dalam neraka.

Memang banyak. Lebih banyak ingatan sebegini, maka lebih panjang tangisan itu.

Kemuncaknya, Benar-benar Mahu ALLAH Mengampunkan dan Menyelamatkan Diri

Antara kemuncak dalam tangisan itu, hati memang menjerit-jerit meminta ALLAH mendegar permohonan dan memperkenankannya. Diminta supaya diselamatkan diri, ahli keluarga serta umat Islam lain daripada segala bahaya dan seksaan di akhirat. Kerana ALLAH s.w.t. sahaja yang berkuasa dan layak melaksanakannya.

Sabda Baginda s.a.w. , terjemahannya:


Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

Tidak akan masuk neraka seseorang yang menangis kerana takut kepada ALLAH, sehingga air susu itu kembali ke susu, dan tidaklah berkumpul debu di jalan ALLAH dan asap Jahannam.

Hadits Riwayat At-Tirmidzi dan ia berkata, hadits hasan shahih
.
*Hadits dipetik daripada kitab Tujuan Hidup Para Sufi, Syeikh Muhammad Al-Ghazali.


Itulah ketinggian tangisan kerana takutkan ALLAH s.w.t. !




Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...