Ulama Benteng

Ulama Benteng

Sabtu, 31 Julai 2010

Doa yang Baik oleh Seorang Hamba


Sumber gambar.


Doa menjadi satu ibadah yang utama dan sangat dituntut oleh agama Islam. Bahkan untuk menggambarkan kedudukan doa yang sangat utama itu, kita dikhabarkan dengan:

"Doa ialah ibu (ataupun otak jika diambil terjemahan secara literal) bagi segala ibadah."

Dengan doa, kita berupaya untuk melafazkan kata-kata munajat, permohonan, dan bermonolog dengan Allah, Tuhan Yang Maha Mendengar dan Maha Menciptakan kita.

Bagi orang-orang yang arif akan Allah, mereka menjadikan amalan berdoa sebagai sesuatu yang tidak lekang daripada lidah dan hati mereka.

Dalam menjaga adab sebagai seorang hamba, apakah bentuk doa yang baik?

Ulama tasawwuf ada menyebut, dalam susunan al-Faqir seperti berikut (rumusan daripada apa yang diajarkan oleh guru kita yang mulia, Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizohullah):

Doa yang lebih baik yang dipanjatkan oleh seorang hamba kepada Tuhannya ialah doa yang memohon agar dia dikurniakan kemudahan, kekuatan, keikhlasan oleh Tuhan bagi melaksanakan tugasnya sebagai hamba.

Hamba tersebut tidak meminta-minta rezeki seperti kekayaan harta benda kerana dia amat meyakini bahawa pengetahuan Allah tentang keperluannya adalah melebihi pengetahuannya. Dia yakin bahawa Allah yang menjadi Sebaik-baik Pemberi Rezeki tidak akan cuai dalam memberikan apa yang diperlukannya.


Mesej untuk kita: Insya Allah, kita pupuk amalan mulia berdoa, memohon kepada Allah agar kita dimudahkan, diberikan kekuatan untuk melaksanakan tugas kita sebagai hamba-Nya dengan sebaik-baiknya. Tidak perlu gusar lagi dengan nasib dan kurniaan yang akan diterima, seandainya Tuhan Pemilik diri kita sudah benar-benar redha, gembira dengan ketaatan yang kita persembahkan kepada-Nya.


Susunan al-Faqir ilaLlah al-Ghaniyy,
Mohd Ikhwan Ahmad Zhaki

Selasa, 27 Julai 2010

Bahaya Akal Tanpa Pimpinan Wahyu


Poster ini gambarnya saya ambil di Universiti Adelaide.


Akal fikiran manusia jika tidak mendapat pimpinan dan petunjuk wahyu akan mengundang pelbagai masalah yang kritikal.

Gambar di atas dapat menjadi salah satu bukti kecelaruan yang berlaku lantaran kebebasan manusia berfikir.

Satu fakta tentang Australia, negara ini ialah negara sekular. Pemerintahan negara diasingkan daripada urusan agama. Rakyat bebas memilih dan mengamalkan sebarang agama.

Kumpulan pejuang isu perkahwinan sejenis ini dilihat lantang bersuara dan konsisten. Baru-baru ini, kelihatan sekumpulan mereka berdemonstrasi di tengah-tengah kesibukan bandar Melbourne dengan mengibarkan sepanduk dan melaung-laungkan suara menggunakan pembesar suara.

Maha Suci Allah. Syukur kepada-Nya atas nikmat hidayah dan pimpinan Al-Quran. Menjadi kewajipan bagi kita untuk memperkuat benteng akidah dan kefahaman Islam yang benar untuk kita, generasi sekarang dan akan datang, supaya umat kita tidak diranapkan dengan serangan pemikiran.


”Kaum Luth telah mendustakan Rasul-Nya, ketika saudara mereka Luth, berkata kepada mereka ” Mengapa kamu tidak bertaqwa?”.

Sesungguhnya aku adalah seorang Rasul kepercayaan ( yang diutus ) kepadamu, maka bertaqwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakan itu; upahku tidak lain hanyalah daripada Tuhan semesta alam.

Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki di antara manusia, dan kamu tinggalkan isteri-isteri yang dijadikan Tuhanmu untukmu, bahkan kamu adalah orang-orang yang melampaui batas.

Mereka menjawab ” Hai Luth, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti, benar-benar kamu termasuk orang yang diusir”.

Luth berkata ” Sesungguhnya aku sangat benci kepada perbuatanmu “.


( Al-Quran Surah Asy-Syu'ara, ayat 160-168 ).

Isnin, 19 Julai 2010

Tasauf Hakiki dan Penyelewengan


Gambar hiasan, Masjid Quba.


*Artikel ini dipetik dari laman Yayasan Sofa Kuala Lumpur.

Oleh Panel Penyelidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan

Sedar atau tidak sudah masuk minggu ke sembilan kita berbicara tentang Tasauf di ruang ini. Dalam siri terakhir ini kita akan cuba menyorot beberapa fahaman dan ajaran yang menyeleweng yang dinisbahkan kepada Tasauf selain cuba merumuskan pandangan kita tentang Tasauf.

Walaupun dalam siri tulisan yang lepas kita telah cuba mempertahankan Tasauf sebagai cabang dan dimensi asasi kepada agama kita, kita tidak menafikan bahawa wujudnya kumpulan dan ajaran Tasauf yang sesat atau menyeleweng daripada batasan agama sebenar. Pepatah Melayu menyebut, bumi manakah yang tak di timpa hujan? Adakah wujud di sana, mana-mana kumpulan atau aliran sama ada bersifat agama atau tidak, yang terpelihara sepenuhnya daripada sebarang penyelewengan? Cuma, harus difahami, dalam paksi-paksi ajaran agama Islam iaitu Aqidah, Syariah dan Tasauf, penyelewengan yang berlaku bukannya berpunca daripada kelemahan ajaran tersebut tetapi kerana kelemahan mereka yang cuba mengamalkan dan menghayatinya. Disamping kelemahan jenis ini yang benar-benar berlaku, Tasauf turut cuba ditempelkan dengan pelbagai gambaran kelemahan palsu oleh kelompok yang anti-Islam atau anti-Tasauf.

Kelemahan Pengamalnya

Mereka yang meminati dan mengamalkan Tasauf boleh kita bahagikan kepada dua secara amnya iaitu mereka yang memilih untuk bertarekat ataupun mereka yang tidak bertarekat. Jika berlaku penyelewengan di kalangan mereka yang bertarekat ia lebih nyata dan tertonjol berbanding dengan mereka yang tidak bertarekat. Media massa juga cepat menarik perhatian umum kepada gejala ini. Kita sering mendengar kisah penyelewengan pelbagai kumpulan dan ajaran berimej keruhanian dan tasauf dalam negara kita seperti kumpulan al-Arqam, Ayah Pin, Cikgu Kahar dan pelbagai kumpulan kecil yang lain. Antara bentuk penyelewengan yang timbul daripada golongan ini adalah menolak kehidupan dunia secara melampau, melampau dalam mengikuti ‘syeikh’ sehingga diluar batas syara`, mempercayai ajaran bersatu dengan Tuhan secara hakiki, mengutamakan amalan tarekat berbanding amalan fardhu dan sebagainya.

Apa yang lebih memburukkan imej tarekat dan tasauf, ialah sebahagian daripada kumpulan ini menisbahkan diri mereka kepada tarekat-tarekat arus perdana seperti Naqshabandiah, Qadiriah dan sebagainya. Mereka juga menggunakan istilah dan konsep yang dipakai dalam tasauf arus perdana seperti Syeikh, mursyid, tarekat, awrad, kasyaf, fana’, yaqazoh dan sebagainya. Hakikatnya penyelewengan yang berlaku kepada golongan ini adalah kerana kelemahan mereka untuk benar-benar mengikuti panduan dan acuan sebenar tarekat dan tasauf Islam. Antara punca-punca utamanya ialah guru yang belum layak dan belum mendapat keizinan mana-mana guru yang layak, guru yang telah terputus sanad serta tarekat yang diwarisi oleh mereka yang bukan ahli-ahli ilmu.Kuncinya di sini ialah lemahnya faktor ilmu dalam pengahayatan tarekat sedang Islam adalah agama yang bersendikan ilmu. Akibatnya timbullah gejala pelanggaran syariah seperti nikah batin, solat dengan niat sahaja ataupun ketaasuban seperti mendakwa syeikh sebagai Imam Mahdi dan Wali Qutub.

Tuduhan-tuduhan Liar

Selain daripada penyewelengan sebenar yang timbul akibat kelemahan para pengamalnya, tasauf dan tarekat turut menjadi sasaran pelbagai tuduhan dan kempen memburuk-buruknya daripada mereka yang memusuhinya dari dalam dan luar lingkungan Islam. Para kuffar memusuhinya kerana mereka memang anti atau jahil dengan Islam. Sebahagian daripada mereka juga menyerangnya kerana tahu bahawa inilah antara pusat kekuatan Islam. Mereka tahu daripada kajian dan sejarah bahawa tasauf turut menjadi inspirasi jihad menentang musuh-musuh Islam.

Tasauf juga menjadi sasaran beberapa aliran pinggiran dalam Islam yang melihat tasauf dan tarekat sebagai saingan dan penghalang untuk mereka menjadi lebih dominan dalam masyarakat seperti aliran ekstrim liberal juga aliran ekstrim modernis. Pendokong ekstrim liberal memang suka kepada Islam yang serba bebas dan tidak terikat dengan ikatan-ikatan termasuklah ikatan-ikatan Syariat, Aqidah dan Tasauf. Manakala kelompok ekstrim modenis umumnya cuba mengajak umat membebaskan diri daripada mengikuti warisan khazanah ilmu-ilmu tradisional Islam termasuklah dalam tasauf. Mereka sering bercakap atas nama pembaharuan agama, tajdid, pembebasan daripada taqlid dan kejumudan, kembali kepada al-Quran dan Sunnah dan sebagainya.

Ancaman terhadap tasauf daripada kelompok ekstrim modenis ini lebih berbahaya kerana mereka berbahasa dan berpakaian agama sehingga masyarakat awam mudah terkeliru. Hakikatnya, dalam mereka mengajak masyarakat tidak bertaqlid kepada khazanah tradisi Islam mereka sebenarnya menjerumuskan masyarakat kepada suatu taqlid yang lebih sempit iaitu bertaqlid kepada tokoh-tokoh dan aliran mereka. Akhirnya masyarakat diajak untuk mengikuti beberapa kerat tokoh yang mereka sanjung secara berlebihan terutamanya Ibnu Taymiyyah, Ibnu al-Qayyim dan kemudiannya Muhammad Ibn Abdul Wahhab dan para pendokong nya.

Pandangan Ibnu Taymiyyah dan Ibnu Al-Qayyim yang mengkritik tasauf mereka angkat tanpa menonjolkan sisi lain yang tidak menyebelahi kecenderungan mereka. Sebenarnya Ibnu Taymiyyah dan Ibnu al-Qayyim menghalakan kritikan mereka terhadap beberapa kumpulan pengamal tasauf pada zaman mereka dan bukannya terhadap tasauf itu sendiri. Mereka tidaklah menafikan tasauf sebagai cabang penting dan disiplin ilmu asasi dalam agama. Buktinya Ibnu Taymiyyah sendiri menganggap dirinya sebagai seorang pengikut tarekat Qadiriyyah. Maqam beliau di Damaskus, Syria juga merupakan kawasan maqam yang di waqafkan khusus untuk para Sufi. Jilid sepuluh dan sebelas daripada himpunan fatwanya juga menghuraikan tasauf. Murid beliau Ibnu al-Qayyim pula telah menulis kitab Madarij al-Salikin dalam tiga jilid yang merupakan huraian kepada kitab Manazil al-Saa`irin karya Imam al-Harawi berkaitan dengan maqam-maqam dalam perjalan ruhani kesufian. Kesimpulannya, dua tokoh ulama kontroversial ini pun tidaklah terlalu menolak atau anti-tasauf seperti sikap segolongan mereka yang sering menjuarakan tokoh-tokoh ini.

Kembalilah kepada Tasauf

Sesudah kita membahaskan dan menperjelaskan tentang tasauf dan pelbagai persoalan yang timbul berkaitannya hanya satu kesimpulan yang paling sesuai dibuat iaitu marilah kita semua kembali kepada tasauf. Kita kembali menghargai dan mengenali tasauf sebagai cabang dan dimensi asasi daripada agama kita yang kita cintai ini. Kita kembali memahami kedudukannya yang sangat harmonis dengan syariat, aqidah dan semua prinsip dan ajaran Islam yang lain. Dan yang paling penting, marilah kita sama-sama menghayatinya dalam kehidupan kita agar agama kita benar-benar terselamat daripada virus-virus dalaman yang boleh menghancurkan kehidupan beragama kita tanpa kita sedari. Hakikatnya, ketaqwaan itu berpengkalan di hati, seperti pesanan Nabi SAW. Jika agama dan ketaqwaan itu sudah tewas di pengkalannya sendiri apakah ia dapat ditegakkan di tempat dan tahap yang lain?

Akhirnya, kami tinggalkan para pembaca budiman dengan sepotong hadis yang menjadi antara induk dalam memahami kedudukan tasauf dan sering dipetik untuk tujuan itu. Imam Muslim dalam Sahihnya meriwayatkan bahawa, Rasulullah SAW ada menceritakan tentang tiga orang yang terawal dihisab di Akhirat kelak. Seorang yang mati syahid di medan perang, seorang ulama yang mengajar ilmu agama dan al-Quran dan seorang hartawan yang dermawan di jalan agama. Akhirnya ketiga-tiga mereka telah diseret di atas muka masing-masing dan dihumban ke neraka kerana kegagalan mereka menjaga keikhlasan, mensucikan niat dan hati masing-masing dalam kehebatan mereka berjuang di jalan Allah. Semoga Allah Jalla Jalaluh mengurniakan keikhlasan kepada kita dan mensucikan hati-hati kita dari segala yang tidak disukaiNya.

Sabtu, 17 Julai 2010

Ancaman Aliran Wahhabiah Terhadap Aqidah dan Keselamatan Negara -Dr Uthman El-Muhammady

*Artikel ini dipetik dari laman Bahrussofa.


نحمده ونصلى على رسوله الكريم

ALIRAN WAHHABIAH:

ANCAMAN TERHADAP AKIDAH

DAN KESELAMATAN NEGARA

OLEH:

AL-FAQIR ILA’LLAH MUHAMMAD UTHMAN EL-MUHAMMADY

Pertama, penulis ini memerhatikan aliran dan gerakan Wahabiah ini lebih daripada dua puluh tahun; dengan rasa bertanggungjawab ia ingin menyatakan bahawa kita di Malaysia ini beraliran Ahlissunnah wal-Jamaah, bermazhab fiqh Syafie. Kita berjaya dan benar dalam memahami agama dan mengamalkannya dalam aliran yang terjamin oleh Nabi dan Quran ini, dengan tidak melupai ada perlara-perkara yang masih tidak sempurna di kalangan kita. Kita wajib mengelak diri daripada Wahabiyah. Mereka yang dari awal bermazhab dengan mazhab Wahhabiah ini jangan mengembangkannya kepada Orang Islam di negara ini.

Kedua pihak pemerintah mesti memutuskan untuk terus berpegang kepada aliran Ahlisunnah ini dan menguatkuasakannya. Jangan terpesona dengan slogan pembaharuan atau reformasi dangkal yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang beraliran demikian. Malaysia mencapai kejayaan selama ini bukan kerana aliran dangkal itu. Ia berjaya dalam rangka Ahlisunnah wal-Jamaah yang disertakan dengan sikap positif menerima perkara-perkara baharu yang penting dalam konteks kerangka ajaran yang sudah ada; dalam negara-negara OIC ia terkenal dengan kejayaannya. Untuk apa hendak kita gantikan ini dengan aliran Wahabiah? Untuk menjadi kacau bilau seperti beberapa kawasan yang mengamalkan aliran yang seperti itu? Adakah kita berjaya kerana tidak membaca usalli? Tidak berselawat kepada nabi? Tidak bermazhab? Tidak membaca berzanji? Tidak berkunut? Tidak mengadakan tahlil arwah? Tidak berwirid selepas sembahyang? Ajaran ‘pembaharuan’ apa ini? Adakah ini pemikiran sejahtera? Maha suci Allah.

Ketiga, untuk menulis dengan ringkas, kita boleh tegaskan bahawa ajaran tauhid itu ada tiga, tauhid rububiah, tauhid uluhiah, tauhid asma’ wassifat yang dihuraikan oleh mereka itu bukan cara Ahlissunnah, itu cara Wahhabiah.Wahabiah mengajarkan tauhid rububiah ialah mempercayai Tuhan menjadikan alam, memberi rezeki daln lain-lain; tauhid uluhiah ialah menyembahNya dan taat kepadaNya. Tiap-tiap satunya terasing daripada yang lain. Sebab itu, kata mereka, penyembah berhala, bertauhid rububiah sebab ia percaya Tuhan menjadikan alam, hanya ia tidak bertauhid secara uluhiah. Sebab itu dia kafir, lalu berlaku hukum Syara’ sebagaimana yang diketahui itu. Orang yang mengucap syahadat kalau ia tidak mengamalkan Islam dengan baik, ia bertauhid rububiah sahaja, hukumnya sama dengan penyembah berhala; dia dijadikan objek jihad menentangnya. Sebab itu mereka menyerang Orang Turki Othmaniah kerana katanya mereka ia bertauhid rububiah sahaja, tidak bertauhid uluhiah. Maka halal darahnya. Maha suci Allah.

Sebab itu kemudian mereka mengebom bank, membunuh orang yang tidak berdosa, membunuh ‘orang yang bertauhid rububiah’ sahaja. Tidak ada kitab Ahli sunnah yang mengatakan bahawa penyembah berhala ahli tauhid; yang dikatakan dalam kitab Ahlisunnah – dalam Quran dan Sunnah – ialah mereka musyrikin.

Keempat, mereka berkata bahawa orang yang berdoa di kubur orang soleh dan meminta dengan keberkatan mereka supaya Tuhan menyembuhkan penyakit, mengangkatkan bala, itu syirik. Dengan itu halal darah mereka. Dalam Ahlissunnah itu harus, sebab itu orang Islam berdoa di kubur nabi saw untuk mendapat syafaatnya dan hajatnya dunia dan akhirat.

Kelima kita dalam Ahlisunnah mendapat pengajaran bahawa Tuhan bersifat dengan sifat-sifat yang sempurna, tidak ada sifat yang kekurangan. Ia ada, sedia kala, kekal, bersalahan dengan sifat-sifat makhluk yang baharu, berdiri sendiri (bukan dijadikan oleh sesiapa, tidak memerlukan sesiapa atau apa-apa dari sekalian makhluk), Maha Esa, mempunyai sifat hidup, ilmu, berkuasa, berkehendak, mendengar, melihat, berkata-kata; keadaanNya hidup, berilmu, berkuasa, berkehendak, mendengar, melihat dan keadaannya berkata-kata. Ini sekurang-kurang yang perlu diketahui dan diyakini. Sifat-sifatNya tidak terkira.

Keenam, sekali lagi kita tegaskan, tauhid tiga kategori yang terpisah-pisah ini – tauhid rububiah asing, tauhid uluhiah asing, tauhid asma wassifat asing tidak ada dalam Ahlissunnah; sebab terasing tauhid yang tiga itu, mereka boleh berkata penyembah berhala ahli tauhid rububiah. Orang yang tak sempurna taatnya hanya bertauhid rububiah; orang berdoa di kubur hanya bertauhid rububiah-sebab itu maka semua halal darah dan harta mereka. Tauhid cara huraian seperti ini sudah tersebar dalam setengah IPT-IPT di Malaysia. Kalau ini tersebar dengan meluas dan pengaruhnya mendalam, percayalah, maka ia menjadi ‘sarang’ tempat bertelur dan membesar fahaman keganasan, anti-establishment, dan fahaman menentang pihak berotoriti yang tidak bersefahaman dengan mereka. Ini terbukti dalam wacana mereka (‘Tarikh Najdin’, ‘Unwan al-Majdi’, dan ‘Kitab al-Syubuhat’ antara lainnya). Sesiapa yang memandang ringan tentang perkara itu –mengatakan itu tuduhan melulu, nanti dulu, itu helah setengah orang—akan menyesal dengan tidak berkesudahan. Dijauhkan Allah. Ia akan membawa kepada kerosakan akidah, mengancam keselamatan negara, dan konflik yang tidak berkesudahan, kemusnahan sistem negara, dan bila itu berlaku, dijauhkan Allah, kuasa luar akan menuduh negara kita pusat keganasan; dan pihak yang sinis, sebagaimana yang biasa berlaku, tidak akan membantu kita bila perkara buruk ini berlaku.

Ketujuhnya di setengah IPT sudah ada pensyarah-pensyarah yang memaksa pelajar memberi huraian ini – bukan hanya untuk perbandingan akademik – dan kalau tidak berbuat demikian pelajar itu akan mendapat akibat yang buruk dalam ujiannya. Ini perlu diberi perhatian oleh pihak rasmi negara. Nampaknya ‘proses membuat rekrut’ juga ada berlaku, mungkin untuk gerakan akan datang; kita perlu berwaspada tentang hal ini dan jangan membiarkannya berkembang.

Kelapannya, natijah daripada ‘tauhid Wahhabi’ seperti itu maka mereka tidak memandang taat kepada ulil-amri itu sebagai kewajipan. Mereka dengan senang sekali keluar menentang ulil-amri, pihak berkuasa, ini jelas dalam sejarah dan teks-teks ajaran mereka, walhal dalam Ahlil-Sunnah kita tidak boleh keluar menentang, bermusuh dengan ulil-amri, ‘kecuali bila zahir daripada mereka kekufuran yang nyata’. Berwaspadalah wahai ulil-amri dan umat Islam Malaysia supaya umat dan agama serta negara tidak binasa. Jangan menempah penyesalan yang jalan kembali kepada kesejahteraannya sudah tidak ada lagi. Allahumma sallimna wal-Muslimin.

Kesembilannya, sebagai kesimpulan, ringkasnya kita tidak boleh bersikap naif dan membenarkan aliran Wahabiah ini diamal dan disebarkan dalam negara, termasuk memberi ‘tempat penting’ kepada orang Wahhabi. Kita tidak membenarkan Wahhabiah disebar kepada Orang Islam Malaysia yang bermazhab Ahlisunnah. Kita tidak mengganggu orang Wahhabi yang asal pegangannya demikian (tetapi jangan ia kembangkan kepada orang Islam Malaysia yang bermazhab Ahlissunnah). Kalau tidak mereka yang terkena pengaruh ini akan berkembang bersama dalam aliran keganasan antarabangsa yang akan menganiaya Muslimin dan negara. Kita boleh ingatkan bahawa baru-baru ini dalam ‘Saudi Gazette’ ada berita bagaimana ada gerakan bahawa menteri di sana akan ditangkap, disembunyikan dan sesuatu akan dilakukan terhadap mereka yang menjalankan gerakan ini, dan memang mereka sekarang dalam berjaga-jaga. Orang yang sinis, yang menganggap dirinya ‘tahu semua’ memang akan mengatakan itu hanya ‘conspiracy’, sebagaimana yang biasa berlaku.

Penulis ini hanya dengan rasa ikhlas ingin menegaskan: berjaga-jagalah atas nama keselamatan negara dan keselamatan agama serta keamanan, supaya negara ini tidak menjadi ribut dan daif seperti kawasan-kawasan lain dalam dunia Islam. Wallahu a’lam.

Khamis, 15 Julai 2010

Aliran Fahaman Wahabi Adalah Berbahaya

*Artikel ini dipetik dari laman Bahrussofa.

Kepada yang nak marah sebab tajuk posting di atas, tolonglah jangan marah kat ese, sebab itu bukan pernyataan daripada ese. Ese cuma memanjangkan berita yang sudah lama beredar dalam ruangan maya ini. Berita tersebut telah dilaporkan juga oleh beberapa rakan bloggers dan dipetik dari laporan akhbar Wathanpada 26 April yang lalu.

April lalu telah berlangsung satu seminar di Kaherah yang disertai oleh ulama Universiti al-Azhar asy-Syarif dan pakar-pakar Gerakan Islam dengan tema: FAHAMAN WAHABIAH BAHAYA YANG MENGANCAM ISLAM DAN DUNIA. Mereka menegaskan bahawa fahaman Wahabiah adalah satu fahaman dan gerakan yang merupakan musuh paling merbahaya bagi umat Islam dan dunia, yang mana bahayanya tidak kurang jika dibandingkan dengan Gerakan Zionis (Jangan marah ya, lagi sekali dimaklumkan bahawa ini bukan pernyataan ese). Ini adalah kerana Wahabiah menyebarkan pemikiran - pemikiran dan sikap serta tindakan yang bengis, bersifat ganas (terrorist), kebencian dan sikap mudah mengkafirkan mana-mana pihak yang tidak sependapat dengan mereka. Sikap dan tindak-tanduk mereka yang mengaibkan ini telah merosakkan usaha gerakan lain untuk mempertahankan Islam di Palestin dan Iraq. Maka antara kewajipan syarie ialah untuk menentang pemikiran ini serta pendokong-pendokongnya dengan segala cara yang sedia ada. Inilah yang dinyatakan di dalam Simposium Islam Perbincangan Khusus (al-Mutakhasisah) dan Diperkembangkan (al-Muwassa’ah) yang telah dianjurkan kelmarin di Kaherah dengan tajuk: AL-WAHABIAH: ANCAMAN BERBAHAYA KEPADA ISLAM DAN DUNIA

Dan panel-panel pembentangan penyelidikan serta perbincangan adalah terdiri daripada:
  • Syaikh Dr. Abdul Rahman as-Subki - ulama al-Azhar asy-Syarif;
  • Al-Mufakkir Dr. Ahmad al-Saayih – Professor Aqidah dan Falsafah Islam di al-Azhar al-Syarif;
  • Al-Mustasyar (Penasihat) Ahmad Abduh Maher – ulama’ besar yang mempunyai kepakaran/pengkhususan tentang Gerakan-gerakan Islam di Mesir;
  • Prof. Abdul al-Fattah ‘Asakir – Pemikir Islam yang terkenal;
  • Dr. Abdullah Al-Sa’daawi;
  • Dr. Ahmad Syawqi al-Fanjari;
  • Dr. Ali Abdul Jawwad – Pakar berkenaan kajian Gerakan-gerakan Islam;
  • Dan beberapa ulama’ dan pakar-pakar yang lain.
Simposium ini telah merumuskan beberapa cadangan dan kesimpulan, dan yang paling penting adalah seperti berikut:

Pertama:

Para pakar dan ulama menegaskan dalam kajian mereka (terdapat tujuh (7) pembentangan penyelidikan) dan perbincangan mereka bahawa sesungguhnya: al-Wahabiah sebagai satu dakwah/seruan dan pemikiran yang berdiri atas prinsip menolak pihak lain dan mengkafirkannya. Dan sesungguhnya ia mengancam keamanan dan kesejahteraan di seluruh negara-negara Islam kerana ianya menyebarkan pemikiran-pemikiran terrorist/keganasan dan jenayah yang sangat merbahaya. Pemikiran-pemikiran inilah yang menyebabkan pemuda-pemuda Muslim mengkafirkan serta melakukan keganasan terhadap masyarakat dan para pemerintah dengan bersandarkan alasan/sebab yang amat remeh. Dan dunia waktu kini tidak berdepan dengan kesulitan/kepayahan daripada mana-mana pergerakan atau dakwah sepertimana yang ia dapati daripada al-Wahabiah seperti yang berbentuk (al-Qaedah) ataupun rupa bentuk pergerakan Islam yang lain. Dan sesungguhnya kalaulah tidak kerana harta/dana Saudi, al-Wahabiah tidak akan tersebar, dan kalaulah tidak kerana sikap kepura-puraan Amerika, ia pasti dapat ditentang dan ditundukkan. Akan tetapi Amerika dan Saudi mendapat manfaat daripada pemikiran pelik/terpesong ini yang disandarkan secara palsu kepada Islam dan yang dinamakan al-Wahabiah ini. Ianya digunakan pada sesuatu masa untuk melancarkan serangan keganasan kepada dunia atau pada masa yang lain untuk melakukan pemerasan/peras ugut.

Kedua:

Para peserta simposium menegaskan bahawa sesungguhnya al-Wahabiah mempunyai sikap/pendirian yang negatif terhadap wanita dan ilmu, muzik dan segala bentuk kesusasteraan, serta terhadap penganut agama Kristian, bahkan terhadap pengikut -pengikut lain-lain mazhab dalam Islam (seperti Syi’ah, al-Asya`irah dan lain-lain). Dan ia sesungguhnya adalah satu bentuk dakwah/seruan kepada Jahiliyyah. Dan kebanyakan kesan-kesan Wahhabi adalah dalam bentuk keganasan dalam pemikiran dan beragama, menolak realiti dan intelek. Dan oleh sebab itu, sebahagian (pengkaji) menganggapnya sebagai (sebuah agama yang baru) selain daripada agama Islam - suatu agama yang menyeru kepada terrorisma/keganasan dan pembunuhan atas nama Allah, sedangkan Allah “bebas” daripada (dakwaan mereka itu). Dan apa yang berlaku di Iraq dan Afghanistan, bahkan di Saudi - yang merupakan penaja kepada pemikiran ini – dari pembunuhan dan keganasan dengan mudah menguatkan lagi bahawa kita sedang berdepan dengan satu gerakan dakwah/seruan yang menyeru kepada jenayah dan pembunuhan dan bukannya dakwah/seruan kepada Islam yang toleransi dan sederhana (tidak ekstrim).

Ketiga:

Para ulama dan pakar di dalam simposium ini membuat tuntutan berhubung pentingnya menyediakan satu strategi yang Islamik di peringkat antarabangsa yang mengambil kira aspek kebudayaan serta politik untuk menentang al-Wahabiah. Dan sesungguhnya perlu bagi al-Azhar asy-Syarif memainkan peranan dalam hal ini kerana ianya adalah satu institusi Islam yang bersikap sederhana (tidak ekstrim) sebelum ia dirosakkan oleh al-Wahabiah dan golongan yang menamakan diri mereka sebagai pendakwah pembaharuan daripada golongan Salafiyyin yang keras/melampau. Sesungguhnya sekiranya al-Azhar asy-Syarif kembali menjadi institusi yang menerangi dengan sikap bersederhanaanya dan tidak melampau, maka sesungguhnya ia mampu untuk menolak dengan kekuatan akan sikap melampau Wahabi yang memusuhi roh Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW yang bersifat sederhana dan tidak melampau.

Sumber:

Akhbar Watan [ وطن ] di : http://watan.com/10/news.html//35‐news‐extra/21652‐2010‐
04‐26‐20‐24‐39.html
Tarikh Berita: 26 April 2010

Isnin, 12 Julai 2010

Jasa Sufi dalam Penyebaran Islam



Suasana Umat Islam Ketika Diserang Musuh Islam Pada Zaman Al-Imam Ibnu Taimiyah

Al-Imam Ibn Taimiyah lahir pada tahun 661 H dan wafat pada 26 Zul Qa’dah 728 H. Dalam tempoh tersebut berlakunya peperangan di antara umat Islam dan tentera TarTar. Saya ingin menyebutkan kepada sidang pembaca sekalian secara ringkas di antara para ulama sufi yang terlibat di dalam peperangan tersebut serta mana-mana peperangan sekaligus menolak tohmahan dan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa golongan Sufi hanya sibuk dengan zauq mereka tanpa mempedulikan hal ehwal masyarakat.

Siapa tidak kenal dengan al-Imam Muhyiddin bin Zakariyya al-Nawawi rahimahullah wafat 676 H, salah seorang mujtahid di dalam Mazhab al-Imam al-Syafie , ulama Sufi yang cukup hebat. Siapa lagi yang memberikan tekanan dan desakan kepada Sultan al-Zahir Bibris rahimahullah untuk memerangi tentera Tartar ketika itu jika bukan al-Imam al-Nawawi rahimahullah? Malah Sultan Bibris mengatakan :

“ Aku cukup takut kepada lelaki ini ( al-Imam al-Nawawi rahimahullah)” .

Ini disebutkan di dalam kitab Tazkirah al-Ayyubiyah ( manuskrip bernombor 7814 mukasurat 53).

Peranan Ulama Sufi dalam Pengislaman Monggol

Sejarah Islam adalah merupakan sejarah yang paling memeningkan para Oreantalis. Selalunya golongan penjajah akan bisa menguasai Negara yang dijajahnya. Namun sebaliknya berlaku bilamana tentera Monggol menguasai Negara Umat Islam ketika tersebut, penjajah yang mengikut agama Negara yang dijajah, bukan yang dijajah mengikut penjajah.

Bagaimana perkara ini berlaku?

Tidak lain dengan wujudnya golongan yang dekat dirinya dengan Allah taala dan Rasul-Nya. Kecintaan mereka kepada Allah taala dan RasulNya menjauhkan mereka daripada takut kepada celaan orang yang mencela serta kezaliman penjajah ketika tersebut.

Jika kita melihat kepada kitab-kitab sejarah Islam, disebutkan oleh para ulama bahawa antara penyebab berjayanya Sultan Zahir Bibris memenangi peperangan adalah kerana wujudnya hubungan baik dengan Barakah Khan ( wafat 665 H) beliau merupakan cucu lelaki Gengis Khan.

Hubungan ini berlaku ketika Barakah Khan pulang daripada pertemuan dengan al-Imam al-Syeikh Sofiyuddin al-Bakharzi , Khalifah Tariqat Kabrawiyah. Para ulama menyebutkan bahawa Barakah Khan berkenan untuk memeluk Islam setelah bertemu dengan ulama Sufi ini iaitu al-Syeikh Sofiyuddin al-Bakharzi rahimahullah.

Begitu juga dengan peranan yang dilakukan seorang lagi ulama besar Sufi di dalam mengislamkan para pembesar serta tentera Monggol iaitu al-Syeikh Saaduddin bin Hammuyah (wafat 652 H).

Raja Ghazan , salah seorang cucu Holako juga memeluk agama Islam hasil dakwah daripada al-Imam Ibrahim al-Juwaini al-Syafie al-Sufi rahimahullah ( wafat 722 H). Hasilnya menyebabkan seluruh tentera pimpinan Raja Ghazan yang kebanyakannya berada di Iran dan kawasan sekitarnya telah menerima cahaya agama Allah taala.

Kawasan Asia Tengah menyaksikan bahawa hidayah Allah taala telah menusuk ke dalam kalbu Raja Kashghar Timor Khan al-Monggoli ( wafat 765 H) bilamana berlaku pertemuan di antara beliau dengan al-Imam al-Syeikh Jamaluddin al-Bukhari al-Naqsyabandi ( antara Ulama Besar bertariqat Naqsyabandi) . Keberanian serta keikhlasan al-Imam Jamaluddin al-Bukhari menyebabkan Raja Timor Khan tertarik memeluk Islam. Hal ini berlaku bilamana Timor Khan mengatakan kepada al-Imam Jamaluddin dan sahabat-sahabatnya :

“Harga anjing lebih tinggi berbanding dengan harga diri kamu semua ( sambil mengisyaratkan kepada al-Imam Jamaluddin dan sahabat-sahabatnya )”

Al-Imam Jamaluddin al-Bukhari lalu menjawab :

“ Ya, Mungkin benar katamu itupun jika kami tidak memeluk agama Allah ini. Namun kami menjadi mulia hanya kerana kami memeluk agama Allah taala ini”

Di kawasan Banggal pula, kelihatan ramai para tentera Monggol berpusu-pusu memeluk agama Allah taala . Semuanya adalah berkat jasa al-Imam al-Sufi Jalaluddin al-Tibrizi rahimahullah.Ini seperti disebutkan di dalam catatan Rehlah al-Imam Ibn Battuta rahimahullah.

Joban ( wafat 736 H) salah seorang pembesar Monggol telah menjadi salah seorang pengikut setia kepada al-Syeikh al-Murabbi Sofiyuddin al-Ardabili rahimahullah. Pernah sekali Joban rahimahullah bertanyakan kepada al-Imam al-Ardabili :

“ Mana lebih banyak, tentera Sultan atau murid kepada Syeikh?”

Maka al-Imam al-Ardabili menjawab :

“ Murid-muridku di Iran sahaja sudah melebihi bilangan mereka daripada tentera Sultan itu sendiri”

Nah, ini adalah sebahagian daripada peranan ulama Sufi dalam peperangan menentang tentera Monggol. Peperangan di dalam Islam bukan semata-mata bertujuan menumpahkan darah umat manusia. Jika begitu hadaf dan tujuannya, maka samalah kita dengan golongan yang tidak beragama. Namun tujuan peperangan di dalam Islam adalah menyebarkan risalah dakwah mempamerkan kecantikan Islam kepada pihak musuh. Inilah yang dijalankan oleh para ulama sufi ketika tersebut.


Tindakan Menuduh Secara Melulu kepada Para Sufi

Jangan cepat menghukum, kaji dahulu. Tak malukah kamu jika ingin berhadapan dengan para pejuang dalam kalangan ulama Sufi pada zaman tersebut satu masa nanti di Syurga Allah kelak? Kamu menuduh bahawa mereka hanya sibuk dengan diri masing-masing tanpa melibatkan diri dengan perjuangan, tetapi hakikatnya ianya adalah tohmahan malah tidak salah saya katakan bahawa ianya akan menjadi fitnah. Kamu banyak pengikut, kamu akan dipersoalkan kelak jika kamu tidak menarik semula tohmahan kamu terhadap para ulama Sufi yang berjuang bermati-matian berhadapan dengan tentera TarTar ketika tersebut.

Semoga Allah taala jua memberikan petunjuk kepada kebenaran.

Rujukan :

al-Butulah Wa al-Fida' Inda al-Sufiyyah : Dirasatun Tarikikhiyyah Karangan al-Syeikh As'ad al-Khatib


Artikel ini merupakan adaptasi daripada artikel asal tulisan Al-Ustaz Nazrul Nasir hafizahullah, http://nazrulnasir.blogspot.com/2010/05/jawapan-kepada-tohmahan-ust-abdullah.html.

Susunan al-Faqir wal Haqir ilaLlah,

Mohd Ikhwan bin Ahmad Zhaki

Ahad, 11 Julai 2010

Nak Tahu Hebahan Tentang Kuliah Talaqqi?

Terlalu banyak para malaikat yang menyertai majlis zikir/kuliah talaqqi sehingga berlapis-lapis hingga ke langit, serta kehadiran para malaikat menjadi saksi kita hadir dalam majlis tersebut, serta mereka mendoakan kita, maka masih tidak mahukah kita merebut peluang keemasan ini?
Mudah-mudahan Allah Ta'ala menyuburkan hati kita dengan ma'rifah akan-Nya, mengekalkan kita dalam ketaatan yang ikhlas.



Salaam 'alaikum,

Sememangnya usaha mencintai kuliah talaqqi adalah mmenjadi manifestasi kesungguhan kita untuk memelihara iman dan kesuburan hati. Tambahan pula, kuliah talaqqi bersama para 'ulama yang solehin dan mukhlisin, dan insya Allah akan dilimpahi keberkatan dan termasuknya kita dalam doa mereka yang mudah termakbul sepanjang kuliah tersebut.

Saya dulu selalu mencari-cari juga makluman tentang kuliah talaqqi yang diadakan. Ada beberapa blog yang memang aktif memberi hebahan, antaranya blog Masjid Al-Falah USJ 9.

http://alfalahusj9.blogspot.com/

Jika sahabat-sahabat semua ada info yang lain, adalah amat dihargai jika anda sudi berkongsi.

Jazakumullah khair al-jazaa'.

Burdah Selawat -Syeikh Muhammad Nuruddin

Sesiapa yang pernah bertalaqqi dengan Tuan Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki, pasti akan terasa ketegasan beliau.

Sesiapa yang tidur semasa penyampaian beliau, insya Allah akan ditegur. Jika tidak silap, ada yang di"jemput" keluar daripada kuliah tersebut.

Juga, jika membiarkan telefon bimbit berbunyi, juga mengundang teguran lantang beliau.

ALLAHU ALLAH, Al-Faqir berasa amat tenang memerhatikan dalam video di bawah bagaimana indahnya pertemuan kedua-dua sang murobbi Tuan Syeikh Muhammad Nuruddin dan Tuan Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam.

Moga Allah mengekalkan keberkahan 'ilmu dan didikan mereka berdua kepada kita semua.




Sabtu, 10 Julai 2010

Bahaya AIDS Haraki dalam Harakah Islamiyyah- Satu Pesanan daripada Al-Ustaz Fathi Yakan




Gambar hiasan


*Artikel ini dipetik dari laman Pemuda Wilayah Persekutuan.


Disediakan oleh : Akhukum fiLlah, Ahmad Akhyari bin Ismail @ Abu Amjad Az-Zahawiee UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta.

Muqaddimah

Seorang Mujahid Dakwah, Ustaz Fathi Yakan, yang pernah berkunjung ke Negara kita, dalam rangka menghadiri Muktamar Agung PAS tahun 1997, telah memperingatkan kita semua tentang bahaya AIDS Haraki, iaitu istilah yang menggambarkan fenomena yang telah dan sedang terjadi di sebahagian harakah Islamiah di seluruh dunia.

Ini adalah peringatan penting beliau kepada para aktivis dakwah, sejak enam belas tahun yang lalu di dalam buku beliau : Ihzaruu AIDS Al-Haraki (Berjaga-jagalah, AIDS Haraki). Wa Zakkir !! Fa inna az-Zikra tanfa`ul mu’minin.

Penyakit AIDS adalah merujuk keadaan seseorang yang mengalami kehilangan daya tahan penyakit di dalam tubuh, sehingga menjadi mudah dijangkiti penyakit dengan keadaan yang parah. Sehingga kini, penyakit yang disebabkan oleh virus HIV ini, masih belum ditemui ubat yang dapat menyembuhkan penyakit merbahaya ini. Para penghidap HIV/AIDS ini akan berhadapan dengan risiko kematian.

Dalam buku “Ihdzaruu Al-Aids Al-Harakiy (1989)”, Al-Ustaz Fathi Yakan secara khusus mengingatkan kes kehancuran harakah dan tanzim dakwah di Lubnan. Hal yang sama juga berlaku di beberapa Negara Muslim yang terdapat harakah Islamiah di situ. Beliau berpendapat, kes-kes kehancuran tanzim dakwah bermula dari kelemahan daya tahan dalaman jama`ah, yang seringkali terjadi di saat mereka berada di atas paksi Mihwar Siyasi (Orbit Politik).

Hal ini sering terjadi ketika harakah Islamiah memasuki wilayah amal siyasi (kerja politik) untuk menyempurnakan wilayah `amal dakwah dan meningkatkan sasaran dakwah yang lainnya.

Mengapa terjadi seperti ini? Apakah penglibatan harakah Islamiah dalam wilayah politik adalah suatu kekeliruan dan kesilapan? Tentu saja tidak !! Bahkan ini adalah suatu kewajipan kita semua.

Konsep Syumuliatul Islam yang diperkenalkan Imam As-Syahid Hasan al-Banna di dalam usul pertama dari Usul `Isyrin, telah memberikan gambaran pentingnya kita bergerak di paksi politik demi tertegaknya Ad-Din wa Ad-Daulah. Sesungguhnya saat ini, Syumuliayatud Dakwah menuntut kita memasuki dan menguasai wilayah politik.

Mengenal Virus Merbahaya

Persoalan yang timbul ialah bagaimana virus ini boleh berjangkit dan menjadi penyebab kehancuran kepada harakah? Dalam analisa dan tajribah Ustaz Fathi Yakan, terdapat 7 faktor utama yang menyebabkan hal ini terjadi :

1. Hilangnya Manna`ah I`tiqodiyah (imuniti keyakinan) dan tidak terbinanya bangunan dakwah di atas dasar fikrah dan mabda’ yang benar dan jitu. Akibat yang timbul dari faktor ini, tanzim dakwah tidak tertegak di atas fikrah yang benar dan utuh.

Adakalanya sebuah tanzim hanya wujud sebagai Tanzim Ziyami, iaitu tanzim yang berdiri atas landasan wala’ kepada seorang pemimpin yang diagungkan. Ada juga yang bergerak sebagai Tanzim Syakhshi, iaitu tanzim yang tertegak atas bayangan keperibadian (figure) seorang pemimpin. Terdapat juga yang berbentuk Tanzim Mashlahi Naf`i yang berorientasi mewujudkan tujuan perlaksanaan pengisian semata-mata.

Kerana itu, binaan tanzim menjadi begitu rapuh, tidak mampu menghadapi kesulitan dan cabaran. Akhirnya bergoncanglah binaan dan bercerai-berai shofnya sehingga terjadilah berbagai peristiwa dan tragedi.

2. Perkaderan dan pembinaan anggota berdasarkan kuantiti, dengan mengutamakan bilangan dan jumlah keahlian menjadi keutamaan qiyadah. Seringkali dianggap, bahawa jumlah yang banyak itu akan menjadi penentu kemenangan dan kejayaan. Kondisi ini mungkin ada kebenarannya ketika sebuah harakah dakwah tampil secara rasmi sebagai parti politik dan terlibat dalam pilihanraya.

Akan tetapi hal ini perlu diawasi kerana, orientasi ini akan memudahkan pihak-pihak tertentu cuba mewujudkan qaidah sya’biyah atau dasar dokongan sosial untuk kepentingan merealisasikan tujuan-tujuannya.

Dalam situasi tertentu akan muncul keperibadian atau tokoh-tokoh tertentu dalam harakah yang memperjuangkan kepentingan peribadi dengan memanfaatkan qaidah sya’biyah yang dibinanya. Pada saat ini, qa`idah sya’biyah ini akan bertindak sebagai musuh dalaman kepada harakah Islamiah.

3. Isti’jal (tergesa-gesa) untuk meraih kemenangan, meskipun tidak seimbang dengan persediaan yang mencukupi, walaupun di tahap minimum. Kemenangan politik bererti memperolehi kekuasaan. Setiap aktivis politik akan dikuasai semangat mencari dan mengejar kekuasaan sehingga tidak ada penghujungnya.

Menurut Ustaz Fathi Yakan, kekuasaan yang diperolehi di manapun akan menuntut pembahagian ghanimah (harta rampasan perang) kepada penjaga sesuai dengan perbandingan tugasan yang ditanggung seseorang. Ghanimah yang telah diperoleh itu kadangkala melahirkan cubaan, fitnah dan bencana kerosakan dalam harakah.

Permasalahan dasarnya adalah penipuan dalam pembahagian, antara perseorangan, pemimpin serta penguasa yang bercita-cita mendapatkan bahagian kekuasaan yang banyak. Akhirnya prinsip perjuangan tergadai dan agenda maddiyah dengan mengejar kepentingan hawa nafsu akan menjadi tuntutan perjuangan mereka.

Ketika ini hilanglah roh aqidah dalam perjuangan, tumpuan hanya diberikan kepada percaturan strategi menghadapi musuh dalam pilihanraya dengan meninggalkan agenda pembinaan ruhiyah di kalangan jundiyah dan qiyadah. Akhirnya “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran ”.

4. Binaan tanzim dipengaruhi unsur luaran. Samada dipengaruhi oleh latar belakang kekuatan yang berada di sekelilingnya dari aspek politik, ekonomi dan lain-lain aspek.

Akibatnya, tanzim akan kehilangan potensi keaslian perjuangan, kehilangan orientasi dan arah tujuan politik. Kerana hilangnya asholah dakwah (keaslian), tanzim menjadi alat kepentingan pihak lain, dan segala keputusan dan tindakan dipengaruhi kelompok tertentu.

5. Munculnya berbagai aliran dan kelompok dalam harakah. Hal ini sering terjadi kepada harakah yang telah mengalami perpecahan lantaran hilangnya wahdatul fikr dan wahdatul `amal. Kesan dari permasalahan ini akan timbulnya ta`addudul wala’, justeru akan timbul pertikaian, perebutan pengaruh dan kekuasaan untuk meraih hasrat dan cita-cita peribadi atau kelompok tertentu.

6. Campur tangan pihak luar dengan pengaruh dominan politik, ideologi, perisikan, inteligen dengan berbagai cara penyamaran untuk menyerang musuh dalam harakah dengan tujuan menghancurkan kekuatan dan kesatuan di dalam tanzim. Ruang yang terbuka untuk campur tangan atau penyusupan amat luas, terutama melalui ruang politik, iaitu dengan menawarkan pelbagai maslahah siasah.

Kekuatan luaran dan campur tangan ke dalam tanzim harakah berlaku ketika jamaah mengalami kelemahan, miskinnya roh `aqidah di kalangan jundiyah dan qiyadah, kuatnya kecenderungan mengejar maddiyyah dan jawatan.

7. Lemah atau hilangnya kesedaran politik (wa’yu siyasi) dalam harakah. Sesebuah harakah yang tidak memiliki wa’yu siyasi yang tinggi dan baik, tidak akan dapat mengimbangi peredaran zaman, gagal mengambil istifadah dan pengajaran dari pengalaman lepas, tidak mengkaji peranan harakah di masa depan dan tidak mampu membuat suatu keputusan politik setempat berdasarkan situasi dan kondisi politik internasional.

Apabila harakah mengalami kelemahan seperti ini, akan berlaku sikap yang kontradiktif dan mudah terbawa arus. Keadaan ini memudah unsur-unsur negatif dari luar mengawal keputusan politik dalam harakah dan mengenepikan peranan majlis syura dalam jamaah.

Semua faktor kondisi yang dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan adalah berkesimpulan dari masalah mendasar harakah Islamiah masa kini, iaitu “politik mendominasi tarbiah”. Keadaan ini menyebabkan suasana atau munakh harakah dikuasai oleh politik, bahkan sangat mempengaruhi pendirian dan sikap para anggota dan pimpinan harakah.

Kewajipan Memelihara Asholatud Dakwah (Keaslian Dakwah).

Permasalahan dan penyakit yang berlaku di dalam harakah dakwah, hanya dapat dikawal dan diubati dengan memelihara keaslian dakwah yang kita warisi dari Baginda Rasulullah SAW.

Syeikh Mustafa Masyhur Rahimahullah, dalam sebuah tulisannya, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah, menekankan betapa pentingnya Muhafazhah `Ala al-Asholah (memelihara keaslian dakwah), agar harakah terjamin berada di jalan yang benar menuju sasaran.

Sekecil-kecil penyelewengan dari asholah dakwah, pasti akan melahirkan kegelinciran yang semakin hari semakin besar, serta menyeret harakah jauh dari jalan yang benar dan gagal mencapai sasaran harakah.

Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna selalu menekankan agar jamaah beriltizam dengan Islam, Al-Quran dan As-Sunnah serta melangkah ke medan dakwah berpandukan Sirah Rasulullah SAW ketika beliau menegakkan Daulah Islamiah pertama. (Mustafa Masyhur, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah).

Memelihara Asholah Dakwah bererti meletakkan kepentingan kepada tarbiyah. Kerana itu, tarbiyah dalam jemaah tidak boleh dikesampingkan atau diabaikan demi memenuhi tuntutan kegiatan politik, publisiti bahkan jihad sekalipun. Perencanaan takhtit dan tanzim semata-mata tidak mencukupi tanpa tarbiyah untuk membina izzah harakah di mata musuh Islam.

Usrah merupakan tulang belakang tarbiyah dalam jamaah, yang berperanan sebagai wasilah yang mendidik ahli dan membentuk rijal. Semua anggota di manapun peringkat jamaah, samada ahli hinggalah pimpinan tertinggi wajib mengikuti peringkat-peringkat tarbiyah sehingga sampai ajalnya.

Kesimpulan

Ternyata, kewajipan itu lebih banyak dari batas waktu yang kita miliki. Kerana itu, dakwah kita tidak dibina atas dasar rukhshah (keringanan), tetapi dibangun atas dasar `azhimah dan tekad yang teguh. Jika hal ini diperhatikan dengan sewajarnya, dari peringkat ahli sehinggalah pimpinan jamaah, segala permasalahan yang sering melanda harakah dan dakwah, nescaya virus bahaya yang menular dalam tanzim binaan jamaah dapat diatasi.

Semoga kita mengambil pelajaran dan manfaat dari taushiyah yang disampaikan sejak enam belas tahun silam oleh seorang da`ie yang menjadi qudwah kepada kita, demi kebaikan dan kejayaan harakah dakwah di Negara kita.

Kepada para Pejuang yang merindukan kejayaan…..

Kepada Rakyat yang kebingungan di persimpangan jalan Kepada Pewaris peradaban yang telah menggoreskan

Sebuah catatan membanggakan di lembar sejarah manusia Wahai kalian yang rindu kemenangan…..

Wahai kalian yang turun ke medan Demi mempersembahkan jiwa dan raga Untuk Islam tercinta…

makluman : Artikel ini pernah diterbitkan dalam Blog Ustaz Nasrudin Tantawi tanggal 17 Mac 2006.

Ahad, 4 Julai 2010

Kita Memilih Bagaimana Keadaan Kita Akan Mati




"Memilih" keadaan kita akan mati, saya maksudkan sebagai pilihan kita untuk sentiasa menjalankan perintah Allah, dan berusaha supaya dijadikan Allah sebagai orang yang mati dalam keadaan baik, sejajar dengan panduan Al-Quran dan As-Sunnah.


Apabila berbicara tentang husnul khotimah (kesudahan yang baik), banyak daripada kalangan orang-orang soleh sebelum ini masih berasa risau dan tidak tenang dengan keadaan pada akhir hayat mereka. Mereka sendiri tidak mampu menjamin bagaimanakah kesudahan hayat mereka, sama ada mereka menamatkan ujian dunia ini dalam keadaan baik atau sebaliknya (nau'zubillahi min zalik).

Dialah Allah Tuhan yang membolakbalikkan hati manusia.

Dialah jua Allah Tuhan yang Maha Menghargai kesungguhan para hamba-Nya.

Bersama-samalah kita tanpa putus asa menjalani kehidupan dengan baik mengikut perintah Allah, pada masa sama berdoa agar ditetapkan hati dalam kebaikan serta diberi kesudahan hayat yang baik.

Sabtu, 3 Julai 2010

Engkau Terlalu Istimewa -Hijjaz



Tajuk Lagu: Engkau Terlalu Sempurna
Artis: Hijjaz
Album: Permata Hijjaz 1421


Dirimu terlalu sempurna
Akhlakmu yang sungguh mulia
Jasamu yang amat berharga
Menerangi jalan (ke) Syurga

Selalu aku yang terlupa
Selawat jarang terlaksana
Di bibir mengatakan cinta
Di hati pula berdusta

Bila diuji dan dipujuk nafsu
Ku meminjam cekal ketabahanmu
Kerana ku yakin di suatu waktu
Syafaatmu yang dapat membantuku

Tika berenang di laut derita
Sang mentari sejengkal di kepala
Saat dihitung dosa dan pahala
Siapakah yang akan membela

Kesyukuran atas kurniaan Rahmat-Nya
Menghadiahkanku seorang

Insan sempurna berjasa
Selayaknya engkau dikasihi dicinta
Kerana dirimu ya Rasul
Kekasih teristimewa

Khamis, 1 Julai 2010

Bagaimana Imam Asy-Syafi'e rodhiyallahu 'anhu Menuntut 'Ilmu?

Makam Imam Syafii

Gambar hiasan.

Al-Imam As-Syafi'ie rodhiyallahu 'anhu(150H-204H)



Imam As-Syafi'ie ditanya tentang bagaimana beliau menuntut ilmu?

Maka beliau menjawab : "Seumpama ibu yang mencari anak tunggalnya yang hilang."

Tuntutlah ilmu dan hadirilah majlis-majlisnya. Sekali-kali tidak akan kecewa seseorang yang bijak apabila ia sering duduk dengan para ulama'




Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...