Ulama Benteng

Ulama Benteng

Ahad, 29 November 2020

Catatan Tentang Ilmu Falsafah

 

Pendekatan Makna Falsafah

-          Pemikiran yang dasar, asas atau fundamental

-          Memberi makna signifikan sesuatu konsep

-          Pemikiran yang mendalam

 

Definisi Falsafah

Istilah Yunani Kuno : philo (cinta), sophos (kebenaran, kebijaksanaan)

Dari sudut istilah : sesuatu ilmu yang mendasar kepada makna sebenar sesuatu perkara sehingga menjelaskan makna serta tujuannya.

Persoalan Falsafah

Terdapat 3 komponen:

1) Ontologi  2) Epistemologi  3) Aksiologi


Secara ringkas, apa makna Ilmu Falsafah

Dari sudut istilah Yunani Kuno, philo bermaksud cinta, manakala sophos bermaksud kebenaran dan kebijaksanaan.

Dengan memahami sudut istilah definisi, makna ilmu Falsafah ialah: sesuatu ilmu yang mendasar kepada makna sebenar sesuatu perkara sehingga dijelaskan maknanya serta tujuannya.



Secara ringkas, apa maksud Idealisme


Idealisme ialah kewujudan benda-benda yang bukan material. Idea tidak bersifat jirim atau fizikal.

Dalam ilmu falsafah, teori/aliran ini menyatakan realiti adalah kebenaran yang wujud dalam fikiran manusia.

Asas kewujudan sesuatu benda itu adalah dalam bentuk pemikiran / rohani.

 

Kewujudan segala benda fizikal dalam alam ini semata-mata manifestasi yang timbul dalam fikiran manusia. Realiti bukan bersifat material, tapi bersifat mental atau bersifat

idea/kerohanian.

 

Secara ringkas, apa maksud Logik Deduktif


Penghujahan padanya kesimpulan wajib ditarik daripada premis.
Kesimpulan khusus dibuat daripada pernyataan umum.

Contoh:

Premis 1 – semua manusia akan makan dan minum dalam hidup
Premis 2 – saya seorang manusia
Kesimpulan – oleh itu, saya akan makan dan minum

Dalam logik deduktif yang sah, salah satu sifatnya ialah jika premis-premisnya benar, maka kesimpulan yang terhasil daripada premis tersebut mestilah benar.

 

Secara ringkas, apa maksud Logik Induktif

 

Penghujahan padanya kesimpulan nampaknya berkemungkinan ditarik daripada premis.
Kesimpulan umum dibuat daripada pernyataan khusus.

Contoh:

Premis 1 – 80% pelajar Sekolah Wawasan tidak mahir berbahasa Arab
Premis 2 – Zaid ialah pelajar Sekolah Wawasan
Premis 3 – oleh itu, Zaid berkemungkinan tidak mahir berbahasa Arab


Logik induktif tidak memerlukan dua premis. Sekurang-kurangnya satu premis diperlukan.

Logik induktif tidak mempunyai kriteria ataupun sifat yang sama seperti logik deduktif.

Hal ini demikian kerana dalam logik induktif sekiranya premis atau premis-permis betul, tidak semestinya bermaksud kesimpulan juga semestinya betul.

 

Setelah kita belajar bab epistemologi minggu lepas, cuba huraikan secara epistemologi bidang pengkhususan kamu secara ringkas dan padat. 

 

Bidang pengkhususan : Syariah – Usul Fiqh – Maqasid Syariah

Sumber ilmu : (1) Wahyu (2) Akal - Rasionalisme

(1) Wahyu (al-Quran dan Sunnah) daripada Allah berada pada tahap teratas, kemudian kedudukan akal selepas wahyu.  

Wahyu yang jelas tepat khusus perintah arah dan larangan dijadikan panduan secara langsung, contoh wahyu wajib solat, haram riba.

Daripada sumber wahyu juga, dibina konsep-konsep dan kaedah untuk menghasilkan hukum contohnya bagi keharaman dadah disalah guna, digunakan qiyas (analogical reasoning) kepada haram arak merosakkan jiwa.

Contohnya ialah bentuk penulisan ulama usul fiqh aliran mutakallimun menyamai cara ulama kalam dari segi dialog, soal jawab, menetapkan sesuatu masalah serta menentukan dalil untuknya.

Bagi menentukan sesuatu kaedah usul, penulis akan menggunakan dalil-dalil aqliy dan naqliy. Matlamat mereka adalah bagi melahirkan kaedah yang terkuat dan tepat.


(2) Akal pula mempunyai batasannya. Akal dapat berfungsi terbaik hanya dibantu dengan wahyu.


Ulama menyusun kaedah pemahaman dalil, contohnya membezakan antara dalil mutlaq (tidak terikat) dengan muqayyad (terikat).

Hasil susunan ulama:  jalan (al-tariqah) yang akan memandu seseorang pengkaji menemui kebenaran sama ada dalam bentuk berita yang hendak dipastikan kesahihannya atau isu yang hendak dipastikan kebenaran atau kepalsuan buktinya.






Sabtu, 21 November 2020

Beberapa Panduan Asas Kajian Master, PhD

Beberapa rangkuman panduan asas berkenaan kajian peringkat sarjana, PhD - hasil interaksi saya dengan pensyarah UKM


- wajar dalam bidang yang kita minat, memang minat, sebab keseronokan minat dapat bantu kita menikmati proses kajian nanti


- kajian perlu khusus, terperinci. berdasarkan kes yang nak dikaji (contoh kes vaksin), lihat apakah variables (contoh variables kes vaksin : apakah penerimaan, apakah penolakan, dan seumpamanya)


- memetik apa saranan Dr Mohd Daud Bakar, kajian peringkat PhD boleh digunakan sebagai latihan kepada kita sebagai penyelidik, disahkan bahawa kita kompeten. jadi tak semestinya perlu begitu besar bombastik tajuk kajian (membelah langit, memotong air).


- pesanan sebahagian pensyarah juga, antara masalah dalam tajuk kajian ialah terlalu idealistik umpamanya menyelesaikan masalah ummah (dalam skala begitu besar)


- apakah impak daripada kajian ini, sumbangannya? mengisi apa-apa kelompongan?


- dimaklumkan jumlah citation pada tahap PhD 600 dan ke atas


- keaslian kajian dan bacaan pengkaji terhadap citation yang dibaca , dimasukkan dalam teks thesis : perlu bersedia untuk dipertahankan, semasa ditanya oleh pemeriksa contohnya "dari mana kamu dapat dakwaan ini, apakah sumbernya, dan lain-lain"


daripada saya, Peminat Ilmu, dan ada hajat untuk cuba belajar pada tahap PhD dalam pengajian Islam (syariah) atas kapasiti separuh masa, bukan penyelidik sepenuh masa.

Kita Tak Miliki Apa-apa

Hakikatnya, kita tak punya apa-apa pun. Sekadar pinjam daripada Tuhan. Masa kita lahir, tiada sehelai kain pun iringi kita keluar daripada rahim ibu. Masa kita dikebumikan, tiada satu pun harta dunia kita yang dibawa masuk bersama-sama dalam liang lahad, kubur.


Dan kita sedang menjalani taqdir Allah dengan ilmu Allah yang qadim.


Insya-Allah, moga makin kita insaf dan dapat kikis semua rasa besar diri, miliki itu dan ini.


Moga makin lama kita makin tertumpu pandangan dan perhatian kepada Allah.

Mencari, menghargai semua keperluan yang berfungsi


Mencari, menghargai semua keperluan yang berfungsi <3 :)


Rather than aiming expensive imported cars, let us fully appreciate functioning car which enable us to fulfill needs, visiting family members and friends etc


Rather than aiming expensive landed house, let us fully appreciate a functioning house in which we could have shelter, living peacefully and in love with family members


Rather than aiming popularity, let us fully appreciate all quality friends around us, functioning the purposes of true friendship


..... and the list goes on.... we could keep on pondering, reflecting...


Peminat Ilmu,
Mohd Ikhwan Ahmad Zhaki


Ahad, 15 November 2020

Usul Fiqh I : Mujmal dan Mubayyan

 

 

1.       Jelaskan pengertian al-mujmal dan al-mubayyan menurut pandangan jumhur ulama.

 

 

Al-Mujmal

 

ما له دلالة على أحد أمرين لا مزية لأحدهما على الآخر بالنسبة إليه

Sesuatu (lafaz) yang mempunyai dalalah terhadap salah satu dari dua perkara yang tiada kelebihan antara satu sama lain baginya.

Al-Mubayyan

الواضح بنفسه أو بغيره

Sesuatu yang jelas dengan dirinya atau dengan sesuatu yang lain.


 

1.       Senaraikan jenis-jenis al-mujmal dan terangkannya satu-persatu.

 

 

Al-Mujmal dibahagikan kepada tiga jenis:

1. Mujmal antara hakikat-hakikatnya iaitu antara setiap makna hakiki (bukan majazi) yang diperuntukkan oleh sesuatu lafaz.

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ ۚ

 

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga quru’. 

(al-Baqarah: 228)

Perkataan “قُرُوءٍ” dalam ayat ini diperuntukkan untuk dua makna yang berbeza iaitu haidh dan suci.

2.  
Mujmal antara afrad kepada hakikat yang satu. 

إنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تَذْبَحُوا بَقَرَةً

Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina.  

(al-Baqarah: 67)

Perkataan “بَقَرَةً” adalah diperuntukkan kepada makna hakiki yang satu dan dimaklumi.
Tetapi ia mempunyai afrad yang banyak.
Ayat ini berkehendakkan salah seekor daripadanya.

3. 
Mujmal antara setiap makna majazi (bukan hakiki) yang tidak ada kelebihan antara satu sama lain. 


Ini berlaku ketika terdapat bukti yang menunjukkan bahawa nas tidak mengkehendaki maknanya yang hakiki.

 

Sabtu, 14 November 2020

Teori Pengakhiran Sejarah

Nama          : Mohd Ikhwan bin Ahmad Zhaki


Teori Pengakhiran Sejarah

Teori pengakhiran sejarah ialah sebuah konsep politik dan falsafah yang mengemukakan bahawa sistem politik, ekonomi dan sosial secara khususnya boleh membentuk titik akhir bagi evolusi sosiobudaya kemanusiaan dan bentuk terakhir bagi sistem kerajaan yang dipimpin manusia. Banyak penulis menghuraikan dan berhujah bahawa sistem secara khusus itu ialah “penamat sejarah”, antaranya ialah Georg Wilhelm Friedrich Hegel,  Karl Marx (Clarke, 1971), Thomas More in Utopia, Alexandre Kojève (Boucher,1998), Vladimir Solovyov, dan Francis Fukuyama dalam bukunya pada tahun 1992 yang berjudul “The End of History and the Last Man”.

Konsep pengakhiran sejarah adalah berbeza daripada idea pengakhiran dunia sebagaimana yang dinyatakan dalam pelbagai agama yang menyebutkan kemusnahan mutlak dunia dan hidupan di dunia. Sebaliknya, konsep pengakhiran sejarah mencadangkan bahawa kehidupan manusia akan berlangsung secara berterusan tanpa batasan hingga masa depan tanpa sebarang perubahan besar dalam masyarakat, sistem pentadbiran, atau ekonomi. Menurut Mike Featherstone (1993), frasa pengakhiran sejarah pertama kali digunakan oleh ahli falsafah Perancis dan ahli matematik Antoine Augustin Cournot pada tahun 1861 untuk merujuk kepada pengakhiran dinamik sejarah dengan penyempurnaan masyarakat sivil. Menurut Mike juga, Arnold Gehlen telah mula menggunakan frasa itu pada tahun 1952 dan diguna pakai akhir-akhir ini oleh Heidegger dan Vattimo.   

Pengembangan idea “pengakhiran sejarah” secara formal dihubungkaitkan dengan Hegel walaupun beliau membicarakan idea tersebut secara samar-samar (Desmond, 1984). Falsafah Hegel berkenaan sejarah adalah untuk menunjukkan bahawa sejarah ialah proses untuk realisasi sebab (realization of reason) dan tidak dinyatakan dengan jelas titik akhir proses tersebut. Hegel berkeyakinan bahawa pada satu sudut, tugas sejarah adalah untuk membuktikan sebab di sebalik perjalanan dan pengembangannya mengikut masa manakala pada sudut lain pula sejarah dengan sendirinya berperanan untuk mengembangkan sebab mengikut masa. Oleh sebab demikian, sejarah ialah sesuatu yang dapat diperhatikan dan juga mempunyai tugas yang aktif (Fillion, 2008).

 

Francis Fukuyama dan Teori Pengakhiran Sejarah

 

Selain Hegel, dalam memahami teori pengakhiran sejarah secara lebih terperinci, Francis Fukuyama adalah nama secara umumnya dikaitkan dengan konsep tersebut secara kontemporari. Fukuyama membawa kembali konsep tersebut ke perhatian umum dengan penulisannya berjudul “The End of History?” yang telah diterbitkan beberapa bulan sebelum keruntuhan Tembok Berlin dalam tahun 1989. Melalui penulisan ini Fukuyama mengetengahkan teori tersebut berasaskan pengetahuan daripada Hegel, Marx dan Kojève. Selanjutnya idea tersebut dikembangkan dalam buku beliau pada tahun 1992 yang berjudul “The End of History and the Last Man”. Penulisan tersebut berpaksikan idea bahawa dua pesaing utama: fahaman Fasis (fascism) dan komunisme telah ditewaskan. Justeru, tidak wujud lagi sebarang persaingan sengit kepada demokrasi liberal dan ekonomi pasaran (Fukuyama, 1989a). Kesannya, keselamatan dan kebebasan berjaya dibentuk. Demokrasi liberal Barat menjadi peringkat terakhir dalam evolusi sosiobudaya kemanusiaan dan puncak institusi kerajaan manusia. Dakwaan ini adalah berbeza dengan teori pemikir-pemikir lain khususnya sosialis seperti Karl Marx yang berpendirian bahawa demokrasi akan digantikan dengan negara-negara sosialis yang lebih ketat mengawal ekonomi mereka.

 

Demokrasi Liberal Adalah Lestari dan Memenuhi Keperluan Manusia

 

Meneruskan idea Fukuyama (1992) dalam teori pengakhiran sejarah bahawa demokrasi liberal sudah tidak lagi mendapat tentangan persaingan hebat, perlu diketengahkan bahawa sejarah dan peristiwa-peristiwa utamanya telah berakhir. Sebagai permulaan hujah, Greek purba dijadikan rujukan bahawa demokrasi liberal ialah satu-satunya sistem kerajaan yang telah memenuhi apa yang dinyatakan Plato sebagai keperluan untuk kebahagiaan - hasrat keinginan (makanan dan seks), penghujahan (ilmu dan kebenaran), dan keperluan untuk diiktiraf sebagai manusia. Konsep yang dikemukakan Hegel tentang tesis, antitesis dan sintesis digunakan untuk menerangkan proses sejarah. Demokrasi liberal menjadi sintesis terakhir bagi kesemua faktor tersebut yang lestari, manakala sistem-sistem kerajaan lain telah gagal, termasuklah sistem kerajaan monarki mutlak dan kuku besi ketenteraan. Demokrasi liberal berjaya mengatasi segenap bentuk sistem kerajaan lain. Sungguhpun demikian, itu tidaklah bermakna negara-negara yang sedia ada mengamalkan demokrasi liberal secara mapan dan utuh seperti Amerika Syarikat, Perancis dan Switzerland tidak memiliki sebarang permasalahan ketidakadilan dan sosial yang serius.

 

Bertentangan dengan teori pengakhiran sejarah yang mengutamakan demokrasi liberal ialah teori komunisme. Menurut Fukuyama dalam penulisan yang sama, teori Karl Max melihat kejayaan falsafah komunis sebagai faktor pengheret kepada kejatuhan negara dari sistem sedia ada. Namun demikian, kejatuhan Soviet Union and liberalisasi ekonomi China penjadi penanda ukur jelas bagi kegagalan teori Karl Marx. Negara-negara komunis yang masih wujud adalah kecil dan menjadi negara yang terasing dan memilih untuk terputus dari dunia untuk mengekalkan status komunis. Menurut Rosenberg (2020), hanya lima negara komunis yang masih wujud pada hari ini iaitu China, Cuba, Laos, Korea Utara, dan Vietnam. Hal ini jauh berbeza daripada era Soviet Union (1922-1991) negara-negara komunis wujud di timur Eropah, Asia dan Afrika. Negara komunis yang pernah berperanan penting dalam Perang Dingin seperti Jerman Timur yang merupakan satelit kepada Kesatuan Soviet, kini sudah tidak lagi wujud. 

 

Dunia Realiti Material dan Dunia Idea Kesedaran

Berdasarkan teori Fukuyama membahaskan pengakhiran sejarah, dua buah dunia dibezakan iaitu (1) dunia realiti atau secara material dan (2) dunia secara idea dan kesedaran. Liputan bagi liberalisasi idea telah terbukti berjaya. Sungguhpun demokrasi liberal dan ekonomi pasaran belum berjaya terbentuk di setiap tempat, tidak wujud lagi mana-mana ideologi yang menjadi pesaing kepada sistem-sistem tersebut. Sehubungan dengan itu, sebarang pertembungan asasi yang berlaku dalam hidup manusia dapat diatasi dalam konteks liberalisasi moden dan tidak lagi memerlukan struktur alternatif bagi politik-ekonomi sebagai penyelesaian. Justeru, pengakhiran sejarah telah tercapai. Hubungan antarabangsa akan hanya meliputi urusan ekonomi dan tidak lagi berkenaan politik atau strategi. Hal ini mengurangkan kemungkinan berlakunya konflik keganasan pada tahap antarabangsa yang berskala besar.

 


Kaedah Saintifik dan Revolusi Industri Adalah Faktor Kejayaan Demokrasi Liberal

Seterusnya, selepas Fukuyama membicarakan kejayaan demokrasi dalam dunia secara relaiti dan dunia secara idea, perlu ditekankan bahawa pembangunan kaedah saintifik dan revolusi industri menjadi faktor-faktor kejayaan demokrasi liberal dan kapitalisme. Kedua-dua sistem ini menjadi satu-satunya sistem kerajaan yang mapan dan lestari. Dengan kemajuan sains, menurut beliau sejarah dan ketamadunan tidak lagi menjadi peristiwa-peristiwa yang rawak dan berputaran. Kemajuan sains membolehkan pembangunan masyarakat yang kumulatif dan berarah. Dengan sains dan industri, bermula proses memodenkan masyarakat dan terus-menerus mendorong untuk maju ke hadapan. Pengumpulan kekayaan dapat dijana tanpa henti. Inilah satu-satunya cara masyarakat dapat benar-benar maju, dan hal demikian juga menjadi sebab kukuh untuk demokrasi liberal terus wujud dan lestari. Sejajar dengan itu, kapitalisme pasaran bebas menjadi satu-satunya sistem ekonomi yang sepadan dengan demokrasi liberal kerana sistem tersebut menyediakan peluang terbanyak untuk berjaya dan insentif terbaik untuk manusia terus meneroka peluang baru. Pada era komputer, ekonomi negara menjadi begitu kompleks untuk kerajaan pada kapasiti mereka sahaja untuk menguruskan tanpa bantuan sektor swasta. Justeru, demokrasi liberal yang diadun dengan kapitalisme moden dapat memenuhi keperluan manusia dan memberikan ruang kebebasan yang mencukupi, pada masa sama memberikan insentif untuk meneroka, berfikir dan mencipta (Fukuyama, 2009).


Teori Keamanan Demokrasi Menyokong Konsep Pengakhiran Sejarah

Setelah meneliti idea demokrasi liberal, dunia realiti – dunia idea dan faktor-faktor kejayaan demokrasi, konsep pengakhiran sejarah dilihat disokong oleh teori keamanan demokrasi. Melaluinya, demokrasi yang telah matang amat jarang atau tidak sesekali mengheret mana-mana negara ke kancah peperangan antara negara (Pugh, 2005). Namun teori ini dikritik kerana banyak berkisar tentang definisi yang bercanggah antara “peperangan” dan “demokrasi matang”. Antara kesulitan menilai teori ini adalah demokrasi yang menjadi fenomena sejagat yang baru saja muncul dalam sejarah manusia lantas untuk membuat anggapan umum adalah sukar. Namun begitu, pengukuhuan teori keamanan demokrasi adalah melalui bukti-bukti utama seperti pengurangan dan ketiadaan peperangan antara negeri di Amerika Selatan, Asia Tenggara dan Timur Eropah antara negara yang berpindah daripada pentadbiran ketenteraan secara diktator kepada demokrasi liberal. Kenyataan ini kukuh melalui beberapa kajian, pada penghujung Perang Dingin dan selepasnya : telah berlaku penambahan negara demokratik liberal serta penurunan mendadak dalam jumlah peperangan, peperangan antara negara, peperangan etnik, peperangan revolusi dan bilangan pelarian (Global Conflict Trends, 2017), (Human Security Report, 2005).

 

 

Pengakhiran Sejarah yang Menyedihkan

 

Kesan daripada pengakhiran sejarah ialah satu fasa masa yang menyedihkan. Hal ini demikian kerana segala bentuk pertembungan dan persaingan ideologi yang telah dipersiapkan oleh pelbagai pihak kini telah digantikan dengan pengiraan ekonomi, penyelesaian tanpa henti bagi masalah-masalah teknikal, isu-isu alam sekitar dan usaha memenuhi kehendak-kehendak pengguna yang rumit. Sebelum ini, manusia berjuang dan berusaha gigih untuk mendapatkan pengiktirafan, kesediaan untuk mempertaruhkan nyawa untuk satu tujuan abstrak dan perjuangan seantero dunia oleh ideologi-ideologi sarat dengan imaginasi, idealisme, dan kesungguhan. Kesemua itu tamat dengan pengakhiran sejarah, apabila demokrasi liberal mengambil alih peranan (Fukuyama, 1989). Pengakhiran sejarah menjadikan demokrasi sebagai bentuk kerajaan dan pentadbiran bagi semua negara. Tidak akan ada lagi perubahan daripada demokrasi liberal kepada suatu sistem alternatif. Keadaan ini tidak bermakna demokrasi liberal moden adalah sistem politik yang sempurna, namun tidak wujud lagi mana-mana struktur politik yang dapat menyediakan manusia dengan tahap kemewahan dan kebebasan individu sebagaimana yang ditawarkan demokrasi liberal (Fukuyama, 2013).

 


Implikasi-implikasi Pengakhiran Sejarah

Pengakhiran sejarah memberi impak besar kepada segenap pelusuk dunia. “Penamatan” berlaku pada tahap idea-idea. Tiada ruang untuk membaiki prinsip-prinsip utama dalam demokrasi liberal dan juga tiada peluang untuk mempersoalkannya. Demokrasi liberal dilihat mencapai tahap kemuncak dan tiada saingan yang dapat mengatasinya. Kehilangan pemikiran Marxism-Leninism dari China dan kemudiannya dari Soviet Union menandakan kematian ideologi tersebut daripada terus kekal relevan dalam sejarah dunia. Ideologi Marxism-Leninism adalah bertentangan dengan ideologi demokrasi liberal yang kini berjaya menundukkannya. Pengikut tegar fahaman ideologi Marxism-Leninism mungkin masih wujud dalam jumlah terhad dan di kawasan yang begitu terasing seperti di Managa, Pyonyang atau Cambridge, Massachusetts. Apa yang pasti, tidak lagi wujud sebuah negara besar tunggal yang terus mengawal sejarah dunia dengan ideologi tersebut.

Di samping itu, kesan kehilangan ideologi Marxism-Leninism menjadi petanda pertumbuhan pesat “pemasaran umum” (common marketization) terhadap hubungan antarabangsa dan pengecilan kebarangkalian konflik skala besar antara negara-negara. Namun, hal ini tidak bermakna konflik antarabangsa secara sendirinya tamat. Konflik antara negara masih boleh berlaku dalam sejarah, antara negara-negara tersebut dengan negara yang berada pada pengakhiran sejarah. Keganasan etnik dan nasionalis terus boleh berlaku dan meningkat. Peningkatan ini kerana elemen tersebut tidak dapat dihapuskan secara mutlak, sekalipun dalam negara-negara yang disifatkan berada pada dunia pasca sejarah (Fukuyama, 1989b). Etnik Palestinian and Kurdish, Sikh and Tamil, Irish Katolik and Walloon, Armenian and Azerbaijan: mereka akan berterusan dalam pertikaian dan ketidakpuashatian. Situasi ini adalah petanda keganasan dan pembebasan bangsa (national liberation) melalui peperangan menjadi perkara penting dalam agenda antarabangsa. Namun begitu, konflik skala besar membabitkan negara-negara yang pernah berlaku dalam sejarah seperti antara Jerman dengan Soviet Union dan Perancis : konflik skala besar ini terus pudar dan lenyap daripada pentas sejarah dunia.

 

Di samping itu, implikasi yang berlaku adalah pada tahap kematangan ideologi sistem demokrasi liberal. Sungguhpun melalui pengakhiran sejarah, demokrasi liberal telah mencapai tahap tinggi dan tidak dapat dipertikaikan dengan mudah, idea-ideanya terus dapat dikembangkan dan dilaksanakan dengan lebih baik. Dunia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian “sejarah” dan bahagian “pasca sejarah”. Semua negara hanya menjadi liberal secara demokrasi dalam jangka masa panjang. Situasi ini dapat disokong sekali lagi dengan penemuan akhir-akhir ini bahawa jumlah bilangan negara yang mengamalkan sistem ideologi komunis semakin merudum dan negara-negara yang masih mengamalkannya adalah begitu terasing daripada realiti dunia luar. Kenyataan bahawa hampir kesemua negara akan mencapai demokrasi liberal dalam tempoh masa panjang tidak menafikan negara-negara yang berada dalam dunia pasca sejarah mengamalkan demokrasi stabil seperti Amerika Syarikat langsung tidak menghadapi sebarang ketidakadilan dan masalah sosial yang meruncing. Masalah sosial yang ketara berlaku di negara-negara demokrasi liberal adalah seperti penyalahgunaan dadah, gelandangan, jenayah alam sekitar dan pembaziran. Masalah tersebut berpunca daripada pelaksanaan prinsip kembar kebebasan dan kesaksamaan (liberty and equality) yang tidak sempurna, dan bukannya pada kekurangan prinsip-prinsip asas demokrasi liberal. Masalah dan kekurangan ini tidak kritikal yang membawa kejatuhan sesebuah negara dan bangsa, sebagaimana komunisme yang runtuh pada tahun 1980-an (Fukuyama, 1992).

Selain itu, implikasi pengakhiran sejarah adalah pada tumpuan manusia sejagat. Dengan berakhirnya sejarah, satu-satunya tumpuan perhatian manusia yang masih ada bertahan adalah untuk memenuhi keperluan-keperluan manusia. Tugas utama manusia adalah dalam ekonomi, tidak lagi dalam politik. Dengan sistem yang menawarkan peluang kepada manusia mendapat lebih banyak ganjaran dan insentif untuk meneroka dan mencuba, manusia akan berterusan menggali dan menceburkan diri dalam ekonomi. Kekayaan demi kekayaan terus dijana. Hal ini sejajar dengan falsafah dikemukakan Plato berkenaan keinginan yang diakui untuk mencapai kebahagiaan :
hasrat keinginan (makanan dan seks), penghujahan (ilmu dan kebenaran), dan keperluan untuk diiktiraf sebagai manusia. Melalui demokrasi liberal, keinginan manusia pada makanan, seks dan material diberikan ruang besar. Teknologi yang dibentuk oleh sains moden membolehkan pengumpulan kekayaan tanpa batasan dan pemuasan hasrat manusia yang lebih lebar. Proses ini memastikan penyeragaman (homogenisation), tanpa memerlukan penelitian asal-usul sejarah atau warisan budaya mereka. Semua negara yang sedang melaksanakan pemodenan ekonomi harus meningkatkan kemampuan mereka secara progresif: mereka harus bersatu secara nasional atas dasar negara yang terpusat, menjalankan urbanisasi, menggantikan bentuk-bentuk tradisional sosial seperti suku, sekte, dan keluarga dengan organisasi-organisasi yang rasional secara ekonomi berdasarkan fungsi dan kecekapan.

 

Akhir sekali, antara impak pengakhiran sejarah melalui sistem demokrasi liberal adalah pada tahap idealisme manusia. Secara alternatif diungkapkan bahawa demokrasi liberal tidak lagi mampu menawarkan idealisme yang lebih tinggi dan bernilai, hanya terhad kepada soal ekonomi. Manusia mula menjadi “men without chests” – tidak lagi mempunyai emosi yang dipandu oleh logik akal dan rasional dalam tindakan.

 


Rumusan bagi Teori Pengakhiran Sejarah

Dengan merujuk secara utama kepada Fukuyama dalam tulisannya “The End of History”, beliau menjadikan demokrasi liberal sebagai matlamat akhir bagi setiap gerak dan perkembangan sejarah. Secara progresif dan berterusan semua ideologi pada akhirnya jatuh dan perlahan-lahan bertukar kepada demokrasi liberal. Faktor dan sumber utama yang menggerakkan usaha mencapai tujuan ini ialah “keinginan manusia diakui untuk mencapai kebahagiaan hidup”. Demokrasi liberal berupaya memenuhi “keinginan manusia diakui untuk mencapai kebahagiaan hidup” melalui penghapusan kelas sosial antara tuan dengan budak suruhan, dan seterusnya meletakkan manusia kesemuanya pada satu darjat yang sama. Dari sudut sumber yang menggerakkan sejarah, terdapat perbezaan antara Fukuyama dengan Hegel. Pada Hegel, wacana roh dijadikan penggerak dari sejarah. Sebaliknya, Fukuyama pula meletakkan “keinginan manusia diakui untuk mencapai kebahagiaan hidup” sebagai penggerak sejarah 
(Jessica A.S., 2012). Menurut Fukuyama, sejarah bergerak dalam pola yang berterusan semakin ke hadapan dan semakin sempurna membawa corak-corak terdahulu. Posisi dan peranan manusia dalam sejarah ini dalah terbatas oleh hasrat keinginannya untuk mendapat pengiktirafan, diakui dan mencari kebebasan yang kukuh. Kesemua itu tersedia dalam demokrasi liberal. Pemikiran Fukuyama dikritik kerana menyisihkan ideologi-ideologi lain yang sedang berkembang menjadi lebih baik.


Rujukan
:

 

Boucher, Geoff. 1998. History and Desire in Kojève. https://www.marxists.org/reference/archive/hegel/txt/kojeve-s.htm [ 14 November 2020].

Clarke, J. J. .1971. "The End of History": A Reappraisal of Marx's Views on Alienation and Human Emancipation". Canadian Journal of Political Science. 4 (3).

Desmond, W. . 1984. Hegel, Art, and History, in Robert L. Perkins, ed., History and System: Hegel's Philosophy of History.

 

Featherstone, M. . 1993. Global and Local Cultures, in John Bird, Barry Curtis, Tim Putnam, Mapping the Futures: Local Cultures, Global Change.

Fillion, R.. 2008. Multicultural Dynamics and the Ends of History: Exploring Kant, Hegel and Marx

 

Fukuyama, F. .1989a. The End of History?. The National Interest. p.1.

 

Fukuyama, F. . 1989b. The End of History?. The National Interest. p.17.

 

Fukuyama, F. . 1992. By Way of an Introduction. The End of History and the Last Man https://www.marxists.org/reference/subject/philosophy/works/us/fukuyama.htm [ 25 November 2020]

 

Fukuyama, F. . 1992. The End of History and the Last Man - Summary https://www.supersummary.com/the-end-of-history-and-the-last-man/summary/ [ 25 November 2020]

Fukuyama, F. . 2009. Penamat Sejarah dan Tamadun Manusia Terakhir. Terj. Malaysia : Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Fukuyama, F. . 2013. “The ‘End of History’ 20 Years Later”, New Perspectives Quarterly. 30(4).

Fukuyama, F. . 1989. The End of History? printed in The National Interest (Summer 1989). https://history.msu.edu/hst203/files/2011/02/Fukuyama-The-End-of-History.pdf [26 November 2020]

Global Conflict Trends. 2020. Center for Systemic Peace. http://www.systemicpeace.org/conflicttrends.html  [14 November 2020]

Human Security Report. 2005. Human Security Report Project. https://kusuristore.shop/human-security-reports/2005/overview.aspx [14 November 2020]

 

Jessica A.S., Anastasia. 2012. Fukuyama dan Pemikiran Sejarah di dalam “The End Of History” https://philosophyangkringan.wordpress.com/2012/01/12/411/ [26 November 2020]

 

Pugh, J. .2005. Democratic Peace Theory: A Review and Evaluation. CEMPROC Working Paper Series. https://pdf4pro.com/view/democratic-peace-theory-a-review-and-evaluation-25845f.html [25 November 2020]

 

Rosenberg, M. . 2020. A List of Current Communist Countries in the World.  https://www.thoughtco.com/communist-countries-overview-1435178 [14 November 2020]

 

 

 


Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...