Ulama Benteng

Ulama Benteng
Memaparkan catatan dengan label Hafazan Al-Quran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hafazan Al-Quran. Papar semua catatan

Ahad, 15 November 2015

Mencari Barokah Ilmu daripada Sang Guru

Mencari barokah ilmu daripada sang guru


Alhamdulillah, ketenangan, keberkatan ilmu dan kepuasan rohani setelah kita menadahnya daripada guru, disemak guru, dibetulkan guru, diajarkan guru : semuanya sesekali tidak akan menandingi apa yang kita baca sendiri di tempat sendiri.
Semakan bacaan Al-Quran secara hafazan yang menekankan ketepatan sebutan, hukum tajwid, tempat berhenti dan bersambung memang sangat memerlukan persediaan yang sangat rapi.
Jika kita membaca secara lihat mushaf Al-Quran, kita sudah begitu berhati-hati untuk mematuhi peraturan tajwid, maka daya usaha lebih kuat diperlukan untuk menjaga tajwid bagi bacaan yang dibaca secara hafazan.
Ya, guru tasmi' yang syadid/tegas ketat peraturannya akan meminta pelajar mengulang jika hafazan tidak memuaskan.
Wahai para pelajar yang mengambil ilmu dan menghafaz Al-Quran, sentiasalah menjaga hafazan Al-Quran, jangan dilupakan, sentiasa amalkan tersebut. Setiap hari pastikan diri memegang mushaf dan membacanya.
Semoga Allah memberikan rahmat, barokah, keselamatan kepada kita di dunia dan di akhirat.
Ya Allah, kurniakan sebaik-baik balasan-Mu kepada Guru segala guru kami (Nabi Muhammad) sollaAllahu alaihi wa sallam, para ulama Islam dan para guru kami.
Kredit gambar : laman abunuha

Isnin, 28 Oktober 2013

Apa Antara Yang Dicari Melalui Hafazan Al-Quran?

Assalamualaikum semua,

Sebelum, ketika dan sesudah kita menghafaz Al-Quran, amat-amat penting untuk kita sentiasa memikirkan apakah tujuan sebenarnya dalam usaha dan kesungguhan kita menghafaz, menjaga dan mengamalkan hafazan Al-Quran.

Maka, bertegaslah kepada diri, sedarkan diri daripada kelalaian, JANGAN tenggelam dengan segala tipuan dan kesenangan sementara di dunia ini seumpamanya sekecil terdetik dalam hati kecil ingin meraih tempat dan simpati oleh manusia lain dan mendapat tempat yang tinggi pada pandangan mereka.

Pujuklah diri, sedarkan diri bahawa hakikat segala pinjaman nikmat adalah datang daripada Allah, tujuan sebenar dan mutlak segala-gala tindakan kita adalah untuk mencari keredhaan dan cinta Allah. Kerana kita yakin bahawa Al-Quran adalah kitab suci yang mengandungi firman Allah Yang Maha Suci dan Maha Agung. Maka dengan kesungguhan kita berusaha menghafaz, membaca, mengamalkan dan menjaga hafazan Al-Quran SEPANJANG hayat kita, itu adalah satu bentuk IKATAN kita untuk sentiasa menjaga hubungan kita dengan Allah, sebagai 'ubudiyah pengabdian diri kepada Allah, uintuk taqorrub sentiasa hampir jiwa kita kepada Allah, padat masa terisi dan tidak sia-sia.

Hatta sekalipun kita begitu lancar / masyi selepas tamat hafazan 30 juzuk Al-Quran, kita tetap beriltizam untuk terus menerus melazimi dan menjadikan bacaan Al-Quran sebagai makanan ruhani harian, perkara 'wajib' atas kita untuk bersama Al-Quran.

Ya Allah, Engkau benarkanlah niat mulia dan ikhlas kami ini agar sentiasa berterusan kami melaksanakannya dalam hidup ini, hatta sehingga ke saat terakhir menghembuskan nafas kami dengan sentiasa mendampingi dan membaca al-Quran, sepanjang hayat kami bangun dan tidur, berjalan, berdiri, diam, duduk dan seumpamanya adalah dengan Al-Quran. Amiin. Semoga menjadi bekalan agung kami dalam betemu dengan-Mu dalam kerinduan dan kehambaan.


اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم


Sabtu, 31 Ogos 2013

Pentingnya Ulangan Hafazan Quran

Hafazan Quran - pentingnya ulangan yang berterusan sepanjang hayat.

'Maintenance' memang sangat mustahak, demi menjaga ikatan 'unta' yang sangat mudah terlepas lari jika tidak dijaga dan diikat kuat.

In syaa Allah, luangkanlah sebahagian masa kita secara harian, untuk mengulang hafazan Quran yang telah dilakukan. Semoga terus segar-masyi ayat-ayat Al-Quran dalam hati dan lidah.

Ada sesetengah petua menyatakan, kadar ulangan harian bagi mereka yang telah khatam hafazan 30 juzuk Al-Quran adalah mengulang 3 juzuk sehari.

Mudah-mudahan kita dibantu oleh Allah.

Ahad, 30 Jun 2013

Tips Hafazan Al-Quran: Banyakkan Ulangan

Tips petua hafazan Al-Quran:

- Jika pada awalnya berniat menjadikan hafazan Al-Quran sebagai salah satu jalan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah,

maka jika sudah diperoleh hafazan Al-Quran, jagalah dan amalkanlah hafazan tersebut, realisasikan niat pada awalnya. 

Kerana diumpamakan hafazan Al-Quran itu akan 'merajuk' kuat jika lama tidak diulang dihidupkan, dan diibaratkan juga unta yang perlu diikat kemas (dengan ulangan-penjagaan) sebelum unta itu liar kehilangan.

Isnin, 24 Jun 2013

Salah satu petua hafazan Al-Quran

Salah satu petua hafazan Al-Quran 

- Menjaga dan memantapkan hafazan yang lama, hafazan yang sudah diambil, disemak dengan guru (tasmi') sehingga masyi-lancar diulang-ulang, 

sebelum menambah hafazan yang baru.

- Perkara ini adalah selari dengan mafhum firman Allah menyuruh kita bersyukur dengan kurniaan-Nya yang in syaa Allah dengan sebab demikian akan ditambah lagi nikmat-Nya.

- Jangan terburu-buru membanyakkan kuantiti ayat yang dihafaz sedangkan kualitinya terabai. Adakah tergesa-gesa membanyakkan hafazan kerana mahukan syahadah-sijil? Adakah tergesa-gesa membanyakkan hafazan kerana mahu dipuji dan dipandang tinggi? Jika ada, maka amat perlu kita segera membetulkannya.

- Cukuplah segala ibadah dan ketaatan kita sebagai salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada-Nya, semua ibadah kita hanya dipersembahkan kepada-Nya, kerana hanya DIA yang layak menilai dan menerima serta memberikan balasan. Mudah-mudahan Allah bantu kita untuk menjauhi dan/atau melenyapkan pengaruh makhluk dalam niat kita.

Rabu, 27 Februari 2013

Kukuhkan Keazaman Untuk Sentiasa Bersama Al-Quran


Kemuliaan Al-Quran sebagai kalam Allah adalah teragung dan mengatasi segala perkara yang lain. (Sumber gambar)


Cita-cita mulia dan besar untuk sentiasa melazimi bacaan, hafazan, pemahaman dan pengamalan Al-Quran adalah sesuatu yang turut sama menuntut kesabaran yang menggunung tinggi, pergantungan dan keyakinan akan bantuan Allah secara sepenuh hati, kecekalan hati yang utuh, kesungguhan dan keazaman usaha keras dan gigih yang berterusan tanpa ada erti untuk berputus asa dan berhenti.

Perlu kita amati dan insafi bahawa niat yang suci mutlak demi pencarian keredhaan Allah dan sebagai satu jalan ibadah mendekati-Nya perlulah dipasakkan dengan sekukuh-kukuhnya dan sentiasa diingatkan agar tidak terpesong perjalanan ruhani.

Intabihu bahawa usaha menghafaz Al-Quran memerlukan peruntukkan masa yang besar, secara harian dan berterusan, diwujudkan kedua-dua unsur menghafaz ayat hafazan baru dan mengulang hafazan yang lama atau telah diperoleh. Lidah dan hati perlu sentiasa disibukkan dan dilembutkan dengan ulangan bacaan ayat-ayat Al-Quran agar melekat dan masyi hafazan itu.

Dan selepas dihafaz ayat Al-Quran ingatlah bahawa amanah adalah terlalu besar untuk berusaha menjaga ingatan tersebut, kerana melupakan ayat Quran yang telah dihafaz adalah mengundang kemurkaan Allah. Diumpamakan juga Al-Quran yang dihafaz itu adalah unta, yang perlu diikat kuat dengan ulangan agar tidak hilang.

Mudah-mudahan Allah kurniakan kita sebenar-benar keikhlasan niat, diberikan redha-Nya, diizinkan kita menghafaz Al-Quran dengan baik dan lancar sepanjang hayat, diberikan kemudahan untuk kita mengulang sekurang-kurangnya sebanyak 3 juzuk sehari dengan punyai kualiti pemahaman dan pengamalan isi kandungannya.

Mafhum juga dalam hadis Baginda sollaAllahu alaihi wa sallam bahawa seorang hamba yang sibuk dengan bacaan Al-Quran sehingga tidak sempat untuk berdoa maka dia akan dikurniakan oleh Allah dengan kurniaan yang lebih baik kepada hamba lain yang berdoa tetapi tidak disibukkan dengan bacaan Al-Quran.


....

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...