Ulama Benteng

Ulama Benteng

Isnin, 12 April 2021

Ulasan Artikel : Amalan Muafakat dan Aplikasi Takharuj dalam Pengagihan Pusaka menurut Perspektif Undang-undang Pusaka Islam

Pengenalan – Setiap harta benda secara hakiki adalah hak milik mutlak Allah dan manusia hanya berperanan menguruskannya semasa hidup dan selepas kematian perlu berpindah amanah itu kepada waris. Islam menyediakan kaedah pengurusan pusaka melalui faraid, dan seiring perkembangan zaman penyelesaian pembahagian pusaka juga boleh dilaksanakan secara muafakat yang dinilai adakah sejajar dengan kaedah takharuj dalam undang-undang pusaka Islam.

Isi-isi penting - Konsep muafakat adalah persetujuan bersama antara ahli waris melalui kerelaan masing-masing tanpa paksaan. Dalam masyarakat Melayu, wujud medium khusus menyelesaikan isu pertikaian dan mereka lebih berminat dengan penyelesaian di luar mahkamah secara rundingan sesama mereka atau merujuk kepada orang tengah. Cara ini adalah secara kekeluargaan. Permuafakatan damai telah diamalkan pada zaman Nabi Muhammad SAW, dan proses ini mempunyai tautan yang erat dengan pengertian sulh, yang dikhususkan bagi tujuan mengakhiri pertikaian sesama manusia. Konsep takharuj pula apabila ahli waris saling mengeluarkan bahagiannya kepada saudaranya yang lain iaitu menyerahkan bahagian miliknya melalui pembelian. Perdamaian berlaku antara para ahli waris agar sebahagian daripada mereka menarik diri daripada mengambil bahagian pusakanya.  Asas pengaplikasian takharuj adalah berdasarkan athar yang berlaku pada zaman pemerintahan ‘Uthman ibn ‘Affan RA, apabila seorang daripada isteri ‘Abd al-Rahman ibn ‘Awf RA yang dilakukan musalahah terhadapnya (dengan persetujuan isteri tersebut) dengan dibayar 83,000 (dinar) untuk mengeluarkannya daripada senarai ahli waris. Kedudukan akad takharuj berteraskan cara penyelesaian yang dipersetujui para waris, boleh jadi mubadalah, hibah, mu’awadah dan ibra’. Sungguhpun istilah muafakat dan takharuj berbeza, terdapat persamaan penting dari aspek hala tuju matlamat yang direalisasikan melalui kedua-kedua konsep ini, iaitu perdamaian bagi keadilan untuk menjaga persaudaraan antara waris. Titik utama kepada definisi-definisi tersebut berpunca daripada perkataan kharaja (keluar) iaitu mengeluarkan diri atau ahli waris daripada hak kadar ditetapkan faraid, dengan gantian sesuatu imbalan atau tanpa balasan. Terdapat beberapa perbezaan antara konsep muafakat dan takharuj. Takharuj boleh dilaksanakan tanpa persetujuan yang lain, namun dalam muafakat memerlukan keputusan bersama. Seterusnya sumber amalan takharuj ialah athar yang terlaksana pada zaman ‘Uthman ibn ‘Affan RA, manakala tiada sandaran khusus yang kuat kepada amalan muafakat. Di samping itu, takharuj memiliki kerangka asas yang tersendiri dari sudut syarak yang mempunyai syarat-syaratnya tersendiri manakala amalan muafakat adalah lebih longgar dan tidak terikat kepada mana-mana syarat. Perbezaan seterusnya ialah dalam konsep takharuj, setiap ahli waris mengetahui terlebih dahulu kadar dan hak masing-masing, namun dalam konsep muafakat hal demikian tidak diberikan penekanan.  Secara keseluruhan, dapat difahami bahawa kedua-dua konsep memiliki persamaan asas dalam sudut matlamat akhir untuk menyelesaikan pembahagian harta pusaka dengan baik dan pada masa sama memelihara hubungan antara ahli waris. Seterusnya apabila diteliti dengan lebih halus, wujud beberapa perbezaan yang mana konsep takharuj dilihat memiliki rujukan dan syarat lebih tersusun.

Pandangan dan persoalan yang timbul dari isi-isi penting yang dibangkitkan - Konsep muafakat secara asas utama diikat pada kerelaan dan persetujuan oleh setiap ahli waris, ahli keluarga yang berhak menerima agihan harta pusaka si mati dan seterusnya untuk digunakan dalam kelangsungan hidup. Hukum Islam secara pasti telah menentukan faraid kepada setiap waris. Namun, dalam beberapa situasi dan perkembangan cabaran zaman, wujud harta yang sukar untuk dipecahkan dan diagihkan seperti lot tanah jika dipecahkan menjadi lot lidi akan kurang nilai gunaannya. Justeru, terdapat pilihan yang diamalkan masyarakat Melayu untuk berhadapan situasi itu, dengan konsep muafakat. Amalan muafakat yang diamalkan dalam masyarakat Melayu untuk penyelesaian secara damai tanpa melibatkan institusi formal seperti mahkamah adalah tradisi, dan pada peringkat antarabangsa juga telah diamalkan oleh bangsa-bangsa lain di dunia. Pengamalan seperti bukan sesuatu yang baru dan janggal, bahkan telah diamalkan sejak sebelum Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai Rasul dan berterusan diamalkan selepasnya. Intipati daripada pendekatan ini adalah memberi keutamaan penyelesaian pertikaian secara menyeluruh agar masyarakat secara amnya dapat mengecepai kedamaian dan tidak sekadar penentuan pihak manakah yang menang dan yang kalah. Pelaksanaan yang berakar umbi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dalam muafakat menyelesaikan pertikaian ini adalah berkait rapat kukuh dengan nilai ajaran Islam. Di samping itu, pertikaian sosial dihadapi berpandukun nilai-nilai Islam, norma setempat dan adat masyarakat Melayu yang begitu menitikberatkan kesopanan dan tolak ansur dalam hubungan sosial. Proses mendapatkan pandangan daripada orang yang lebih dihormati dan diyakini, kemudiannya terhasil persetujuan bersama adalah penyelesaian yang mengikuti konsep sulh dalam syariat Islam. Sulh memiliki hubungan yang kuat dengan sulh. Antara definisi yang sangat tepat dalam konteks ini ialah daripada al-Isfahani (1961) yang menyatakan sulh dikhususkan bagi menamatkan pertikaian antara manusia. Sejajar dengan itu, tautan rapat wujud antara muafakat dengan sulh dengan konteks tujuan yang umum untuk saling berdamai secara sukarela bagi mengelakkan pertikaian. Dengan mengambil kira pandangan pelbagai sarjana, disimpulkan bahawa takharuj adalah apabila para ahli waris berdamai agar seorang atau sebahagian daripada mereka dikeluarkan daripada menerima harta pusaka dan akan menyerahkannya kepada seorang atau sebahagian atau kepada semua ahli waris dan sebagai gantiannya daripada apa yang dipersetujui mereka, sama ada diambil daripada harta pusaka tersebut atau selainnya, iaitu daripada harta peribadi waris-waris yang menerima atau secara sukerala tanpa balasan. Maka, dapat dilihat dengan lebih jelas kaitan kuat takharuj dengan amalan muafakat masyarakat Melayu. Dengan berpandukan athar oleh sahabat Rasulullah SAW pada zaman Utman bin Affan RA, konsep takharuj diikat kemas dengan perundangan Islam yang pastinya membawa kepada kebaikan. Akad berperanan amat mustahak bagi menjelaskan status transaksi, implikasi dan selanjutnya ketenangan jiwa kepada setiap pihak terlibat.  Di sini, kekuatan dan keunikan kedudukan akad dalam takharuj adalah berdasarkan cara rundingan dan penyelesaian konsesus setiap waris. Transaksi menjadi mubadalah (pertukaran) jika harta ditukar dalam nilai sama. Apabila kurang daripada nilai, transaksi menjadi hibah (hadiah). Takharuj menjadi ibra’ apabila seorang ahli waris memberi sebahagian haknya dan mengekalkan haknya pada sebahagian harta lain. Hibah dalam takharuj berlaku apabila ahli waris melepaskan haknya tanpa sebarang ganti rugi atau bayaran atau imbal balik. Takharuj boleh dibahagi secara muqasamah sekiranya ahli waris yang menarik diri melakukan takharuj tanpa balasan, mengenakan syarat agar bahagiannya dibahagi sama rata dalam kalangan ahli waris lain. Sekali lagi dilihat kesyumulan, fleksibiliti perundangan Islam yang meraikan situasi yang berbeza dan pilihan yang dipersetujui ahli-ahli terlibat. Perbezaan konsep muafakat dan takharuj adalah tidak ketara. Kepelbagaian definisi oleh ulama dan sarjana membawa kepada kesimpulan yang sama dan saling melengkapi antara satu sama lain. Dalam takharuj, waris yang berhak menerima pusaka, jika ia ingin keluar daripada menerima, ia boleh melaksanakannya secara mutlak tanpa memerlukan persetujuan waris lain. Berbeza dengan pelaksanaan muafakat yang memerlukan keputusan secara bersama. Di sini di lihat kesantunan masyarakat Melayu yang masih mementingkan kebersamaan sosial setiap ahli terlibat. Dari sudut rujukan, pelaksanaan takharuj sewaktu zaman sahabat Nabi SAW yang tiada penentangan menjadikan amalan itu sebagai diterima dan dijadikan asas rujukan ulama. Muafakat pula tidak memiliki sumber penulisan khusus, dan diamalkan secara adat dan tradisi. Apa yang berlaku adalah usaha ulama pada masa kontemporari untuk mengaitkan konsep muafakat dengan sulh kerana amalan yang baik itu tidak bertentangan dengan syarak. Dalam pelaksanaan konsep tersebut, muafakat boleh mengambil kira dan ditambah baik dari segi syarat-syarat, tertakluk kepada elemen-elemen yang boleh membatalkannya. Dengan demikian, setiap ahli akan lebih yakin dan tenang jiwa kerana setiapnya bernilai ibadah akhirat dengan lebih jelas dan terbela haknya oleh sistem perundangan Islam. Di samping itu, pemurnian amalan muafakat juga boleh terlaksana dengan mencontohi amalan takharuj yang menuntut setiap ahli waris mengetahui hak dan bahagian masing-masing terlebih dahulu. Dengan itu, ahli waris membuat keputusan dengan pengetahuan dan keyakinan. Berbanding dengan muafakat yang tidak memestikan pengetahuan setiap ahli waris. Dapat diketengahkan juga bahawa amalan muafakat adalah banyak berteraskan adat dan kesantunan masyarakat Melayu, tanpa ada ikatan syarat yang lebih jelas dan ketat. Amalan tradisi muafakat berdasarkan ikatan adat. Bagi kebaikan kesemua pihak, terutama kelangsungan hidup kekeluargaan, maka amat wajar kekuatan kedua-dua konsep dimanfaatkan. Hak setiap ahli waris terjamin, hubungan baik sesama mereka dapat dipertahankan dalam suasana santun dan damai.

 

Senarai rujukan – dari bahan bacaan jurnal atau buku teks berkaitan

al-Hasari, Ahmad. 1992. al-Tarikat wa al-Wasaya wa al-Qadaya al-Muta‘alliqat bihima fi al-Fiqh al-Islami al-Muqaran. Bayrut: Dar al-Jayl.   Dipetik daripada Md Yazid Ahmad. 2017. Islamiyyat 39(1) 2017: 21 – 28. Amalan Muafakat dan Aplikasi Takharuj dalam Pengagihan Pusaka menurut Perspektif Undang-undang Pusaka Islam. 

al-Isfahani, al-Raghib. 1961. al-Mufradat fi Gharib al-Qur’an. al-Qahirah: Matba‘at Mustafa al-Babi al-Halabi. Dipetik daripada Md Yazid Ahmad. 2017. Islamiyyat 39(1) 2017: 21 – 28. Amalan Muafakat dan Aplikasi Takharuj dalam Pengagihan Pusaka menurut Perspektif Undang-undang Pusaka Islam.

Cohen, J.A. 1978. China’s Changing Constitution. Harvard: Harvard Law School. Dipetik daripada Md Yazid Ahmad. 2017. Islamiyyat 39(1) 2017: 21 – 28. Amalan Muafakat dan Aplikasi Takharuj dalam Pengagihan Pusaka menurut Perspektif Undang-undang Pusaka Islam. 

Ibn Manzur, Jamal al-Din Muhammad Mukarram ibn ‘Ali. 1990. Lisan al-‘Arab. Bayrut: Dar Sadir.  Dipetik daripada Md Yazid Ahmad. 2017. Islamiyyat 39(1) 2017: 21 – 28. Amalan Muafakat dan Aplikasi Takharuj dalam Pengagihan Pusaka menurut Perspektif Undang-undang Pusaka Islam. 

Mansur, ‘Abd al-Halim. 2010. Fiqh al-Mawarith fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah. Iskandariyyah: Dar al-Fikr al-Jami‘i. Dipetik daripada Md Yazid Ahmad. 2017. Islamiyyat 39(1) 2017: 21 – 28. Amalan Muafakat dan Aplikasi Takharuj dalam Pengagihan Pusaka menurut Perspektif Undang-undang Pusaka Islam. 

Md Yazid Ahmad, Hayatullah Laluddin. 2010. Pengurusan harta pusaka: Permasalahan sikap masyarakat Islam di Malaysia dan penyelesaiannya menurut perspektif Islam. Shariah Law Reports 4: 30-54.

Md Yazid Ahmad,Ibnor Azli Ibrahim. 2006. Konsep harta menurut perspektif undang-undang Islam & undang-undang sivil: Satu tinjauan. Jurnal Pengajian Umum 7.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...