Ulama Benteng

Ulama Benteng

Khamis, 23 April 2009

Tuan Guru Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari Al-Nadwi Al-Maliki

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.


Ya ALLAH, hanya Kau sahaja yang lebih mengetahui. Saya merindui sentuhan hati dan ilmu tasawuf daripada Ustaz Fahmi Zamzam. Jiwa kadang-kadang terasa kekeringan. Kekeringan ini dulunya ketika di Malaysia saya lembabkan dengan menghadiri kuliah beliau di Anjung Rahmat, Gombak dan juga di Alor Setar, Kedah. Semoga dapat mengikuti sebarang kuliah pengajaran beliau walaupun jarak geografinya jauh. Sedetik saya bersama kuliah beliau dapat merehatkan keletihan hati memikirkan dunia dan permasalahan dunia yang tidak akan sudah-sudah. Sudah dengar, terasa nak dengar lagi, tak terasa masa yang berlalu.

Daripada laman ini: http://www.mymaktabaty.com/2008/06/mp3-ceramah-ustaz-ahmad-fahmi-zamzam.html

Al-Fadhil Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari Al-Nadwi Al-Maliki dilahirkan pada tahun 1959 di Amuntai, Banjar Masin, Kalimantan Selatan. Beliau memasuki alam persekolahan di Amuntai sebelum menyambung pengajian di Madrasah Darussalam Martapura, Kalimantan selatan sehingga Tingkatan ‘Aliyah. Beliau seterusnya melanjutkan pendidikan di Yayasan Pesantren Islam Bangil, Jawa Timur.

Pada tahun 1980, beliau telah meneruskan pengajiannya di India, bersama dengan ulama’ terkenal Samahah As-Sheikh Abul Hassan Al-Hasani An-Nadwi r.h. di Nadwatul Ulama’, Lucknow. Pada tahun 1984, beliau menamatkan pengajiannya di India dan datang ke Malaysia, seterusnya berkhidmat di Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah Derang di Pokok Sena, Kedah sehinggalah ke hari ini.

Beliau juga merupakan Mudir, Pasentren Yayasan Islam Nurul Hidayah (Yasin) di Banjar Baru dan Pasentren Yasin di Warateweh, Kalimantan, Indonesia yang dibuka pada tahun 2001 dan 2003. Disamping itu, beliau adalah Ketua Umum Majelis Ulama’ Indonesia Kabupaten Barito Utara, Kalimantan Tengah untuk sessi 2004 – 2009.

Melalui penerbitan Khazanah Banjariah, Al-Fadhil telah bergiat aktif dalam usaha pengeluaran kitab-kitab berbahasa Melayu. Antara lain, Al-Fadhil telah banyak menyusun kitab-kitab kumpulan hadits-hadits seperti ‘40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman’, ’40 Hadis Penawar Hati’ dan ‘40 Hadis Kelebihan Ilmu dan Ulama’. Al-Fadhil juga telah mentahkik dan menerbitkan semula kitab-kitab karangan ulama’ silam Nusantara As-Sheikh Abdul Samad Al-Falimbani seperti ‘Sairus Salikin’ (4 jilid) dan ‘Hidayatus Salikin’.

Disamping itu, Al-Fadhil juga aktif menterjemahkan kitab-kitab tasawuf yang ulung seperti ‘Bidayatul Hidayah’ dan ‘Ayyuhal Walad’ karangan Imam Al-Ghazali serta ‘Bustanul Arifin’ karangan Imam An-Nawawi.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Khamis, 16 April 2009

Suka Duka Itu Rahmat ALLAH


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

"Tidak daya upaya dalam melakukan ketaatan melainkan dengan apa yang dipinjamkan oleh ALLAH s.w.t.. Hamba sujud mengakui kebergantungan kepada-Mu Wahai Tuhan Yang Maha Perkasa."

Berikut ialah penyalinan semula penulisan Imam Ibnu 'Athoillah dalam kitab al-Hikam beliau yang telah diterjemahkan bahasanya.

Suka Duka Itu Rahmat ALLAH

90)

"ALLAH melapangkan bagimu, supaya engkau tidak selalu berada dalam kesempitan, dan ALLAH menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan ALLAH melepaskan engkau daripada kedua-duanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain daripada ALLAH."

ALLAH mengubah keadaanmu daripada sedih kepada gembira, daripada sihat kepada sakit, daripada kaya kepada miskin, daripada terang kepada gelap, supaya mengerti bahawa engkau tidak bebas daripada hukum ketentuan-Nya, supaya selalu engkau berdiri di atas landasan LAA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH. (Tidak ada daya upaya untuk mengelakkan sesuatu dan tidak ada kekuatan untuk melaksanakan sesuatu, kecuali dengan pertolongan ALLAH s.w.t.)

Firman ALLAH s.w.t., mafhumnya:

"Supaya kamu tidak sedih (menyesal) terhadap apa yang terlepas dari tanganmu, dan tidak gembira atas apa yang diberikan kepadamu."

91)

"Orang arif jika merasa lapang lebih khuatir (takut), daripada jika mereka berada dalam kesempitan, dan tidak dapat tegak di batas-batas adab dalam keadaan lapang itu kecuali sedikit sekali."

Abu Bakar As-Siddiq r.a. berkata:

Kami diuji dengan kesukaran, maka kami tahan dan sabar, tetapi ketika diuji dengan kesenangan (kelapangan), hampir tidak sabar (tahan).

Yusuf bin Husain Arrazy menulis surat kepada Al-Junaid:

Semoga ALLAH tidak memberi kepadamu rasa kelazatan hawa nafsumu, sebab jika engkau merasakan kelazatannya, maka tidak akan merasakan kebaikan untuk selamanya.

92)

"Dalam masa kelapangan (basath - بسط ) hawa nafsu dapat mengambil bahagiannya kerana gembira, sedang dalam masa sempit (qabdh - قبض ) tidak ada bahagian sama sekali untuk hawa nafsu. Kerana itu manusia lebih aman berada dalam kesempitan, kerana hawa nafsu tidak dapat memperdaya."

Abul Hasan Asy-Syadziliy r.a. berkata; Al-Qabdhu wal basthu (القبض والبسط) -risau hati dan riang hati selalu silih berganti dalam perasaan setiap hamba, bagaikan silih berganti siang dan malam. Dan sebabnya قبض (risau hati) itu salah satu daripada tiga:

Kerana dosa atau kehilangan dunia, atau dihina orang. Maka adab seorang hamba, jika merasa berdosa harus segera bertaubat, dan jika kehilangan dunia harus rela dan menyerah kepada hukum ALLAH, dan apabila dihina orang harus bersabar. Dan jagalah dirimu jangan sampai kamu merugikan dirimu dua kali, ya'ni dengan perbuatanmu sendiri, dan hinaan (aniaya) orang lain. Dan apabila terjadi قبض (risau hati) itu tidak diketahui sebabnya, maka harus tenang menyerah. Insya ALLAH jika tenang menyerah, tidak lama akan sirna masa gelap dan berganti dengan terang, ada kalanya terang bintang iaitu ilmu atau sinar bulan iaitu tauhid, atau matahari iaitu ma'rifat, tetapi jika tidak tenang pada masa gelap (risau hati) mungkin akan terjerumus dalam kebinasaan.

Adapun dalam masa suka (riang hati), maka sebabnya ialah satu daripada tiga:

Kerana bertambahnya kelakuan 'ibadat (taat) dan bertambahnya ilmu ma'rifat atau bertambahnya kekayaan atau kehormatan, dan yang ketiga kerana pujian dan sanjungan orang kepadanya. Maka adab seorang hamba: Jika berasa bertambah taat ibadatnya dan ilmu ma'rifatnya harus berasa bahawa itu semata-mata kurnia Tuhan, dan berhati-hati jangan sampai berasa bahawa itu daripada kerajinan sendiri. Dan jika mendapat tambah keduniaan, maka ini pula yang harus dianggap bahawa itu semata-mata kurnia ALLAH, dan harus waspada jangan sampai terkena bahayanya.

Adapun jika berupa pujian sanjungan orang kepadamu, maka kehambaanmu mengharuskan bersyukur kepada ALLAH yang telah menutup kejahatanmu sehingga orang hanya mengenal kebaikanmu, semata-mata.

Semoga penulisan Imam Ibnu 'Athoillah memberikan manfaat kepada kita dengan izin ALLAH, dan semoga ALLAH senantiasa mengurniakan rahmat dan keampunan kepada beliau.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Rabu, 15 April 2009

Ketinggian Kemuliaan Kedudukan

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.


Dari kiri, Rozairee, Zaim ( kedua-duanya sahabat sejak MCKK), saya dan Syed Marwan. Mereka ialah pelajar Universiti Melbourne. Saya menumpang penginapan di rumah mereka. Berat juga hati untuk berpisah, pasti akan merindui mereka.



Berada di hadapan Muzium Melbourne.

Suasana di Sydney Road yang banyak mempunyai kedai bangsa 'Arab. Saya dan Rozairee membeli sepasang khuf di kedai Eeman dengan harga AUD 14. Bernasib baik kerana pemilik kedai ini sudi memberikan potongan harga sebanyak AUD 2 setelah saya berbahasa dengan beliau bahawa saya pelajar tahun pertama yang datang dari Adelaide. :) Di sini juga ada restoran Alasya, sebuah restoran Muslim Turki yang terkenal.

Berada di kawasan Universiti Melbourne.


Baru sahaja saya pulang daripada kembara ke bumi Melbourne. Peluang untuk bertadabbur dengan alam ciptaan ALLAH ini digunakan dengan sebaik-baiknya. Australia ini luas dan kaya dengan ayat-ayat ALLAH dalam bentuk mandzuu-roh (yang dapat dilihat) selain dalam bentuk maqru-ah (yang dapat dibaca ya'ni al-Quran). Perjalanan saya dari Adelaide ke Melbourne menggunakan bas dan keretapi memakan masa lingkungan 10 jam dapat menggambarkan jarak yang jauh antara dua bandar utama di Australia ini. Kos pengangkutan darat ini hanya AUD 89.80 bagi pergi dan balik adalah lebih murah berbanding pengangkutan udara. Antara kebaikan yang ada di dalam bas ekspres di Australia ini, mereka mempunyai tali pinggang keselamatan bagi setiap tempat duduk penumpang, air kosong bagi diminum penumpang dan juga komunikasi yang jelas dan mesra daripada pemandu bas. Masa perjalanan juga tepat, dan pemandu bas dilihat bertenaga dan ceria. Taklimat diberikan semasa bermulanya perjalanan. Penumpang diingatkan bahawa denda akan dikenakan jika tertangkap tidak memakai tali pinggang keselamatan. Mungkin ini nilai positif masyarakat di sini yang sangat mengutamakan keselamatan yang perlu kita contohi.

Syukur kepada ALLAH s.w.t. kerana hati diizinkan untuk dicampakkan dengan ingatan-ingatan hikmah.

Banyak tempat saya lawati, bermacam-macam manusia saya temui. Tak kurang juga jodoh pertemuan dengan sahabat-sahabat yang berkongsi ikatan 'aqidah yang sama dan fikrah perjuangan yang dipegang bersama. Setidak-tidaknya apabila bertemu dengan sahabat-sahabat sefikrah yang dicintai, kesolehan mereka mengaruhkan inspirasi kehambaan saya.

Saya juga berpeluang bertemu para 'ulama. Hati berasa sangat tersentuh dan insaf apabila berpeluang bertemu secara talaqi dan melihat peribadi mereka dengan lebih dekat. Sekecil-kecil perkara yang dilakukan mereka bakal menjawab fitnah yang dilontarkan kepada perjuangan Islam. 'Ulama ukhrawi yang benar-benar halus akhlak dan tinggi pengabdian diri mereka cukup menginsafkan diri saya.

Ilmu dan kefahaman mereka begitu luas dan mendalam. Mulalah kuat perasaan menyatakan bahawa golongan 'ulama harus terus dimuliakan dan dicintai. Diri ini masih tidak seberapa berusaha menggali 'ilmu. Menuntut 'ilmu daripada 'ulama yang berkelayakan dalam bidang mereka ternyata memberikan "kekenyangan" rohani, dan terasa ingin terus mendengar pengajaran mereka.

Bertemu dengan pelbagai jenis manusia, saya mula berfikir apakah yang perlu diburu dalam mendapatkan suatu keadaan yang terbaik pada penilaian ALLAH s.w.t. Saya dilontarkan dengan satu hikmah bahawa ketinggian kemuliaan kedudukan para hamba ALLAH antaranya bertitik tolak daripada KESUCIAN NIAT mereka. Pernah Imam Ibnu 'Athoillah menyatakan bahawa orang yang ikhlas sekalipun mungkin tertewas dan mereka tidak berupaya untuk mencapai kesucian niat yang lebih tinggi. Antaranya ialah usaha dalam ibadat untuk mendapatkan sesuatu seperti ganjaran syurga dan kedudukan yang tinggi pada sisi ALLAH s.w.t. , dan hal sebegini ini adalah dirisaukan kerana syaitan bertaraf tinggi akan mula menyerang dari sisi perasaan riyak dan sebagainya. Apa salahnya jika kita sungguh-sungguh nyatakan kepada ALLAH s.w.t. bahawa segala 'ibadat yang dilakukan adalah dengan usaha kita yang terbaik untuk mencapai niat yang suci untuk-Nya semata-mata. Orang yang hanya menghitung ganjaran ALLAH s.w.t. mungkin dapat dibandingkan dengan golongan pedagang. Pernah Tuan Guru Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam dalam kuliah ruhaniyahnya yang membincangkan kitab Bustanul 'Arifin tulisan Imam Nawawi, menyatakan bahawa orang yang lebih tinggi keikhlasan mereka akan sentiasa berasa lebih risau dengan keikhlasan mereka.

Saya mencatatkan ketinggian kemuliaan kedudukan seseorang hamba itu antaranya bertitik tolak daripada KESUCIAN NIAT, yang sentiasa dihalusi, sehinggakan pada suatu tahap mereka telah berasa diri lebur di hadapan keagungan ALLAH, sudah tidak dapat ditakrifkan lagi apakah niat mereka. Mereka menjadi mabuk dalam cinta ALLAH s.w.t. kerana setiap apa sahaja yang mereka pandang, dengar dan gunakan adalah secara hakikatnya kepunyaan ALLAH s.w.t. Rahmat dan kasih sayang ALLAH terlalu luas, sehingga mereka terasa lemas dalam lautan rahmat tersebut. Berkata Tuan Guru Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam, Imam Asy-Syazili menyatakan dirinya akan menjadi kafir jika melupakan ALLAH walau sebentar. Apa tidaknya, pada padangannya, semua yang dilihat adalah berkait terus dengan ALLAH s.w.t.

KESUCIAN NIAT yang sentiasa disucikan pasti akan membuahkan perilaku luhur dan mempesona yang terjelma dalam kehidupan seharian.

Begitu juga orang yang kita nampak seperti "ikhlas", tetapi mereka ada sesuatu di sebaliknya, untuk mencapai pelbagai kepentingan yang tersendiri. Mohon kita semua diselamatkan daripada bencana sebegini.

YA ALLAH, kami pohonkan cinta dan kasih sayang-Mu agar Engkau menjadikan hati kami terus tetap disucikan, dengan matlamat segala tindakan kami adalah untuk-Mu semata-mata.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Selasa, 7 April 2009

APIS dan Sederap Langkah ke Hadapan

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.


Persatuan Alumni Pelajar Islam Sekolah Berasrama Penuh Malaysia (APIS)

- Perjuangan Islam; APIS Sebagai Wadah bagi Mendekati Kelompok Pelajar Islam di SBP dan juga para lepasannya.

- SBP terdapat sebanyak 54 buah sekolah di seluruh Malaysia, insya ALLAH menjadi madrasah golongan ilmuan, profesional Islam.

- APIS cuba meluaskan capaian da'wah kepada 54 buah SBP.

- Jika sentiasa mahu menewaskan diri kepada "kesibukan" dengan bebanan dan galasan akademik, pasti akan terus tertutup pintu bagi perjuangan Islam.

- Pernah suatu ketika dahulu, sahabat-sahabat seangkatan memikirkan bagaimanakah bentuk sumbangan yang dapat dilakukan apabila telah berangkatnya salah seorang daripada kami ke perantauan, sedangkan gelanggang kami beraksi adalah di Malaysia.

- Banyak sahaja kerisauan, kalau nak dihitungkan, memang tak habis nak dirisaukan.

- Cuba cerahkan minda, tetapkan diri MAHU melaksanakan. Dan laksanakan berdasarkan KEMAMPUAN. Syaitan itu amat licik dalam menyekat kemaraan kita. Orang yang begitu risau bahawa dia tidak mampu melaksanakan amal untuk Islam TANPA mencerahkan mindanya dengan hakikat kemampuan yang dia ADA, maka sedikit demi sedikit dia akan terus meninggalkan amal untuk Islam tersebut.

- Hadits orang Melayu kita; " Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran." Cukup besar hikmah yang dibawa, lebih-lebih lagi kepada barisan pejuang Islam, supaya mereka sedar akan kedudukan dan kemampuan, serta menumpukan usaha kepada sasaran da'wah masing-masing.

- Jika tidak mampu untuk melaksanakan semua, jangan memilih untuk tidak melaksanakan semua terus.

- Sebesar mana sekalipun pengorbanan bagi perjuangan Islam, pasti ada balasan-Nya yang menanti. Hal ini adalah janji ALLAH, Dia tidak memungkiri janji-Nya.

- Tak mengapa, biar usaha ini kecil kuantitinya, tetapi tinggi kualiti dan konsisten. Pasti kesannya akan menggegarkan pentas perjuangan Islam.

- Sekarang zaman kepesatan teknologi maklumat, insya ALLAH, mustahil dan dusta jika kita katakan kita tidak mampu untuk menunaikan amanah kepada perjuangan Islam.

- Perjuangan kita BUKAN baru bermula, dan kita bukan pengakhirannya, tetapi hanya sekadar mata rantai yang meneruskannya. Kandungan perjuangan itu telah disusun rapi oleh 'ulama, dan kita pula beramanah untuk menyampaikannya kepada sasaran perjuangan.

- Kita bukan sekadar duduk dalam perjuangan ini untuk berseronok-seronok pada hari ini, esok, lusa, minggu depan, bulan depan, dan tahun depan, tetapi dengan wawasan yang cukup jauh, mengjangkau alam akhirat yang abadi.

- Usah lagi merasakan diri sentiasa lemah tidak berdaya meneruskan langkah perjuangan. Mulakan dengan DAYA yang dipinjamkan ALLAH kepada kita.

- Susun dengan rapi, lakukan kerangka masa yang jelas. Kita tahu ke mana ingin kita tuju selepas ini.

- Jangan bertangguh, kerana kesannya sangat parah jika amalan tangguh ini dibiarkan kronik. Bagi pejuang Islam, dengan penangguhan amal ini, nafsu akan lebih berseronok-seronok, mengetepikan ketaatan kepada perjuangan agama ALLAH.

- Teruskan sangkaan terbaik buat ALLAH Yang Maha Penyantun terhadap hamba-hamba-Nya yang ikhlas mentaati-Nya.

- Hari ini lebih baik daripada semalam, esok lebih baik daripada hari ini.

Insya ALLAH dan alhamdulillah, ALLAH kurniakan kekuatan kepada saya untuk meluangkan masa pada setiap minggu bagi senantiasa berusaha memperkemas usaha perjalanan perjuangan Islam ini. Insya ALLAH, saya sedang mengamati usaha pengukuhan kerangka asas wasilah APIS ini. Kita akan melangkah sederap langkah ke hadapan, dengan izin-Nya jua.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Sabtu, 4 April 2009

Ya ALLAH, Peliharalah Kami

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Hidup Ini Ialah Perjuangan

  • Setiap apa sahaja yang dilakukan adalah penghambaan kepada ALLAH s.w.t. Tidak kira ketika bercakap, diam, tidur, bergerak, dan sebagainya. Mudah kata, selagi mana ada udara dihirup dan dihembuskan, kesemuanya adalah untuk ALLAH s.w.t.
  • Jangan meminta-minta ketinggian ganjaran pahala dan kedudukan, sebaliknya sentiasalah memohon keredhaan ALLAH s.w.t. Tidak ada perkara lain yang bersirat dalam matlamat pemburuan dan amalan, kerana takut-takut nanti terperangkap dalam syirik, riyak, sum'ah, ujub dan takabbur yang halus.
  • Sentiasa berdoa memohon perlindungan, bimbingan dan kekuatan daripada ALLAH s.w.t.
  • Jangan bertangguh dalam melaksanakan kerja.
  • Apabila rasa sudah tidak ada kesungguhan dan daya dalam beramal, sedarlah bahawa akhirat itu kekal sedangkan dunia ini terlalu sementara. Bila lagi hendak beramal dan bersiap dengan sebaik-baik dan sepenuh-penuhnya untuk berangkat ke sana?
  • Apabila syaitan dan nafsu mengatakan diri tidak dapat melaksanakan sesuatu perkara ketaatan, maka itu adalah pendustaan yang besar. Nafikan, dan teruskan ketetapan hati untuk melaksanakan perkara ketaatan tersebut.
  • Apabila terlintas dalam hati ajakan untuk melakukan ma'siat dan kelalaian, terus tolak dan sekat lintasan dan ajakan tersebut. Andai dibiarkan dan diteruskan, nanti akan musnah diri terjebak dalam penderhakaan kepada ALLAH s.w.t.
  • Serahkan pengadilan kepada ALLAH Yang Maha Adil bagi semua urusan.
  • Tugasan aku hanya berusaha dan beramal secara berterusan hingga ke akhir hayat. Hasil, natijah dan keputusan akhir adalah ditentukan ALLAH s.w.t.
  • Jika nafsu dan syaitan mengajak untuk berehat-rehat tanpa keperluan, ingatlah bahawa tempat rehatku yang sebenar adalah di dalam qubur dan alam akhirat.
  • Tetapkan pendirian untuk MELAKSANAKAN. Usah hiraukan kegusaran sama ada diri mampu atau tidak, terjatuh di tengah atau tidak.
  • YAKIN, dapat melakukan.
  • Laksanakan SEKARANG, jangan bertangguh.
  • Datanglah apa jua kesusahan dan kesenangan, dan ingatlah ALLAH tidak mendatangkannya dengan sia-sia. Dia mahu kasih sayang dan cinta dengan-Nya menjadi lebih hebat.
  • ALLAH Maha Membalas dan Maha Memberi. Tidak mungkin ada amal yang tidak mendapat pembalasan-Nya.
  • Sentiasa berfikiran positif, dan miliki sangkaan terbaik kepada ALLAH s.w.t.
  • Bersabar dan bersyukur.
  • Istiqamah dan tetap dalam amal.
  • Sucikan hati terhadap insan lain. Hargai dan muliakan mereka.
  • Doa kepada ALLAH s.w.t. selawat atas Nabi Muhammad s.a.w., istighfar dan segala macam bentuk zikir tidak wajar lekang dari hati dan lidah.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Jumaat, 3 April 2009

Bergembira Atas Taat kerana Kurnia ALLAH





"Jangan berasa gembira atas perbuatan taat (bakti) kerana engkau telah berasa telah dapat melaksanakannya, tetapi bergembiralah atas perbuatan taat itu, kerana itu sebagai kurnia taufiq, hidayah daripada ALLAH kepadamu."

Al-Hikam Syaikh Ibnu 'Athoillah.

قُلْ بِفَضْلِ اللّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

"Katakanlah: Kerana manusia mendapat kurnia dan rahmat ALLAH mereka harus bergembira. Itulah yang lebih baik daripada yang dapat dikumpulkan oleh mereka."

Surah Yunus: 58.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...