Isu kepenggunaan mempunyai kaitan rapat dengan kelestarian alam sekitar, kelestarian ekonomi dan juga kelestarian sosial. Mengikut apa yang anda faham, huraikan SATU contoh habit kepenggunaan yang TIDAK LESTARI berkaitan:
a) Kelestarian alam sekitar
b) Kelestarian ekonomi
c) Kelestarian sosial
Jawapan:
Habit kepenggunaan yang TIDAK LESTARI berkaitan alam sekitar
Kebiasaan (habit) yang tidak lestari berhubung alam sekitar dapat dilihat pada satu contoh tindak-tanduk manusia dalam melaksanakan penternakan haiwan secara terlalu agresif, besar-besaran, melampaui batas, tidak mengambil kira kajian impak alam sekitar (Environmental Impact Assessment – EIA), tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Dorongan nafsu dan keinginan mendapatkan kekayaaan material dan keuntungan tinggi dari hasil jualan binatang ternakan, proses penternakan intensif tersebut dijalankan pada skala besar seperti yang dinyatakan tadi. Bagi mendapatkan keupayaan penternakan besar-besaran, pastinya pengusaha memerlukan ruang tanah kawasan yang besar. Oleh sebab tujuan tersebut, kerja-kerja penggondolan hutan berlaku dengan berleluasa. Hutan adalah amat penting dalam kestabilan sistem eko, menjaga struktur tanah, kitaran gas oksigen dan karbon dioksida. Namun, kesan buruk penggondolan tanah menyebabkan degradasi tanah berlaku, tanah runtuh dan gelongsor terjadi. Selanjutnya, kesan ketiadaan hutan sebagai tadahan air semula jadi, pencemaran sumber air berlaku. Ketiadaan hutan sebagai mesin semula jadi kitaran gas oksigen dan karbon dioksida, pencemaran udara turut sama terhasil.
Tidak sekadar itu sahaja, proses penternakan intensif memerlukan sejumlah kenderaan bagi tujuan logisitik, dan gas dihasilkan kenderaan tersebut menyebabkan pencemaran udara. Najis-najis daripada haiwan ternakan yang tidak diuruskan dengan betul menyebabkan pencemaran tanah, air dan bau. Kesan pencemaran menjadi lebih besar dan tinggi akibat jumlah haiwan ternakan yang tinggi.
Jelas, contoh aktviti penternakan tersebut menjadi bukti habit kepengggunaan yang tidak lestari bagi alam sekitar.
(216 patah perkataan)
Habit kepenggunaan yang TIDAK LESTARI berkaitan ekonomi
Kepenggunaan yang tidak lestari berhubung ekonomi dapat dilihat contohnya pada habit yang berteraskan kapitalisme (mendapatkan keuntungan semata-mata). Keadaan ini berlaku melalui penghasilan dan penjualan produk dan perkhidmatan berorientasikan motif kapitalisme, yang menggalakkan pembelian oleh pengguna.
Galakan kepenggunaan dalam bentuk yang diada-adakan, direka, serta tidak diperlukan adalah bertujuan untuk meningkatkan perdagangan, dan seterusnya GDP. Syarikat mencipta pasaran, dan melalui pasaran tersebut tercipta permintaan dan galakan kepada pembelian barang-barang kemewahan berbanding keperluan. Sebagai contohnya kereta mewah dengan pelbagai tarikan kecantikan, kecanggihan, keselesaan jauh melangkaui keperluan asas bagi kenderaan. Pastinya pengguna terpengaruh dan terdorong untuk mendapatkannya.
Dari situ, pengguna tidak ada upaya dari kemampuan kewangan. Ruang kelemahan ini digunakan sistem perbankan konvensional berteraskan kapitalisme dan tidak menghiraukan keadilan kepada pengguna. Pelbagai bentuk tawaran kemudahan kredit diberikan seperti kad kredit, pinjaman peribadi : semua dengan tujuan bagi pengguna menampung gaya hidup mewah dan mahal. Kesannya, pengguna terbeban dengan hutang yang tidak mustahak. Mereka bekerja keras untuk mendapatkan wang membayar hutang kad kredit dan pinjaman peribadi. Lebih buruk, ada hutang dibayar dengan hutang, ibaratnya lepas tutup lubang, digali lubang lain. Pengaruh media sosial menjadi faktor kuat mereka ingin punyai gaya hidup mewah dalam banyak aspek. Rekod menyaksikan banyak individu muflis adalah golongan muda yang terpengaruh dengan godaan hidup mewah. Ekonomi menjadi tidak lestari, tidak berupaya maju dan positif.
Jelasnya, contoh ini menunjukkan habit kepenggunaan yang membawa impak tidak lestari dalam ekonomi.
(226 patah perkataan)
Habit kepenggunaan yang TIDAK LESTARI berkaitan sosial
Habit kepenggunaan yang tidak lestari berkaitan sosial dapat dilihat pada satu contoh ketara dalam kehidupan harian ini pada makanan segera yang sering menyerang pengguna dalam segenap ruang iklan, saluran media dan media sosial. Dalam situasi sebegini, pembelian yang berlaku adalah jauh daripada asas keperluan dan sebaliknya berasaskan kemahuan. Ideologi ini makin konsisten diterapkan melalui iklan. Iklan menjadi lebih agresif, menarik perhatian, mempengaruhi pengguna akibat persaingan yang menjadi budaya antara penyedia makanan segera. Bahkan, kaedah pembelian dan penghantaran ke rumah yang dihantar kepada pengguna menjadi semakin mudah dan pantas, segalanya di hujung jari. Kesannya dari sudut sosial turut membentuk masyarakat yang sendiri-sendiri dalam pengamalan hidup seharian, segala-galanya ingin mudah dan pantas, tidak lagi ada usaha mendapatkan barang dapur, memasak dan menyediakan makanan secara sihat. Premis perniagaan makin menjelma lebih penting daripada premis sosial.
Kesan kepada pengguna secara sudut sosial : mereka semakin jauh daripada budaya pengamalan makanan yang sihat, rendah kolestrol, seimbang gizi. Makanan segera ternyata mengandungi kolestrol tinggi, kandungan gula, garam dan perisa tambahan serta cara penyediaan yang tidak sihat seperti goreng rendam dan lain-lain.
Di samping itu, akibat terpengaruh dengan pemakanan makanan segera, pengguna menjadi semakin kurang mendapat akses kepada makanan sihat. Dalam jangka masa panjang, trend pemakanan segera dan tidak sihat akan membawa kepada peningkatan penyakit kronik, kualiti hidup menurun, jangka hayat lebih pendek. Kesan ini ketara dan negatif kepada sudut kelestarian sosial.
(225 patah perkataan)
Soalan:
Kaitan isu kelestarian ini dengan agama Islam. Huraikan SATU ayat Al-Qu’ran atau Hadith yang membuktikan bahawa prinsip-prinsip Islam selari dengan pembangunan yang lestari di muka bumi ini.
Jawapan:
Ayat al-Quran dari Surah Rum, ayat 41 dan 42:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ قُلْ سِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلُ ۚ كَانَ أَكْثَرُهُمْ مُشْرِكِينَ
"Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (41)
Katakanlah (Muhammad), “Bepergianlah di bumi lalu lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang dahulu. Kebanyakan dari mereka adalah orang-orang yang mempersekutukan (Allah). (42)”
Ayat al-Quran tersebut mengandungi suruhan Allah kepada manusia agar melestarikan alam dan lingkungannya oleh sebab sudah diaturkan oleh Yang Maha Kuasa. Penegasan Allah adalah bahawa pelbagai jenis kerosakan yang terjadi di darat dan di laut adalah akibat perbuatan manusia, oleh sebab itu perlu bagi manusia untuk menghentikannya dan kembali ke jalan yang benar iaitu dengan menggantikannya dengan perbuatan yang baik.
Allah menyuruh agar manusia mempelajari sejarah umat-umat terdahulu, banyak bencana yang menimpa mereka disebabkan tidak menghiraukan seruan Allah, bahkan kebanyakan mereka ingkar dan musyrik kepada-Nya.
Ayat tersebut juga menerangkan bahwa Allah menciptakan alam semesta dan segala isinya adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia demi kesejahteraan hidup dan kemakmurannya. Manusia diangkat sebagai khalifah di bumi diberikan amanah agar menjaga kelestarian alam dan memelihara daripada pelbagai kerosakan. Manusia diperbolehkan menggali kekayaan alam, mengolahnya, dan memanfaatkan sebagai bekal beribadah kepada Allah dan beramal soleh. Namun pada hakikatnya kerana manusia mempunyai sifat tamak, rakus, (yang berlebih-lebihan ) sehingga sumber alam itu tidak terkawal, memberikan kesan bencana alam, seperti tanah runtuh, banjir, alam menjadi tandus, kekeringan, alam menjadi gersang, dan udara tercemar dan lain sebagainya. Kerosakan alam itu akan menyebabkan kesengsaraan pada diri manusia itu sendiri.
Dengan jelas, ayat al-Quran ini adalah bertepatan dan selari dengan agenda pembangunan lestari, secara khusus dalam aspek alam sekitar dan turut berkait dengan aspek kesihatan, sosial dan ekonomi. Bumi dan seluruh hidupan adalah berada dalam keadaan fitrah, hukum alam, dan baik pada asalnya. Namun tindak-tanduk manusia yang menyebabkan perubahan yang berlaku.
(333 patah perkataan)
Rujukan : https://www.bacaanmadani.com/2017/01/ayat-ayat-al-quran-tentang-menjaga.html