Ulama Benteng

Ulama Benteng
Memaparkan catatan dengan label Hadits Penawar Hati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hadits Penawar Hati. Papar semua catatan

Rabu, 23 Februari 2011

Hari Esok


Berada di Teluk Cempedak, Kuantan pada Disember 2010



Alhamdulillah, segala puji dipanjatkan kepada Allah. Kiranya, memang terlalu banyak sangat nikmat Allah kepada kita, tak mampu nak hitung. 


Memang benar. Kadang-kadang, pada satu tahap, Allah sedarkan kepada kita perkara ini apabila sebahagian kecil (sangat-sangat sedikit daripada juta jutaan nikmat-Nya yang tidak terhitung) diambil buat sementara waktu. Apabila kita ketiadaan nikmat tersebut, barulah hati kecil kita terasa disapa, diketuk betapa hebatnya nikmat Allah yang dipinjamkan kepada kita walaupun kita melihatnya sebagai kecil (taking it for granted) pada waktu kebiasaan. 

Ahad, 23 Mei 2010

100 Perasaan Belas Kasihan Allah Akan Kita Para Hamba-Nya


Gambar sekadar hiasan.

Sabda Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam, terjemahannya seperti berikut:

"Allah ada 100 perasaan belas kasihan. Dia menurunkan satu belas kasihan sahaja kepada jin, manusia, binatang dan serangga. Dengan satu belas kasihan itu, mereka saling menyayangi dan saling mengasihani antara satu sama lain. Dengan satu belas kasihan itu jugalah binatang buas menyayangi anaknya. Allah menangguhkan 99 lagi perasaan belas kasihan bagi para hamba-Nya pada Hari Kiamat."

Hadits Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Daripada kitab Riyadhus Solihin, Imam Nawawi rohimahullahu ta'ala.

Khamis, 24 Disember 2009

Siapa Orang Yang Bankrap (Muflis)?

Muflis. Gambar sekadar hiasan.

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Oleh Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki
Dipetik daripada kitab 40 Hadits Penawar Hati

Ertinya:

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?" Sahabat menjawab: "Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham (wang) dan juga tidak memiliki harta." Lalu Nabi s.a.w. bersabda:"Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari qiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) ia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya , ia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka."

Hadits Riwayat Muslim

Keterangan:

Kita hendaklah berhati-hati dan berwaspada daripada sebarang dosa dan kesalahan. Kita hendaklah selalu meminta ampun kepada Allah s.w.t. dan hendaklah meminta maaf kepada orang yang teraniaya daripada perbuatan kita. Kita hendaklah meminta halal daripadanya ketika kita masih ada dalam dunia ini, walaupun terkadang kita terpaksa merendahkan diri dan terpaksa menyusun sepuluh jari untuk meminta maaf daripada orang-orang yang berkenaan. Biarlah kita dipandang rendah atau hina di dunia ini, asalkan kita terlepas dari bebanan dosa pada hari qiamat nanti. Kita hendaklah bersedia menebus dosa dan kesalahan walaupun dengan maruah dan dengan harta benda yang ada, kerana kita takut jadi terlambat sehingga tiba saat kematian atau kematian orang yang teraniaya dari perbuatan kita, maka terpaksa kita berhadapan dengan orang yang berkenaan di Mahkamah Agung Rabbun Jalil, iaitu di padang Mahsyar nanti. Pada kala itu, tiada seorang juga pun yang mahu menerima harta benda sebagai tebusan dosa. Yang mereka mahukan hanyalah bayaran daripada pahala ibadat yang telah kita lakukan di dunia dahulu, yang mana kita pun pada waktu itu sangat berhajat kepada pahala amalan tersebut. Baiklah kalau pahala yang ada cukup untuk menebus dosa. Kalau tak cukup, maka terpaksa kita menanggung bebanan dosa mereka ke atas bahu kita yang akan menjerumuskan kita ke dalam lubang api neraka. Na'uzubillah min za lik.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.

Jumaat, 11 Disember 2009

Siapa Teman Setia?


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Carilah teman yang sebenar dan paling setia. (Gambar sekadar hiasan)

Siapa Teman Paling Setia?

Oleh Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki
Dipetik daripada Kitab 40 Hadits Penawar Hati



Ertinya:

Daripada Anas bin Malik r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ada tiga macam yang akan menghantarkan jenazah ketika dibawa ke perkuburan, iaitu keluarganya, hartanya dan amalnya. Dua di antaranya akan kembali dan yang satu lagi akan tetap tinggal menyertainya. Keluarga dan harta akan kembali, sedangkan amalnya akan tetap setia bersamanya."

Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim

Keterangan:

Inilah kesudahan bagi persahabatan kita kepada tiga-tiga golongan ini. Isteri yang kita cintai dan anak-anak yang kita sayangi dan juga kaum kerabat, mereka hanya dapat menghantarkan kita sampai ke tanah perkuburan dan hanya dapat mengucapkan selamat tinggal kepada kita ketika melihat badan kita terbujur sejuk di liang kubur. Tiada seorang pun yang bersedia untuk menjadi teman kita di kesunyian kubur. Mereka akan pulang setelah menimbuni tanah ke atas liang kubur kita. Begitu pula harta yang kita kumpulkan dengan membanting tulang dan memeras keringat bahkan terkadang dengan mempertaruhkan nyawa, semuanya akan kita tinggalkan untuk ahli waris. Mereka yang akan mempusakai dan menikmatinya, sedangkan kita yang akan ditanya dari mana harta itu diperoleh dan ke mana kita membelanjakannya. Orang yang bijak ialah orang yang mempunyai rancangan bagi wawasan akhiratnya dan bersedia menghadapi kematian sebelum tiba saatnya. Tetapi orang yang terpedaya ialah orang yang banyak berangan-angan, mengejar dunia dan menimbun harta. Maka apabila tiba saat kematian barulah ia menyedari diri dan barulah berazam untuk berbuat kebajikan. Namun pada waktu itu sudah tidak berguna lagi penyesalan.

Oleh kerana itu, perbanyaklah berbuat kebajikan, tingkatkan ketaqwaan, buatlah bekalan akhirat sedaya upaya yang ada. Rajin bersedekah dan suka menderma untuk membuat bekalan bagi perjalanan negeri akhirat yang sangat jauh itu.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Selasa, 8 Disember 2009

4 Pertanyaan yang Mesti Dijawab

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik
Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Penulisan ini ialah penulisan Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizahullah, dipetik dari kitab beliau yang berjudul Hadits Penawar Hati. Saya secara peribadinya berasa perlu untuk menyebar dan memanjangkan 'ilmu yang diajarkan dan ditulis Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam kepada masyarakat. Dengan kehadiran dalam pembelajaran secara talaqqi bersama beliau selama beberapa kali, saya akui perasaan tenang menghayati kuiah pengajarannya dan kepercayaan yang tinggi (tsiqoh) dirasai terhadap Al-Ustaz.


Ada 4 Pertanyaan yang Wajib Dijawab di hadapan ALLAH s.w.t. nanti.


Hadits ini merupakan hadits yang pertama dalam kitab tersebut.



Ertinya:

Daripada Abu Barzah Nadhlah bin 'Ubadi al-Aslami radhiallahu 'anhu berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.: "Belum berganjak lagi kedua-dua kaki seseorang hamba (di hadapan Allah pada hari qiamat), sehingga terlebih dahulu ia akan ditanya tentang umurnya, untuk apa dihabiskannya dan akan ditanya tentang ilmunya, untuk apa ia melakukannya dan akan ditanya tentang hartanya, daripada mana ia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya dan akan ditanya tentang tubuh badannya, untuk apa dibinasakannya (digunakannya)."

Hadits Riwayat Tirmizi

Keterangan:

Rasanya susah sekali pertanyaan di atas untuk dijawab. Namun pada hari itu segala pertanyaan ini mesti dijawab dengan jawapan yang baik dan benar. Kita pasti akan berkata benar pada waktu itu. Tidak ada seorang pun yang berani berdusta di hadapan Allah s.w.t. Jikalau mulut cuba berdusta, maka Allah s.w.t. akan menguncinya dan mempersialakan anggota badan yang lain pula untuk bercakap. Maka kaki, tangan dan seluruh anggota badan akan bercakap dengan benar untukm mengakui segala apa yang pernah dilakukannya sewaktu di dunia dahulu, seperti firman Allah dalam Surah Yaasiin, ayat 65 yang berbunyi:




Maksudnya:

"Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan berkatalah kepada Kami tangan-tangan mereka dan bersaksi di hadapan Kami kaki-kaki mereka terhadap apa yang dahulu telah dikerjakan mereka."

Maka sudahkah kita bermuhasabah? Sudahkah kita memperhitungkan diri sebelum diperhitungkan di hadapan Allah s.w.t. kelak? Kalau sudah teruskan dan bersyukurlah. Kalau belum, berbuatlah demikian sebelum terlambat.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...