"Barangsiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah juga suka bertemu dengannya. Akan tetapi, barangsiapa yang benci bertemu dengan Allah, maka Allah juga benci bertemu dengannya." -Al-Hadits. Dicatatkan oleh Al-Imam Habib Abdullah Haddad
Ulama Benteng
Sabtu, 30 Mei 2015
Temuduga Tauliah Mengajar JAIS
Alhamdulillah, berpeluang untuk terus melihat lebih banyak kejahilan dan aib diri sendiri melalui temuduga tauliah mengajar JAIS.
1. Dalam masa kira-kira seminggu sebelum temuduga, rasa ada dorongan kuat untuk betul-betul mengulang kaji, belajar segala yang berkaitan tajwid, bacaan Al-Quran dan yang berkenaan. Diusahakan juga untuk cuba kuasai lebih baik dalam bahagian bacaan ghorib seperti naqal, imalah, isymam, roum, tashil, saktah, apakah perbezaan antara imam qiraat dalam bacaan mereka (walaupun baca saja, tak begitu faham). Rasa macam banyak yang masuk dalam tempoh belajar seumpama ini yang ada faktor adanya ujian dan temuduga semakan oleh para ahlinya yang berkelayakan.
2. Dipertemukan dengan panel temuduga yang subhanAllah dapat saya rasai dan ambil sedikit aura dan tsiqah mereka. 2 orang ustaz yang bertugas menguji dan temuduga setiap calon.
3. Kita diminta membaca surah Fatihah dan ayat al-Quran yang diberikannya. Kemudian kita diminta terangkan apakah yang kita faham tentang tajwid, terangkan hukum-hukum tajwid yang ada dalam ayat yang dibaca tadi.
4. Soalan-soalan lain yang ditanya beliau membuatkan kita terasa dorongan kuat untuk benar-benar faham dan menguasai, masyi, mampu menjawab dengan baik soalan yang dikemukakan.
5. Tajam semakan ustaz. Dapat dikesan kesilapan/kekurangan bacaan kita dari sudut makhraj contohnya.
6. Ustaz panel bukan sekadar bertanya kita kepada kita tentang hukum tajwid yang kita sedia maklum, bahkan bertanya apakah statusnya jika anak-anak murid tidak mampu membaca dengan kaedah tertentu (maka diraikan menurut pandangan masyaikh qurra yang lain), bagaimana keadaannya jika pak cik orang awam tidak mampu membaca dengan panjang demikian-demikian (maka ini dalam kategori kesalahan khafiy yang dimaafkan).
7. Bagi calon yang menghafaz Al-Quran dan tahu bahasa Arab, ustaz panel akan membacakan sekian ayat tertentu dan ditanya tentang makna ayat tersebut, dan contohnya kepada siapa ditujukan ayat tersebut.
8. Syukur dapat hadir majlis temuduga seumpama ini. Bersiaplah sebanyak mana pun sebelum temuduga, ketika diuji oleh para ahlinya, maka kita akan semakin dapat lihat di mana cacat cela kita. Betapa jahilnya kita. Betapa luasnya ilmu Allah. Betapa kita sangat perlu memuliakan dan menghargai para guru kita.
9. Suasana pejabat yang tenang dan sopan. Kakitangan pejabat menyapa dan bahasakan diri para calon sebagai ustaz-ustazah.
10. Ujian bertulis diadakan sebelum ujian lisan. Soalan-soalan berstruktur untuk melihat apakah bentuk pegangan, cara berfikir, aliran kita. Siapakah individu di Malaysia yang kita minati dari sudut agama mereka, apakah hukum dalam soal khlilafiyah, siapakah imam ikutan kita dalam aqidah. Dalam sudut mudah nak faham, adakah calon berfahahaman ‘W’ / pseudo-Salafi, Syiah, dan lain-lain.
11. Panel turut bertanya, siapakah yang menjadi kumpulan sasaran yang diajar.
12. Nasihat salah seorang guru saya yang merupakan mantan pensyarah Darul Quran JAKIM : Allah gerakkan hati kita untuk masuk ujian antaranya nak tambahkan ilmu kita dan kukuhkan yang kita ada serta betulkan kesilapan yang kita tak perasaan. Hadir keyakinan baru kepada kita selepas hadir temuduga.
13. Ustaz panel memberi nasihat, manfaatkan tauliah yang akan diberikan (jika keputusan lulus) sebaik-baiknya. Keputusan akan diberikan melalui surat selepas 2 minggu.
14. Sebaliknya bagi calon yang belum lulus, dan memohon lagi selepas 6 bulan nanti.
15. Ustaz panel menyebut, di JAIS, peluang diberikan kepada calon untuk terus berusaha membaiki kefahaman dan melayakkan diri untuk tauliah.
16. Juga disebutkan, selepas ini in syaa Allah boleh dipohon untuk naik taraf kategori tauliah kepada yang lain (kategori ceramah, fardhu ain/berkitab, motivasi).
17. Mudah-mudahan menjadi amalan soleh ikhlas yang diterima Allah, bermanfaat, terus memanjangkan dan meluaskan langkah dan capaian usaha, meneruskan usaha Baginda Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam dan seluruh penerusnya.
18. Diri jahil, diri banyak aibnya, banyak kekurangan. Tapi, atas keyakinan kita ambil dari guru kita, dan yakin akan bantuan Allah, teruskan melangkah untuk membaiki diri, menghambakan diri kepada Allah.
19. JazakumuAllah khairal jazaa' kepada para guru dalam bacaan Al-Quran, antaranya Ustaz Taufik Md Arshad Darul Quran JAKIM atas kesungguhan membimbing saya, kepada rakan-rakan seperjuangan dan di pejabat yang banyak memberikan sokongan. Semoga kita terus saling berkongsi ilmu dan kebaikan untuk sama-sama berjalan menuju akhirat.
.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.