Ulama Benteng

Ulama Benteng

Rabu, 29 Julai 2009

Bertugas untuk Laman Sesawang Persatuan


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Wajah laman portal APIS yang baru.


Alhamdulillah, semester dua baru bermula. Dibuka lembaran baru perjuangan akademik ini. Insya ALLAH, kegemilangan akademik selaku mu'min cemerlang akan terus diburu.

Buat saudara dan saudari yang ada bertandang ke laman blog saya ini pada bila-bila masa, saya ingin memaklumkan anda bahawa alhamdulillah dan insya ALLAH saya telah mula berkhidmat sebagai salah seorang ahli pengurusan dan pentadbiran bagi laman portal APIS (http://www.apisbp.com).

Oleh hal yang demikian, tumpuan bagi penulisan blog ini perlu dikurangkan. Insya ALLAH, saya menjemput anda semua untuk selalu bertandang ke portal APIS yang dijangka akan beroperasi dengan wajah baru sepenuhnya bermula minggu hadapan, insya ALLAH. Juga akan dimuatkan hasil catatan dan penulisan saya di sana, dengan nama pena Al-Fath.

Saya memohon maaf andaikata laman blog ini bakal menjadi kurang dikemaskinikan secara kerap seperti sebelum ini.

Semoga ALLAH memberikan kekuatan kepada kita untuk meneruskan amanah dan perjuangan sebagai hamba dan khalifah ALLAH.
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Khamis, 23 Julai 2009

Rasa Cukup Dengan Segala Pemberian ALLAH

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.



Catatan pada kali ini bertujuan untuk berkongsi beberapa hikmah dan juga memenuhi hajat seorang sahabat seperjuangan saya.

Catatan pada kali ini ada kaitan dengan keputusan peperiksaan yang diterima. Keputusan itu pula agak tidak bertepatan dengan jangkaan (expectation) calonnya.

Apa yang pasti, sememangnya kita kena sentiasa bersangka baik dengan ALLAH s.w.t. Itulah yang selalu ditekankan oleh orang-orang soleh dan juga sufi. Maha Suci ALLAH, Dia terpelihara daripada sebarang sifat yang bertentangan dengan Maha Adil-Nya.

Sesungguhnya, orang yang bersangka baik kepada ALLAH adalah tidak rugi. ALLAH turut bersikap penyantun kepadanya, sebagaimana sangkaan yang dimiliki hamba tersebut kepada-Nya.

Apa jua keputusan yang kita terima, terimalahnya dengan penuh rasa kesyukuran. Inilah konsep qona'ah (rasa cukup dengan pemberian ALLAH).Segala apa yang dikurniakan ALLAH kepada hamba-Nya adalah yang terbaik pada pandangan-Nya.

Kita juga wajar mengemaskan 'aqidah kita bahawa ALLAH sama sekali tidak akan berlaku zalim kepada hamba-Nya, tetapi hamba-Nya sendiri yang berlaku zalim terhadap diri sendiri. Jika diamati al-Quran, ayat ini selalu diulang untuk mengukuhkan peringatan kepada diri kita.

Kadang-kadang, ada keperluan untuk kita bermuhasabah. Apabila dapat keputusan peperiksaan yang kurang cemerlang, cuba semak di mana ada kelemahannya. Ingat, sunnatullah (peraturan alam) perlu dipatuhi. Dalam Surah Ar-Ra'd dinyatakan bahawa nasib kita tidak akan diubah oleh ALLAH, melainkan kita sendiri yang mengubahnya. Tengok sikap kita bagaimana. Kalau kita sendiri telah sepenuh kudrat berusaha dengan cara yang betul, tidak membazirkan masa dengan perkara sia-sia, menghormati guru selaku ejen ilmu tersebut diajarkan dan memenuhi adab sebagai pelajar Islam, maka keputusan yang diperoleh sememangnya perlu kita terima dengan penuh rasa gembira dan kepuasan.

Namun, jika ada ketempangan dalam sikap kita sendiri, itulah yang perlu dibetulkan. Islam tidak sesekali mengajarkan kita untuk hanya berdoa dan bertawakkal kosong, tanpa ada usaha yang setimpal. Lihat saja kesungguhan usaha Sultan Muhammad Al-Fatih yang begitu teliti dan bersungguh-sungguh berusaha mematuhi sunnatullah di samping mentaati syariatullah.

Ada kalanya, perkara yang kita suka sebenarnya adalah tidak baik untuk kita. Pada masa yang sama, ada perkara yang kita tidak suka tetapi baik untuk kita. Hal ini disebutkan dalam Surah al-Baqarah. Insya ALLAH, ada perkaitan yang rapat dengan keputusan peperiksaan yang kita terima.

Rahsia dan aturan ALLAH, kita tidak tahu.

Insya ALLAH, banyak lagi peluang yang tersedia untuk kita mempertingkat pencapaian diri. Jangan hanya satu perkara yang kecundang, perkara lain turut terheret tercundang.

Setidak-tidaknya, kegagalan yang kecil di dunia mampu menginsafkan kita dengan kegagalan akhirat yang jauh terlalu dahsyat dan menggerunkan. Lebih beruntung jika kita selamat daripada kegagalan akhirat.

Dunia memang persinggahan yang terlalu sekejap. Insya ALLAH, jadikan dunia sebagai jambatan untuk kita memperoleh kejayaan akhirat yang hakiki.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Rabu, 8 Julai 2009

Janji ALLAH, Dia Permudahkan Quran Untuk Kita

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.


Bagi mereka yang mempunyai azam untuk mempelajari dan menghafaz Al-Quran, berpeganglah kepada janji-Nya:


وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?
Surah Al-Qamar, 54: 32

Sungguh, terlalu besar kemurahan dan kasih sayang ALLAH. Bersungguh-sungguhlah dalam usaha memburunya. ALLAH tidak akan mempersia-siakan usaha kita. Akhirat kelak, akan dibuka hijab, kita akan dapat melihat janji balasan ALLAH akan tertunai.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Isnin, 6 Julai 2009

Syukur, Ustaz Sudi Menjawab Pertanyaan


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Benar kata orang-orang soleh, andai benar niat dan kesungguhan kita, ALLAH akan permudahkan urusan kita.

Saya kini berada di benua Australia, tetapi tidak menjadi penghalang untuk berguru dengan huffaz yang berada di tanah air. Pernah saya menghantar sms kepada Al-Ustaz Ahmad Syafiq bin Jusoh Al-Hafiz, meminta tasyji' bagi usaha hifzul Quran tetapi tiada respon segera yang diterima. Masya ALLAH, rupa-rupanya besar sungguh jasa beliau sehingga menjawab sms tersebut dengan penulisan beliau di blog.


Ust Ahmad Syafiq dilahirkan di Kota Bharu Kelantan, khatam menghafaz Al-Quran pada tahun 2002 , merupakan graduan Darul Quran JAKIM 05/08 dan berpengalaman sebagai guru Tahfiz Al-Quran dan Imam. Hubungi saya untuk sebarang masalah dan persoalan berkaitan Tahfiz Al-Quran di : hafizquran87@yahoo.com
Pengajaran bermakna buat saya dan anda semua, jangan berasa lemah dan berputus asa dalam usaha mengaut 'ilmu pengetahuan walau di mana sahaja kita berada.

Saya berasa sangat berbesar hati dengan jasa besar Al-Ustaz. Jazakallah khairal jazak ya Ustaz. Boleh rujuk penulisan beliau di sini; http://hafizquran.blogspot.com/2009/07/bagaimana-masyi-al-quran-siri-lapan.html

Juga saya salinkan di sini:

Bagaimana Masyi Al-Quran (siri lapan)

Bismillahirrahmanirrahim

Sejuta kemaafan dipinta atas kelewatan meng'update' blog. Juga ke'lembapan' proses meneruskan siri2 'how to be a masyi Al-Quran'. InsyaAllah , kalau terus dipanjangkan umur, diberikan kesihatan, dikuatkan roh dan minda, diberikan sokongan , ana akan terus menulis dan menulis..

Ahad, 5 Julai 2009

Bertemu Kekasih


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Syukur. Sekarang baru bermula cuti akhir semester selama 3 minggu. Seronoknya. Masa yang ditunggu-tunggu telah tiba. Kini dapat bertemu dengan kekasih yang sentiasa dirindui. Kekangan akademik sebelum ini sering menyekat pertemuan antara kami. Sentiasa terkejar-kejar, ternanti-nanti agar masa pantas terasa untuk pertemuan ini.

Kini, alhamdulillah. Dapat menghadap kekasih. Dua pula kekasih tersebut. Insya ALLAH kedua-duanya membawa kepada Kekasih Mutlak iaitu ALLAH s.w.t.

Saya terasa, jika di dunia ini pun sudah terasa gembira yang sangat bertemu dengan kekasih yang membawa kita kepada Kekasih Mutlak, bagaimana pula dengan pertemuan dengan Kekasih Mutlak itu sendiri? Ada 'ulama menyebut, hati orang-orang beriman berdebar-debar bagaikan nak tercabut jantung untuk bertemu ALLAH s.w.t. Ni'mat yang terhebat bukanlah semata-mata berada di dalam syurga ALLAH, tetapi dapat melihat zat ALLAH s.w.t. Begitu juga pertemuan dengan Rasulullah s.a.w. yang merupakan kekasih kita, Nabi kita, Rasul kita. Kitalah ikhwan kepada Baginda. Tidak pernah bersua dengan Baginda di alam nyata, tetapi menyahut seruan iman kepada Baginda. Insya ALLAH nanti akan kita akan melihat sendiri ketinggian akhlak Baginda yang tiada bandingan, kesempurnaan penciptaan Baginda s.a.w.

Insya ALLAH, masa akan terus menjadi modal kita yang paling berharga. Jangan perjualkan modal ini kepada perkara yang tidak sepatutnya.

(*Kedua-dua kekasih yang dimaksudkan bukanlah manusia, tetapi jalan penghambaan kepada ALLAH s.w.t.)

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Jumaat, 3 Julai 2009

Tawadhu' Yang Tinggi

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Orang-orang yang semakin mendalam 'ilmu yang bermanfaat kepada mereka, semakin tinggi tawadhu' yang dimiliki mereka. Ketinggian 'ilmu yang dimiliki mereka adalah ketinggian 'ilmu yang bermanfaat, 'ilmu yang berpunca daripada ALLAH s.w.t. dan dengan 'ilmu tersebut juga membawa insan tersebut kembali kepada-Nya.

Dengan melihat kehalusan jiwa dan keikhlasan 'arifin dan 'ulama ukhrawi, menjadi tamparan yang hebat juga bagi kita andaikata wujud bibit-bibit perasaan songsang hanya dengan sedikit 'ilmu yang kita ada. Mari kita telusuri satu bukti ketinggian tawadhu' seorang tokoh 'ilmuwan Islam yang terkemuka pada zaman ini.



*Artikel ini dipetik daripada laman http://musleemthinker.blogspot.com/ dengan tajuk yang dimuatkan ialah "Tangisan Seorang Imam". Alhamdulillah saya diberikan kebenaran oleh penulis untuk memuatkan tulisan tersebut di sini.


Ibarat padi, semakin berisi semakin tunduk. Seperti itulah sikap seorang 'ulama. Kepandaian dan ketinggian ilmunya, semakin membawa sikap yang penuh tunduk dan tawadhu'.

Dan itulah salah satu rangkaian peristiwa mengharukan yang terjadi dalam Konferens Imam Al-Qardhawi bersama Para Murid dan Sahabat, sejak hari Sabtu (14/7) di Dhoha, Qatar.

Dr. Yusuf Al-Qardhawi, menolak dirinya disebut sebagai imam.Beliau mengatakan, bahawa dirinya adalah penuntut ilmu dan tetap sebagai murid sampai akhir hayatnya. Ia juga memintakan maaf kepada siapa saja pihak yang merasa sakit kerana perkataan mahu pun perbuatannya.
"Manusia, boleh saja salah dan benar, " katanya.
Ia juga menegaskan kembali cita-cita utamanya untuk mati syahid di jalan Allah SWT. Dalam konferens itu, hadir lebih dari 100 orang tokoh yang menjadi murid, kawan dan para sahabat Al-Qardhawi. Termasuk para menteri dan tokoh dari lebih 30 negara dunia. Konferens tersebut menisbatkan kata "imam" kepada Al-Qardhawi kerana memang beliau dianggap sebagai tokoh 'ulama besar di zaman ini, sekaligus sebagai penghargaan atas berbagai-bagai ijtihad fiqihnya serta pengabdiannya kepada Islam dan kaum Muslimin.

Namun demikian, Qardhawi mengatakan dirinya tidak ingin pujian dan penghargaan yang diberikan pada dirinya, dari para murid dan sahabatnya itu, menjadikan dirinya terhalang dari pahala amalnya yang dilakukan untuk mencari ridha Allah SWT.

Beliau sendiri mengatakan, dirinya takut mengadakan pertemuan ini kerana pujian dan sanjungan memang boleh menghapus pahala amal di hari akhirat.

Beliau lalu mengutip sabda Rasulullah saw,
"Tidak seorang pejuang yang berjuang di jalan Allah, lalu ia memperoleh ghanimah, kecuali akan dipercepat dua pertiga pahalanya di akhirat, sisanya satu pertiga. Tapi apabila dia tidak mendapatkan ghanimah, pahalanya sempurna. "
(Hadith Riwayat Bukhari).

Dengan suara terputus-putus kerana tangisannya, Qardhawi kemudian mengatakan,
"Saya takut bila pujian-pujian itu menghilangkan dua pertiga pahala dan hanya tersisa sepertiganya…. "
Menurutnya, ia adalah orang yang sangat mengenal dirinya sendiri, termasuk kelemahannya, kekurangannya, ketidakmampuannya.
"Pengetahuan saya tentang kekurangan diri saya, lebih banyak berbanding orang lain yang menilai saya, " katanya.
"Allah SWT menutupi saya dengan tutupan kebaikan. Kerana kurnia Allah itulah Allah melindungi hamba-hamba-Nya dan tidak menjadikan kemaksiatan mereka tercium oleh manusia lainnya…"

Menurut Qardhawi, penamaan kata "Imam" kepada dirinya tidaklah tepat. Beliau mengatakan,
"Saya demi Allah bukanlah pemimpin dan bukan seorang imam. Saya hanya perajurit dari perajurit Islam, seorang murid dan akan tetap sebagai murid penuntut ilmu sampai detik terakhir usia saya."

Beliau lalu meminta kepada siapa saja untuk boleh memberinya ilmu atau informasi yang bermanfaat, sebagaimana perkataan Hud pada Sulaiman as,
" Aku datang kepadamu dari negeri Saba dengan berita yang yakin. "
(An Naml: 22)
(Tamat artikel yang dipetik.)


Contoh sebegini adalah sangat jelas, terang tak perlu bersuluh memberikan pengajaran kepada kita semua untuk memperindah akhlaq dengan ketinggian tawadhu' dengan segala kurniaan ALLAH s.w.t. kepada kita.

Satu lagi contoh yang dapat kita jadikan pengajaran besar adalah apa yang telah dilaksanakan oleh Imam Syafi'ie r.t.. Sebagaimana yang disebutkan oleh Tuan Guru Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam dalam salah satu kuliah beliau yang dapat difahami seperti berikut:

Lihat saja Imam Syafi'ie r.t. Beliau mencurahkan baktinya dalam 'ilmu kepada Islam bukan untuk mendapatkan nama. ALLAH makbulkan hajatnya. Sebab itu kita jarang mendengar perkara dipetik daripada Imam Syafi'ie r.t., tetapi daripada anak muridnya.


Semoga ALLAH memberikan kekuatan kepada kita untuk sentiasa memperelok akhlaq kita dan kesucian hati.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Khamis, 2 Julai 2009

Bait Qasidah Yang Menyentak Jiwa


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Entri ini dipetik daripada laman Akhi Abdul Muntaqim, Mantan Timb. Presiden PKPIM.

Cukuplah bagiku pengetahuan Tuhanku

Daripada permintaan dan usahaku

Doa serta permohonanku

Sebagai bukti kefakiranku

Bait qasidah di atas adalah sebahagian daripada qasidah yang dinukilkan oleh seorang ulama besar abda ke-12, al-Imam Abdullah ibn ‘Alawi al-Haddad r.a. Beliau adalah merupakan seorang ulama besar yang dipelihara oleh AllahSubhanahu wa ta’ala semenjak kecilnya. Antara nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala kepada beliau adalah membuka pintu hatinya semenjak kecil lagi. Setiap kali beliau membaca surah Yaasiin, maka beliau akan begitu terkesan dan menangis teresak-esak sehingga hampir-hampir tidak mampu meneruskan bacaan beliau. Maka, hayatilah sebahagian daripada bait qasidah karangan seorang ulama yang benar-benar mengenali Tuhannya; bait-bait tersebut menusuk lembut ke dalam jiw-jiwa kita. Menyentakkan jiwa yang lalai; mengingatkan tentang hakikat kehambaan kita di hadapan Allah Subhanahu wa ta’ala. Hakikatnya, kita hanyalah hamba Allah yang fakir yang sentiasa memerlukan kepada-Nya.

Wallahu’alam.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...