Ulama Benteng

Ulama Benteng
Memaparkan catatan dengan label Hadits Qudsi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hadits Qudsi. Papar semua catatan

Khamis, 4 Mac 2010

Jalan Pengabdian


Waktu sujud adalah antara ketika bagi seseorang hamba yang paling hampir kepada Allah. Banyakkanlah berdoa ketika bersujud. Teruslah meniti jalan pengabdian, kelak akan kita sampai ke destinasinya.





Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.



Tersebut dalam hadits Qudsi yang demikian bunyinya:


"Allah telah mewahyukan kepada seorang Nabi di antara para Nabi-Nya: Bahawa katakanlah kepada si Anu yang 'Abid itu: "Adapun zuhudmu terhadap dunia, maka itu akan mempercepat ketenangan jiwa, dan adapun engkau memutuskan kehidupan engkau sama sekali untuk mendekatkan diri kepada-Ku, maka itu pun suatu hal yang melampaui pula; maka adakah engkau menunaikan kewajipan yang telah Aku pikulkan di atas pundakmu?"

Maka menjawablah sang Abid: "Ya Tuhanku! Apakah gerangan kewajipan itu? Tuhan berfirman: "Sudahkah engkau memusuhi musuh-Ku dan mengangkat wali-Ku selaku pemimpin pada jalan-Ku?"


(Diriwayatkan oleh Abu Nu'aim dalam Al-Hidayah, Al-Khathib Al-Bagdadi dalam Tarikh Baghdad, terjemahan Muhammad bin Al-Wardi Az-Zahid daripada Ibnu Mas'ud)

Pernah Tuan Guru Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizahullah mengajarkan kepada kita dalam sebuah kuliah beliau bahawa pada suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w. ada menyatakan kepada para sahabatnya bahawa mereka lebih baik berada dalam keadaan tidak mewah berbanding keadaan mewah, di mana mereka bersenang-senang dalam kekayaan harta.


Orang-orang soleh, mereka lebih memilih ujian kesusahan daripada ujian kesenangan. Bukankah ramai orang yang gagal apabila mereka diuji dengan kemewahan dan kesenangan?

Bukankah orang-orang yang miskin memasuki syurga jauh lebih awal daripada orang-orang kaya?




Hadits yang dimuatkan di atas merujuk kepada buku Taman Syurga Idaman, Himpunan Hadith-hadith Qudsi susunan Ustaz Rosli Hj. Ibrahim, terbitan Jasmin Enterprise.



Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu. Matikanlah kami dalam menyebut kalimah tauhid.

Rabu, 3 Mac 2010

Pandangan Mata Sebagai Anak Panah Iblis



Mata adalah antara ni'mat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. yang tiada ternilai. 'Ulama ada menyebut, amal 'ibadat yang dilakukan selama 500 tahun pun belum mampu melebihi berat ni'mat pandangan sebelah mata apabila kedua-duanya ditimbang. Hal ini dapat dipelajari daripada kisah seorang ahli ibadat yang meminta kepada Allah agar dia dimasukkan ke dalam syurga dengan sebab amalannya tersebut, dan bukannya dengan rahmat Allah.






Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


Selamat bertemu kembali. Pada kali ini, insya Allah kita akan cuba membincangkan soal yang berkaitan dengan kita pada setiap ketika, ya'ni ni'mat pandangan mata. Ni'mat pandangan mata ialah satu amanah Allah kepada kita, dan kelak nanti kita akan disoal dan diperiksa bagaimanakah ni'mat tersebut telah digunakan. Akan kita diadili sama ada mata digunakan untuk melakukan kebaikan atau untuk melakukan keburukan.

Soalan untuk diri saya sendiri dan insya Allah untuk kita bersama: Sejauh manakah kita benar-benar amanah dalam menjaga ni'mat pandangan mata?

Adakah kita sejak dilahirkan tidak pernah memandang perkara yang haram?

Adakah kita sudah bertaubat memohon keampunan Allah atas segala pandangan haram tersebut?

Pernah dalam ziarah Habib Umar ke Masjid Al-Falah USJ 9 baru-baru ini, beliau ada menyebutkan perihal seorang hamba yang tidak mampu melafazkan kalimah La ilaa ha illaLlah pada akhir hayatnya lantaran ma'siat pandangan haramnya yang belum mendapat keampunan Allah s.w.t.

Semasa kami mengikuti pengajian dengan Syeikh Haisam di Masjid Bandar Adelaide, beliau dengan begitu ikhlas mengingatkan kami bahawa orang yang berjaya mengawal nafsunya dan menundukkan pandangan daripada melihat perkara yang haram, maka insya Allah akan dikurniakan kelazatan iman dan dalam beribadah.


Antara Puncak Kekufuran Seorang Hamba kepada Allah

Dalam sebuah kuliah ruhaniah oleh Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam hafizahullah, beliau ada menyebutkan bahawa al-Imam al-Ghazali rhohimahullah ta'ala (r.t.) ada menyatakan bahawa antara puncak bagi kekufuran seorang hamba kepada Allah adalah dengan menggunakan ni'mat yang dipinjamkan oleh Allah untuk menderhakai-Nya.


Contohnya, si fulan dipinjamkan oleh Allah s.w.t. dengan ni'mat pandangan mata, namun si fulan tersebut menggunakan pandangan mata tersebut untuk menatap perkara haram yang ditegah oleh Allah s.w.t. Maka, bukankah perbuatan tersebut adalah menderhakai Allah sebagai Tuan Pemilik kepada pandangan mata tersebut? Bukankah itu tindakan yang menjadikannya sampai kepada tahap kemuncak kekufuran seorang hamba kepada Allah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ghazali r.t.



Al-Ustaz Taufik Mad Arshad Al-Muqri dalam memberikan tunjuk ajar dalam meningkatkan kualiti hafazan Al-Quran ada menyatakan mengapa orang yang buta matanya mempunyai daya ingatan yang lebih baik dan kuat kerana pandangan matanya yang terpelihara daripada melihat perkara yang haram berbanding orang yang dapat melihat. Perkara haram yang dilihat dengan mata seterusnya akan menyebabkan maklumat tersebut diproses oleh hati dan akal serta menyebabkan dosa dan kelalaian yang lebih jauh. Beliau menasihatkan supaya berusaha untuk menjaga pandangan mata semampu yang mungkin.

Berhubung dengan usaha hafazan Al-Quran, bagaimanakah mungkin hati yang penuh dengan noda ma'siat hasil daripada pandangan haram dapat menerima ayat Al-Quran, maka lebih-lebih lagi untuk menjaganya dengan baik dalam ingatan?

Memang terasa berat dan susah. Seorang murabbi pernah menasihatkan kepada anak muridnya mengenai mujahadah melawan nafsu jahat di medan ujian dunia ini yang perlu diteruskan sehingga ke akhir hayat. Untuk memberikan motivasi kepada diri, ingatlah bahawa di akhirat sana nanti adalah tempat pembalasan, dan sudah tidak ada lagi ujian.

Berikut dimuatkan sebuah hadits qudsi yang mulia berkenaan pandangan mata, mudah-mudahan memberikan manfaat kepada kita dengan izin Allah s.w.t.

"Pandangan mata itu adalah sebuah anak panah daripada panah-panah Iblis. Maka barangsiapa meninggalkannya (mengelakkannya daripada melihat wanita) kerana takut kepada-Ku, nescaya Aku ganti dengan iman yang dirasakan lazat-manisnya dalam hatinya."

Riwayat Thabrani dan Hakim daripada Ibnu Mas'ud.



Insya Allah, mudah-mudahan kita diberikan petunjuk dan kekuatan daripada Allah supaya mampu membaiki diri dari semasa ke semasa, serta bertambah baik secara berterusan.


Hadits yang dimuatkan di atas merujuk kepada buku Taman Syurga Idaman, Himpunan Hadith-hadith Qudsi susunan Ustaz Rosli Hj. Ibrahim, terbitan Jasmin Enterprise.





Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu. Matikanlah kami dalam menyebut kalimah tauhid.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...