Ulama Benteng

Ulama Benteng

Sabtu, 27 Julai 2013

Terus Maju Ke Hadapan

Assalamualaikum buat semua sahabat rakan,

Selamat meneruskan ibadah dengan penuh kualiti pada hari-hari Ramadhan yang berbaki. Semoga kita memburu redha Allah dan diizinkan bertemu dan memanfaatkan malam Al-Qadr.

Juga saya ingin mengucapkan selamat hari raya fitri, maaf zahir batin.


.........


Secara tuntas sedikit catatan saya pada kali ini,

- Mari kita lebih memahami realiti dan tujuan kehidupan ini. Maka kita akan lebih mampu untuk membuat keputusan dan keutamaan.

- Hidup kita di dunia ini adalah persinggahan yang cukup singkat. Jadikan kematian sebagai peringatan yang sangat memberi kesan ke dalam keinsafan dan sikap diri terhadap dunia.

- Pertambahan usia akan turut membawa perubahan perspektif kita terhadap dunia dan kehidupan ini. Maka, kita sangat mengutamakan perjuangan sebagai hamba dan khalifah Allah. Peruntukkan segala tenaga, harta, fokus ke arahnya. Utamakan fokus dan usaha bagi manfaat dan kehidupan kekal di akhirat sana. Tutup, potong, henti, kurangkan segala perkara yang tidak bermanfaat dan tidak berkaitan, yang kurang impak positifnya.


... mohon doanya kepada saya dan umat Islam lain, daripada sahabat-sahabat lain....

Khamis, 11 Julai 2013

Sesuaikan kesungguhan usaha kita

Sesuaikan kesungguhan usaha kita berdasarkan nilainya pada pandangan Allah :)

Buat sahabat-rakan yang dikasihi dan dimuliakan kerana Allah,

Kehidupan kita ini memang penat kan? Macam-macam tugasan, macam-macam ujian, kesusahan dan seumpamanya.

Dalam kita meniti kehidupan ini, amat perlu kita fikirkan, bagaimanakah kita menggunakan segala modal yang ada pada kita dengan sebaik-baiknya mengikut keutamaannya.

Bagi yang bekerja, fikir kembali apakah tujuan kerja kita? Jika sekadar mahu mendapatkan kesenangan dunia, mendapat gaji, mendapat bonus, mendapat pangkat tinggi, mahu punyai kereta mewah, banglo mewah dan segala macam barang yang begitu mahal dengan dorongan untuk dipuji dan dipandang hebat makhluk: maka segala penat lelah, kesusahan kerja lebih masa, kesusahan berhadapan dengan bos, klien dan seumpamanya hanyalah terlalu singkat hasilnya. Apabila mati kelak, akan ditinggalkan segala-galanya di dunia ini, Hanya diri dan amalan yang dibawa. Mohon maaf disebutkan, jika niat keduniaan yang disebutkan tadi juga akan menjadikan kepenatan bekerja itu hanya sia-sia, dan boleh membawa kepada azab seksaan di dunia dan di akhirat.

Bahkan:

- Segala isi dunia jika semuanya itu adalah emas, maka-maka sama sekali kesemua emas itu tidak boleh digunakan untuk menebus orang kafir yang diseksa dalam neraka.

- Nilai dunia ini tidak lebih daripada sebelah sayap nyamuk pada pandangan Allah.

- Solat dua rakaat qobliah subuh itu sudah cukup jauh lebih bernilai daripada segala himpunan kekayaaan dunia.

Maka, jangan kita tertipu dengan kehidupan dunia ini yang amat-amat sementara dan melalaikan.

Jadikan segala-galanya dalam hidup kita ini sebagai penghambaan kepada Allah, demi meraih cinta dan redha-Nya. Maka kita akan merasai nikmat syurga itu sejak di dunia lagi (syurga ketenangan dan makrifah)

Semoga Ramadhan ini kita benar-benar manfaatkan demi kebaikan dan perjalanan menuju akhirat kita. :)

Selasa, 9 Julai 2013

Tidur berkualiti sekitar 2-3 jam sehari

Tidur berkualiti sekitar 2-3 jam sehari

Alhamdulillah, petang tadi saya berkesempatan menghadiri majlis ilmu secara langsung kali ke-2 bersama Dato' Dr. Haji Fadzilah Kamsah, sesi yang dianjurkan oleh pihak syarikat. (Kali pertama dahulu semasa di MCKK, dan beliau Dr. Fadzilah Kamsah juga adalah seorang alumnus MCKK).

Perkongsian adalah berkenaan Ramadhan. Saya berasa cukup tertarik untuk berkongsi satu informasi / tips yang saya amati in syaa Allah bermanfaat, lalu 'menarik' saya masuk ke dalam Facebook untuk menyampaikannya.

Hal tersebut adalah berkaitan. Mengikut kajian saintifik, tidur yang 'solid' adalah sekitar/selama 2 jam sahaja pada waktu malam, dan diikuti tidur siang sekitar 23 minit.

Hal ini adalah selari dengan apa yang ditunjukkan Baginda Nabi kita sollaAllahu alaihi wa sallam, yang tidur sekitar/selama 2 jam pada malam, dan disertai qoilulah pada waktu siangnya.

Tidur yang mengikut sunnah Baginda sollaAllahu alaihi wa sallam, seperti tidur atas lambung kanan membolehkan rehatnya struktur tulang belakang (jika dibandingkan tidur melentang) dan jantung semasa itu berada di bahagian atas, membolehkan darah dipam lebih efisyen ke anggota badan.

Apa yang diamalkan oleh beliau Dr. Fadzilah Kamsah adalah tidur antara 2-5 pagi sejak beliau berusia 45 tahun, dan kini usia beliau sekarang sudah melebihi 60 tahun.

Ya, jika kita lanjutkan pembacaan dan kajian juga pun, memang banyak seruan oleh agama dan pengamalan para ulama besar silam dan para solihiin yang kurang jumlah tidur malam mereka, Kita juga menyaksikan sehubungan dengan itu, kualiti hidup dan produktiviti mereka adalah tinggi dan sebahagiannya adalah luar biasa.

Dalam didikan pembersihan dan penyucian jiwa, waktu 1/3 malam terakhir memang dilihat sebagai waktu keemasan.

Apa pengajaran secara ringkas dapat kita ambil:

1) In syaa Allah proses pengurangan masa tidur boleh dilaksanakan secara berperingkat-peringkat (ada disebutkan oleh Al-Imam Hujjatul Islam Al-Ghazali rohimahuAllah).

2) Tidur yang berkualiti 'solid' dan tidak terlalu panjang in syaa Allah membolehkan kualiti dan produktiviti kita ditingkatkan. Ketenangan malam akan membuka ruang pelbagai ilham dan keluasan usaha.


Semoga Allah mengizinkan kita memperoleh tidur yang berkualiti dan tidak terlalu panjang, lalu membolehkan produktiviti semakin tinggi.

Isnin, 1 Julai 2013

Catatan Kuliah Al-Hikam bersama KH Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari Al-Maliki

Sebahagian manfaat diambil daripada majlis bersama guru kita malam semalam: (dalam susunan perkataan dan kefahaman saya)

- Kurniaan daripada Allah in syaa Allah akan diberikan kepada kita. Namun persoalan lebih besar tertuju kepada kita, "Mahu berusaha atau tidak?" (merujuk mafhum ayat Al-Quran tentang siapa yang bersungguh-sungguh pada jalan-Nya, Allah akan tunjukkan)

- Para auliya Allah, orang-orang yang bersih jiwa mereka, hampir jiwa mereka kepada Allah: hati mereka sentiasa tenang dan lazat dengan zikir kepada Allah, tidak hati mereka berminat dengan kemewahan dunia, dan sedemikianlah keadaanya di dunia sehinggalah ke akhiratnya.

- Mafhum daripada para tokoh sufi, bagaimana menggambarkan kelazatan zikir mereka kepada Allah, maka hal demikian itu diketahui oleh para raja di dunia, maka mereka meninggalkan kesenangan dunia dan menyertai kelazatan zikir tersebut.

- Dosa tetap dijadikan sempadan dan tidak boleh dipermudah-mudahkan dan dijadikan belitan tipuan. Perlu serius dihindari. Seumpamanya, tidak boleh mengatakan tabiat merokok pada seorang yang didakwa wali Allah sebagai suatu penutupan rahsia pada dirinya. (Maka secara jelas kita boleh faham - pengamalan tazkiyyatu an-nafs/tasowwuf perlu berdasarkan dan mematuhi peraturan syariat agama - perlu menjauhi pelanggaran syariat yang bersembunyi atas nama tasowwuf)

- Persiapan zahir seperti kurangnya makan berlebihan, zuhud terhadap kesedapan dunia adalah antara syarat zahir untuk membolehkan kosongnya hati daripada perkara-perkara selain Allah, dan hal sedemikian itu membawa dan membantu mencapai kualiti zikir dalam hati yang merasai kebesaran Allah.

- Perlunya ada guru yang mursyid dalam perjalanan menuju Allah - sehinggalah bertemu Allah - ambil iktibar perjalanan Nabi kita sollaAllahu alaihi wa sallam yang dibimbing oleh malaikat Jibril alaihissalam sebagai guru mursyid dalam peristiwa israk mikraj yang memimpin Nabi daripada bermacam-macam gangguan.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...