Ulama Benteng

Ulama Benteng

Sabtu, 23 Jun 2007

Mengenai Blog Ini



Blog ini pada sebelumnya dinamakan dengan judul "Perjalanan Menuju Allah Yang Maha Agung" dan kini dimurnikan lagi dengan judul "Pertemuan Agung". Moga dengan judul baru ini, kita semua menjadi lebih sedar dan mempersiapkan diri dengan visi yang sangat mulia ini.


Adalah menjadi hasrat dan doa saya sendiri agar usaha ini mendapat pemerhatian dan keredhaan Allah s.w.t. , setiap detik hayat yang digunakan untuknya dinilai 'amalan soleh dan ikhlas, serta diterima oleh Allah s.w.t. sebagai salah satu daripada tiga sumber yang membolehkan kita mendapat pahala yang berterusan walaupun nyawa sudah pun berpisah daripada jasad, ya'ni melalui ilmu bermanfaat yang disebarkan. Semoga Allah mengizinkan segala 'ilmu bermanfaat yang disebarkan melalui asbab wadah blog ini akan berkekalan dipanjangkan, disebarkan, diamalkan sehingga hari kiamat, dan mengizinkan kesemua insan yang menyumbang kepada penyebaran 'ilmu tersebut mendapat manfaat pahala berterusan.


Saya berdoa kepada Allah s.w.t. agar diizinkan segala kandungan dalam blog ini ditujukan kepada diri saya sendiri terlebih dahulu, sebelum dibaca oleh para pembaca yang budiman sekalian. Moga-moga dengan adanya usaha pencarian 'ilmu, dan penulisan serta penyebaran melalui medium blog ini, pengetahuan dan kefahaman 'ilmu yang bermanfaat tersebut dapat dikukuhkan dalam diri saya sendiri, kemudian dibaca dan diambil manfaat oleh Muslimin, Muslimat dan para pembaca. Seterusnya, semoga Allah memperteguhkan kekuatan kepada kita untuk mengamalkan segala macam 'ilmu yang bermanfaat tersebut.


Saya juga memanjatkan permohonan kepada Allah s.w.t. agar usaha ini diberi petunjuk dan bimbingannya serta suci daripada sebarang kekotoran yang menghalang kita semua daripada mendapat penyempurnaan keredhaan Allah dan ganjaran di akhirat kelak. Semoga Allah menjadikan niat dalam hati kita hanya tertuju untuk-Nya semata-mata serta dapat dilenyapkan setiap bentuk penyelewangan dan penyesatan yang membuatkan segala 'amalan kita menjadi debu, tidak bernilai dan lebih malang lagi menjadi penyebab kita diheret ke dalam neraka.

Na'uzubillahi min zalik.


Sumber Ilmu dan Maklumat yang Dimuatkan dalam Blog ini


Saya memohon kekuatan daripada Allah s.w.t. agar berupaya untuk melakukan yang terbaik dalam memuatkan bahan yang berguna dalam blog ini yang diperoleh daripada sumber yang diyakini. Insya Allah saya cuba memuatkan catatan daripada sumber pertama, sebagai contoh apa yang diperolehi daripada lidah para tuan guru dan 'ulama melalui pengajian talaqqi, kemudian melalui penghayatan rakaman kuliah yang ada, pembacaan kitab dan buku, serta cara-cara lain yang ada.


Bentuk Penulisan


Insya Allah, saya mempelbagaikan cara penulisan. Adakalanya agak panjang, ada juga sederhana dan tidak kurang juga yang sangat ringkas.

Ada yang saya tulis dan susun sendiri, ada yang saya petik daripada sumber lain, ada yang saya memberi komen dan tokok tambah peribadi.

Namun secara pokoknya, kita mengharapkan agar masa yang bertambah dalam kehidupaan sehari-hari adalah seiring dengan pertambahan ilmu dan maklumat yang berguna.


Menyalin atau Mengambil Bahan daripada Blog ini


Bagi sesiapa yang ingin menyalin apa-apa bahan daripada blog ini, anda dialu-alukan. Namun, adalah sangat diharapkan agar sumbernya dinyatakan (diperoleh daripada blog ini) supaya sebarang kesalahan dan kesilapan yang ada dalam bahan di blog ini mudah untuk dibetulkan.


Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah. Sesungguhnya kami tiada daya upaya untuk melakukan ketaatan dan menghindari kema'siatan melainkan dengan daya upaya yang Kau pinjamkan kepada kami. Kami benar-benar memohon bantuan-Mu agar segala usaha dan detik hayat kami di medan ujian dunia ini menjadi ikhlas setulen-tulennya kepada-Mu semata-mata. Kami memohon tunjuk ajar-Mu kerana tidak ada apa yang kami tahu melainkan setelah Kau ajarkan kepada kami. Kami juga memohon kepada-Mu agar diselamatkan perjalanan dan perjuangan kami ini.


Daripada saya yang mengendalikan Laman Pertemuan Agung ini,

Al-Faqir wal Haqir ilaLlah,

'Abdullah Munib ilaihi

Warganegara Malaysia beragama Islam,

Beraqidah Ahlus Sunnah wal Jama'ah - Asha'irah Maturidiyah

Bermazhab Fiqh Syafi'ie


Adelaide, Australia.

English

If you are reading materials in English, you can choose the material by clicking English label (click here) as well as the article in another blog fully in English (click here).

Doa

Moga Tercapai dengan Kemurahan dan Kasih Sayang Raja Seluruh Alam


Ya ALLAH, kunyatakan di sini dengan sepenuh rasa kehambaan agar segala modal umur yang Kau pinjamkan kepadaku dimanfaatkan sepenuhnya untuk keredhaan-Mu, melalui usaha blog ini.


1. Segala penulisan dan perkongsian 'ilmu dan maklumat ditujukan kepada diriku sendiri terlebih dahulu. Moga lebih kukuh kefahaman dan penghayatan 'ilmu yang bermanfaat, bertambah 'ilmu dan maklumat berguna.


2. Kemudian, diharapkan penulisan dan perkongsian tersebut dapat memberikan manfaat kepada umat Islam yang lain.


3. Segala usaha ini dinilai sebagai amalan soleh, lebih khusus lagi diterima sebagai 'ibadah yang membolehkan aku mendapat sumber pahala dan kebaikan yang berterusan walaupun ajalku telah tiba, dan semoga berkekalan hingga hari kebangkitan kelak.


4. Kebaikan dan pahala tersebut juga kuhadiahkan untuk kedua-dua ibu bapaku, para 'ulama dan pendidik yang telah terlalu besar jasa mereka kepadaku.


5. Mendidik keikhlasan diri, moga sentiasa suci hanya semata-mata untuk-Mu.


6. Membuktikan kecintaan kepada Baginda s.a.w., mengamalkan sunnahnya dalam berda'wah dan mengajak manusia kepada Allah s.w.t. serta pada masa yang sama aku mengajak diriku dan umat Islam yang lain lebih mengenali dan mencintaimu.


7. Menjaga diri daripada terjebak dalam kancah kelalaian, perkara makruh, sia-sia dan dosa.


8. Meluaskan ukhuwwah Islamiyyah, menambahkan mahabbah kerana-Mu.





Doa Anda Dipohon


Saya penuh dengan perasaan besar hati memohon jasa baik anda semua untuk sentiasa mendoakan saya (juga umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain) agar terus terpelihara dalam pemeliharaan dan keampunan ALLAH s.w.t., tetap tabah dan bersungguh-sungguh memahami dan menjaga hafazan Al-Quran, menguasai bidang sains (geologi) yang sedang dipelajari dengan baik, memperdalam, memperluas dan memahami ilmu-ilmu usuluddin dan cabang ilmu Islam yang lain, masa berada dalam keberkatan dan tiada terbazir, tetap suci ikhlas kerana ALLAH semata-mata, bermujahadah dan bertenaga dalam perjuangan Islam, terjaga akhlak dan kesucian niat, dan dimudahkan segala urusan untuk kebaikan dan manfaat umat Islam, selamat dan sejahtera di dunia dan di akhirat.




Jasa Ibu dan Ayah tidak terbayar, kasih mereka kekal hingga ke syurga.


"Ya ALLAH, ampunilah segala dosa kedua-dua ibu bapaku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku sejak kecil. Lanjutkanlah usia mereka dalam kesejahteraan, kebahagiaan dan 'amal ketaatan kepada-Mu. Kelak Kau kurniakan mereka sebaik-baik kurniaan-Mu, selamatkan mereka daripada sebarang kemurkaan, azab dan seksa-Mu. Sungguh takkan kumampu membalasi jasa mereka. Izinkan aku untuk terus berbakti kepada mereka."



Insya ALLAH, keluarga yang diredhai dan dikasihi-Nya.


Bagi setiap daripada ahli keluargaku,


Semoga ALLAH s.w.t. sentiasa mengampun, merahmati dan membimbing kita. Moga dimudahkan urusan kita untuk membaiki hubungan sesama kita, ditetapkan dalam 'aqidah dan ketaatan yang benar dan bersama-sama ditempatkan dalam tempat yang selamat di akhirat nanti.




Al-Quran Kalamullah


Benar, ALLAH akan menguji hamba-Nya, adakah dia benar-benar cinta akan Al-Quran dan ingin meletakkannya dalam hati. Insya Allah, apabila kita sudah menghafaz ayat-ayat Quran, beristiqamahlah dalam mengulangi bacaannya, mengamalkan kandungan pengajaran yang dibawanya.





Jangan Berasa Jemu dan Berputus Asa


Insya ALLAH, usaha ini akan membuahkan hasilnya. Proses ini akan tamat keseluruhannya. Matlamat sudah ditetapkan dengan jelas. Usaha dilaksanakan pada kadar sebagai seorang hamba, dengan sepenuh keupayaan yang terbaik dan termampu. Selebihnya, sentiasa panjatkan doa, memohon kurniaan dan bantuan-Nya. Jangan berasa jemu dan berputus asa. Teruskan usaha dengan gigih. Syaitan dan musuh yang lain akan sentiasa berusaha menggagalkan usaha perjuangan ini, mengatakan diri tidak mampu. Yakinlah kepada hakikat tauhid, "Tiada daya upaya untuk melakukan kebaikan dan menghindari keburukan melainkan dengan apa yang diizin dan dipinjamkan ALLAH." Laa hau lawalaa quwwata illaa billah . Moga nafsu liar akan terdidik untuk mentaati ALLAH dan terkekang daripada terus menjadi buas. Insya ALLAH, akan tamat proses ini dengan hasil yang berkualiti dan dicintai ALLAH. Usah menjadi terlalu terkejar-kejar dan terburu-buru. ALLAH kan sentiasa ada pada setiap masa untuk membantu dan mendengar rintihan. Lagi banyak permohonan hamba kepada-Nya, lagi Dia mencintai hamba-Nya itu. Cinta dan kasih sayang ALLAH jauh lebih dahsyat daripada cinta dan kasih sayang seorang ibu kepada anak yang dilahirkannya.





Allahumma Aamiin, Aamiin, Aamiin.

Hubungi Saya

Melalui emel:



Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...