Ulama Benteng

Ulama Benteng

Ahad, 22 November 2009

Jumpa Lagi

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.


Semalam dan pagi ini rasa sungguh berat bagi hati saya. Ya lah, ini detik terakhir bersama dengan dua orang teman seperjuangan. Mungkin hanya berada serumah selama satu semester, tapi pada saat-saat akhir ini, perasaan teruji juga. Itulah, kadang-kadang pada masa kebiasaan, kita sukar nak merasai nilai kehadiran insan lain di sisi kita. Tapi apabila tiba saat perpisahan, rasa susah nak dilepaskan. Jadi, selagi mana ada peluang kita bersama di dunia ini, penuhkannya dengan kemesraan yang soleh.

Bagi saya, apa yang cuba dilakukan adalah dengan memberikan tanda ingatan. Betul Nabi s.a.w. katakan, amalan memberi hadiah ini dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama Muslim.

Juga, pelukan pada saat sebegini juga pelukan yang terasa nilai dan kemanisan ukhuwwah. Pernah semasa hari terakhir di MCKK dahulu, saya sudah tidak mampu lagi menahan sebak perasaan dan air mata mencurah-curah mengalir.

Benarlah kata-katamu wahai kekasih kami Muhammad bin Abdullah s.a.w.,

Kemanisan Iman

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik ra)


Untuk memujuk hati, insya Allah didoakan agar ada pertemuan lagi selepas ini. Setidak-tidaknya moga Allah pertemukan lagi di syurga-Nya nanti.

Buat Syukri
(Syuk) dan Azam (Cep), jazakamullah khayr al-jazaa' dan maaf atas
segala perkara. Selamat maju jaya dalam alam kerjaya. Insya Allah, kita
akan bertemu lagi. Andai tidak di dunia, kupohonkan di syurga Allah
nanti. Indah ukhuwwah dan mahabbah kerana-Nya. Teruskan perjalanan ini,
pertemuan kita dengan Allah nanti adalah kepastian yang kian hampir.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Sabtu, 21 November 2009

Adab dan Keikhlasan

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.


Sekadar berfikir dan mengajak para pembaca untuk berfikir. Saya catatkan pada status Facebook saya. Saya akui, saya pun orang awam. Saya sangat memerlukan bimbingan para 'ulama yang solihin. Saya tidak mahu menghalakan perkara ini kepada sesiapa. Semoga kita dapat capai suasana lebih sihat dan damai dengan adanya adab dan keikhlasan yang tinggi.

Bahayanya jika hilang adab seorang yang ada ilmu agama, kemudian cuba menunjuk handal dalam perkara bukan kepakarannya, memperlekeh 'ulama tradisional dan 'ulama sebelum ini sedangkan 'ijma antara mereka berdasarkan asas yang kukuh. Adakah dengan PhD dan gelaran Doktor menghalalkan keangkuhan kita? Ramai lagi insan yang lebih diluaskan ilmu oleh ALLAH, tetapi lebih kuat tawadhu' mereka. -Untuk difikirkan.

Selamatkan kesatuan umat Islam di Malaysia khususnya, sanggah perpecahan.


Moga kita dipimpin oleh 'ulama yang beradab, ikhlas dan tidak mencari populariti dengan membangkitkan isu khilaf yang telah lama selesai diputuskan 'ulama sebelum ini. Kita orang awam, perlu merujuk kepada ahli dalam setiap perkaranya. ^_^




Kita pohon agar diselamatkan dalam segala urusan, diampunkan atas kelemahan kita.

Khamis, 19 November 2009

Tertipu Dengan Amalan Sendiri

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Benarkah hanya Allah tujuan kita? Adakah syirik wujud dalam niat kita?

Sifat Maha Tahu ALLAH tiada siapa ingkari. ALLAH tahu segala-galanya. Tiada satu makhluk pun yang dapat menyembunyikan sesuatu daripada ALLAH.

Ada hadits Nabi Muhammad s.a.w. yang menyebutkan beberapa golongan yang dicampakkan ke dalam neraka akibat niat mereka yang lari daripada ditujukan kepada ALLAH semata-mata. (*Semoga ALLAH selamatkan kita daripada kebinasaan ini.) Golongan tersebut ialah: 'alim, orang yang mati syahid, dermawan, dan qari (pembaca quran). (* Hadits ini ada ditulis dan disyarahkan oleh Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam hafizahullah dalam kitabnya berjudul Penawar Hati.)

Keempat-empatnya apabila diadili di hadapan ALLAH, mereka menyatakan bahawa mereka melakukan amalan masing-masing tersebut untuk ALLAH. Tetapi, siapakah ALLAH untuk mereka bohongi? ALLAH Maha Mengetahui. Mereka sebenarnya beramal dengan amalan yang cukup mulia tersebut (punyai ilmu agama dan mengajarkannya, mati syahid dalam perang pada jalan ALLAH, derma untuk kebaikan dan membaca Al-Quran dengan begitu baik) untuk mendapatkan sanjungan daripada manusia.

Memang, jika kita mahukan sanjungan manusia, kita akan dapat ketika di dunia. Tetapi di akhirat kelak, kita sudah tidak akan dapat apa-apa lagi. Lebih menakutkan, mengerikan adalah apabila dihalau oleh ALLAH untuk masuk ke dalam neraka yang tiada mana-mana makhluk mampu bertahan di dalamnya. (*Semoga ALLAH selamatkan kita daripada azab neraka.)

Ya ALLAH, saya sendiri sentiasa berasa risau dan cemas menyedari hakikat ini. Makin kita nak bertambah kualiti amal, makin kuat musuh (syaitan, nafsu) yang datang menyerang kita, menipu kita dengan lebih halus.

Apa-apa pun, ALLAH Maha Mendengar pengaduan hamba-Nya, Dia Maha Membantu dan Maha Memelihara. Kita ikhtiar yang termampu untuk menyucikan hati dan niat kita, pada masa sama tidak berhenti untuk berdoa memohon bantuan daripada ALLAH.

Bukankah akan terasa ketenangan dan kegembiraan yang sangat-sangat hebat jika kita lulus dalam pengadilan ALLAH nanti, setelah terbukti dengan sifat Maha Tahu dan Maha Adil ALLAH bahawa kita hanya menjadikan ALLAH sebagai satu-satunya matlamat/niat, kemudian ALLAH mengakui kita tidak mensyirikkannya walau sebesar manapun, dan seterusnya menjadi tenang dan kekal mentaati ALLAH di dalam syurga kerana sudah tiada lagi serangan syaitan dan nafsu jahat semasa akhirat nanti.

Ya ALLAH, kami pohonkan kepada-Mu bantuan dan pemeliharaan yang berkekalan agar kami sentiasa suci niatnya hanya menjadikan Kau sebagai satu-satunya matlamat kami dalam setiap tindakan.

* Berhati-hatilah kita dengan amalan kita, jangan sampai tertipu dengan amalan sendiri. Menyesal ketika pengadilan ALLAH nanti sudah tidak berguna.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Rabu, 18 November 2009

Runtuh Tembok Persepsi Songsang

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Moga hidup ini lebih bermakna dengan kasih sesama insan, membawa rahmat ke seluruh alam.



Saya akui, dalam liku-liku hidup ini banyak perkara yang perlu dipelajari. Bak kata kakak saya, tak semua nilai kehidupan dapat diperoleh di universiti, dalam dewan kuliah. Bahkan banyak nilai kemanusiaan, "common sense" yang perlu kita cari dengan gigih dalam realiti kehidupan.

Selalu juga terlintas dalam fikiran saya, bagaimana orang pada hari ini bangga mereka lulus ijazah pada pelbagai peringkat. Mereka beranggapan sudah punyai ilmu dan kelulusan akademik yang mantap. Namun, bagaimana pula dengan nilai kemanusiaan mereka? Ada graduan yang gagal berakhlak mulia dengan ibu bapa, dan individu lain. Ini benar terjadi. Ada juga yang sanggup melakukan perkara haram sebagai pendapatan. Banyak lagi contoh yang dapat kita lihat.

Pada satu sudut lagi, saya kagum dengan ketinggian nilai kemanusiaan dan akhlak orang-orang tua kita. Mungkin mereka tidak ada pendidikan formal sehebat graduan universiti, namun mereka berjaya membesarkan kita dengan penuh amanah, didikan, nilai akhlak yang mulia dan makna-makna kehidupan.

Juga pada perkongsian kali ini, saya lebih tertarik untuk menyatakan apa yang saya alami, ya'ni mengenai komunikasi. Kadang-kadang kegagalan kita dalam komunikasi yang berkesan boleh mengheret kita kepada sangkaan yang bukan-bukan. Apa yang saya alami, persepsi songsang saya diruntuhkan temboknya apabila wujud komunikasi yang berkesan. Contoh bagi saya, ada kalanya kerisauan timbul terhadap perhubungan dan persahabatan apabila gagal berkomunikasi dengan baik. Mulalah sangkaan tidak sepatutnya yang akan datang menyerang. Dengan izin ALLAH, salah satu kerisauan dan tanggapan kurang tepatnya berjaya diatasi setelah kedua-dua pihak mula berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain. Alhamdulillah... ^_^ gembira rasanya.

Syaitan akan sentiasa membisikkan sesuatu yang negatif kepada kita. Saya ambil daripada Syeikh Haisam yang ada menyebutkan bagaimana peristiwa yang berlaku kepada Baginda s.a.w. Isteri Baginda rindu akannya lalu berjumpa dan bercakap dengan Baginda. Sepertimana kita tahu, isteri Nabi berpakaian menutup seluruh tubuh mereka. Pertemuan Nabi tersebut dilihat oleh sekumpulan sahabat. Kemudian Nabi s.a.w. pergi kepada sahabat-sahabat menyatakan bahawa perempuan tersebut ialah isteri Baginda. Para sahabat sememangnya mempercayai Baginda sepenuh-penuhnya. Nabi menyatakan bahawa Baginda percaya akan sahabat-sahabatnya, tetapi tidak percaya kepada syaitan yang akan membisikkan kejahatan.

Perkara terpenting dalam tulisan ini: Baiki kemahiran berkomunikasi, kerana komunikasi berkesan akan banyak hasilkan kebaikan.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Sabtu, 14 November 2009

Istimewanya Menjadi Hamba ALLAH (lanjutan dalam bentuk video kuliah)

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Buat pembaca semua, alhamdulillah saya temui video ini yang banyak berkisar mengenai keistimewaan menjadi hamba ALLAH yang telah saya catatkan sebelum ini.

Kuliah disampaikan Al-Ustaz Kazim Elias Al-Hafiz, yang memiliki tauliah mengajar daripada Majlis Agama Islam Perak. Moga besar manfaatnya dan berkekalan.




Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Khamis, 12 November 2009

Istimewanya Menjadi Hamba ALLAH

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Nabi Muhammad s.a.w. ialah insan agung yang diciptakan ALLAH. Lihatlah bagaimana tingginya kedudukan Baginda di sisi ALLAH, Baginda mendapat gelaran "Habibullah" (Kekasih ALLAH) yang lebih tinggi daripada kedudukan dan gelaran Nabi Ibrahim a.s. ya'ni "Khalilullah". Dalam peristiwa Israk dan Mi'raj, Baginda s.a.w. mengimamkan solat yang disertai para nabi yang lain. Dalam hal ini, 'ulama menjelaskan bahawa para nabi sebelum Baginda bersetuju untuk mengikut syariat yang dibawa oleh Baginda s.a.w. dan dimansuhkan syariat sebelum ini.

Baginda dinaikkan ke langit, sidratul muntaha dan dipertemukan dengan ALLAH s.w.t. Walau begitu hebat sekalipun pemberian ini kepada Nabi Muhammad s.a.w., Baginda terus tetap mengakui kedudukan dan peranannya sebagai hamba ALLAH s.w.t.

'Ulama banyak menyebut bahawa setinggi-tinggi kedudukan makhluk pada sisi ALLAH adalah sebagai hamba-Nya. Mengapa dikatakan sedemikian? Kerana hamba yang sebenar-benar hamba akan sentiasa patuh kepada arahan tuannya. Begitulah kita, sebagai hamba ALLAH, jika benar kita menjadi sebenar-benar hamba-Nya, akan kita patuhi segala perintah-Nya dengan sepenuh hati, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Lihatlah bagaimana sayangnya ALLAH kepada hamba-Nya yang kembali bertaubat: adalah lebih hebat daripada gembiranya seorang musafir di padang pasir yang kehilangan unta dan segala kelengkapannya, kemudian dia mendapatkannya semula. Juga ada disebut dalam sahih Bukhari bahawa sifat rahmat dan keampunan ALLAH mengatasi sifat kemurkaan-Nya.

Ayuh, sama-sama kita perhalusi jiwa kehambaan kita kepada ALLAH s.w.t. Moga-moga, semakin hari yang bertambah, semakin perkasa kualiti kehambaan kita kepada ALLAH s.w.t. Akui kehinaan kita di hadapan ALLAH s.w.t. Runtuhkan segala rasa ego, takabbur kita kerana seorang hamba yang sejati tidak akan merasakan perkara yang sedemikian di hadapan Tuannya.

Jika benar kita sungguh-sungguh menjadi hamba ALLAH, apa lagi yang perlu dirisaukan? Bersedialah kita untuk makin merasai betapa istimewa dan agungnya cinta ALLAH kepada sebenar-benar hamba-Nya.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...