Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Nabi Muhammad s.a.w. ialah insan agung yang diciptakan ALLAH. Lihatlah bagaimana tingginya kedudukan Baginda di sisi ALLAH, Baginda mendapat gelaran "Habibullah" (Kekasih ALLAH) yang lebih tinggi daripada kedudukan dan gelaran Nabi Ibrahim a.s. ya'ni "Khalilullah". Dalam peristiwa Israk dan Mi'raj, Baginda s.a.w. mengimamkan solat yang disertai para nabi yang lain. Dalam hal ini, 'ulama menjelaskan bahawa para nabi sebelum Baginda bersetuju untuk mengikut syariat yang dibawa oleh Baginda s.a.w. dan dimansuhkan syariat sebelum ini.
Baginda dinaikkan ke langit, sidratul muntaha dan dipertemukan dengan ALLAH s.w.t. Walau begitu hebat sekalipun pemberian ini kepada Nabi Muhammad s.a.w., Baginda terus tetap mengakui kedudukan dan peranannya sebagai hamba ALLAH s.w.t.
'Ulama banyak menyebut bahawa setinggi-tinggi kedudukan makhluk pada sisi ALLAH adalah sebagai hamba-Nya. Mengapa dikatakan sedemikian? Kerana hamba yang sebenar-benar hamba akan sentiasa patuh kepada arahan tuannya. Begitulah kita, sebagai hamba ALLAH, jika benar kita menjadi sebenar-benar hamba-Nya, akan kita patuhi segala perintah-Nya dengan sepenuh hati, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Lihatlah bagaimana sayangnya ALLAH kepada hamba-Nya yang kembali bertaubat: adalah lebih hebat daripada gembiranya seorang musafir di padang pasir yang kehilangan unta dan segala kelengkapannya, kemudian dia mendapatkannya semula. Juga ada disebut dalam sahih Bukhari bahawa sifat rahmat dan keampunan ALLAH mengatasi sifat kemurkaan-Nya.
Ayuh, sama-sama kita perhalusi jiwa kehambaan kita kepada ALLAH s.w.t. Moga-moga, semakin hari yang bertambah, semakin perkasa kualiti kehambaan kita kepada ALLAH s.w.t. Akui kehinaan kita di hadapan ALLAH s.w.t. Runtuhkan segala rasa ego, takabbur kita kerana seorang hamba yang sejati tidak akan merasakan perkara yang sedemikian di hadapan Tuannya.
Jika benar kita sungguh-sungguh menjadi hamba ALLAH, apa lagi yang perlu dirisaukan? Bersedialah kita untuk makin merasai betapa istimewa dan agungnya cinta ALLAH kepada sebenar-benar hamba-Nya.
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.