Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Sifat Maha Tahu ALLAH tiada siapa ingkari. ALLAH tahu segala-galanya. Tiada satu makhluk pun yang dapat menyembunyikan sesuatu daripada ALLAH.
Ada hadits Nabi Muhammad s.a.w. yang menyebutkan beberapa golongan yang dicampakkan ke dalam neraka akibat niat mereka yang lari daripada ditujukan kepada ALLAH semata-mata. (*Semoga ALLAH selamatkan kita daripada kebinasaan ini.) Golongan tersebut ialah: 'alim, orang yang mati syahid, dermawan, dan qari (pembaca quran). (* Hadits ini ada ditulis dan disyarahkan oleh Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam hafizahullah dalam kitabnya berjudul Penawar Hati.)
Keempat-empatnya apabila diadili di hadapan ALLAH, mereka menyatakan bahawa mereka melakukan amalan masing-masing tersebut untuk ALLAH. Tetapi, siapakah ALLAH untuk mereka bohongi? ALLAH Maha Mengetahui. Mereka sebenarnya beramal dengan amalan yang cukup mulia tersebut (punyai ilmu agama dan mengajarkannya, mati syahid dalam perang pada jalan ALLAH, derma untuk kebaikan dan membaca Al-Quran dengan begitu baik) untuk mendapatkan sanjungan daripada manusia.
Memang, jika kita mahukan sanjungan manusia, kita akan dapat ketika di dunia. Tetapi di akhirat kelak, kita sudah tidak akan dapat apa-apa lagi. Lebih menakutkan, mengerikan adalah apabila dihalau oleh ALLAH untuk masuk ke dalam neraka yang tiada mana-mana makhluk mampu bertahan di dalamnya. (*Semoga ALLAH selamatkan kita daripada azab neraka.)
Ya ALLAH, saya sendiri sentiasa berasa risau dan cemas menyedari hakikat ini. Makin kita nak bertambah kualiti amal, makin kuat musuh (syaitan, nafsu) yang datang menyerang kita, menipu kita dengan lebih halus.
Apa-apa pun, ALLAH Maha Mendengar pengaduan hamba-Nya, Dia Maha Membantu dan Maha Memelihara. Kita ikhtiar yang termampu untuk menyucikan hati dan niat kita, pada masa sama tidak berhenti untuk berdoa memohon bantuan daripada ALLAH.
Bukankah akan terasa ketenangan dan kegembiraan yang sangat-sangat hebat jika kita lulus dalam pengadilan ALLAH nanti, setelah terbukti dengan sifat Maha Tahu dan Maha Adil ALLAH bahawa kita hanya menjadikan ALLAH sebagai satu-satunya matlamat/niat, kemudian ALLAH mengakui kita tidak mensyirikkannya walau sebesar manapun, dan seterusnya menjadi tenang dan kekal mentaati ALLAH di dalam syurga kerana sudah tiada lagi serangan syaitan dan nafsu jahat semasa akhirat nanti.
Ya ALLAH, kami pohonkan kepada-Mu bantuan dan pemeliharaan yang berkekalan agar kami sentiasa suci niatnya hanya menjadikan Kau sebagai satu-satunya matlamat kami dalam setiap tindakan.
* Berhati-hatilah kita dengan amalan kita, jangan sampai tertipu dengan amalan sendiri. Menyesal ketika pengadilan ALLAH nanti sudah tidak berguna.
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.