Ya, sememangnya kita lebih mampu untuk mengawal diri kita berbanding untuk mengawal orang lain.
Kita cuba sedaya upaya untuk mengelakkan atau mengurangkan punca masalah daripada diri sendiri kita.
Selebihnya, apa tindak-tanduk, sikap dan perbuatan orang lain sudah berada di kemampuan, kawalan, jangkaan dan dugaan kita.
Kita secara optimisnya bersangka baik dengan semua orang. Namun, tahap sangka baik atau expectation perlu hadir dengan keinsafan bahawa mereka juga manusia, terdedah kepada kelemahan dan keburukan sifat insani.
Semua orang adalah pasti untuk sentiasa wajar berusaha membaiki diri dan akhlak. Jika ada yang baik, terus pertahan dan kukuhkan lagi. Tidak dinafi ada ruang kelemahan dan keburukan yang dibaiki.
Sikap dan tindak-tanduk seseorang terhadap orang lain, boleh mencerminkan bagaimana sikapnya terhadap kita.
- Jika dia boleh bercakap tidak baik terhadap orang lain secara ghibah (di belakang orang lain) seperti terus melabel "bodoh", tidak mustahil dia lakukan perkara yang sama kepada kita di belakang kita.
- Nilai persepsi dan sangkaan dia terhadap orang lain. Jika kerap kita mendapati dia banyak bersangka yang tidak sepatutnya kepada orang lain, tidak mustahil dia juga banyak bersangka yang tidak sepatutnya kepada kita.
- Jika cara berinteraksi, bercakap dia dengan orang lain dengan cara keras, kasar, tinggi suara dan seumpamanya, tidak mustahil perkara sama boleh berlaku kepada kita. Sesuatu yang dapat dijangka.
- Jika dia punyai sifat yang agak keras hati, tidak mudah mengaku kesalahan diri, memohon maaf kepada orang lain, tidak mustahil dia juga keras hati terhadap kita, sukar dan berat memohon maaf dari kita.
- Jika dia konsisten menampakkan kesalahan dan punca masalah kepada orang lain dan sangat minimum untuk mengakui punca masalah turut berpotensi datang dari dirinya sendiri, tidak mustahil kita akan kerap dijadikan beban punca masalah, dijadikan kesalahan-kelemahan-kesilapan kita ketara.
- Bagaimana mungkin hati dapat menjadi lembut, sihat, bersih andainya kebiasaan hari dihidangkan dengan hiburan-hiburan yang sangat sedikit mengingatkan diri terhadap Allah, kepada bacaan Quran, nasihat agama?
Ya, jika kita mahu bertegas dan mahu membetulkan mereka, pasti mereka bersedia untuk membalas, mengungkit-ungkit, menyenaraikan kesalahan kita pada masa lepas : dan akhirnya rumusan dibuat adalah kita sebenarnya yang bermasalah, punca masalah. Mereka pula bersih. Pasti ada saja isu, alasan, sebab untuk mereka tidak menyukai kita, menyalahkan kita, membenci kita, berasa tidak senang dengan kehadiran kita, reaksi muka tidak positif terhadap kita. Takut nak bercakap, nanti ada saja yang tersilap. Mereka jadi marah. Mereka salahkan kita.
Susah untuk mereka menggunakan cara yang lebih insani, damai, mengambil kira pendekatan yang sesuai dengan norma dan emosi insani. Mereka lebih cenderung menyebabkan kita rasa bersalah. Beban punca masalah terasa sebenarnya pada bahu kita saja.
Ya, jika mahu diturut satu-persatu, agak sukar dan akan menjadi terlalu lama untuk menyelesaikannya.
Kita mohon maaf dan halal kepadanya. Kita maafkan mereka terus siap-siap walau mereka berat untuk meminta maaf dan halal daripada kita. Kita move on. Tak pa, biarkan mereka di situ, insya-Allah dengan rahmat-Nya nanti pintu hati mereka diketuk, mereka insaf dengan kesalahan mereka, mereka berusaha membaiki diri. Kita doakan yang baik-baik dan punyai pandangan yang baik terhadap mereka. Kita sudah tidak mampu buat apa-apa lagi, Semua itu berada di luar kawalan kita.
Berkemungkinan, kematian kita sahajalah menjadi kerehatan buat mereka. Mungkin, kita "mati"dahulu sebelum datang ajal.
Ya Allah, ampuni hamba. Terasa tak mampu hadapi pelbagai sikap manusia.