Ulama Benteng

Ulama Benteng

Jumaat, 27 Mei 2011

Jangan Ambil Mudah

Alhamdulillah, dengan izin-Nya saya lebih memahami bahawa pengalaman belajar di universiti bukanlah sekadar untuk mendapatkan kelulusan ijazah dalam akademik semata-mata, tetapi sebenarnya lebih besar daripada itu. Ilmu dan hikmah yang amat bernilai nilaiannya yang dikaut adalah untuk mematangkan diri, lebih merasai hakikat kehidupan di dunia ini, dan memahami apakah pencarian sebenar yang lebih hakiki.


Jangan ambil mudah! Itu antara hikmah yang bertandang dalam hati saya buat hari ini.

Jangan ambil mudah dalam apa sahaja aspek kehidupan. Apabila kita mendengar ayat daripada Surah Al-Zalzalah dibacakan, kita dikhabarkan bahawa setiap amalan baik yang elok mahupun sebaliknya, biarpun sebesar zarah akan tetap dilihat. Maka saya memberitahu diri saya, tidak ada benda yang wajar dipandang enteng, dipandang mudah.

Sapaan ini agak kuat mengesan di hati. Saya baru saja gagal untuk menepati sasaran untuk mencapai gred paling atas (High Distinction - 85% dan ke atas) bagi satu kursus di sini. Agak ralat terasa. Ralat dan tidak setuju dengan sikap bermudah-mudah yang mungkin selalu berkunjung sepanjang semester ini. Setiap aspek penilaian akademik ada sumbangan markahnya kepada gred keseluruhan. Maka kesemua kerja tersebut perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh! Wajar dilaksanakan dengan penuh kualiti!

Ya, kalau kamu mahu gred terbaik, maka setiap kerja yang kamu laksanakan hendaklah bersungguh-sungguh, kualitinya tinggi, ada komitmen masa dan fokus secukupnya, sasaran yang tinggi, tidak mudah tergesa-gesa! Kamu perlu dapatkan markah terbaik dalam setiap pecahan kerja dan penilaian... (nasihat kepada diri sendiri)


Ya, memang kurang kerehatan kesannya daripada wawasan tinggi sebegini. Hukum alam, sesuatu yang lebih berkualiti itu dihasilkan dengan kepakaran, masa, dan tenaga yang lebih banyak, lebih mahal daripada sesuatu yang kurang berkualiti itu.

Alhamdulillah, itu baru situasi dalam konteks penilaian akademik di dunia. Saya terasa bagai dialihkan pandangan hati untuk melihat situasi yang sama dalam konteks penilaian Allah di mahsyar nanti. Bagaimana kalau kita mahukan keredhaan Allah yang tertinggi, maka wajar kita bersungguh-sungguh dan sehabis baik memanfaatkan segenap masa yang ada di dunia ini untuk ketaatan yang sebaik-baiknya, Sekali lagi, jangan ambil mudah! Jangan pandang rendah amalan berselawat atas Junjungan Mulia shollallahu 'alaihi wa sallam, amalan bertasbih, amalan mengucap Laa ilaa ha illa Allah dan seumpanya ketika berjalan, ketika apa-apa sahaja yang ada ruang masa walau sesaat! Kerana benda-benda yang kita rasa kecil inilah yang akan begitu menyelamatkan kita di sana.

Allah, Allah, Allah. Hamba terima dengan penuh redha apa ketentuan-Mu, kerana hamba yakin, kesemuanya ada nilaian didikan-Mu yang amat berharga.

Ayuh kita jadi hamba Allah, umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lebih bersungguh-sungguh ikhlas dan berkualiti dalam setiap amalan, dan tidak terlalu mengambil mudah semua urusan dan perkara. Allahumma amiin!


....

Khamis, 26 Mei 2011

Buat Apa Sahaja, Nak Selamat Di Sana

Segala apa sahaja yang kita lihat di atas muka bumi ini ada pengajaran yang boleh membawa kita kembali mengingati keagungan Allah, kekekalan alam akhirat. 

(Gambar: Remarkable Rocks, Kangaroo Island, South Australia, Australia. Diambil pada April 2011)




Putaran bumi, peredaran masa adalah sesuatu yang merisaukan bagi orang-orang beriman.

Mengapa?

Mungkin antara yang utama untuk difikirkan bagi persoalan ini ialah: Tempoh keberadaan kita di dunia ini semakin singkat!

Kita dapati, dalam Islam sentiasa ada dua unsur terbesar dalam mendidik umat: 1) Unsur ganjaran kebaikan, khabar gembira dengan nikmat syurga  2) Unsur balasan buruk, azab, ancaman seksa dan kedahsyatan akhirat.

Apabila kita meneliti perkhabaran Al-Quran dan Al-Hadits tentang suasana kebangkitan ke mahsyar, proses perbicaraan, proses meniti titian sirat melintasi neraka dan seumpamanya, pasti akan hadir perasaan gerun dan tidak mampu terus 'duduk diam'.

Syaikhuna Al-Murobbi, Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam hafizhohullah pernah menyatakan dalam satu kuliah, bagaimana orang soleh apabila mereka menunaikan solat dan munajat kepada Allah, apabila mereka membayangkan suasana bagaimana dia akan melintasi neraka dan meniti titian sirat, kerana perasaan takut dan risau yang sangat tinggi itu, menyebabkan mereka menangis sehingga basah janggut mereka.

Allah, Allah, Allah. Itu tahap makrifah mereka yang celik, bersih dan bersinar mata hati mereka.

Allah, Allah, Allah. Kita pun rasa tidak senang jika tiada apa-apa persiapan mula dibuat untuk hadapi kebenaran ini.


Ya, kita Buat Apa Sahaja, Nak Selamat Di Sana. Sunnguh-sungguh kita 'bersih'kan segala dosa kita supaya tidak tersangkut perjalanan ke sana.

Nabi kita tercinta shollallahu 'alaihi wa sallam dengan penuh perasaan cinta akan umatnya mendidik kita untuk melaksanakan persiapan menuju akhirat, sebagai usaha kita untuk menyelamatkan diri daripada azab neraka walau hanya dengan separuh biji kurma!


Allah, Allah, Allah. Maka dengan didikan Nabi tersebut, apa lagi alasan kepada kita untuk tidak mula bersiap daripada sekarang?

Insya Allah, mudah-mudahan ditetapkan hati dengan keikhlasan 100%, agar kehambaan ini akan terus diterima-Nya. Allahumma amiin.


....

Walau sudah diikat, belum lagi pasti dimiliki

Sekadar pengalaman sendiri, terlihat bagaimana golongan ustaz-ustazah yang pernah mengikat antara satu sama lain sebelum perkahwinan, namun pada akhirnya, dengan kehendak Allah, jodoh tiada antara mereka.

Apa-apa pun, berusahalah untuk kita menjadi hamba-Nya yang baik, yang bertaqwa dan ikhlas dalam segenap amal.

Persiapkan diri untuk menjadi bakal pasangan yang sangat menekankan kepentingan beramal. Insya-Allah, usaha untuk bertemu jodoh akan dipermudahkan Allah.

Pernikahan ialah perkongsian pintar yang amat besar nilaiannya, untuk sama-sama menuju ke syurga Allah. Misi mulia mengembangkan zuriat dan generasi yang berpegang teguh dengan institusi ilmu dan ulama.

Mudah-mudahan Allah perkenanan doa dan keazaman kita untuk merasai nikmat mawaddah wa rahmah dalam keluarga yang bakal dibina. Allahumma amiin.

Ya Allah, sudah tentu kami sentiasa berusaha dan menginginkan keluarga yang bakal dibina ialah keluarga bersama bakal pasangan yang punyai agama, yang beramal dengan ilmu yang dimiliki, yang punyai 'aqidah yang sahihah, yang punyai akhlak yang hamidah (terpuji). Mudahkanlah urusan kami.... hamba yang sentiasa faqir ini melafazkan permintaan sebagai bukti kefaqiran hamba, bukti hamba memerlukan-Mu wahai Allah....sudah cukup pengetahuan-Mu atas segala apa yang kami perlukan...

(Sekadar ingatan bersama, perkahwinan ialah sunnah Nabi kita s.a.w. , apa salahnya kita mula mempertingkatkan kesediaan bagi melaksanakan wawasan mulia ini, mula merancang dari sekarang....)


...

Rabu, 25 Mei 2011

Sibukkan Diri dengan Persiapan Menuju Akhirat

Tanpa ada keraguan, setiap daripada kita yang hidup ini pasti akan berangkat ke alam yang kekal. Alam yang kekal di sana ialah tempat pembalasan, tempat kerehatan. Bagi orang yang beriman, di sanalah mereka akan bertemu dengan Allah Ta'ala dan para kekasih mereka, terutamanya Saiyyiduna Rasulullah Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam.

Jika begitu pastinya pertemuan yang dijanjikan Allah, jika begitu pastinya dunia ini adalah terlalu sangat terlampau singkat tempohnya, jika begitu diyakini kehidupan dunia sekadar persinggahan, maka tidak mengapalah kita kurang kerehatan di dunia ini kerana sangat sibuk persiapan yang sedang dibuat demi pertemuan abadi di sana.

Ya Allah, kurniakan kami keikhlasan dan istiqamah pada jalan 'aqidah ASWJ yang sahihah, dan dikurniakan kesudahan hidup yang baik, dalam kerinduan bertemu-Mu. Amiin.

Sabtu, 14 Mei 2011

Penilaian Tahun Akhir



Assalamu'alaikum w.b.t.,

Kepada semua sahabat-rakan pengunjung laman saya ini, mudah-mudahan kita semua sentiasa berada dalam keadaan dirahmati Allah, beroleh kemudahan untuk beramal dengan ikhlas dan istiqamah.

Insya-Allah, kami di sini berada dalam musim penilaian / peperiksaan semester 1 tahun akhir. Agak sibuk dan meriah rasanya persiapan yang dibuat.

Saya dengan penuh merendah diri memohon jasa baik anda semua untuk sudi mendoakan kemudahan urusan kami dan agar kami diberikan kejayaan yang cemerlang dan lulus untuk graduasi pada hujung tahun ini.

Mudah-mudahan kesemua usaha yang dilaksanakan ini diterima sebagai penghambaan kepada Allah.

Saya dahului kebaikan jasa anda dengan ucapan jazakumullah khair al-jazaak (Allah kurniakan kepada anda sebaik-baik balasan).

Rabu, 4 Mei 2011

Kemenangan Sebenar


(Klik pada gambar untuk paparan yang lebih besar dan jelas)





*Poster ini diwakafkan untuk kegunaan umat Islam. Anda boleh ambil, sebar, dan guna. Moga Allah memberkati usaha yang tidak seberapa ini.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...