Saya berdoa kepada Allah s.w.t. agar diizinkan segala kandungan dalam blog ini ditujukan kepada diri saya sendiri terlebih dahulu, sebelum dibaca oleh para pembaca yang budiman sekalian. Moga-moga dengan adanya usaha pencarian 'ilmu, dan penulisan serta penyebaran melalui medium blog ini, pengetahuan dan kefahaman 'ilmu yang bermanfaat tersebut dapat dikukuhkan dalam diri saya sendiri, kemudian dibaca dan diambil manfaat oleh Muslimin, Muslimat dan para pembaca. Seterusnya, semoga Allah memperteguhkan kekuatan kepada kita untuk mengamalkan segala macam 'ilmu yang bermanfaat tersebut.
Saya juga memanjatkan permohonan kepada Allah s.w.t. agar usaha ini diberi petunjuk dan bimbingannya serta suci daripada sebarang kekotoran yang menghalang kita semua daripada mendapat penyempurnaan keredhaan Allah dan ganjaran di akhirat kelak. Semoga Allah menjadikan niat dalam hati kita hanya tertuju untuk-Nya semata-mata serta dapat dilenyapkan setiap bentuk penyelewangan dan penyesatan yang membuatkan segala 'amalan kita menjadi debu, tidak bernilai dan lebih malang lagi menjadi penyebab kita diheret ke dalam neraka. Na'uzubillahi min zalik.
Sumber Ilmu dan Maklumat yang Dimuatkan dalam Blog ini
Saya memohon kekuatan daripada Allah s.w.t. agar berupaya untuk melakukan yang terbaik dalam memuatkan bahan yang berguna dalam blog ini yang diperoleh daripada sumber yang diyakini. Insya Allah saya cuba memuatkan catatan daripada sumber pertama, sebagai contoh apa yang diperolehi daripada lidah para tuan guru dan 'ulama melalui pengajian talaqqi, kemudian melalui penghayatan rakaman kuliah yang ada, pembacaan kitab dan buku, serta cara-cara lain yang ada.
Bentuk Penulisan
Insya Allah, saya mempelbagaikan cara penulisan. Adakalanya agak panjang, ada juga sederhana dan tidak kurang juga yang sangat ringkas.
Ada yang saya tulis dan susun sendiri, ada yang saya petik daripada sumber lain, ada yang saya memberi komen dan tokok tambah peribadi.
Namun secara pokoknya, kita mengharapkan agar masa yang bertambah dalam kehidupaan sehari-hari adalah seiring dengan pertambahan ilmu dan maklumat yang berguna.
Menyalin atau Mengambil Bahan daripada Blog ini
Bagi sesiapa yang ingin menyalin apa-apa bahan daripada blog ini, anda dialu-alukan. Namun, adalah sangat diharapkan agar sumbernya dinyatakan (diperoleh daripada blog ini) supaya sebarang kesalahan dan kesilapan yang ada dalam bahan di blog ini mudah untuk dibetulkan.
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah. Sesungguhnya kami tiada daya upaya untuk melakukan ketaatan dan menghindari kema'siatan melainkan dengan daya upaya yang Kau pinjamkan kepada kami. Kami benar-benar memohon bantuan-Mu agar segala usaha dan detik hayat kami di medan ujian dunia ini menjadi ikhlas setulen-tulennya kepada-Mu semata-mata. Kami memohon tunjuk ajar-Mu kerana tidak ada apa yang kami tahu melainkan setelah Kau ajarkan kepada kami. Kami juga memohon kepada-Mu agar diselamatkan perjalanan dan perjuangan kami ini.
Seandainya ada ketika blog saya ini tidak termuat catatan baru, saya mengajak diri saya dan anda semua untuk kita mengulang kaji catatan sebelum ini. Insya-Allah, akan lebih kuat kefahaman untuk kita beramal dengan ilmu tersebut.
Saya sekadar insan kerdil dan orang awam yang berusaha untuk membaiki diri, mencari ilmu dan kefahaman agama yang bermanfaat untuk diamalkan dan dikongsikan bersama umat Islam yang lain.
Segala catatan dalam blog ini saya tujukan kepada diri saya terlebih dahulu sebelum dimanfaatkan oleh para pembaca dan pengunjung.
Saya sentiasa dikelilingi kelalaian dan kejahilan, maka pohon tunjuk ajar, peringatan dan ilmu daripada tuan-puan semua.
Daripada saya yang mengendalikan Laman Pertemuan Agung,
Al-Faqir wal Haqir IlaLlah (hamba yang faqir dan hina di sisi Alllah),
'Abdullah Munib ilaihi (nama pena)
Warganegara Malaysia beragama Islam,
Beraqidah Ahlus Sunnah wal Jama'ah - Asha'irah
Bermazhab Fiqh Syafi'ie
Adelaide, Australia.
Beberapa hadiah yang diberikan rakan-sahabat pembaca kepada saya, saya paparkan di sini sebagai tanda saya amat menghargai pemberian mereka (saya memohon perlindungan Allah daripada sebarang perasaan hati yang tidak sepatutnya):
Beberapa hadiah yang diberikan rakan-sahabat pembaca kepada saya, saya paparkan di sini sebagai tanda saya amat menghargai pemberian mereka (saya memohon perlindungan Allah daripada sebarang perasaan hati yang tidak sepatutnya):
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.