Muflis. Gambar sekadar hiasan.
Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
Oleh Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki
Dipetik daripada kitab 40 Hadits Penawar Hati
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?" Sahabat menjawab: "Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham (wang) dan juga tidak memiliki harta." Lalu Nabi s.a.w. bersabda:"Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari qiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) ia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya , ia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka."
Hadits Riwayat Muslim
Keterangan:
Kita hendaklah berhati-hati dan berwaspada daripada sebarang dosa dan kesalahan. Kita hendaklah selalu meminta ampun kepada Allah s.w.t. dan hendaklah meminta maaf kepada orang yang teraniaya daripada perbuatan kita. Kita hendaklah meminta halal daripadanya ketika kita masih ada dalam dunia ini, walaupun terkadang kita terpaksa merendahkan diri dan terpaksa menyusun sepuluh jari untuk meminta maaf daripada orang-orang yang berkenaan. Biarlah kita dipandang rendah atau hina di dunia ini, asalkan kita terlepas dari bebanan dosa pada hari qiamat nanti. Kita hendaklah bersedia menebus dosa dan kesalahan walaupun dengan maruah dan dengan harta benda yang ada, kerana kita takut jadi terlambat sehingga tiba saat kematian atau kematian orang yang teraniaya dari perbuatan kita, maka terpaksa kita berhadapan dengan orang yang berkenaan di Mahkamah Agung Rabbun Jalil, iaitu di padang Mahsyar nanti. Pada kala itu, tiada seorang juga pun yang mahu menerima harta benda sebagai tebusan dosa. Yang mereka mahukan hanyalah bayaran daripada pahala ibadat yang telah kita lakukan di dunia dahulu, yang mana kita pun pada waktu itu sangat berhajat kepada pahala amalan tersebut. Baiklah kalau pahala yang ada cukup untuk menebus dosa. Kalau tak cukup, maka terpaksa kita menanggung bebanan dosa mereka ke atas bahu kita yang akan menjerumuskan kita ke dalam lubang api neraka. Na'uzubillah min za lik.
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.