Kepanasan api dunia jauh terlalu kecil dibandingkan dengan kepanasan api neraka. Pohonlah keampunan dan pemeliharaan Allah daripada seksaan api neraka.
Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
Oleh Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki
Dipetik daripada kitab 40 Hadits Penawar Hati
Ertinya:
Daripada Nu'man bin Basyir rodhiallahu 'anhuma berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya seringan-ringan seksaan penghuni neraka pada hari qiamat ialah seseorang yang akan diletakkan di bawah telapak kakinya dua buah bara api neraka sehingga mendidih (dari sebab panas kedua-dua bara api tersebut) otak yang ada di kepalanya. Dia tidak mengira bahawa ada orang lain yang lebih dahsyat seksaan daripadanya, padahal dialah orang yang paling ringan seksaannya."
Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim
Keterangan:
Cuba kita bayangkan betapa dahsyatnya seksaan yang paling ringan di neraka, dengan bahang kedua-dua bara api yang diletakkan di bawah tapak kaki sudah boleh mendidihkan otak yang ada di atas kepala, maka betapa pula seksaan yang lebih berat. Rasanya tidak ada seorang pun yang mampu untuk berdiri di atas bara api yang panas yang boleh menggelegakkan otak yang ada di kepala. Kalau kita tersentuh sedikit sahaja dengan api dunia ini, kita sudah menjerit kepanasan dan tidak akan mampu menahannya walaupun hanya dalam masa sehari atau seminggu sahaja. Cuba bayangkan betapa pedihnya seksaan yang berterusan dan dari saat ke saat hanya bertambah panas di samping tekanan jiwa dengan putus harapan daripada selamat walaupun setelah jutaan tahun yang akan datang.
Orang yang akan diseksa dengan seksaan yang paling ringan ialah bapa saudara Nabi s.a.w. yang bernama Abu Thalib, kerana walaupun beliau mati dalam keadaan kafir, namun segala jasanya dalam mengasuh Rasulullah s.a.w. sewaktu Baginda masih kecil dan dengan pembelaannya terhadap Baginda setelah diangkat menjadi Rasul, semua ini menyebabkan Abu Thalib mendapat sedikit keringanan apabila dibandingkan dengan orang-orang kafir yang lain.
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.