Kayu Miswak
Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
Oleh Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki
Dipetik daripada kitab 40 Hadits Penawar Hati
Ertinya:
Daripada Abu Umamah Iyas bin Sta'labah al-Haristi r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang mengambil hak milik seseorang Islam dengan sumpahnya, (mengambil secara paksa atau rampas) maka Allah s.w.t. telah mewajibkan neraka baginya dan telah mengharamkan syurga untuk dimasukinya. Kemudian ada seorang lelaki yang bertanya: "Kalau hanya barang yang sangat sedikit, ya Rasulallah? Nabi s.a.w. menjawab: Walaupun hanya setangkai kayu arak (kayu yang digunakan untuk bersiwak)."
Hadits Riwayat Muslim
Dalam sebuah hadits yang lain riwayat daripada Umar bin Khattab r.a. beliau berkata:
"Setelah selesai peperangan Khaibar ada segolongan di antara sahabat Rasulullah s.a.w. datang menghadap kepada beliau, kemudian berkata: "Si fulan itu mati syahid, dan si fulan itu mati syahid," sehingga akhirnya mereka menyebutkan nama seorang laki-laki lalu mereka berkata: "Si fulan itu juga mati syahid." Lalu Nabi s.a.w. bersabda: "Tidak, sama sekali tidak. Fulan itu saya lihat dimasukkan ke dalam api neraka kerana menyembunyikan sehelai selendang atau (syak perawi hadits) sehelai baju kurung (daripada harta rampasan)."
Hadits Riwayat Muslim
Keterangan
Islam melarang sesiapa sahaja daripada mengambil hak milik orang lain tanpa kebenaran daripada tuan yang memiliki harta tersebut. Islam sangat menghargai hak milik peribadi seseorang. Maka sesiapa yang mengambil hak milik orang lain hendaklah ia segera menyerahkan kembali kepada pemiliknya walaupun benda itu hanya sedikit sahaja. Seseorang boleh dimasukkan ke dalam api neraka akibat mengambil sebatang kayu miswak sahaja, iaitu apabila ia menganggap ringan hal itu dan mati dalam keadaan tidak sempat untuk meminta halal daripada tuan punya barang tersebut.
Oleh itu, hendaklah kita berhati-hati kalau kita bermu'amalah dengan orang lain, dan hendaklah kita menjauhi harta-harta yang haram dan jangan melakukan sebarang kezaliman terhadap orang lain kerana yang demikian itu boleh membawa kebinasaan yang sangat besar sekali.
Kemudian masalah menggelapkan harta sesuatu kumpulan, jama'ah, pertubuhan atau negara atau yang diistilahkan pada masa sekarang ini dengan perkataan "korupsi" adalah satu amalan yang terkutuk dan dosa yang tersangat besar, sekalipun yang digelapkan itu hanya bernilai seharga selembar baju sahaja. Hadits di atas adalah merupakan suatu amaran yang keras sekali dan peringatan yang tegas agar seseorang jangan berbuat khianat terhadap hak milik orang ramai yang diamanahkan terhadapnya. Tindakan keras itu akan diambil sekalipun ke atas orang yang gugur di medan perang dengan badan yang berlumuran darah, yang telah mempertaruhkan nyawanya sebagai tanda kesetiaan kepada perjuangan, apatah lagi kalau ia hanya seorang pekerja pegawai biasa yang tidaklah begitu bermakna bagi perkhidmatan atau pengorbanan yang diberikan.
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.