Ulama Benteng

Ulama Benteng

Khamis, 16 April 2009

Suka Duka Itu Rahmat ALLAH


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

"Tidak daya upaya dalam melakukan ketaatan melainkan dengan apa yang dipinjamkan oleh ALLAH s.w.t.. Hamba sujud mengakui kebergantungan kepada-Mu Wahai Tuhan Yang Maha Perkasa."

Berikut ialah penyalinan semula penulisan Imam Ibnu 'Athoillah dalam kitab al-Hikam beliau yang telah diterjemahkan bahasanya.

Suka Duka Itu Rahmat ALLAH

90)

"ALLAH melapangkan bagimu, supaya engkau tidak selalu berada dalam kesempitan, dan ALLAH menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan ALLAH melepaskan engkau daripada kedua-duanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain daripada ALLAH."

ALLAH mengubah keadaanmu daripada sedih kepada gembira, daripada sihat kepada sakit, daripada kaya kepada miskin, daripada terang kepada gelap, supaya mengerti bahawa engkau tidak bebas daripada hukum ketentuan-Nya, supaya selalu engkau berdiri di atas landasan LAA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH. (Tidak ada daya upaya untuk mengelakkan sesuatu dan tidak ada kekuatan untuk melaksanakan sesuatu, kecuali dengan pertolongan ALLAH s.w.t.)

Firman ALLAH s.w.t., mafhumnya:

"Supaya kamu tidak sedih (menyesal) terhadap apa yang terlepas dari tanganmu, dan tidak gembira atas apa yang diberikan kepadamu."

91)

"Orang arif jika merasa lapang lebih khuatir (takut), daripada jika mereka berada dalam kesempitan, dan tidak dapat tegak di batas-batas adab dalam keadaan lapang itu kecuali sedikit sekali."

Abu Bakar As-Siddiq r.a. berkata:

Kami diuji dengan kesukaran, maka kami tahan dan sabar, tetapi ketika diuji dengan kesenangan (kelapangan), hampir tidak sabar (tahan).

Yusuf bin Husain Arrazy menulis surat kepada Al-Junaid:

Semoga ALLAH tidak memberi kepadamu rasa kelazatan hawa nafsumu, sebab jika engkau merasakan kelazatannya, maka tidak akan merasakan kebaikan untuk selamanya.

92)

"Dalam masa kelapangan (basath - بسط ) hawa nafsu dapat mengambil bahagiannya kerana gembira, sedang dalam masa sempit (qabdh - قبض ) tidak ada bahagian sama sekali untuk hawa nafsu. Kerana itu manusia lebih aman berada dalam kesempitan, kerana hawa nafsu tidak dapat memperdaya."

Abul Hasan Asy-Syadziliy r.a. berkata; Al-Qabdhu wal basthu (القبض والبسط) -risau hati dan riang hati selalu silih berganti dalam perasaan setiap hamba, bagaikan silih berganti siang dan malam. Dan sebabnya قبض (risau hati) itu salah satu daripada tiga:

Kerana dosa atau kehilangan dunia, atau dihina orang. Maka adab seorang hamba, jika merasa berdosa harus segera bertaubat, dan jika kehilangan dunia harus rela dan menyerah kepada hukum ALLAH, dan apabila dihina orang harus bersabar. Dan jagalah dirimu jangan sampai kamu merugikan dirimu dua kali, ya'ni dengan perbuatanmu sendiri, dan hinaan (aniaya) orang lain. Dan apabila terjadi قبض (risau hati) itu tidak diketahui sebabnya, maka harus tenang menyerah. Insya ALLAH jika tenang menyerah, tidak lama akan sirna masa gelap dan berganti dengan terang, ada kalanya terang bintang iaitu ilmu atau sinar bulan iaitu tauhid, atau matahari iaitu ma'rifat, tetapi jika tidak tenang pada masa gelap (risau hati) mungkin akan terjerumus dalam kebinasaan.

Adapun dalam masa suka (riang hati), maka sebabnya ialah satu daripada tiga:

Kerana bertambahnya kelakuan 'ibadat (taat) dan bertambahnya ilmu ma'rifat atau bertambahnya kekayaan atau kehormatan, dan yang ketiga kerana pujian dan sanjungan orang kepadanya. Maka adab seorang hamba: Jika berasa bertambah taat ibadatnya dan ilmu ma'rifatnya harus berasa bahawa itu semata-mata kurnia Tuhan, dan berhati-hati jangan sampai berasa bahawa itu daripada kerajinan sendiri. Dan jika mendapat tambah keduniaan, maka ini pula yang harus dianggap bahawa itu semata-mata kurnia ALLAH, dan harus waspada jangan sampai terkena bahayanya.

Adapun jika berupa pujian sanjungan orang kepadamu, maka kehambaanmu mengharuskan bersyukur kepada ALLAH yang telah menutup kejahatanmu sehingga orang hanya mengenal kebaikanmu, semata-mata.

Semoga penulisan Imam Ibnu 'Athoillah memberikan manfaat kepada kita dengan izin ALLAH, dan semoga ALLAH senantiasa mengurniakan rahmat dan keampunan kepada beliau.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...