Nama : Mohd Ikhwan bin Ahmad Zhaki
Teori Pengakhiran
Sejarah
Teori pengakhiran sejarah ialah sebuah konsep politik dan falsafah yang
mengemukakan bahawa sistem politik, ekonomi dan sosial secara khususnya boleh membentuk
titik akhir bagi evolusi sosiobudaya kemanusiaan dan bentuk terakhir bagi
sistem kerajaan yang dipimpin manusia. Banyak penulis menghuraikan dan berhujah
bahawa sistem secara khusus itu ialah “penamat sejarah”, antaranya ialah Georg
Wilhelm Friedrich Hegel, Karl Marx
(Clarke, 1971), Thomas More in Utopia, Alexandre Kojève (Boucher,1998), Vladimir Solovyov, dan Francis
Fukuyama dalam bukunya pada tahun 1992 yang berjudul “The End of History and the Last Man”.
Konsep pengakhiran sejarah adalah berbeza daripada idea pengakhiran dunia
sebagaimana yang dinyatakan dalam pelbagai agama yang menyebutkan kemusnahan
mutlak dunia dan hidupan di dunia. Sebaliknya, konsep pengakhiran sejarah
mencadangkan bahawa kehidupan manusia akan berlangsung secara berterusan tanpa
batasan hingga masa depan tanpa sebarang perubahan besar dalam masyarakat,
sistem pentadbiran, atau ekonomi. Menurut Mike Featherstone (1993),
frasa pengakhiran sejarah pertama kali digunakan oleh ahli falsafah Perancis
dan ahli matematik Antoine Augustin Cournot pada tahun 1861 untuk merujuk
kepada pengakhiran dinamik sejarah dengan penyempurnaan masyarakat sivil.
Menurut Mike juga, Arnold Gehlen telah mula menggunakan frasa itu pada tahun
1952 dan diguna pakai akhir-akhir ini oleh Heidegger dan Vattimo.
Pengembangan idea “pengakhiran sejarah” secara
formal dihubungkaitkan dengan Hegel walaupun beliau membicarakan idea tersebut
secara samar-samar (Desmond, 1984). Falsafah Hegel
berkenaan sejarah adalah untuk menunjukkan bahawa sejarah ialah proses untuk
realisasi sebab (realization of
reason) dan tidak dinyatakan dengan jelas titik akhir proses tersebut.
Hegel berkeyakinan bahawa pada satu sudut, tugas sejarah adalah untuk membuktikan
sebab di sebalik perjalanan dan pengembangannya mengikut masa manakala pada
sudut lain pula sejarah dengan sendirinya berperanan untuk mengembangkan sebab
mengikut masa. Oleh sebab demikian, sejarah ialah sesuatu yang dapat
diperhatikan dan juga mempunyai tugas yang aktif (Fillion,
2008).
Francis
Fukuyama dan Teori Pengakhiran Sejarah
Selain Hegel, dalam memahami teori pengakhiran
sejarah secara lebih terperinci, Francis Fukuyama adalah nama secara umumnya
dikaitkan dengan konsep tersebut secara kontemporari. Fukuyama membawa kembali
konsep tersebut ke perhatian umum dengan penulisannya berjudul “The End of
History?” yang telah diterbitkan beberapa bulan sebelum keruntuhan Tembok
Berlin dalam tahun 1989. Melalui penulisan ini Fukuyama mengetengahkan teori
tersebut berasaskan pengetahuan daripada Hegel, Marx dan Kojève. Selanjutnya
idea tersebut dikembangkan dalam buku beliau pada tahun 1992 yang berjudul “The End of History and the Last Man”.
Penulisan tersebut berpaksikan idea bahawa dua pesaing utama: fahaman Fasis (fascism)
dan komunisme telah ditewaskan. Justeru, tidak wujud lagi sebarang persaingan
sengit kepada demokrasi liberal dan ekonomi pasaran (Fukuyama, 1989a).
Kesannya, keselamatan dan kebebasan berjaya dibentuk. Demokrasi liberal Barat
menjadi peringkat terakhir dalam evolusi sosiobudaya kemanusiaan dan puncak
institusi kerajaan manusia. Dakwaan ini adalah berbeza dengan teori
pemikir-pemikir lain khususnya sosialis seperti Karl Marx yang berpendirian
bahawa demokrasi akan digantikan dengan negara-negara sosialis yang lebih ketat
mengawal ekonomi mereka.
Demokrasi
Liberal Adalah Lestari dan Memenuhi Keperluan Manusia
Meneruskan idea Fukuyama (1992) dalam teori
pengakhiran sejarah bahawa demokrasi liberal sudah tidak lagi mendapat
tentangan persaingan hebat, perlu diketengahkan bahawa sejarah dan
peristiwa-peristiwa utamanya telah berakhir. Sebagai permulaan hujah, Greek
purba dijadikan rujukan bahawa demokrasi liberal ialah satu-satunya sistem
kerajaan yang telah memenuhi apa yang dinyatakan Plato sebagai keperluan untuk
kebahagiaan - hasrat keinginan (makanan dan seks), penghujahan (ilmu dan
kebenaran), dan keperluan untuk diiktiraf sebagai manusia. Konsep yang
dikemukakan Hegel tentang tesis, antitesis dan sintesis digunakan untuk
menerangkan proses sejarah. Demokrasi liberal menjadi sintesis terakhir bagi
kesemua faktor tersebut yang lestari, manakala sistem-sistem kerajaan lain
telah gagal, termasuklah sistem kerajaan monarki mutlak dan kuku besi
ketenteraan. Demokrasi liberal berjaya mengatasi segenap bentuk sistem kerajaan
lain. Sungguhpun demikian, itu tidaklah bermakna negara-negara yang sedia ada
mengamalkan demokrasi liberal secara mapan dan utuh seperti Amerika Syarikat,
Perancis dan Switzerland tidak memiliki sebarang permasalahan ketidakadilan dan
sosial yang serius.
Bertentangan dengan teori pengakhiran sejarah
yang mengutamakan demokrasi liberal ialah teori komunisme. Menurut Fukuyama
dalam penulisan yang sama, teori Karl Max melihat kejayaan falsafah komunis
sebagai faktor pengheret kepada kejatuhan negara dari sistem sedia ada. Namun
demikian, kejatuhan Soviet Union and liberalisasi ekonomi China penjadi penanda
ukur jelas bagi kegagalan teori Karl Marx. Negara-negara komunis yang masih
wujud adalah kecil dan menjadi negara yang terasing dan memilih untuk terputus
dari dunia untuk mengekalkan status komunis. Menurut Rosenberg (2020),
hanya lima negara komunis yang masih wujud pada hari ini iaitu China, Cuba,
Laos, Korea Utara, dan Vietnam. Hal ini jauh berbeza daripada era Soviet Union
(1922-1991) negara-negara komunis wujud di timur Eropah, Asia dan Afrika.
Negara komunis yang pernah berperanan penting dalam Perang Dingin seperti
Jerman Timur yang merupakan satelit kepada Kesatuan Soviet, kini sudah tidak
lagi wujud.
Dunia
Realiti Material dan Dunia Idea Kesedaran
Berdasarkan teori Fukuyama membahaskan
pengakhiran sejarah, dua buah dunia dibezakan iaitu (1) dunia realiti atau
secara material dan (2) dunia secara idea dan kesedaran. Liputan bagi
liberalisasi idea telah terbukti berjaya. Sungguhpun demokrasi liberal dan
ekonomi pasaran belum berjaya terbentuk di setiap tempat, tidak wujud lagi
mana-mana ideologi yang menjadi pesaing kepada sistem-sistem tersebut.
Sehubungan dengan itu, sebarang pertembungan asasi yang berlaku dalam hidup
manusia dapat diatasi dalam konteks liberalisasi moden dan tidak lagi
memerlukan struktur alternatif bagi politik-ekonomi sebagai penyelesaian.
Justeru, pengakhiran sejarah telah tercapai. Hubungan antarabangsa akan hanya
meliputi urusan ekonomi dan tidak lagi berkenaan politik atau strategi. Hal ini
mengurangkan kemungkinan berlakunya konflik keganasan pada tahap antarabangsa
yang berskala besar.
Kaedah Saintifik dan Revolusi Industri Adalah
Faktor Kejayaan Demokrasi Liberal
Seterusnya, selepas Fukuyama membicarakan
kejayaan demokrasi dalam dunia secara relaiti dan dunia secara idea, perlu
ditekankan bahawa pembangunan kaedah saintifik dan revolusi industri menjadi
faktor-faktor kejayaan demokrasi liberal dan kapitalisme. Kedua-dua sistem ini
menjadi satu-satunya sistem kerajaan yang mapan dan lestari. Dengan kemajuan
sains, menurut beliau sejarah dan ketamadunan tidak lagi menjadi
peristiwa-peristiwa yang rawak dan berputaran. Kemajuan sains membolehkan
pembangunan masyarakat yang kumulatif dan berarah. Dengan sains dan industri,
bermula proses memodenkan masyarakat dan terus-menerus mendorong untuk maju ke
hadapan. Pengumpulan kekayaan dapat dijana tanpa henti. Inilah satu-satunya
cara masyarakat dapat benar-benar maju, dan hal demikian juga menjadi sebab
kukuh untuk demokrasi liberal terus wujud dan lestari. Sejajar dengan itu, kapitalisme
pasaran bebas menjadi satu-satunya sistem ekonomi yang sepadan dengan demokrasi
liberal kerana sistem tersebut menyediakan peluang terbanyak untuk berjaya dan
insentif terbaik untuk manusia terus meneroka peluang baru. Pada era komputer,
ekonomi negara menjadi begitu kompleks untuk kerajaan pada kapasiti mereka
sahaja untuk menguruskan tanpa bantuan sektor swasta. Justeru, demokrasi
liberal yang diadun dengan kapitalisme moden dapat memenuhi keperluan manusia
dan memberikan ruang kebebasan yang mencukupi, pada masa sama memberikan
insentif untuk meneroka, berfikir dan mencipta (Fukuyama, 2009).
Teori Keamanan Demokrasi Menyokong Konsep
Pengakhiran Sejarah
Setelah meneliti idea demokrasi liberal, dunia realiti – dunia idea dan
faktor-faktor kejayaan demokrasi, konsep pengakhiran sejarah dilihat disokong
oleh teori keamanan demokrasi. Melaluinya, demokrasi yang telah matang amat
jarang atau tidak sesekali mengheret mana-mana negara ke kancah peperangan
antara negara (Pugh, 2005). Namun teori ini dikritik kerana banyak berkisar
tentang definisi yang bercanggah antara “peperangan” dan “demokrasi matang”.
Antara kesulitan menilai teori ini adalah demokrasi yang menjadi fenomena
sejagat yang baru saja muncul dalam sejarah manusia lantas untuk membuat
anggapan umum adalah sukar. Namun begitu, pengukuhuan teori keamanan demokrasi adalah
melalui bukti-bukti utama seperti pengurangan dan ketiadaan peperangan antara
negeri di Amerika Selatan, Asia Tenggara dan Timur Eropah antara negara yang
berpindah daripada pentadbiran ketenteraan secara diktator kepada demokrasi
liberal. Kenyataan ini kukuh melalui beberapa kajian, pada penghujung Perang
Dingin dan selepasnya : telah berlaku penambahan negara demokratik liberal
serta penurunan mendadak dalam jumlah peperangan, peperangan antara negara,
peperangan etnik, peperangan revolusi dan bilangan pelarian (Global Conflict
Trends, 2017), (Human Security Report, 2005).
Pengakhiran
Sejarah yang Menyedihkan
Kesan daripada pengakhiran sejarah ialah satu
fasa masa yang menyedihkan. Hal ini demikian kerana segala bentuk pertembungan
dan persaingan ideologi yang telah dipersiapkan oleh pelbagai pihak kini telah
digantikan dengan pengiraan ekonomi, penyelesaian tanpa henti bagi
masalah-masalah teknikal, isu-isu alam sekitar dan usaha memenuhi
kehendak-kehendak pengguna yang rumit. Sebelum ini, manusia berjuang dan
berusaha gigih untuk mendapatkan pengiktirafan, kesediaan untuk mempertaruhkan
nyawa untuk satu tujuan abstrak dan perjuangan seantero dunia oleh
ideologi-ideologi sarat dengan imaginasi, idealisme, dan kesungguhan. Kesemua
itu tamat dengan pengakhiran sejarah, apabila demokrasi liberal mengambil alih
peranan (Fukuyama, 1989). Pengakhiran sejarah menjadikan demokrasi sebagai
bentuk kerajaan dan pentadbiran bagi semua negara. Tidak akan ada lagi
perubahan daripada demokrasi liberal kepada suatu sistem alternatif. Keadaan
ini tidak bermakna demokrasi liberal moden adalah sistem politik yang sempurna,
namun tidak wujud lagi mana-mana struktur politik yang dapat menyediakan
manusia dengan tahap kemewahan dan kebebasan individu sebagaimana yang
ditawarkan demokrasi liberal (Fukuyama, 2013).
Implikasi-implikasi Pengakhiran Sejarah
Pengakhiran sejarah memberi impak besar
kepada segenap pelusuk dunia. “Penamatan” berlaku pada tahap idea-idea. Tiada
ruang untuk membaiki prinsip-prinsip utama dalam demokrasi liberal dan juga
tiada peluang untuk mempersoalkannya. Demokrasi liberal dilihat mencapai tahap
kemuncak dan tiada saingan yang dapat mengatasinya. Kehilangan pemikiran
Marxism-Leninism dari China dan kemudiannya dari Soviet Union menandakan
kematian ideologi tersebut daripada terus kekal relevan dalam sejarah dunia.
Ideologi Marxism-Leninism adalah bertentangan dengan ideologi demokrasi liberal
yang kini berjaya menundukkannya. Pengikut tegar fahaman ideologi Marxism-Leninism
mungkin masih wujud dalam jumlah terhad dan di kawasan yang begitu terasing
seperti di Managa, Pyonyang atau Cambridge, Massachusetts. Apa yang pasti,
tidak lagi wujud sebuah negara besar tunggal yang terus mengawal sejarah dunia
dengan ideologi tersebut.
Di samping itu, kesan kehilangan ideologi Marxism-Leninism menjadi petanda
pertumbuhan pesat “pemasaran umum” (common marketization) terhadap
hubungan antarabangsa dan pengecilan kebarangkalian konflik skala besar antara
negara-negara. Namun, hal ini tidak bermakna konflik antarabangsa secara
sendirinya tamat. Konflik antara negara masih boleh berlaku dalam sejarah,
antara negara-negara tersebut dengan negara yang berada pada pengakhiran
sejarah. Keganasan etnik dan nasionalis terus boleh berlaku dan meningkat.
Peningkatan ini kerana elemen tersebut tidak dapat dihapuskan secara mutlak,
sekalipun dalam negara-negara yang disifatkan berada pada dunia pasca sejarah
(Fukuyama, 1989b). Etnik Palestinian and Kurdish, Sikh and Tamil, Irish Katolik
and Walloon, Armenian and Azerbaijan: mereka akan berterusan dalam pertikaian
dan ketidakpuashatian. Situasi ini adalah petanda keganasan dan pembebasan
bangsa (national liberation) melalui peperangan menjadi perkara penting
dalam agenda antarabangsa. Namun begitu, konflik skala besar membabitkan
negara-negara yang pernah berlaku dalam sejarah seperti antara Jerman dengan
Soviet Union dan Perancis : konflik skala besar ini terus pudar dan lenyap
daripada pentas sejarah dunia.
Di samping itu, implikasi yang berlaku
adalah pada tahap kematangan ideologi sistem demokrasi liberal. Sungguhpun
melalui pengakhiran sejarah, demokrasi liberal telah mencapai tahap tinggi dan
tidak dapat dipertikaikan dengan mudah, idea-ideanya terus dapat dikembangkan
dan dilaksanakan dengan lebih baik. Dunia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu
bahagian “sejarah” dan bahagian “pasca sejarah”. Semua negara hanya menjadi
liberal secara demokrasi dalam jangka masa panjang. Situasi ini dapat disokong
sekali lagi dengan penemuan akhir-akhir ini bahawa jumlah bilangan negara yang
mengamalkan sistem ideologi komunis semakin merudum dan negara-negara yang
masih mengamalkannya adalah begitu terasing daripada realiti dunia luar. Kenyataan
bahawa hampir kesemua negara akan mencapai demokrasi liberal dalam tempoh masa
panjang tidak menafikan negara-negara yang berada dalam dunia pasca sejarah
mengamalkan demokrasi stabil seperti Amerika Syarikat langsung tidak menghadapi
sebarang ketidakadilan dan masalah sosial yang meruncing. Masalah sosial yang
ketara berlaku di negara-negara demokrasi liberal adalah seperti penyalahgunaan
dadah, gelandangan, jenayah alam sekitar dan pembaziran. Masalah tersebut
berpunca daripada pelaksanaan prinsip kembar kebebasan dan kesaksamaan (liberty
and equality) yang tidak sempurna, dan bukannya pada kekurangan
prinsip-prinsip asas demokrasi liberal. Masalah dan kekurangan ini tidak
kritikal yang membawa kejatuhan sesebuah negara dan bangsa, sebagaimana
komunisme yang runtuh pada tahun 1980-an (Fukuyama, 1992).
Selain itu, implikasi pengakhiran sejarah adalah pada tumpuan manusia sejagat. Dengan
berakhirnya sejarah, satu-satunya tumpuan perhatian manusia yang masih ada
bertahan adalah untuk memenuhi keperluan-keperluan manusia. Tugas utama manusia
adalah dalam ekonomi, tidak lagi dalam politik. Dengan sistem yang menawarkan
peluang kepada manusia mendapat lebih banyak ganjaran dan insentif untuk
meneroka dan mencuba, manusia akan berterusan menggali dan menceburkan diri
dalam ekonomi. Kekayaan demi kekayaan terus dijana. Hal ini sejajar dengan
falsafah dikemukakan Plato berkenaan keinginan yang diakui untuk mencapai
kebahagiaan : hasrat
keinginan (makanan dan seks), penghujahan (ilmu dan kebenaran), dan keperluan
untuk diiktiraf sebagai manusia. Melalui demokrasi liberal, keinginan manusia
pada makanan, seks dan material diberikan ruang besar. Teknologi yang dibentuk
oleh sains moden membolehkan pengumpulan kekayaan tanpa batasan dan pemuasan
hasrat manusia yang lebih lebar. Proses ini memastikan penyeragaman (homogenisation),
tanpa memerlukan penelitian asal-usul sejarah atau warisan budaya mereka. Semua
negara yang sedang melaksanakan pemodenan ekonomi harus meningkatkan kemampuan
mereka secara progresif: mereka harus bersatu secara nasional atas dasar negara
yang terpusat, menjalankan urbanisasi, menggantikan bentuk-bentuk tradisional
sosial seperti suku, sekte, dan keluarga dengan organisasi-organisasi yang
rasional secara ekonomi berdasarkan fungsi dan kecekapan.
Akhir sekali, antara impak pengakhiran
sejarah melalui sistem demokrasi liberal adalah pada tahap idealisme manusia. Secara
alternatif diungkapkan bahawa demokrasi liberal tidak lagi mampu menawarkan
idealisme yang lebih tinggi dan bernilai, hanya terhad kepada soal ekonomi.
Manusia mula menjadi “men without chests” – tidak lagi mempunyai emosi
yang dipandu oleh logik akal dan rasional dalam tindakan.
Rumusan bagi Teori Pengakhiran Sejarah
Dengan merujuk secara utama kepada Fukuyama dalam tulisannya “The End of
History”, beliau menjadikan demokrasi liberal sebagai matlamat akhir bagi
setiap gerak dan perkembangan sejarah. Secara progresif dan berterusan semua
ideologi pada akhirnya jatuh dan perlahan-lahan bertukar kepada demokrasi
liberal. Faktor dan sumber utama yang menggerakkan usaha mencapai tujuan ini
ialah “keinginan manusia diakui untuk mencapai kebahagiaan hidup”. Demokrasi
liberal berupaya memenuhi “keinginan manusia diakui untuk mencapai kebahagiaan
hidup” melalui penghapusan kelas sosial antara tuan dengan budak suruhan, dan
seterusnya meletakkan manusia kesemuanya pada satu darjat yang sama. Dari sudut
sumber yang menggerakkan sejarah, terdapat perbezaan antara Fukuyama dengan
Hegel. Pada Hegel, wacana roh dijadikan penggerak dari sejarah. Sebaliknya,
Fukuyama pula meletakkan “keinginan manusia diakui untuk mencapai kebahagiaan
hidup” sebagai penggerak sejarah (Jessica A.S., 2012). Menurut Fukuyama, sejarah bergerak dalam pola yang berterusan semakin ke hadapan dan semakin sempurna membawa corak-corak terdahulu. Posisi dan peranan manusia dalam sejarah ini dalah terbatas oleh hasrat keinginannya untuk mendapat pengiktirafan, diakui dan mencari kebebasan yang kukuh. Kesemua itu tersedia dalam demokrasi liberal. Pemikiran Fukuyama dikritik kerana menyisihkan ideologi-ideologi lain yang sedang berkembang menjadi lebih baik.
Rujukan:
Boucher, Geoff. 1998. History
and Desire in Kojève. https://www.marxists.org/reference/archive/hegel/txt/kojeve-s.htm
[ 14 November 2020].
Clarke, J. J. .1971. "The End
of History": A Reappraisal of Marx's Views on Alienation and Human
Emancipation". Canadian Journal of
Political Science. 4 (3).
Desmond, W. . 1984. Hegel, Art,
and History, in Robert L. Perkins, ed., History
and System: Hegel's Philosophy of History.
Featherstone,
M. . 1993. Global and Local Cultures, in John Bird, Barry Curtis, Tim Putnam, Mapping the Futures: Local Cultures, Global
Change.
Fillion, R.. 2008. Multicultural Dynamics and the Ends of
History: Exploring Kant, Hegel and Marx
Fukuyama, F. .1989a. The End of
History?. The National Interest. p.1.
Fukuyama, F. . 1989b. The End of
History?. The National Interest. p.17.
Fukuyama, F. . 1992. By Way of an
Introduction. The End of History and the Last Man https://www.marxists.org/reference/subject/philosophy/works/us/fukuyama.htm
[ 25 November 2020]
Fukuyama, F. . 1992. The End of
History and the Last Man - Summary https://www.supersummary.com/the-end-of-history-and-the-last-man/summary/
[ 25 November 2020]
Fukuyama, F. . 2009. Penamat
Sejarah dan Tamadun Manusia Terakhir. Terj. Malaysia : Institut
Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Fukuyama, F. . 2013. “The ‘End of
History’ 20 Years Later”, New
Perspectives Quarterly. 30(4).
Fukuyama, F. . 1989. The End of
History? printed in The National Interest (Summer 1989). https://history.msu.edu/hst203/files/2011/02/Fukuyama-The-End-of-History.pdf
[26 November 2020]
Global Conflict Trends. 2020. Center for Systemic Peace. http://www.systemicpeace.org/conflicttrends.html [14 November 2020]
Human Security Report. 2005. Human Security Report Project. https://kusuristore.shop/human-security-reports/2005/overview.aspx
[14 November 2020]
Jessica A.S., Anastasia. 2012. Fukuyama
dan Pemikiran Sejarah di dalam “The End Of History” https://philosophyangkringan.wordpress.com/2012/01/12/411/
[26 November 2020]
Pugh, J. .2005. Democratic
Peace Theory: A Review and Evaluation. CEMPROC Working Paper Series. https://pdf4pro.com/view/democratic-peace-theory-a-review-and-evaluation-25845f.html
[25 November 2020]
Rosenberg, M. . 2020. A List of
Current Communist Countries in the World. https://www.thoughtco.com/communist-countries-overview-1435178
[14 November 2020]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.