Ulama Benteng

Ulama Benteng

Ahad, 18 Oktober 2020

Catatan Usul Fiqh


 

1. Bezakan antara aliran mutakallimun dan aliran Hanafiyyah dalam usul fiqh. *

 



Aliran Mutakallimun

Bentuk penulisan menyamai cara ulama kalam dari segi dialog, soal jawab, menetapkan sesuatu masalah serta menentukan dalil untuknya.

Bagi menentukan sesuatu kaedah usul, penulis akan menggunakan dalil-dalil aqliy dan naqliy. Matlamat mereka adalah bagi melahirkan kaedah yang terkuat dan tepat.

Mereka tidak menjadikan pembentukan sesuatu kaedah dari hukum-hukum fiqh yang sudah ada sebagai matlamat mereka.

Setelah menetapkan sesuatu kaedah, mereka akan meneruskannya sekalipun bersalahan dengan ijtihad-ijtihad imam mereka.

Kebanyakan ulama kalam membahas masalah-masalah usul dengan menetapkan kaedah-kaedah.

Ulama yang cenderung kepada metode ini ialah para ulama mazhab Maliki, Syafie dan ulama-ulama kalam.

Dalam aliran ini terdapat pandangan yang bersifat logik dan falsafah. Mereka membicarakan asal usul bahasa dan membahas setiap permasalahan secara rasional akal, seperti perbahasan mengenai kebaikan akal fikiran, keburukan sesuatu perbuatan dan sebagainya.

Mereka turut bersetuju bahawa semua hukum selain bidang ibadat adalah bersifat rasional akal.


Aliran Hanafiyyah

Menekankan penetapan kaedah-kaedah usul pada masalah-masalah yang dinukilkan daripada imam-imam mazhab Hanafi.

Penulisnya akan menentukan kaedah-kaedah atau usul serta mengaitkannya dengan hukum-hakam fiqh.

Mereka memberi perhatian untuk menentukan kaedah-kaedah usul berdasarkan ijtihad-ijtihad yang dinukilkan daripada imam-imam mereka. Ini bermaksud mereka membuat kaedah usul mereka berdasarkan nukilan-nukilan ijtihad dihimpunkan daripada imam-imam mereka.

Jika mereka mendapati terdapat antara kaedah tersebut tidak secocok dengan ijtihad-ijtihad imam mereka, mereka akan mengubah sehingga kelihatan selari.

Penulisan jenis ini cenderung kepada bentuk penulisan fiqh. Oleh sebab demikian, kitab-kitab yang ditulis berdasarkan kaedah ini adalah padat dan sarat dengan masalah-masalah fiqh.

Menurut sebahagian pengkaji, tindakan mereka tersebut adalah kerana para imam mereka tidak meninggalkan sebarang usul yang tersusun untuk dijadikan panduan.


 

2. Nyatakan dua aspek perbezaan antara hukum taklifi dengan hukum wad’i *

 


Hukum Taklifi

Titah / khitab Allah yang mengandungi tuntutan supaya melakukan sesuatu tindakan atau tuntutan supaya meninggalkannya, atau pemberian pilihan sama ada untuk melakukan atau tidak.

Dinamakan hukum taklifi kerana dalamnya terkandung pembebanan terhadap mukalaf supaya melakukan atau meninggalkan sesuatu.

Pemberian pilihan daripada Allah juga termasuk dalam pembebanan kerana kebanyakkannya adalah sedemikian maka dijadikan sebahagian daripada hukum taklifi.

Walaupun apa yang dituntut itu merupakan suatu taklif atau pembebanan, namun itu adalah mengikut kadar kemampuan seseorang mukalaf supaya tuntutan itu dapat dilaksanakan dengan baik. Contohnya, hukum menunaikan haji adalah wajib tetapi kepada mereka yang berkemampuan.

Jenis hukum taklifi: ijab, nadb, tahrim, karahah, ibahah


Hukum Wad’i

Khitab Allah yang berkaitan dengan menjadikan sesuatu sebagai sebab, syarat, penghalang, sah atau fasad.

Atau dengan kata lain ia adalah sesuatu yang menyebabkan ada atau tiadanya hukum taklifi.

Ia juga ditakrifkan sebagai suatu sebab, syarat, penghalang, sah dan batal bagi menetapkan sesuatu hukum.

Jenis hukum wad’i : sababiyah, syartiyah, man’iyah, kedudukan sesuatu itu sah, kedudukan sesuatu itu fasad/batal.


Perbezaan antara hukum taklifi dan wad’i :

Maksud daripada hukum taklifi ialah tuntutan terhadap mukalaf untuk melakukan sesuatu atau menahannya, atau memberi pilihan sama ada untuk melakukan atau meninggalkannya.

Sedangkan hukum wad’i tidak bertujuan membentuk bebanan dan pilihan, sebaliknya nak mengaitkan sesuatu dengan perkara yang lain dan sudut sababiyah atau syartiyah.

Mafhum daripada tuntutan dan pemberian pilihan dalam hukum taklifi adalah dalam kemampuan mukalaf dan kebolehupayaan mereka. Sebaliknya dalam hukum wad’i kadang kala dalam kekuasaan mukalaf dan ada yang tidak berada dalam kekuasaan mukalaf.

 

3. Nyatakan dua perbezaan antara sabab dan shart dalam hukum wad’i *

 

 



Sabab


Didefiniskan sebagai “suatu sifat zahir yang tetap lagi tetap, yang ditunjukkan oleh dalil sam’iyy bahawa ianya penunjuk/petunjuk kepada hukum syarak, yang lazim dengan kewujudannya, maka wujud hukum, dan lazim dengan ketiadaannya tiada hukum.”

Atau ianya suatu sifat yang pasti sebagai kaitan kepada kewujudan hukum.

Oleh itu, dengan adanya sifat itu melazimkan adanya hukum dan tidak adanya sifat itu melazimkan ketiadaan hukum.

Contoh : gelincirnya matahari menjadi sebab masuknya waktu sembahyang.

Sesuatu itu tidak sah dijadikan sebab kecuali Allah sendiri yang menjadikannya kerana hukum-hukum taklifi merupakan bebanan yang hanya ditentukan oleh Allah. Dan sebab itu bukannya yang mewujudkan hukum sebaliknya hanyalah sebagai tanda kewujudan hukum.

 

Shart

Shart ialah sifat yang jelas serta tetap, yang bergantung kepadanya kewujudan sesuatu hukum tanpa memberikan kesan kepadanya, yang pasti dengan ketiadaannya tiada hukum dan tidak semesti dengan kewujudannya wujud hukum dan tidak wujudnya hukum.

Sesuatu yag membentukkan hukum atau sebab terikat pada kewujudannya tetapi bukanlah sebahagian daripada hukum atau sebab.

Contoh : berwuduk adalah syarat sah solat kerana lazim dengan ketiadaan wuduk, tiadanya solat yang sah, tetapi tidak semestinya dengan ada wuduk adanya solat kerana mungkin seseorang berwuduk untuk membaca al-Quran bukannya untuk menunaikan solat. Dan tidak semestinya dengan ada wuduk tiada solat kerana mungkin berwuduk kemudian baru mendirikan solat.


 

 




 

4. Berikan satu contoh ayat al-Quran yang berkaitan dengan qat’iyy al-dalalah dan zanniy al-dalalah serta huraikan aspek qat’iy dan zanniy pada ayat tersebut *

 

Ayat al-Quran yang berkaitan dengan qat’iyy al-dalalah :

Surah ke-24 (An-Nur), ayat ke-2:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ


Aspek qat’iy

Makna yang dapat difahami daripada sesuatu lafaz hanya satu, atau tiada kebarangkalian makna lain yang boleh difahami daripada lafaz مِائَةَ جَلْدَةٍ , angka 100 kali sebatan. Tidak ada keberangkalian bilangan sebatan 50 kali, atau 200 kali, atau lain-lain.

Ayat al-Quran yang berkaitan dengan zanniy al-dalalah:

Surah ke-2 (Al-Baqarah), ayat 228:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

Aspek zanniy

Sesuatu lafaz itu mempunyai kebarangkalian makna lebih daripada satu, pada kalimah قروء , adakah membawa maksud suci atau haid.  Hal ini turut menjadi zanniy bagi penutur asal bahasa Arab itu sendiri.

 

 

 

 



 

5. Qira’at shadhdah dalam al-Quran adalah “sahih dari segi sanadnya tetapi diriwayatkan secara ahad”. Jelaskan maksud kenyataan tersebut. *


Sahih dari segi sanad : dengan maksud rantaian periwayatan dapat dikesan dan betul sahih.
Riwayat secara ahad : adalah sesuatu Riwayat yang tidak cukup syarat untuk menjadikan ia sebagai riwayat yang mutawatir walaupun perawinya ramai


Qiraat shadhdhah ialah bacaan yang tidak diiktiraf oleh pembaca-pembaca tempatan kerana tidak mutawatir. Qiraat ini tidak diriwayatkan pada setiap masa oleh sekumpulan ramai yang mustahil untuk melakukan pendustaan.

Qiraat shadhdhah juga diriwayatkan secara ahad (bukan mutawatir) dan tidak bertepatan dengan tatabahasa dan makna Bahasa Arab.

Qiraat shadhdhah itu sama ada:

pertamanya yang terkeluar daripada tulisan mashaf Uthmaniyy
keduanya qiraat yang sejajar dengan tulisan mashaf Uthmaniyy tetapi tidak sah sanadnya


Qiraat shadhdhah adalah tidak mencapai tahap mutawatir dan mashhurah seperti ciri-ciri yang ada pada mashaf Ubaiyy Ibn Ka’ab.

Pendapat yang masyhur menyatakan selain daripada 10 qiraat dikira shadh dengan disepakati. 



 

6. Di antara peranan al-Sunnah adalah menjelaskan hukum yang umum yang dibawa dalam sesuatu ayat al-Quran. Nyatakan SATU contoh hukum umum tersebut dengan membawa ayat al-Quran yang umum dan al-Sunnah yang mengkhususkannya. *

 

Contoh pertama: ayat berkenaan perkara yang haram dimakan secara umum, seperti dalam ayat ini (Surah ke-6, ayat ke-145) :

قُلْ لَا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِه

Hadis (al-Sunnah) mengkhususkan lagi makanan haram dimakan iaitu jenis burung diharamkan untuk dimakan:

نهى عن كل ذي ناب من السباع وعن كل ذي مخلب من الطير

 


Contoh kedua: hukuman hudud (potong tangan) bagi kes curi

Surah Al-Maidah, ayat 38:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ 

Mafhum ayat berkenaan hukuman potongan tangan, namun tidak dijelaskan secara terperinci, adakah potongan tangan hingga ke siku atau ke lengan. Juga, ayat tidak perincikan berapakah kadar minimum barangan dicuri.

Hadis (al-Sunnah) memperjelaskan hukuman potong itu pada pergelangan tangan, dan kadar minimum barang dicuri:

Riwayat dari Aisyah r.a. menjelaskan : 

لاَ تـُقْطَعُ يَدُ سَارِقٍ إِلاَّ فيِ رُبُعِ دِينَارٍ فَصَاعِدًا “Tidaklah dipotong tangan seorang pencuri kecuali jika dia mencuri seperempat dinar atau lebih dari seperempat dinar ” H.R. Muttafaq ‘alaih.


Selain itu, ayat Quran memerintahkan solat, namun tidak dijelaskan bagaimana cara bersolat :

Allah Taala berfirman:

 

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ

Maksudnya: Dan dirikanlah sembahyang, pada dua bahagian siang, dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

Surah Hud, (11:114)

Hadis (Al-Sunnah) memperincikan cara solat, mafhum hadis : solatlah sebagaimana kamu lihat aku bersolat.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...