Sikap merendah diri atau tawadhu' ialah akhlaq yang mempesonakan dan memikat hati insan lain yang memandangnya. Secara fitrahnya, kita berasa tidak selesa dengan sikap meninggi diri dan takabbur, maka sebaliknya berasa selesa dengan sikap merendah diri.
Assalaa mu'alaikum w.b.t.,
Sikap merendah diri atau tawadhu' adalah salah satu daripada akhlaq mahmudah (terpuji). Sikap ini ialah lawan kepada sikap meninggi diri atau takabbur. Orang yang beriman, berilmu dan beramal sememangnya akan menghiasi diri mereka dengan akhlaq yang amat indah sekali ini. Jika kita memerhatikan keperibadian para 'ulama yang soleh dan ikhlas, kita akan berpeluang untuk memerhatikan sikap tawadhu' ini.
Antara contoh paling dekat dengan kita pada zaman ini ialah Al-Habib Ali Al-Jifri, seorang 'alim dan faqih yang merupakan ahlul bait (keturunan mulia Baginda Muhammad s.a.w. ). Kita dapat perhatikan permata akhlaq ini dalam rakaman video dokumentari yang dibuat mengenai beliau. Al-Habib Ali Al-Jifri apabila beliau menziarahi masyarakat Islam di merata-rata tempat akan sentiasa dikerumuni mereka. Pastinya mereka akan bersalaman, memeluknya dan ada yang mencium tangannya. Apa yang membuatkan hati tersentuh apabila terpandang tindak-tanduknya yang turut mencium tangan sesiapa yang mencium tangannya, termasuklah kanak-kanak kecil.
Bukankah apa yang kita tahu dan faham, kita dianjurkan untuk mencium tangan orang yang lebih mulia?
Bagi manusia biasa, bukankah apabila tangan mereka dicium ketika bersalaman akan datang setidak-tidaknya perasaan gembira dan senang hati kerana mereka dimuliakan? Atau sedikit perasaan kurang baik yang hadir dalam lintasan hati, seolah-olah mereka terasa lebih mulia daripada orang yang mencium tangan mereka?
Maka kita boleh katakan bahawa tindak tanduk Al-Habib Ali Al-Jifri itu adalah salah satu manifestasi kepada sikap tawadhu' beliau yang sangat hebat, yang turut memuliakan insan lain. Kita juga dapat menyatakan bahawa beliau tidak ada perasaan kibr (besar diri) dan lebih mulia daripada insan lain.
Mari bersama-sama kita hayati nasihat Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali rhohimahullahi Ta'ala berkaitan sikap merendah diri (dalam bab Uzlah dan Pergaulan), dipetik daripada kitab "Bimbingan Mukminin Pada Mencari Redha Ilahi" yang merupakan mukhtasar (ringkasan ) bagi kitab besar beliau Ihya 'Ulumiddin seperti yang dicatatkan berikut:
Tawadhu' atau merendah diri itu ialah darjat paling utama sekali bagi manusia. Ini tidak akan berlaku, selagi dia menyendiri, atau duduk berjauhan daripada orang ramai. Mungkin seseorang itu lebih suka ber'uzlah atau memencilkan diri kerana beberapa sebab, misalnya:
- Kerana sudah terlalu tua umurnya.
- Kerana khuatir dirinya tidak diberikan penghormatan dalam satu-satu keramaian, atau tidak dikedepankan.
- Kerana dia merasakan dirinya akan lebih dihormati, apabila dia menjauhkan diri daripada bercampur gaul dengan orang ramai.
- Kerana dia menganggap bahawa memencilkan diri itu akan lebih meyakinkan orang ramai dalam kerja-kerja ibadatnya atau kezuhudannya atau sebagainya.
Tanda orang-orang ini ialah mereka lebih suka diziarahi oleh orang ramai, tetapi mereka sendiri tidak suka menziarahi orang lain. Mereka berasa senang sekali, apabila orang-orang umum datang untuk mendekatkan diri kepada mereka, apatah lagi kalau yang datang pula orang-orang yang berpangkat, maka hatinya akan terus melonjak-lonjak kegembiraan. Orang-orang seumpama ini, adalah sangat aneh sikapnya.
Kalaulah kerana terlalu sibuk menguruskan diri sendiri untuk menyebabkan mereka tidak suka bercampur gaul, dan terus memencilkan diri dari orang ramai, tentulah mereka tidak ingin pula orang ramai datang menziarahi mereka. Yang sebenarnya sebab pemencilan diri dan uzlah mereka itu, adalah kerana hendak menguruskan kedatangan orang ramai, kerana hati mereka terpikat oleh pandangan orang ramai terhadapnya dengan penuh penghormatan dan sanjungan.
Ketahuilah, bahawa uzlah dan pemencilan diri kerana sebab-sebab serupa ini, ialah suatu kejahilan dan kebodohan dan boleh ditinjau dari beberapa segi seperti berikut:
1. Bersifat tawadhu' dalam percampurgaulan dengan orang ramai, tidak sama sekali mengurangkan kedudukan atau darjat orang yang berasa sombong dan congkak, disebabkan banyak ilmunya atau mendalam agamanya.
2. Orang yang suka menonjol-nonjolkan diri untuk mendapatkan keredhaan orang ramai, dan memancing kepercayaan mereka kepadanya, oleh orang yang ditipu oleh kemegahan diri sendiri. Sebab kalaulah dia telah mengenal Allah dengan sebenar pengenalan dan ma'rifah, tentulah ia akan maklum, bahawa semua makhluk tidak akan dapat memberi apa-apa manfaat kepadanya dalam sesuatu perkara selain daripada ALLAH. Dan bahawa semua bahaya dan manfaat itu, adalah dalam kekuasaan ALLAH dan taqdir-Nya, malah untuk memperoleh keredhaan manusia sepenuhnya, ialah satu perkara yang sukar untuk dicapai. Oleh sebab yang demikian, maka keredhaan ALLAH itu adalah lebih utama dituntut.
Kerana hal ini jugalah, maka Imam Syafi'ie telah berkata kepada Yunus bin 'Abdul A'la:
Demi ALLAH! Apa-apa yang katakan kepada kamu ini, adalah sebagai nasihat semata-mata. Ingatlah, tiada jalan untuk mencapai keselamatan daripada mana-mana manusia pun.Oleh sebab yang demikian itu, maka hendaklah engkau teliti baik-baik, apa yang boleh mendatangkan kemaslahatan bagimu hendaklah engkau lakukan.
Kalau begitu, barangsiapa yang sengaja memencilkan dirinya di dalam rumah, dengan tujuan agar orang ramai dapat memandangnya dengan pandangan penuh kepercayaan dan i'tiqad, adalah dalam bahaya yang besar di dunia, kemudian azab di akhirat pula akan menunggunya, dan azab itu lebih besar kiranya mereka mengetahui.
Kesimpulannya:
Tidaklah dipandang baik menguzlahkan diri atau duduk berpencilan seorang diri menghabiskan masa, kecuali kalau kerana tujuan mempelajari ilmu pengetahuan, sekira-kira jika ia bergaul dengan orang ramai nescaya semua masanya akan hilang, dan banyak pula bahaya lain yang akan timbul.
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.