Ulama Benteng

Ulama Benteng

Jumaat, 12 Mac 2010

Kemuliaan Berdampingan dengan Al-Quran

Al-Quran Al-Karim ialah kitab suci yang menjadi mu'jizat terbesar bagi Nabi Muhammad s.a.w. dan terpelihara sehingga hari ini dan hari akhirat kelak. Apabila kita membaca ayat al-Quran, hendaklah kita menghadirkan perasaan mengagungkan Allah kerana ayat yang dibaca itu ialah kalam Allah, Tuhan sekelian alam Yang Maha Agung.



Assalaa mu'alaikum w.b.t.,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


Selamat bertemu kembali. Puji kita hadapkan kepada Pemberi segala nikmat. Mudah-mudahan kita menjadi hamba bersyukur.

Kali ini, kita mengajak diri kita untuk merenung dan berbincang mengenai Kitab Agung yang ditinggalkan oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w. kepada kita selaku umatnya.

Kita bertanya kepada diri kita, sejauh manakah kita mengambil manfaat sepenuhnya daripada kitab suci yang terjamin daripada sebarang penyelewengan ini?

Adakah kita benar-benar menghargai pemberian yang tiada ternilai ini?

Adakah teks ataupun mushaf Al-Quran yang kita miliki hanya tersimpan rapi di rak buku dan hanya mula dibuka apabila bulan Ramadhan bertandang?

Mungkinkah juga teks atau mushaf Al-Quran itu sudah diselaputi debu di atasnya, lantaran jarangnya kita menyentuh dan membaca mushaf Al-Quran?

Agak banyak soalan di atas. Tak mengapa. Soalan-soalan itu dapat dijadikan titik tolak untuk kita menilai keadaan diri dan seterusnya membaiki apa bentuk kekurangan yang ada. Kita umat Nabi Muhammad s.a.w. dididik untuk sentiasa berusaha membaiki keadaan diri dan tidak berputus asa dengan rahmat Allah.

Sumber Kebajikan dan Pahala yang Sangat Besar

Ya, itulah Al-Quran. Setiap huruf yang dibaca mendapat 10 pahala. Setiap kebajikan pula digandakan antara 10 hingga 700. 'Ulama ada menyebut, jika Allah ingin menggandakan pahala kebaikan lebih daripada 700 pun tidak menjadi masalah bagi-Nya. Hal ini demikian kerana sifat Maha Pemurah Allah dan kekayaan-Nya yang tidak sama sekali akan berkurangan.

Kesibukan Berdampingan dengan Al-Quran

Dalam sebuah pengajian, Tuan Guru Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizahullah ada menyatakan bahawa ada hadits Nabi Muhammad s.a.w. yang menyebut bahawa Allah akan memberikan sesuatu yang lebih baik kepada orang yang sibuk membaca kitab-Nya daripada orang yang sekadar berdoa kepadanya.

Berikut ialah petikan daripada kitab Fadhilat Al-Quran, tulisan Shaikhul Hadits Maulana Muhammad Zakariya Rahmatullah 'alaih, hadits kedua. Semoga mendapat manfaat, dan kekuatan untuk mengamalkan 'ilmu ini.

Terjemahan:

Abu Sa'id r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Allah s.w.t. berfirman: "Jikalau sesiapa mendapati tidak ada masa untuk mengingati-Ku dan berdoa kepada-Ku kerana sibuk dengan Al-Quran maka Aku akan mengurniakan kepadanya perkara yang terbaik yang Aku kurniakan kepada orang yang berdoa kepada-Ku. Ketinggian perkataan Allah s.w.t. atas segala perkataan adalah seumpama ketinggian Allah s.w.t. atas segala makhluk (ciptaan-Nya)."

Hadits Riwayat Tirmizi, Darimi dan Baihaqi.
Keterangan:

Maksud hadits di atas ialah seseorang yang sentiasa sibuk menghafal, mempelajari atau memahami Al-Quran sehingga tidak ada masa untuk berdoa maka Allah s.w.t. akan mengurniakan kepadanya sesuatu yang lebih baik daripada yang diberikan kepada orang lain yang berdoa kepada-Nya. Suatu perkara yang lumrah di dunia ini adalah apabila ada seseorang yang sedang membahagi-bahagikan kuih-muih dan salah seorang yang layak menerima kuih itu sibuk melakukan urusan bagi pihak si pembahagi itu sendiri sehingga menyebabkan dia tidak dapat hadir untuk mendapatkan bahagiannya maka sudah tentu bahagian untuknya akan disimpan terlebih dahulu.

Berkenaan keadaan yang sama seperti hadits di atas, dalam hadits yang lain dinyatakan bahawa Allah s.w.t. akan mengurniakan kepada orang yang sibuk dengan Al-Quran pahala yang lebih afdal daripada pahala yang diberikan keapda hamba-hamba-Nya yang bersyukur.

Tamat petikan daripada kitan Fadhilat Amal.


Maka jelaslah bagi kita ketinggian kedudukan amalan membaca Al-Quran dan berdampingan dengannya.

Inilah janji dan jaminan Allah yang tiada keraguan padanya.

Apa kata kita cuba mula melakukannya? Tak perlu banyak. Mula dengan sedikit. Dengan hati tidak berasa tekanan dan malas. Kemudian cuba kekalkannya supaya konsisten.

Bukankah amalan yang sedikit tetapi berterusan itu lebih dicintai Allah s.w.t. daripada amalan yang banyak tetapi tidak berterusan. ( Ada maksud hadits seperti ini, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab sahihnya.)

Cuba kita ambil masa dalam 5 minit selepas setiap solat fardhu 'Isyak untuk membaca Al-Quran, mungkin beberapa baris sahaja.

Insya Allah, lama-kelamaan nafsu jahat dan malas kita akan dapat dikekang dan kita akan dapat membiasakan diri dengan 'amalan soleh.

Selamat ber'amal. Moga redha Allah menjadi buruan dan habuan kita.



Ya ALLAH, jadikanlah kami dan umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

1 ulasan:

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...