"Barangsiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah juga suka bertemu dengannya. Akan tetapi, barangsiapa yang benci bertemu dengan Allah, maka Allah juga benci bertemu dengannya." -Al-Hadits. Dicatatkan oleh Al-Imam Habib Abdullah Haddad
Ulama Benteng
Sabtu, 31 Julai 2010
Doa yang Baik oleh Seorang Hamba
Selasa, 27 Julai 2010
Bahaya Akal Tanpa Pimpinan Wahyu
Isnin, 19 Julai 2010
Tasauf Hakiki dan Penyelewengan
Sedar atau tidak sudah masuk minggu ke sembilan kita berbicara tentang Tasauf di ruang ini. Dalam siri terakhir ini kita akan cuba menyorot beberapa fahaman dan ajaran yang menyeleweng yang dinisbahkan kepada Tasauf selain cuba merumuskan pandangan kita tentang Tasauf.
Walaupun dalam siri tulisan yang lepas kita telah cuba mempertahankan Tasauf sebagai cabang dan dimensi asasi kepada agama kita, kita tidak menafikan bahawa wujudnya kumpulan dan ajaran Tasauf yang sesat atau menyeleweng daripada batasan agama sebenar. Pepatah Melayu menyebut, bumi manakah yang tak di timpa hujan? Adakah wujud di sana, mana-mana kumpulan atau aliran sama ada bersifat agama atau tidak, yang terpelihara sepenuhnya daripada sebarang penyelewengan? Cuma, harus difahami, dalam paksi-paksi ajaran agama Islam iaitu Aqidah, Syariah dan Tasauf, penyelewengan yang berlaku bukannya berpunca daripada kelemahan ajaran tersebut tetapi kerana kelemahan mereka yang cuba mengamalkan dan menghayatinya. Disamping kelemahan jenis ini yang benar-benar berlaku, Tasauf turut cuba ditempelkan dengan pelbagai gambaran kelemahan palsu oleh kelompok yang anti-Islam atau anti-Tasauf.
Kelemahan Pengamalnya
Mereka yang meminati dan mengamalkan Tasauf boleh kita bahagikan kepada dua secara amnya iaitu mereka yang memilih untuk bertarekat ataupun mereka yang tidak bertarekat. Jika berlaku penyelewengan di kalangan mereka yang bertarekat ia lebih nyata dan tertonjol berbanding dengan mereka yang tidak bertarekat. Media massa juga cepat menarik perhatian umum kepada gejala ini. Kita sering mendengar kisah penyelewengan pelbagai kumpulan dan ajaran berimej keruhanian dan tasauf dalam negara kita seperti kumpulan al-Arqam, Ayah Pin, Cikgu Kahar dan pelbagai kumpulan kecil yang lain. Antara bentuk penyelewengan yang timbul daripada golongan ini adalah menolak kehidupan dunia secara melampau, melampau dalam mengikuti ‘syeikh’ sehingga diluar batas syara`, mempercayai ajaran bersatu dengan Tuhan secara hakiki, mengutamakan amalan tarekat berbanding amalan fardhu dan sebagainya.
Apa yang lebih memburukkan imej tarekat dan tasauf, ialah sebahagian daripada kumpulan ini menisbahkan diri mereka kepada tarekat-tarekat arus perdana seperti Naqshabandiah, Qadiriah dan sebagainya. Mereka juga menggunakan istilah dan konsep yang dipakai dalam tasauf arus perdana seperti Syeikh, mursyid, tarekat, awrad, kasyaf, fana’, yaqazoh dan sebagainya. Hakikatnya penyelewengan yang berlaku kepada golongan ini adalah kerana kelemahan mereka untuk benar-benar mengikuti panduan dan acuan sebenar tarekat dan tasauf Islam. Antara punca-punca utamanya ialah guru yang belum layak dan belum mendapat keizinan mana-mana guru yang layak, guru yang telah terputus sanad serta tarekat yang diwarisi oleh mereka yang bukan ahli-ahli ilmu.Kuncinya di sini ialah lemahnya faktor ilmu dalam pengahayatan tarekat sedang Islam adalah agama yang bersendikan ilmu. Akibatnya timbullah gejala pelanggaran syariah seperti nikah batin, solat dengan niat sahaja ataupun ketaasuban seperti mendakwa syeikh sebagai Imam Mahdi dan Wali Qutub.
Tuduhan-tuduhan Liar
Selain daripada penyewelengan sebenar yang timbul akibat kelemahan para pengamalnya, tasauf dan tarekat turut menjadi sasaran pelbagai tuduhan dan kempen memburuk-buruknya daripada mereka yang memusuhinya dari dalam dan luar lingkungan Islam. Para kuffar memusuhinya kerana mereka memang anti atau jahil dengan Islam. Sebahagian daripada mereka juga menyerangnya kerana tahu bahawa inilah antara pusat kekuatan Islam. Mereka tahu daripada kajian dan sejarah bahawa tasauf turut menjadi inspirasi jihad menentang musuh-musuh Islam.
Tasauf juga menjadi sasaran beberapa aliran pinggiran dalam Islam yang melihat tasauf dan tarekat sebagai saingan dan penghalang untuk mereka menjadi lebih dominan dalam masyarakat seperti aliran ekstrim liberal juga aliran ekstrim modernis. Pendokong ekstrim liberal memang suka kepada Islam yang serba bebas dan tidak terikat dengan ikatan-ikatan termasuklah ikatan-ikatan Syariat, Aqidah dan Tasauf. Manakala kelompok ekstrim modenis umumnya cuba mengajak umat membebaskan diri daripada mengikuti warisan khazanah ilmu-ilmu tradisional Islam termasuklah dalam tasauf. Mereka sering bercakap atas nama pembaharuan agama, tajdid, pembebasan daripada taqlid dan kejumudan, kembali kepada al-Quran dan Sunnah dan sebagainya.
Ancaman terhadap tasauf daripada kelompok ekstrim modenis ini lebih berbahaya kerana mereka berbahasa dan berpakaian agama sehingga masyarakat awam mudah terkeliru. Hakikatnya, dalam mereka mengajak masyarakat tidak bertaqlid kepada khazanah tradisi Islam mereka sebenarnya menjerumuskan masyarakat kepada suatu taqlid yang lebih sempit iaitu bertaqlid kepada tokoh-tokoh dan aliran mereka. Akhirnya masyarakat diajak untuk mengikuti beberapa kerat tokoh yang mereka sanjung secara berlebihan terutamanya Ibnu Taymiyyah, Ibnu al-Qayyim dan kemudiannya Muhammad Ibn Abdul Wahhab dan para pendokong nya.
Pandangan Ibnu Taymiyyah dan Ibnu Al-Qayyim yang mengkritik tasauf mereka angkat tanpa menonjolkan sisi lain yang tidak menyebelahi kecenderungan mereka. Sebenarnya Ibnu Taymiyyah dan Ibnu al-Qayyim menghalakan kritikan mereka terhadap beberapa kumpulan pengamal tasauf pada zaman mereka dan bukannya terhadap tasauf itu sendiri. Mereka tidaklah menafikan tasauf sebagai cabang penting dan disiplin ilmu asasi dalam agama. Buktinya Ibnu Taymiyyah sendiri menganggap dirinya sebagai seorang pengikut tarekat Qadiriyyah. Maqam beliau di Damaskus, Syria juga merupakan kawasan maqam yang di waqafkan khusus untuk para Sufi. Jilid sepuluh dan sebelas daripada himpunan fatwanya juga menghuraikan tasauf. Murid beliau Ibnu al-Qayyim pula telah menulis kitab Madarij al-Salikin dalam tiga jilid yang merupakan huraian kepada kitab Manazil al-Saa`irin karya Imam al-Harawi berkaitan dengan maqam-maqam dalam perjalan ruhani kesufian. Kesimpulannya, dua tokoh ulama kontroversial ini pun tidaklah terlalu menolak atau anti-tasauf seperti sikap segolongan mereka yang sering menjuarakan tokoh-tokoh ini.
Kembalilah kepada Tasauf
Sesudah kita membahaskan dan menperjelaskan tentang tasauf dan pelbagai persoalan yang timbul berkaitannya hanya satu kesimpulan yang paling sesuai dibuat iaitu marilah kita semua kembali kepada tasauf. Kita kembali menghargai dan mengenali tasauf sebagai cabang dan dimensi asasi daripada agama kita yang kita cintai ini. Kita kembali memahami kedudukannya yang sangat harmonis dengan syariat, aqidah dan semua prinsip dan ajaran Islam yang lain. Dan yang paling penting, marilah kita sama-sama menghayatinya dalam kehidupan kita agar agama kita benar-benar terselamat daripada virus-virus dalaman yang boleh menghancurkan kehidupan beragama kita tanpa kita sedari. Hakikatnya, ketaqwaan itu berpengkalan di hati, seperti pesanan Nabi SAW. Jika agama dan ketaqwaan itu sudah tewas di pengkalannya sendiri apakah ia dapat ditegakkan di tempat dan tahap yang lain?
Akhirnya, kami tinggalkan para pembaca budiman dengan sepotong hadis yang menjadi antara induk dalam memahami kedudukan tasauf dan sering dipetik untuk tujuan itu. Imam Muslim dalam Sahihnya meriwayatkan bahawa, Rasulullah SAW ada menceritakan tentang tiga orang yang terawal dihisab di Akhirat kelak. Seorang yang mati syahid di medan perang, seorang ulama yang mengajar ilmu agama dan al-Quran dan seorang hartawan yang dermawan di jalan agama. Akhirnya ketiga-tiga mereka telah diseret di atas muka masing-masing dan dihumban ke neraka kerana kegagalan mereka menjaga keikhlasan, mensucikan niat dan hati masing-masing dalam kehebatan mereka berjuang di jalan Allah. Semoga Allah Jalla Jalaluh mengurniakan keikhlasan kepada kita dan mensucikan hati-hati kita dari segala yang tidak disukaiNya.
Sabtu, 17 Julai 2010
Ancaman Aliran Wahhabiah Terhadap Aqidah dan Keselamatan Negara -Dr Uthman El-Muhammady
OLEH:
AL-FAQIR ILA’LLAH MUHAMMAD UTHMAN EL-MUHAMMADY
Pertama, penulis ini memerhatikan aliran dan gerakan Wahabiah ini lebih daripada dua puluh tahun; dengan rasa bertanggungjawab ia ingin menyatakan bahawa kita di Malaysia ini beraliran Ahlissunnah wal-Jamaah, bermazhab fiqh Syafie. Kita berjaya dan benar dalam memahami agama dan mengamalkannya dalam aliran yang terjamin oleh Nabi dan Quran ini, dengan tidak melupai ada perlara-perkara yang masih tidak sempurna di kalangan kita. Kita wajib mengelak diri daripada Wahabiyah. Mereka yang dari awal bermazhab dengan mazhab Wahhabiah ini jangan mengembangkannya kepada Orang Islam di negara ini.
Kedua pihak pemerintah mesti memutuskan untuk terus berpegang kepada aliran Ahlisunnah ini dan menguatkuasakannya. Jangan terpesona dengan slogan pembaharuan atau reformasi dangkal yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang beraliran demikian. Malaysia mencapai kejayaan selama ini bukan kerana aliran dangkal itu. Ia berjaya dalam rangka Ahlisunnah wal-Jamaah yang disertakan dengan sikap positif menerima perkara-perkara baharu yang penting dalam konteks kerangka ajaran yang sudah ada; dalam negara-negara OIC ia terkenal dengan kejayaannya. Untuk apa hendak kita gantikan ini dengan aliran Wahabiah? Untuk menjadi kacau bilau seperti beberapa kawasan yang mengamalkan aliran yang seperti itu? Adakah kita berjaya kerana tidak membaca usalli? Tidak berselawat kepada nabi? Tidak bermazhab? Tidak membaca berzanji? Tidak berkunut? Tidak mengadakan tahlil arwah? Tidak berwirid selepas sembahyang? Ajaran ‘pembaharuan’ apa ini? Adakah ini pemikiran sejahtera? Maha suci Allah.
Ketiga, untuk menulis dengan ringkas, kita boleh tegaskan bahawa ajaran tauhid itu ada tiga, tauhid rububiah, tauhid uluhiah, tauhid asma’ wassifat yang dihuraikan oleh mereka itu bukan cara Ahlissunnah, itu cara Wahhabiah.Wahabiah mengajarkan tauhid rububiah ialah mempercayai Tuhan menjadikan alam, memberi rezeki daln lain-lain; tauhid uluhiah ialah menyembahNya dan taat kepadaNya. Tiap-tiap satunya terasing daripada yang lain. Sebab itu, kata mereka, penyembah berhala, bertauhid rububiah sebab ia percaya Tuhan menjadikan alam, hanya ia tidak bertauhid secara uluhiah. Sebab itu dia kafir, lalu berlaku hukum Syara’ sebagaimana yang diketahui itu. Orang yang mengucap syahadat kalau ia tidak mengamalkan Islam dengan baik, ia bertauhid rububiah sahaja, hukumnya sama dengan penyembah berhala; dia dijadikan objek jihad menentangnya. Sebab itu mereka menyerang Orang Turki Othmaniah kerana katanya mereka ia bertauhid rububiah sahaja, tidak bertauhid uluhiah. Maka halal darahnya. Maha suci Allah.
Sebab itu kemudian mereka mengebom bank, membunuh orang yang tidak berdosa, membunuh ‘orang yang bertauhid rububiah’ sahaja. Tidak ada kitab Ahli sunnah yang mengatakan bahawa penyembah berhala ahli tauhid; yang dikatakan dalam kitab Ahlisunnah – dalam Quran dan Sunnah – ialah mereka musyrikin.
Keempat, mereka berkata bahawa orang yang berdoa di kubur orang soleh dan meminta dengan keberkatan mereka supaya Tuhan menyembuhkan penyakit, mengangkatkan bala, itu syirik. Dengan itu halal darah mereka. Dalam Ahlissunnah itu harus, sebab itu orang Islam berdoa di kubur nabi saw untuk mendapat syafaatnya dan hajatnya dunia dan akhirat.
Kelima kita dalam Ahlisunnah mendapat pengajaran bahawa Tuhan bersifat dengan sifat-sifat yang sempurna, tidak ada sifat yang kekurangan. Ia ada, sedia kala, kekal, bersalahan dengan sifat-sifat makhluk yang baharu, berdiri sendiri (bukan dijadikan oleh sesiapa, tidak memerlukan sesiapa atau apa-apa dari sekalian makhluk), Maha Esa, mempunyai sifat hidup, ilmu, berkuasa, berkehendak, mendengar, melihat, berkata-kata; keadaanNya hidup, berilmu, berkuasa, berkehendak, mendengar, melihat dan keadaannya berkata-kata. Ini sekurang-kurang yang perlu diketahui dan diyakini. Sifat-sifatNya tidak terkira.
Keenam, sekali lagi kita tegaskan, tauhid tiga kategori yang terpisah-pisah ini – tauhid rububiah asing, tauhid uluhiah asing, tauhid asma wassifat asing tidak ada dalam Ahlissunnah; sebab terasing tauhid yang tiga itu, mereka boleh berkata penyembah berhala ahli tauhid rububiah. Orang yang tak sempurna taatnya hanya bertauhid rububiah; orang berdoa di kubur hanya bertauhid rububiah-sebab itu maka semua halal darah dan harta mereka. Tauhid cara huraian seperti ini sudah tersebar dalam setengah IPT-IPT di Malaysia. Kalau ini tersebar dengan meluas dan pengaruhnya mendalam, percayalah, maka ia menjadi ‘sarang’ tempat bertelur dan membesar fahaman keganasan, anti-establishment, dan fahaman menentang pihak berotoriti yang tidak bersefahaman dengan mereka. Ini terbukti dalam wacana mereka (‘Tarikh Najdin’, ‘Unwan al-Majdi’, dan ‘Kitab al-Syubuhat’ antara lainnya). Sesiapa yang memandang ringan tentang perkara itu –mengatakan itu tuduhan melulu, nanti dulu, itu helah setengah orang—akan menyesal dengan tidak berkesudahan. Dijauhkan Allah. Ia akan membawa kepada kerosakan akidah, mengancam keselamatan negara, dan konflik yang tidak berkesudahan, kemusnahan sistem negara, dan bila itu berlaku, dijauhkan Allah, kuasa luar akan menuduh negara kita pusat keganasan; dan pihak yang sinis, sebagaimana yang biasa berlaku, tidak akan membantu kita bila perkara buruk ini berlaku.
Ketujuhnya di setengah IPT sudah ada pensyarah-pensyarah yang memaksa pelajar memberi huraian ini – bukan hanya untuk perbandingan akademik – dan kalau tidak berbuat demikian pelajar itu akan mendapat akibat yang buruk dalam ujiannya. Ini perlu diberi perhatian oleh pihak rasmi negara. Nampaknya ‘proses membuat rekrut’ juga ada berlaku, mungkin untuk gerakan akan datang; kita perlu berwaspada tentang hal ini dan jangan membiarkannya berkembang.
Kelapannya, natijah daripada ‘tauhid Wahhabi’ seperti itu maka mereka tidak memandang taat kepada ulil-amri itu sebagai kewajipan. Mereka dengan senang sekali keluar menentang ulil-amri, pihak berkuasa, ini jelas dalam sejarah dan teks-teks ajaran mereka, walhal dalam Ahlil-Sunnah kita tidak boleh keluar menentang, bermusuh dengan ulil-amri, ‘kecuali bila zahir daripada mereka kekufuran yang nyata’. Berwaspadalah wahai ulil-amri dan umat Islam Malaysia supaya umat dan agama serta negara tidak binasa. Jangan menempah penyesalan yang jalan kembali kepada kesejahteraannya sudah tidak ada lagi. Allahumma sallimna wal-Muslimin.
Kesembilannya, sebagai kesimpulan, ringkasnya kita tidak boleh bersikap naif dan membenarkan aliran Wahabiah ini diamal dan disebarkan dalam negara, termasuk memberi ‘tempat penting’ kepada orang Wahhabi. Kita tidak membenarkan Wahhabiah disebar kepada Orang Islam Malaysia yang bermazhab Ahlisunnah. Kita tidak mengganggu orang Wahhabi yang asal pegangannya demikian (tetapi jangan ia kembangkan kepada orang Islam Malaysia yang bermazhab Ahlissunnah). Kalau tidak mereka yang terkena pengaruh ini akan berkembang bersama dalam aliran keganasan antarabangsa yang akan menganiaya Muslimin dan negara. Kita boleh ingatkan bahawa baru-baru ini dalam ‘Saudi Gazette’ ada berita bagaimana ada gerakan bahawa menteri di sana akan ditangkap, disembunyikan dan sesuatu akan dilakukan terhadap mereka yang menjalankan gerakan ini, dan memang mereka sekarang dalam berjaga-jaga. Orang yang sinis, yang menganggap dirinya ‘tahu semua’ memang akan mengatakan itu hanya ‘conspiracy’, sebagaimana yang biasa berlaku.
Penulis ini hanya dengan rasa ikhlas ingin menegaskan: berjaga-jagalah atas nama keselamatan negara dan keselamatan agama serta keamanan, supaya negara ini tidak menjadi ribut dan daif seperti kawasan-kawasan lain dalam dunia Islam. Wallahu a’lam.
Khamis, 15 Julai 2010
Aliran Fahaman Wahabi Adalah Berbahaya
April lalu telah berlangsung satu seminar di Kaherah yang disertai oleh ulama Universiti al-Azhar asy-Syarif dan pakar-pakar Gerakan Islam dengan tema: FAHAMAN WAHABIAH BAHAYA YANG MENGANCAM ISLAM DAN DUNIA. Mereka menegaskan bahawa fahaman Wahabiah adalah satu fahaman dan gerakan yang merupakan musuh paling merbahaya bagi umat Islam dan dunia, yang mana bahayanya tidak kurang jika dibandingkan dengan Gerakan Zionis (Jangan marah ya, lagi sekali dimaklumkan bahawa ini bukan pernyataan ese). Ini adalah kerana Wahabiah menyebarkan pemikiran - pemikiran dan sikap serta tindakan yang bengis, bersifat ganas (terrorist), kebencian dan sikap mudah mengkafirkan mana-mana pihak yang tidak sependapat dengan mereka. Sikap dan tindak-tanduk mereka yang mengaibkan ini telah merosakkan usaha gerakan lain untuk mempertahankan Islam di Palestin dan Iraq. Maka antara kewajipan syarie ialah untuk menentang pemikiran ini serta pendokong-pendokongnya dengan segala cara yang sedia ada. Inilah yang dinyatakan di dalam Simposium Islam Perbincangan Khusus (al-Mutakhasisah) dan Diperkembangkan (al-Muwassa’ah) yang telah dianjurkan kelmarin di Kaherah dengan tajuk: AL-WAHABIAH: ANCAMAN BERBAHAYA KEPADA ISLAM DAN DUNIA
Dan panel-panel pembentangan penyelidikan serta perbincangan adalah terdiri daripada:
- Syaikh Dr. Abdul Rahman as-Subki - ulama al-Azhar asy-Syarif;
- Al-Mufakkir Dr. Ahmad al-Saayih – Professor Aqidah dan Falsafah Islam di al-Azhar al-Syarif;
- Al-Mustasyar (Penasihat) Ahmad Abduh Maher – ulama’ besar yang mempunyai kepakaran/pengkhususan tentang Gerakan-gerakan Islam di Mesir;
- Prof. Abdul al-Fattah ‘Asakir – Pemikir Islam yang terkenal;
- Dr. Abdullah Al-Sa’daawi;
- Dr. Ahmad Syawqi al-Fanjari;
- Dr. Ali Abdul Jawwad – Pakar berkenaan kajian Gerakan-gerakan Islam;
- Dan beberapa ulama’ dan pakar-pakar yang lain.
Pertama:
Para pakar dan ulama menegaskan dalam kajian mereka (terdapat tujuh (7) pembentangan penyelidikan) dan perbincangan mereka bahawa sesungguhnya: al-Wahabiah sebagai satu dakwah/seruan dan pemikiran yang berdiri atas prinsip menolak pihak lain dan mengkafirkannya. Dan sesungguhnya ia mengancam keamanan dan kesejahteraan di seluruh negara-negara Islam kerana ianya menyebarkan pemikiran-pemikiran terrorist/keganasan dan jenayah yang sangat merbahaya. Pemikiran-pemikiran inilah yang menyebabkan pemuda-pemuda Muslim mengkafirkan serta melakukan keganasan terhadap masyarakat dan para pemerintah dengan bersandarkan alasan/sebab yang amat remeh. Dan dunia waktu kini tidak berdepan dengan kesulitan/kepayahan daripada mana-mana pergerakan atau dakwah sepertimana yang ia dapati daripada al-Wahabiah seperti yang berbentuk (al-Qaedah) ataupun rupa bentuk pergerakan Islam yang lain. Dan sesungguhnya kalaulah tidak kerana harta/dana Saudi, al-Wahabiah tidak akan tersebar, dan kalaulah tidak kerana sikap kepura-puraan Amerika, ia pasti dapat ditentang dan ditundukkan. Akan tetapi Amerika dan Saudi mendapat manfaat daripada pemikiran pelik/terpesong ini yang disandarkan secara palsu kepada Islam dan yang dinamakan al-Wahabiah ini. Ianya digunakan pada sesuatu masa untuk melancarkan serangan keganasan kepada dunia atau pada masa yang lain untuk melakukan pemerasan/peras ugut.
Kedua:
Para peserta simposium menegaskan bahawa sesungguhnya al-Wahabiah mempunyai sikap/pendirian yang negatif terhadap wanita dan ilmu, muzik dan segala bentuk kesusasteraan, serta terhadap penganut agama Kristian, bahkan terhadap pengikut -pengikut lain-lain mazhab dalam Islam (seperti Syi’ah, al-Asya`irah dan lain-lain). Dan ia sesungguhnya adalah satu bentuk dakwah/seruan kepada Jahiliyyah. Dan kebanyakan kesan-kesan Wahhabi adalah dalam bentuk keganasan dalam pemikiran dan beragama, menolak realiti dan intelek. Dan oleh sebab itu, sebahagian (pengkaji) menganggapnya sebagai (sebuah agama yang baru) selain daripada agama Islam - suatu agama yang menyeru kepada terrorisma/keganasan dan pembunuhan atas nama Allah, sedangkan Allah “bebas” daripada (dakwaan mereka itu). Dan apa yang berlaku di Iraq dan Afghanistan, bahkan di Saudi - yang merupakan penaja kepada pemikiran ini – dari pembunuhan dan keganasan dengan mudah menguatkan lagi bahawa kita sedang berdepan dengan satu gerakan dakwah/seruan yang menyeru kepada jenayah dan pembunuhan dan bukannya dakwah/seruan kepada Islam yang toleransi dan sederhana (tidak ekstrim).
Ketiga:
Para ulama dan pakar di dalam simposium ini membuat tuntutan berhubung pentingnya menyediakan satu strategi yang Islamik di peringkat antarabangsa yang mengambil kira aspek kebudayaan serta politik untuk menentang al-Wahabiah. Dan sesungguhnya perlu bagi al-Azhar asy-Syarif memainkan peranan dalam hal ini kerana ianya adalah satu institusi Islam yang bersikap sederhana (tidak ekstrim) sebelum ia dirosakkan oleh al-Wahabiah dan golongan yang menamakan diri mereka sebagai pendakwah pembaharuan daripada golongan Salafiyyin yang keras/melampau. Sesungguhnya sekiranya al-Azhar asy-Syarif kembali menjadi institusi yang menerangi dengan sikap bersederhanaanya dan tidak melampau, maka sesungguhnya ia mampu untuk menolak dengan kekuatan akan sikap melampau Wahabi yang memusuhi roh Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW yang bersifat sederhana dan tidak melampau.
Sumber:
Akhbar Watan [ وطن ] di : http://watan.com/10/news.html//35‐news‐extra/21652‐2010‐
04‐26‐20‐24‐39.html
Tarikh Berita: 26 April 2010
Isnin, 12 Julai 2010
Jasa Sufi dalam Penyebaran Islam
Ahad, 11 Julai 2010
Nak Tahu Hebahan Tentang Kuliah Talaqqi?
Salaam 'alaikum,
Sememangnya usaha mencintai kuliah talaqqi adalah mmenjadi manifestasi kesungguhan kita untuk memelihara iman dan kesuburan hati. Tambahan pula, kuliah talaqqi bersama para 'ulama yang solehin dan mukhlisin, dan insya Allah akan dilimpahi keberkatan dan termasuknya kita dalam doa mereka yang mudah termakbul sepanjang kuliah tersebut.
Saya dulu selalu mencari-cari juga makluman tentang kuliah talaqqi yang diadakan. Ada beberapa blog yang memang aktif memberi hebahan, antaranya blog Masjid Al-Falah USJ 9.
http://alfalahusj9.blogspot.com/
Jika sahabat-sahabat semua ada info yang lain, adalah amat dihargai jika anda sudi berkongsi.
Jazakumullah khair al-jazaa'.
Burdah Selawat -Syeikh Muhammad Nuruddin
Sabtu, 10 Julai 2010
Bahaya AIDS Haraki dalam Harakah Islamiyyah- Satu Pesanan daripada Al-Ustaz Fathi Yakan
Ahad, 4 Julai 2010
Kita Memilih Bagaimana Keadaan Kita Akan Mati
Sabtu, 3 Julai 2010
Engkau Terlalu Istimewa -Hijjaz
Tajuk Lagu: Engkau Terlalu Sempurna
Artis: Hijjaz
Album: Permata Hijjaz 1421
Dirimu terlalu sempurna
Akhlakmu yang sungguh mulia
Jasamu yang amat berharga
Menerangi jalan (ke) Syurga
Selalu aku yang terlupa
Selawat jarang terlaksana
Di bibir mengatakan cinta
Di hati pula berdusta
Bila diuji dan dipujuk nafsu
Ku meminjam cekal ketabahanmu
Kerana ku yakin di suatu waktu
Syafaatmu yang dapat membantuku
Tika berenang di laut derita
Sang mentari sejengkal di kepala
Saat dihitung dosa dan pahala
Siapakah yang akan membela
Kesyukuran atas kurniaan Rahmat-Nya
Menghadiahkanku seorang
Insan sempurna berjasa
Selayaknya engkau dikasihi dicinta
Kerana dirimu ya Rasul
Kekasih teristimewa