Ulama Benteng

Ulama Benteng

Selasa, 29 Januari 2019

Pengalaman Menduduki Peperiksaan STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) 2018 Sambil Bekerja




Pengalaman Menduduki Peperiksaan STAM pada Usia Dewasa dan Bekerjaya


Assalamulaikum, bismillah. Insya Allah pada kesempatan ini, saya berhajat untuk berkongsi pengalaman dalam menduduki peperiksaan STAM pada tahun 2018 pada usia 29 tahun sebagai calon persendirian di Pondok Moden ‘Abaqirah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Mudah-mudahan dapat memberikan manfaat kepada sahabat-rakan semua. Sesungguhnya STAM merupakan salah satu pintu utama yang membawa kita kepada gedung-gedung ilmu yang lebih luas lagi.


1. Pasangkan Niat Belajar dan Ibadah

Dari awal lagi, marilah bersama-sama kita pasangkan niat belajar ilmu agama ini sebagai ruang untuk beribadah dan membaiki diri. Hal ini akan menjadi pendorong utama kita untuk berkorban dan melaksanakan apa sahaja untuk menjayakan hasrat mulia ini. Salah satu hadis hafazan STAM adalah berkenaan keadaan mayat yang akan dibawa menuju ke perkuburan. Hadis ini benar-benar memberi kesan kepada jiwa.

2. Carilah Guru dan Manfaatkan Ilmu Mereka dengan Penuh Adab

Bermula akhir tahun 2017, saya mencari para guru yang dapat mengajar STAM. Alhamdulillah, dipertemukan dengan mahasiswa-mahasiswa jurusan bahasa Arab di Universiti Malaya. Mereka semua telah menduduki STAM dan ada antaranya merupakan pelajar cemerlang STAM pada peringkat negeri. Pada peringkat awal, saya merujuk dan belajar daripada mereka matapelajaran yang sukar dan memerlukan penerangan guru, contohnya Arudh dan Qofiah. Setiap minggu kira-kira dua kali, saya hadir ke bangunan fakulti bahasa di UM pada waktu malam selepas kerja dan juga pada hujung minggu. 

3. Pohon Restu dan Sokongan Ibu Bapa, Isteri dan Ahli Keluarga

Doa, sokongan dan pengorbanan masa mereka sangat diperlukan.

4. Banyakkan Doa Pohon Bantuan Allah Agar Dimudahkan Usaha

5. Rancang Masa Dari Awal Tahun


Perancangan masa adalah sangat kritikal. Biasanya pendaftaran STAM dibuat hanya dalam tempoh masa satu bulan sepanjang bulan Februari atau Mac (sila rujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri). Selain itu, masa diperlukan untuk menyiapkan dua buah kerja kursus (subjek Balaghah dan Adab Nusus) yang ditetapkan tarikh penghantarannya. Sekitar bulan Mei – Jun, diadakan ujian lisan bagi subjek Hafazan Al-Quran, Hadis, Insyak Mutolaah serta pembentangan kerja kursus tersebut. Apabila jadual peperiksaan dikeluarkan, cuti tahunan wajar disusun. Keseluruhannya, 6 hari cuti tahunan digunakan bagi tujuan STAM.

6. Dapatkan Bahan Belajar, Latihan dan Persiapan Secukupnya

Kita boleh merujuk pembekal buku berkenaan STAM. Contohnya bukustam.blogspot.com yang mempunyai banyak bahan, lebih-lebih lagi nota padu, jelas, ringkas yang disediakan oleh guru-guru STAM yang berpengalaman dalam subjek tersebut.

Di samping itu, Telegram Nota-nota STAM menyediakan seribu satu bahan STAM dalam pelbagai bentuk yang sangat bermanfaat.

7.  Persiapkan Hafazan STAM

STAM mempunyai hafazan dalam subjek : a) Hifz Quran : Surah Luqman, Sajdah, Sabak dan Fatir  b) Hadis : sekitar 12 buah hadis dan c) Adab Nusus : beberapa potongan syair

Jadi, masa yang lebih diperlukan untuk kukuhkan hafazan. Lebih-lebih lagi hafazan Quran dan hadis yang akan diuji pada sekitar pertengahan tahun.


8. Banyakkan Latihan dan Analisis Soalan-soalan Sebenar Tahun-tahun Lepas

Ada subjek yang mempunyai pola keberangkalian tajuk yang keluar mengikut tahun. Hal ini dapat dimanfaatkan sebagai strategi kita untuk susun atur keutamaan. Disebutkan oleh guru kita : iza takarrara, tahaqqaqa (apabila diulang-ulang, maka akan menjadi mantap)

9. Jangan Abaikan Soalan-soalan Percubaan STAM yang Disusun oleh JAKIM, Yayasan Islam Kelantan (dan lain-lain jika ada) serta Ramalan

Umpamanya, subjek hadis, agak tinggi kebarangkalian tajuk hadis yang telah diuji dalam soalan percubaan dan dinyatakan dalam ramalan untuk keluar.


10. Susun Atur Masa Belajar

Cabaran bagi yang bekerjaya adalah mencari ruang masa. Antara yang boleh dimanfaatkan adalah dengan menggunakan kenderaan awam untuk pergi dan balik kerja. Contohnya dengan menaiki MRT dan LRT ke tempat kerja, setiap hari kita peroleh masa sekitar 2 jam untuk bacaan dan ulang kaji STAM.  Di samping itu, boleh kuatkan mujahadah untuk memperuntukkan sebahagian masa rehat tengah hari untuk belajar STAM, stay back di surau pejabat kira-kira satu jam selepas kerja.


11. Tawakkal kepada Allah

Kita usaha yang terbaik, serahkan jiwa sepenuhnya kepada Allah.


Demikianlah serba sedikit secara ringkas pengalaman yang boleh saya kongsikan. Pastinya ada sangat banyak perkara untuk dikongsikan, namun kesempatan adalah terbatas.


Kelayakan STAM adalah setaraf dengan STPM dan Sijil Menengah Ma’ahad Bu’uth Al-Azhar Asy-Syarif di Mesir. Calon boleh memohon masuk universiti dengan kelayakan STAM.

Pentauliahan bagi tenaga pengajar agama Islam contohnya di Selangor juga menjadikan kelayakan STAM sebagai salah satu kayu ukurnya.

Selamat maju jaya. Semoha dipermudahkan Allah.


Akhukum,
Mohd Ikhwan Zhaki
9 Februari 2019
Selangor

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...